Sunday 21 April 2013

Tahalul siyasi


TAHALUF SIYASI BERDASARKAN HILFUL FUDUL, BENARKAH?

[SN325] Di antara uslub (cara) yang diambil gerakan Islam yang berjuang di dalam sistem demokrasi demi mencapai kemenangan dalam pilihan raya adalah mengadakan kesepakatan politik (tahalufsiyasi) dengan parti kafir dan juga parti sekular. Pelbagai nas dan alasan yang diberikan di dalam menjustifikasi tindakan mereka sebagai suatu perkara yang dibenarkan oleh Islam. Di antara dalil utama yang sering digunakan oleh parti Islam yang melakukan tahalufsiyasi ini adalah peristiwa hilfulfudul. Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya yang terkenal berkata, “Adapun perjanjian al-fudul, maka Ziyad bin Abdullah al-Bakkai berkata kepadaku dari Muhammad bin Ishaq yang berkata, bahawa kabilah-kabilah Quraisy mengajak diadakannya perjanjian. Kemudian mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud’an kerana kedudukannya dan umurnya. Pertemuan di rumah Abdullah bin Jud’an dihadiri Bani Hasyim, Bani al-Muthalib, Asad bin Abdul Uza, Zuhrah bin Kilab dan Taim bin Murrah. Mereka sepakat bahawa jika mereka melihat orang yang teraniaya di Mekah, penduduk asli Mekah atau orang-orang yang datang ke Mekah, mereka harus berpihak kepadanya, dan orang-orang yang menganiaya orang tersebut harus mengembalikan apa yang diambilnya dari orang yang dianiayainya. Orang-orang Quraisy menamakan perjanjian tersebut Perjanjian al-Fudul. Ibnu Ishaq berkata bahawa Muhamad bin Yazid bin al-Muhajjir bin Qunfudz at-Taimi berkata kepadaku, ia mendengar Thalhah bin Abdullah bin Auf az-Zuhri berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Sungguh aku ikut menghadiri perjanjian di rumah Abdullah bin Jud’an. Perjanjian tersebut lebih aku sukai daripada unta merah. Jika dalam Islam aku diundang untuk mengadakan perjanjian seperti itu, pasti aku memenuhinya.”

Berdasarkan hadis di atas, parti Islam telah melakukan tahalufsiyasi dengan parti kafir dan sekular dengan mendakwa bahawa ia dibenarkan oleh Rasulullah SAW. SautunNahdhah siri ke-187 telah pun menjelaskan kebatilan konsep tahalufsiyasi yang dilakukan oleh parti Islam dan kali ini kami akan memfokuskan kepada kekeliruan hujah hilfulfudul yang digunakan:-

Pertama: Bagi sesiapa yang mengkaji sirah Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa hilfulfudul merupakan sebuah kesepakatan untuk membantu orang-orang yang dianiaya. Gerakan Islam yang menggunakan dalil ini sering mengetengahkan perjanjian ini sebagai sebuah perjanjian untuk menentang kezaliman di mana mereka berhujah bahawa Rasulullah SAW telah berpakat (bertahaluf) dengan orang-orang kafir untuk menentang kezaliman. Memang benar bahawa Rasulullah suka kepada hilfulfudul dan menerimanya dari aspek isinya yang ingin menentang penganiayaan atau kezaliman. Namun perlu difahami di sini bahawa penganiayaan atau kezaliman yang disebut dalam hilfulfudul adalah kezaliman yang dilakukan oleh “manusia” ke atas manusia yang lain. Ia tidak ada kena mengena dengan kezaliman “sistem” (Jahiliyyah). Dengan kata lain, hilfulfudul bukannya kesepakatan untuk menghapuskan sistem yang zalim. Sistem Jahiliyyah masih tetap diamalkan pada waktu itu seperti riba, perzinaan, pembunuhan anak perempuan, meminum arak dan sebagainya dan hilfulfudul bukanlah terjadi dalam rangka untuk menghapuskan semua itu. 

Kekeliruan parti Islam di dalam beristidlal dengan hilfulfudul ialah apabila mereka bekerjasama untuk menentang sistem atau polisi yang diterapkan oleh kerajaan sekarang yang mereka anggap sebagai zalim. Hal ini jelas dari hujah mereka di mana mereka mengatakan bahawa mereka bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara  yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti  amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, masyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah. Inilah hujah mereka, yang sama sekali berbeza dengan realiti hilfulfudul yang terjadi di zaman Rasulullah.

Hilfulfudul tidak ada kena mengena dengan perjanjian untuk memperbaiki sistem yang tempang. Ia adalah kesepakatan untuk membantu  “orang” yang dianiaya daripada orang-orang yang menganiaya. Adapun sistem demokrasi yang diamalkan sekarang bukanlah sebuah sistem yang tempang yang perlu diperbetulkan dengan tahalufsiyasi, tetapi ia adalah sistem kufur yang penuh kebatilan dan haram untuk diambil. Ingin memperbaiki sistem demokrasi yang tempang bermaksud ingin memperbaiki sistem kufur yang tempang ini, bagi menjadikannya sistem kufur yang tidak lagi tempang, yakni dengan kata lain, ingin menjadikannya sebagai sebuah sistem kufur yang sempurna! Inilah kehendak parti Islam yang bertahalufdengan parti kufur dan sekular, yakni ingin mengamalkan sistem demokrasi-kufur yang 100% tulen setelah kerajaan sekarang tidak mengamalkannya dengan ketulenan100%. Hal ini sesungguhnya sama sekali berbeza dengan hilfulfudul yang dinyatakan oleh Rasulullah. 

Kedua: Realiti tahalufsiyasi yang dimasuki oleh parti Islam sekarang adalah bekerjasama dan mengadakan perjanjian dengan parti kafir dan parti sekular dalam usaha mereka untuk memenangi pilihan raya yang sekali gus bermaksud untuk mendirikan sebuah negara yang mereka idam-idamkan. Dengan kata lain, mereka bertahaluf untuk menegakkan sebuah pemerintahan atau sebuah negara. Mereka mengharapkan bahawa dengan tahalufsiyasi yang mereka masuki itu akan memperkuatkan posisi mereka pada pilihan raya umum yang seterusnya akan memberikan kemenangan di dalam mengalahkan musuh politik mereka. Tahalufsiyasi seumpama ini yang nyata-nyata bermatlamat ingin menang di dalam pilihan raya dan berjaya mencapai kekuasaan, kemudian diistidlalkan dengan peristiwa hilfulfudul, sesungguhnya amat jauh dari kebenaran. Hal ini amat jelas bertentangan dengan realiti dan nas berkenaan hilfulfudul sebagaimana yang terjadi dan disebutkan oleh Rasulullah SAW. Realiti dan nas yang membenarkan hilfulfudul hanyalah terbatas kepada membantu orang-orang yang dianiaya daripada orang-orang yang menganiaya dan sama sekali tidak ada kena-mengena dengan tahaluf Rasulullah dengan orang-orang kafir untuk menegakkan sebuah negara!!! Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah bertahalufatau bersekongkol sedikit pun dengan orang-orang kafir dalam usaha menegakkan sebuah Negara Islam. 

Ketiga:Hilfulfudul juga bukanlah perjanjian untuk berkongsi kuasa. Sejarah dan realiti telah menunjukkan kepada kita bagaimana tahalufsiyasi yang dilakukan oleh parti Islam dengan parti kafir dan parti sekular bukan sahaja dilakukan dalam rangka untuk menghapuskan “kezaliman” tetapi berkekalan sehinggalah mereka menang dan berjaya memerintah. Setelah berada di tampuk pemerintahan, ternyata mereka berkongsi kuasa dengan parti kafir dan parti sekular tersebut. Natijah yang boleh kita lihat sehingga sekarang ialah, sistem Islam tetap tidak diterapkan dan sistem kufur tetap mendominasi. Bersetuju dan membenarkan orang-orang kafir duduk di pemerintahan itu sendiri sudah merupakan keharaman, apatah lagi bersekongkol (dengan berkongsi kuasa) dengan mereka di bidang pemerintahan. Sesungguhnya pemerintahan itu wajib berada sepenuhnya di tangan orang-orang Islam. Membenarkan (atau bersekongkol dengan) orang-orang kafir di dalam pemerintahan bermaksud memberikan ruang dan peluang kepada orang-orang kafir menguasai orang-orang Islam, dan hal ini diharamkan oleh Allah SWT. FirmanNya, 

“Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan jalan bagi orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman”
 [TMQ an-Nisa’ (4):141].  
Selain itu, realiti yang dapat disaksikan sekarang juga menunjukkan bahawa parti Islam yang berkongsi kuasa juga telah tidak menerapkan Islam di dalam pemerintahan. Dengan kata lain, mereka sebenarnya telah melakukan kezaliman kerana memerintah dengan tidak menerapkan hukum Allah. Firman Allah, 

“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” 
[TMQ al-Ma’idah (5):45]. 
Alih-alih bertahalufuntuk menolak kezaliman, mereka sesungguhnya bertahaluf untuk menerapkan kezaliman, apabila berkongsi kuasa dengan orang-orang kafir dan memerintah tidak mengikut apa yang Allah turunkan!!! Rasulullah SAW dan para Khulafa’ Rasyidin tidak pernah berkongsi kuasa dengan orang-orang kafir di dalam pemerintahan. Di dalam Negara Islam, mereka (orang-orang kafir) tidak boleh (haram) menjadi pemerintah tetapi merupakan orang-orang yang diperintah (wajib tunduk kepada pemerintahan Islam).

Keempat: Terdapat banyak ayat dan hadis yang melarang umat Islam dari bekerjasama dengan orang-orang kafir atau mengambil orang-orang kafir sebagai wali (kawan, teman, rakan, sahabat, pemimpin). Allah SWT berfirman, 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil menjadi wali (teman/pemimpin) orang-orang yang menjadikan deen kamu main-main dan olok-olok, iaitu orang-orang yang diberikan Kitab sebelum daripada kamu dan juga orang-orang yang tidak beriman. Takutlah kepada Allah sekiranya kamu benar-benar beriman”
 [TMQ al-Ma’idah (5):57]. 

Dan firmanNya, 

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang­-orang Mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk mengazabmu)” [TMQ an-Nisa’ (4):144]. 

FirmanNya lagi, 

“Dan orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi wali (pemimpin dan pembantu) bagi sebahagian yang lain…” [TMQ al-Anfal (8):73]. 
Ayat-ayat ini, dan banyak lagi ayat lainnya, jelas menunjukkan bahawa kerjasama dan tolong-menolong di antara orang-­orang Islam dan orang-orang kafir tidak dibenarkan sama sekali dan ia hanyalah akan mengundang murka dan azab Allah kepada pelakunya. 

Meletakkan HilfulFudul Pada Kedudukannya Yang Sebenar

Adakah hadis Rasulullah SAW berkenaan hilfulfudul bertentangan dengan ayat-ayat di atas? Sesungguhnya ia sama sekali tidak bertentangan. Telah dijelaskan sebelum ini bahawa hilfulfudul hanyalah kesepakatan untuk membantu orang-orang yang ditindas, dianiaya atau dizalimi oleh orang lain. Itu sahaja. Dan ia langsung tidak ada kena-mengena dengan tahalufsiyasi! Kesepakatan semacam hilfulfudul adalah dibenarkan manakala tahalufsiyasi dengan orang-orang kafir adalah diharamkan secara qath’ie melalui nas-nas di atas dan banyak lagi nas lainnya. 

Perlu diperhatikan di sini bahawa semasa Rasulullah SAW menyaksikan hilfulfudul di rumah Abdullah bin Jud’an, baginda masih belum diangkat menjadi Rasul dan setelah menjadi Rasul, baginda bersabda, 

“Sekiranya aku diundang untuk mengadakan perjanjian seperti itu di dalam Islam, sungguh aku akan memenuhinya”. 

Hadis ini bermaksud, di saat Islam berkuasa (memerintah), sekiranya baginda dipanggil untuk mengadakan perjanjian yang sama (bersepakat membantu orang yang dizalimi), maka baginda akan memenuhi undangan tersebut. Hal ini tidak sama sekali bermaksud yang Rasulullah akan “bersetuju” untuk melakukan pakatan politik, apatah lagi memerintah bersama orang-orang kafir. Ini kerana, setuju atau tidak Rasulullah dengan kesepakatan seumpama itu tentunya dilakukan atas dasar Islam (Islam yang berkuasa). Maksudnya, jika ia selari dengan Islam, maka tentunya Rasulullah bersetuju, tetapi jika bertentangan dengan Islam, sudah pasti Rasulullah akan menolaknya. Justeru, yang menjadi ukuran di sini adalah sama ada kesepakatan tersebut selaras atau tidak dengan Islam, bukannya boleh bersetuju membabi buta ke atas setiap perjanjian dengan orang kafir atas alasan maslahat kepartian yang ingin diraih. Di dalam konteks melakukan perjanjian, Rasulullah SAW bersabda, 

“Setiap syarat yang tidak sesuai dengan Kitabullah, maka ia adalah batil, meskipun ada seratus syarat” [HR Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Ahmad & Ibnu Hibban]. 
Tahalufsiyasi antara parti politik tentunya tidak akan terlepas dari syarat-syarat yang diajukan kedua belah pihak tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, termasuklah soal penerapan hudud dan hukum-hukum Allah yang lain, tentang siapa akan menjadi calon pilihan raya, calon pemimpin yang akan menduduki kementerian tertentu, tentang ‘kewajipan’ menyokong dan mengundi calon yang diletakkan tidak kira kafir atau Muslim dan lain-lain lagi. Syarat-syarat tahaluf ini sebenarnya terkait dengan kekuasaan dalam sistem demokrasi-sekular yang akan mempertahankan lagi sistem batil ini sekali gus tidak menjalankan hukum Allah SWT. Maka dari itu, tahalufsiyasi di antara parti Islam dan parti kafir serta parti sekular hukumnya adalah haram secara qath’ie, kerana tahaluf ini merupakansuatuperjanjian dengan syarat-syarat yang bertentangan dengan syarak, iaitu sebagai bentuk kerjasama ke arah mendapatkan kekuasaan yang tidak menjalankan syariat Islam. 

Tentang alasan mereka bertahaluf untuk menentang penganiayaan atau kezaliman, masalahnya adalah  mereka mengukur “kezaliman” berdasarkan undang-undang demokrasi yang merupakan undang-undang Jahiliyah. Allah SWT bertanya, 

“Apakah hukum Jahiliyah yang kalian mahu walhal siapakah yang lebih baik (hukumnya) daripada Allah, bagi kaum yang yakin”
 [TMQ al-Ma’idah (5):50]. 

Jika benar ingin menentang kezaliman, demokrasi itulah justeru sistem zalim yang wajib ditentang, bukannya diperbaiki ketempangannya atau dipertahankan kewujudannya. Ini kerana, demokrasi adalah sebenar-benarnya sistem Jahiliyah yang telah menzalimi manusia sejak sekian lama, yang menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Demokrasi adalah sebuah sistem kufur di mana undang-undangnya dibuat oleh segelintir manusia yang kerananyalah lahir segala macam bentuk kezaliman. Inilah sistem yang wajib dihapuskan oleh parti Islam (dan umat Islam) bukan sebaliknya bertahalufsiyasi dengan nas hilfulfudul demi menegakkan keharaman dan kebatilan demokrasi!

Perlu diingat bahawa sabda Rasulullah SAW,

“Sekiranya aku diajak padanya (hilfulfudul) di saat Islam (berkuasa), sungguh aku akan memenuhinya”, 

teramat jelas di sini bahawa Rasulullah menyebut sekiranya baginda diajak kepada perjanjian tersebut di saat “Islam berkuasa”, maka baginda akan menyahutnya. Manakala apa yang dilakukan oleh parti Islam sekarang adalah “menyahut dan memasuki perjanjian tersebut di saat Islam tidak berkuasa”. Di sinilah mereka (parti Islam) telah mengaplikasi nas dengan cara yang keliru, di mana di saat Islam tidak berkuasa seperti sekarang, apa yang wajib dilakukan ialah berjuang untuk menghapuskan segala bentuk kekufuran (baik dari segi akidah mahupun sistem), bukannya berjuang dengan mengadakan tahaluf dengan parti kafir untuk mengekalkan sistem kufur! Mereka mendakwa bahawa mereka melakukan tahaluf atas ‘petunjuk’ dari Rasulullah, namun hakikatnya apa yang mereka lakukan berbeza sama sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Dalam keadaan sekarang (Islam tidak berkuasa), merubah sistem (kufur) kepada sistem Islam adalah wajib, tanpa memerlukan sebarang tahaluf dengan orang kafir. 

Perlu diperhatikan bahawa dalam keadaan Islam telah berkuasa (memerintah), maka sudah pasti tidak ada sedikit pun kezaliman apabila hukum Allah diterapkan. Justeru, di sini juga tidak timbul soal keperluan untuk mengadakan tahalufsiyasi dengan orang-orang kafir bagi menentang kezaliman! Namun, dalam keadaan di mana sekiranya orang/negara kafir mengajak kita untuk melakukan perjanjian seumpama hilfulfudul bagi menentang penindasan, maka kesepakatan dengan orang-orang kafir di peringkat antarabangsa seumpama ini boleh dilakukan. Itu pun mesti dilakukan dalam keadaan Islam yang menguasai, bukannya Islam dikuasai. Sekiranya Islam berada dalam kedudukan dikuasai, maka perjanjian itu tetap haram untuk dimasuki. 

Wahai kaum Muslimin! Sudah sekian lama kita menyaksikan parti pemerintah yang sekular bersekongkol dengan parti kafir dan memerintah kita semua dengan undang-undang kufur. Inilah punca kepada segala kezaliman dan ketidakadilan, yakni apabila hukum Allah SWT tidak diterapkan. Parti Islam justeru sepatutnya sedar dan tidak melakukan kesalahan yang sama. Sesebuah parti Islam itu wajib berjuang untuk menegakkan Negara Islam (Khilafah) dengan thariqah (jalan) yang telah dilalui dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bukannya dengan jalan demokrasi yang ditunjukkan dan disediakan oleh Lord Reid atau lain-lain penjajah. 

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment