Wednesday 16 April 2014

Najib Berselawat

Najib Berselawat Tetapi Tolak Syariat
Sabtu, 22 Mac 2014 13:32
PUTRAJAYA 21 Mac - Terpampang gambar dan paparan berita Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut serta bersama ribuan umat Islam dalam majlis Selawat Perdana, Malam Cinta Allah dan Rasul di Dataran Masjid Putra malam ini. Isterinya yang suka dikenali dengan the First Lady of Malaysia, juga dilaporkan turut serta dalam majlis tersebut. 

Mungkin ramai yang terkejut dan gembira dengan kehadiran Najib dan Rosmah di dalam majlis seperti itu. Tidak kurang yang merasa janggal dan pelik dengan keadaan tersebut. 

Sudah pasti sebagai seorang Muslim yang sejati, perasaan dan rasa cinta kepada Rasulullah SAW itu adalah sesuatu yang wajib dan wajar. Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah SAW bersabda: 

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi orang yang dikasihinya lebih daripada ibu bapanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya"[HR Bukhari dan Muslim]. 

Perlu diketahui dan difahami bahawa kecintaan kita kepada Allah dan Rasul itu hendaklah dilakukan dengan cara yang benar dan bukan sekadar ungkapan di mulut sahaja yakni setiap ungkapan, ucapan atau dakwaan cinta tentu memerlukan bukti. Al-Azhari berkata: “Erti cinta seseorang hamba itu kepada Allah dan RasulNya adalah mentaati dan mengikuti perintahNya dan RasulNya” [Min Muqawwimat an-Nafsiyah al-Islamiyyah]. 

Contoh yang paling baik untuk kita ikuti di dalam mencintai Rasul ialah dengan melihat kepada tindakan para sahabat terhadap orang yang dicintainya itu. Para sahabat merealisasikan kecintaan mereka kepada Rasulullah dalam seluruh aspek kehidupan mereka. Ya benar mereka berselawat kepada Rasul, tetapi dengan cara yang diperintahkan oleh Rasulullah, bukannya dengan mengikut cara dan hawa sendiri. 

Apa yang lebih penting, mereka melaksanakan segala perintah Rasulullah berupa yang wajib dan sunat dan mereka akan menjauhkan perkara yang ditegah oleh Rasulullah sama ada yang haram mahupun makruh. Mereka tidak tinggal diam di dalam sistem kufur Jahiliyyah (semasa di Mekah). Mereka berjuang bersama Rasulullah untuk menumbangkan dan merubah sistem Jahiliyyah kepada sistem Islam sehinggalah nyawa mereka menjadi galang gantinya. Mereka berjuang untuk menegakkan agama Allah sehingga tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah. Inilah tanda cinta mereka kepada Rasulullah.

Manakala semasa di Madinah, mereka bersama Rasulullah menerapkan Islam secara kaffah dan mempertahankan agama Allah. Mereka melaksanakan hududullah dan berjihad bersama Rasulullah membuka (futuhat) negeri-negeri yang baru. Sebagai bukti tanda kecintaan mereka kepada Rasul, Qais pernah berkata:

“Aku melihat tangan Abu Thalhah menjadi lumpuh, kerana dengan tangannya itulah dia telah menjaga Nabi SAW pada saat perang Uhud”[HR al-Bukhari]. 

Persoalannya, bagaimana dengan pemerintah pada hari ini yang hadir dalam majlis selawat? Mereka berselawat kepada Rasul, namun dalam masa yang sama mereka menolak penerapan syariat Allah!!! Mereka menolak penerapan hududullah dengan pelbagai alasan. Mereka menolak berjihad di jalan Allah, malah mereka membiarkan ramai Muslim mati dibunuh di seluruh dunia tanpa mereka melakukan apa-apa pembelaan. 

Begitu juga dengan sebahagian umat Islam yang datang berselawat, apakah mereka berjuang untuk menghapuskan sistem Jahiliyyah moden pada hari ini, sebagaimana Rasulullah dulu berjuang menghapuskan sistem Jahiliyyah? Apakah mereka sudah meninggalkan riba sebagai tanda cinta mereka kepada Rasulullah? Kerana Rasulullah bersabda, 

“Riba itu mempunyai 73 pintu, sedangkan yang paling ringan adalah seperti seseorang menikahi ibunya sendiri” [HR Ibnu Majah dan Al-Hakim]

“Mereka itu sama (iaitu yang memakan riba, memberinya, menuliskannya dan yang menyaksikannya)” [HR Bukhari dan Muslim]

Baguslah jika mereka tidak mengambil riba, namun adakah mereka berjuang untuk menumbangkan sistem ribawi ini sebagaimana Rasulullah dulu berjuang menumbangkan segala sistem ribawi di zaman Jahiliyyah? Sesungguhnya banyak lagi persoalan yang boleh ditanya....pokoknya, cukupkah dengan hanya mencintai Rasulullah di bibir sahaja tanpa dibuktikan dengan amalan?

Rasulullah SAW bersabda, 

“Telah aku tinggalkan untuk kalian, dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang teguh kepada keduanya; (yakni) Kitabullah (Al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya”
 [HR Imam Malik dalam Al-Muwattha].

Justeru, bagaimana mungkin seseorang sanggup mengaku bahawa ia mencintai Rasulullah, tetapi tidak berjuang menegakkan hukum Al-Quran dan As-Sunnah yang Rasulullah perintahkan? Kita tidak mahu pemimpin yang hanya pandai berlakon dan semoga umat tidak terus tertipu dengan pemimpin seperti ini dan semoga umat yang mulia ini tidak hanya terus membasahi bibir dengan berselawat tetapi kering ruh dan amalannya dengan Sunnah Rasulullah yang banyak ditinggalkan.

Raja Abdullah Rai Obama

Kunjungan Obama ke Arab Saudi: Raja Abdullah Meraikan Kafir Harbi Sebagai Teman Akrab
Sabtu, 05 April 2014 10:50
Pada 28 Mac baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama telah melakukan kunjungan ke Kerajaan Arab Saudi (KAS) untuk bertemu dengan Raja Abdullah bagi membincangkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.1 Kunjungan ini merupakan kunjungan kedua Obama setelah lawatan yang dilakukan pada tahun 2009 yang lalu, sekaligus menggambarkan betapa eratnya hubungan antara kedua-dua negara.

Jika ditelusuri kembali sejarah, hubungan antara kedua-dua buah negara tersebut telah terjalin semenjak sekian lamanya. Pengasas Kerajaan Arab Saudi moden, Ibn Saud telah berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada AS setelah menubuhkan kerajaan tersebut hasil daripada pemberontakannya terhadap Khilafah Uthmaniyah. 

Meskipun pada mulanya AS tidak menunjukkan kesungguhan untuk menjalin hubungan dengan Ibn Saud, namun hubungan tersebut menjadi semakin akrab apabila berita penemuan minyak di Arab Saudi mulai tersebar. Semenjak dari itu, hubungan erat antara kedua-dua buah negara tersebut menjadi semakin kukuh saban tahun. AS mulai mengiktiraf KAS pada Mei 1931 setelah KAS mendapat pengiktirafan daripada beberapa buah negara semenjak 1928.

Hubungan tersebut menjadi semakin kukuh dengan penubuhan syarikat carigali minyak California Arabian Standard Oil Company (CASOC) pada tahun 1933 yang kemudiannya dikenali sebagai ARAMCO (Arab-American Company). Pada tahun 1980, KAS membeli sepenuhnya saham ARAMCO dan menukar nama syarikat tersebut kepada Saudi-ARAMCO pada 1988. Pada tahun 2005, syarikat tersebut dilaporkan sebagai sebuah syarikat terbesar dunia dengan keuntungan dianggarkan sebanyak $781 bilion.2 Sebahagian besar daripada kekayaan tersebut menjadi hak milik peribadi penguasa KAS dan kaum kerabatnya. 

Petroleum adalah Hak Milik Umum dan bukannya Sumber Kekayaan Peribadi!

Meskipun rakyat KAS turut menerima sedikit hasil daripada sejumlah keuntungan jualan minyak tersebut, namun mereka sewajarnya menerima lebih daripada itu. Bahkan adalah tidak wajar sekiranya kekayaan tersebut hanya berlegar-legar di tangan segelintir pihak sahaja. Kekayaan hasil bumi yang melimpah ruah di wilayah umat Islam adalah hak milik umat Islam keseluruhannya.  Tindakan KAS ini secara jelas bertentangan dengan hukum kepemilikan menurut Islam, yang dirumus daripada sabda Rasulullah SAW berikut:

“Sesungguhnya Abyad bin Hammal ra berkunjung kepada Nabi SAW, dan Rasulullah SAW memberinya lombong garam. Ketika Abyad bin Hammal telah pergi, seorang laki-laki berkata, “Ya Rasulullah, tahukah engkau apa yang telah engkau berikan kepadanya?  Sesungguhnya engkau telah memberinya sesuatu seperti air yang mengalir”. Abyad bin Hammal berkata, “Rasulullah saw menarik kembali pemberian tersebut”. [HR Imam Abu Dawud]

Islam juga mencegah terjadinya perputaran kekayaan hanya kepada segelintir orang sahaja. Allah SWT berfirman, “…supaya harta itu jangan hanya berlegar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kalian” [TMQ al-Hasyr (59):7]. 

(Sila rujuk Sautun Nahdhah keluaran HTM3 untuk mendapatkan gambaran umum tentang pembahasan isu kepemilikan dalam Islam).

Keberadaan Pangkalan Tentera AS – Bukti Kebergantungan KAS terhadap AS

Saban tahun, pengaruh AS terhadap KAS dan Timur Tengah secara umumnya semakin melebar. Meskipun berdepan dengan ancaman komunis di bawah Kesatuan Soviet sewaktu Perang Dingin, namun AS tetap mendapat tempat yang istimewa di sisi penguasa KAS. Di penghujung Perang Dunia Kedua, AS telah membuka pangkalan tenteranya di Dhahran dengan alasan untuk melindungi laluan umat Islam yang menunaikan haji. Sedangkan pada hakikatnya, keberadaan tentera AS adalah untuk melindungi loji penggalian minyak CASOC di kawasan tersebut.4

Dalam pada itu, KAS juga telah membenarkan AS membuka pangkalan-pangkalan tentera mereka di wilayahnya demi menjaga kepentingan polisi luar AS. Pangkalan-pangkalan tersebut telah digunakan oleh AS untuk menyerang Iraq dalam dua Perang Teluk yang menelan korban jutaan nyawa termasuklah orang awam yang tidak bersalah. 

KAS masih meneruskan hubungannya dengan AS biarpun menyedari hakikat sokongan AS terhadap usaha pembentukan negara haram Israel semenjak tahun 1936 lagi (dengan hanya menerima sepucuk surat daripada Presiden AS pada waktu itu, Franklin D. Roosevelt).5Walaupun pada zahirnya penguasa KAS menyatakan bantahan, namun hakikatnya hubungan AS tetap diteruskan biarpun AS terang-terang menyatakan komitmennya untuk menjaga keselamatan Israel semenjak penubuhannya pada 1948. 

Hubungan antara kedua-dua buah negara tersebut menjadi renggang seketika apabila Raja Faisal mengumumkan embargo (sekatan) terhadap pengeluaran minyak pada tahun 1973 lantaran Perang Yom Kippur yang tercetus antara negara-negara Arab dan Israel. Tindakan ini menyebabkan AS mengalami krisis tenaga dan memaksa AS menekan Israel untuk melakukan perjanjian damai dengan Syria. Hubungan tersebut kembali menjadi reda pada tahun berikutnya, manakala Raja Faisal pula telah dibunuh oleh saudaranya sendiri yang dilaporkan mempunyai masalah mental pada 1975.6

Khatimah

Keakraban yang ditunjukkan oleh Presiden Obama dan Raja Abdullah di Rawdat Khuraim, berhampiran Riyadh itu merupakan kesinambungan hubungan akrab antara kedua-dua buah negara yang telah terjalin sejak beberapa dekad lamanya. Melalui tindakan tersebut, Raja Abdullah telah mengkhianati umat Islam keseluruhannya kerana beliau tergamak berjabat erat tangan Obama yang berlumuran dengan darah kaum Muslimin.

Sesungguhnya, gelaran “Khadam Haramain” (Penjaga Dua Tanah Haram) itu tidak sedikitpun memberikan sebarang kemuliaan, apatah lagi ia langsung tidak menunjukkan keprihatinannya terhadap nasib yang menimpa umat Islam. Tidakkah beliau pernah mendengar hadis Rasulullah SAW yang jelas menyatakan; “Setitik darah seorang Muslim adalah lebih bernilai daripada seluruh Kaabah dan sekelilingnya” [HR Bukhari dan Muslim]

Sumber:

1) “Obama arrives in Saudi Arabia on Official Visit” – Al-Arabiyya, 28 Mac 2014


2) 2) “FT Top 150 Non-Publicly listed companies” – Financial Times, 14 Disember 2006.  

3) Soutun Nahdhah SN 367 – Bagaimana Islam Mengagihkan Kekayaan di Tengah-tengah Manusia 

4) “Saudi-American Relations”, Benson Lee Greyson; 1982 University Press of America.

5) US Saudi Arabia Diplomatic and Political Cooperation Handbook 

6) “BBC On This Day - 1975: Saudi's King Faisal assassinated” 

Doa Rentas Agama

DOA RENTAS AGAMA, BOLEHKAH?

[SN382] Sejak awal kes kehilangan pesawat MH370 hingga ke hari ini yang sudah pun melebihi 30 hari, antara perkara yang paling banyak disebut, ditulis, diperkatakan dan dilakukan ialah “doa”. Baik di media cetak apatah lagi di media elektronik, perkataan atau seruan untuk berdoa terus-menerus bermunculan setiap detik bagi mengharapkan keselamatan dan dijumpainya pesawat malang tersebut beserta penumpang dan anak kapalnya. Sampai sekarang, walaupun bangkai dan kotak hitam pesawat masih belum dijumpai dan banyak pihak berada dalam kebuntuan mencarinya, namun doa untuk MH370 masih belum putus diseru dan dilakukan. 

Antara peristiwa yang perlu diperhatikan berhubung isu ini ialah doa yang dilakukan secara bersama (dalam satu majlis) di antara penganut Islam, Kristian dan Buddha di Malaysia yang sering diputar di kaca televisyen baru-baru ini. Doa rentas agama seperti ini, walaupun jarang dilakukan, tetapi bukanlah suatu yang baru di Malaysia. Tidak lama dahulu, anak bekas Perdana Menteri Malaysia, Marina Mahathir yang terkenal berpemikiran liberal, pernah menganjurkan majlis doa bersama dengan tokoh agama Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan lain-lain bagi mendoakan kesihatan bapanya yang sakit ketika itu. Di negeri jiran (Indonesia) yang mempunyai penduduk Muslim paling ramai di dunia, hal ini juga sering terjadi dan sering kali menimbulkan perdebatan.

Walaupun semua pihak bersimpati dengan tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines itu, namun sebagai Muslim, perasaan sedih dan simpati kita hendaklah disalurkan mengikut lunas-lunas Islam dan bukannya mengikut perasaan semata-mata tanpa memperhitungkan halal dan haram. Dalam kita mendoakan keselamatan dan dijumpainya pesawat yang hilang tersebut, majlis doa yang diadakan itu hendaklah diperhatikan hukum-hakamnya. Dengan kata lain, yang hak dan batil tidak boleh bercampur dan tidak boleh dicampurkan. Setiap Muslim diwajibkan mengkaji hukum syarak tentang sesuatu perbuatan terlebih dahulu sebelum melakukannya. Kaedah syarak menyatakan, al-aslu fi al-af’al tuqayyidu bi hukmillah (hukum asal sesuatu perbuatan itu adalah terikat dengan hukum Allah). 

Berdasarkan kaedah ini, tidak diperkenankan seseorang Muslim melakukan perbuatan tanpa mengetahui hukumnya atau melakukan suatu perbuatan terlebih dahulu, kemudian barulah dikaji hukumnya sama ada boleh atau tidak. Jika dengan mengkaji hukum syarak sahaja, seseorang Muslim boleh terjerumus ke dalam kesalahan jika tidak berhati-hati, apatah lagi jika tidak mengkajinya. Jadi, hal ini (doa rentas agama) tidak boleh dianggap remeh kerana ia melibatkan perbuatan, malah terkait dengan persoalan akidah, yang wajib dikaji hukumnya oleh setiap Muslim. Firman Allah SWT, 

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban” [TMQ al-Isra (17):36].

Hukum Doa Rentas Agama

Apa yang dimaksudkan dengan doa rentas agama adalah doa yang dilakukan oleh pelbagai penganut agama yang berbeza-beza (Muslim dan non-Muslim) dalam rangka memohon atau mengharapkan sesuatu dari Tuhan dalam satu majlis yang sama. Mereka secara bersama berkumpul dan sama-sama berdoa atau secara bergiliran bermunajat menurut keyakinan dan cara masing-masing. Hal ini berbeza dan perlu dibezakan dengan suatu majlis yang dianjurkan oleh kaum Muslimin tetapi non-Muslim turut hadir di dalamnya sebagai peserta (hadirin) yang mungkin sahaja ada doa di permulaan atau di penghujung majlis, seperti majlis ilmu, seminar, wacana dan sebagainya. Dalam majlis seumpama ini, doa bukanlah menjadi tujuan utamanya dan majlis ini tidak termasuk dalam istilah doa rentas agama. Tambahan lagi, non-Muslim biasanya tidak akan turut berdoa dalam majlis seperti ini. Doa rentas agama yang dimaksudkan di sini adalah suatu majlis di mana non-Muslim turut berdoa dan bermunajat bersama dengan kaum Muslimin atas tujuan atau kepentingan yang sama.

Sesungguhnya majlis atau aktiviti doa yang dilakukan secara bersama-sama antara kaum Muslimin dan penganut agama-agama lainnya, sama sekali tidak pernah dicontohkan oleh junjungan kita yang mulia, Rasulullah SAW dan diharamkan secara mutlak. Antara dalilnya adalah seperti berikut:-

Pertama: Doa adalah ibadah bagi kaum Muslimin dan ia termasuk salah satu dari ibadah mahdhah.  Rasulullah SAW bersabda, 

Doa adalah ibadah” [HR Imam Empat]. 

Dalam riwayat lain oleh Imam Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda, 

Doa adalah otak (inti) ibadah”. 

Firman Allah SWT di dalam al-Quran al-Kareem, 

Dan Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah (berdoa kepada) Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina” [TMQ al-Mukmin (40):60]. 

Jadi, Allah SWT telah menjadikan doa sebagai ibadah, yang telah ditunjukkan melalui lafaz “ibaadatiy” setelah lafaz “ud’uuniy” (berdoalah kepadaKu), sama seperti hadis di atas yang menyebut kata “ibadah” setelah kata “du’a”. Maka, jelaslah bahawa doa adalah ibadah. 

Perlu difahami bahawa di dalam Islam, ibadah mahdhah adalah suatu perbuatan yang terikat dengan kaifiyat (tatacara) yang khas(khusus) yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan RasulNya. Siapa pun dan dengan maksud apa pun tidak boleh menambah-nambah ataupun menguranginya. Bahkan kaum Muslimin secara mutlak tidak dibenarkan mengikuti cara-cara, langkah-langkah dan jejak hidup orang-orang kafir dan agama-agama selain Islam. Allah SWT menegaskan bahawa Islam berbeza dengan agama-agama lain, baik dalam hal Dzat Yang disembah mahupun tatacara pengibadatannya dan termasuk dalam aktiviti doanya. 

Di dalam beramal, kita diperintahkan mengikuti Rasulullah SAW semata-mata dan tidak boleh menyimpang daripadanya. Firman Allah SWT, 

Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kepada kalian, maka terimalah dan apa saja yang dilarangnya atas kalian, maka tinggalkanlah” [TMQ al-Hasyr (59):7]. 

Maksud dari ayat ini adalah, apa yang tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah, tidak pernah disetujui (taqrir) oleh baginda atau tidak pernah dilakukan oleh baginda, apalagi dalam perkara yang menyangkut ibadah, maka ia tidak boleh dilakukan. Rasulullah SAW bersabda, 

Siapa saja yang melakukan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan, maka perbuatan tersebut tertolak” [HR Muslim].

Aktiviti doa rentas agama sesungguhnya adalah menambah-nambah (suatu yang baru) yang sebelumnya tidak dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam perkara ibadah (doa). Hal ini jelas merupakan suatu bid‘ah dan wajib bagi kita menjauhinya. Sabda Rasulullah SAW, 

Janganlah kalian mengada-adakan hal-hal yang baru sebab sesungguhnya mengada-adakan hal-hal baru (dalam ibadah) itu adalah bid‘ah. Setiap bid‘ah itu adalah kesesatan. Setiap kesesatan (akibatnya) adalah neraka” [HR Ahmad, Abu Daud, at-Tarmizi & Ibn Majah].

Kedua: Doa hanya diminta kepada Allah dan bukan kepada selainNya. Dalam ayat yang telah dinyatakan di atas, Allah SWT menyebut dengan jelas bahawa doa hanyalah diminta kepadaNya dan bukan kepada selainNya. Persoalan, jika orang kafir yang berdoa, adakah mereka akan meminta kepada Allah, selaku Tuhan sekali gus Dzat Yang Maha Mengabulkan doa? Kita semua tahu bahawa orang kafir adalah orang yang tidak mengEsakan Allah, baik kafir Ahlu Kitab mahupun kafir musyrik. Malah, mereka mempunyai banyak Tuhan (dewa) yang mereka sembah (dan memohon) selain Allah. Adakah selayaknya bagi kita untuk berdoa bersama (apatah lagi untuk “mengaminkan” doa) orang yang mensyirikkan Allah, sedangkan kita tahu bahawa ia bukan memohon kepada Allah sebagaimana yang diperintahkanNya? 

Selain perintah Allah untuk kita berdoa kepadaNya (sahaja) sebagai satu-satuNya Tuhan bagi manusia, kita juga mesti terikat dengan segala perintah dan syariat Allah dalam melakukan ibadat kepadaNya. Firman Allah, 

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran” [TMQ al-Baqarah (2):186]. 

Ayat ini dengan jelas menunjukkan dan memerintahkan bahawa doa hanyalah (dimohon) kepada Allah semata-mata dan orang yang berdoa itu hendaklah menunaikan segala perintah Allah dan beriman kepadaNya bagi memastikan mereka berada dalam kebenaran.

Ayat ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW, 

“…dia berdoa kepada Allah, sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram, maka bagaimana doanya hendak dikabulkan?” [HR Muslim]. 

Jika makan, minum dan pakai yang haram sahaja sudah dilarang dalam rangka pengabulan doa oleh Allah, maka apatah lagi jika mensyirikkan Allah yang jauh lebih haram, malah merupakan dosa besar yang tidak akan diampunkan olehNya? Jadi, wajarkah untuk kita berada dalam satu majlis (apatah lagi jika menjemput) golongan kafir yang mensyirikkan Allah untuk kita sama-sama berdoa kepadaNya, sedangkan kita tahu bahawa doa orang-orang kafir itu bukan (ditujukan) kepada Allah Yang Maha Esa dan mereka melakukan banyak keharaman dan kesyirikan kepada Allah?

Justeru, biarkanlah orang-orang kafir dengan doa mereka sendiri dan kita tidak perlu berada di dalam satu majlis doa bersama mereka. Allah SWT telah menjanjikan di dalam al-Quran bahawa orang-orang kafir adalah golongan yang tidak akan selamat dari azab Allah, jadi bagaimana mungkin mereka berdoa untuk menyelamatkan orang lain?

Ketiga: Setiap agama memiliki hukum dan aturan (syariat)nya sendiri. Syariat Islam berbeza dengan syariat agama lain dan Islam itu sendiri adalah agama yang berbeza dengan agama apa pun di dunia ini. Islam adalah satu-satunya agama yang benar manakala agama selain Islam, semuanya adalah salah dan sesat. Rabb (Tuhan) kaum Muslimin hanyalah Satu dan tidak sama dengan tuhan-tuhan agama yang lain. Sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Dia (Allah) dan sesatlah manusia yang mempercayai bahawa ada Tuhan lain selain Allah. Inilah akidah dan keyakinan yang dimiliki oleh kaum Muslimin. Akidah inilah satu-satunya akidah yang benar dan ia tidak sama dan sangat bertentangan dengan akidah agama-agama lain. 

Kaum Muslimin hanya menyembah Allah Yang Maha Esa manakala orang-orang kafir mempercayai dan menyembah pelbagai jenis Tuhan dengan mensyirikkan Allah. Allah SWT dengan tegas “memisahkan” pengibadatan kaum Muslimin dengan kaum kuffar. FirmanNya, 

Katakanlah, ‘wahai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku” [TMQ al-Kafirun (109):1-6]. 

Surah al-Kafirun ini merupakan dalil yang sangat jelas mencegah dan melarang kaum Muslimin bersama-sama beribadah dengan kaum kafir, sedangkan doa itu adalah ibadah bahkan inti kepada segala ibadah. Jadi, larangan tersebut secara khusus merupakan larangan melakukan ibadah (termasuk berdoa) bersama dengan orang-orang kafir di samping larangan bersekutu dalam beribadah dengan mereka secara umum. 

Keempat: Aktiviti doa bersama rentas agama merupakan aktiviti yang berasal dari peradaban Barat yang Kristian dan Yahudi. Ia terkait rapat dengan agenda Barat di dalam dialog antara agama yang cuba mengatakan bahawa semua agama adalah sama (pluralisme). Kalau target dialog antara agama adalah membuat agama baru dengan menanamkan keyakinan (akidah) kepada kaum Muslimin bahawa semua agama adalah benar dan tidak ada kebenaran mutlak dalam mana-mana agama, maka dalam doa rentas agama ini, targetnya adalah untuk “mempraktikkan” agama baru ini, kerana doa adalah ibadah dan ibadah adalah “praktik” yang lahir dari akidah di mana dari aktiviti ibadah inilah, akidah atau keyakinan seseorang dimanifestasikan. Baik dialog antara agama mahupun doa rentas agama, kedua-duanya sama-sama bahaya dan haram bagi kaum Muslimin dan keduanya adalah target kuffar Barat untuk merosakkan akidah umat Islam. 

Barat yang kafir mengabsahkan aktiviti sinkretisme (percampuran akidah mahupun syariat pelbagai agama) dan mempraktikkannya. Sedangkan Islam menolaknya dengan tegas. Ini kerana antara yang hak dan yang batil serta antara keimanan dan kekufuran tidak akan dapat dipertemukan dan dipersatukan sampai bila pun dan atas alasan apa sekalipun. Aktiviti ini adalah untuk merosakkan akidah kaum Muslimin dan bermaksud menghancurkan peradaban Islam. Propaganda ajaran sinkretisme kepada kaum Muslimin telah lama dilakukan Barat melalui tangan dan mulut anak-anak didiknya dari kalangan Muslim yang liberal. Ironinya, sama ada secara sedar atau tidak, ramai pemimpin, alim-ulama dan Muslim lainnya yang turut terjerumus ke dalam kefahaman dan aktiviti yang salah ini. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Simpati dan kerjasama kita dengan golongan non-Muslim dalam kes kehilangan MH370 atau dalam apa jua kes sekalipun, bukanlah dibolehkan sampai ke tahap kebersamaan dalam perkara-perkara ibadah yang diharamkan oleh Islam. Tidak berdoa bersama mereka bukan bermaksud kita memusuhi mereka atau tidak bertoleransi dengan mereka. Kita perlu ingat bahawa tidak ada toleransi dalam masalah akidah, apatah lagi dalam keadaan toleransi itu boleh memberi padah dan menghakis akidah kaum Muslimin. Selain akidah dan ibadah, Islam juga telah menentukan hukum-hukum yang tertentu dan tegas dalam hubungan kita dengan non-Muslim seperti kita tidak boleh mengahwini mereka (kecuali Kitabiyyah), tidak boleh makan sembelihan mereka (kecuali Ahli Kitab), tidak boleh meraikan perayaan mereka, tidak boleh meniru amalan mereka dan banyak lagi. Semua ini diharamkan oleh Allah dan RasulNya ke atas kita semua dalam hubungan kita dengan orang-orang kafir. Justeru, janganlah kita terperangkap dengan ajaran pluralisme dan liberalisme yang akan merosakkan akidah Islam yang kita miliki ini. Na’uzu billah min zalik.

Friday 4 April 2014

Wanita Dalam Naungan Khilafah

Muqaddimah 

Islam adalah sebuah agama sekali gus mabda’ (ideologi) yang unik. Di dalamnya terkandung sistem yang universal meliputi ajaranruhiyah (spiritual) dan siyasiyah (politik). Oleh itu, Islam telah meletakkan fungsi negara sebagai sebuah institusi politik yang menjamin kesejahteraan hidup rakyatnya dengan memastikan penerapan syariat Islam dalam kehidupan seharian masyarakat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini memberikan jaminan kepada manusia akan suatu kehidupan yang penuh ketenteraman, kemuliaan, keadilan dan kesejahteraan.

Dengan mekanisme ini juga, Islam telah berhasil membangun sebuah sistem kehidupan yang menjamin keperluan asas setiap individu di samping memberi kesempatan kepada individu masyarakat tersebut untuk menikmati hak-hak dan keperluan lain sehingga mereka dapat mencapai kehidupan yang baik dan sejahtera. Begitulah betapa indahnya Islam mengatur kehidupan umat manusia dengan penuh kesempurnaan hasil ciptaan Al-Khaliq yang Maha Mendalam PengetahuanNya tentang sesuatu perkara tanpa ada cacat cela dalam sistem peraturanNya. Subhanallah.

Kehidupan Sejahtera Dalam Naungan Khilafah 

Islam sebagai satu-satunya agama yang syamil (menyeluruh) dan kamil (sempurna) memberikan aturan yang sempurna baik menyangkut hubungan manusia dengan Allah S.W.T, hubungan manusia dengan dirinya sendiri mahupun hubungan manusia dengan manusia yang lain yang tercakup dalam hukum-hukum muamalah dan uqubat. Manusia, baik lelaki mahupun wanita akan dipandang mulia oleh Allah S.W.T apabila mereka melaksanakan setiap aturan Islam seperti di atas, sebagaimana firman Allah S.W.T, 

 
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu” [TMQ Al-Hujraat (49):13].

Semua aturan Allah S.W.T tidak akan mungkin dapat diterapkan secara sempurna sekiranya tidak ada institusi yang menerapkannya iaitu Khilafah Islamiyah. Khilafah merupakan sebuah institusi pemerintahan Islam dan satu-satunya sistem pemerintahan Islam yang wujud sepanjang hampir 1300 tahun yang lalu sebelum institusi yang gemilang ini runtuh secara rasminya pada 3 Mac 1924M. Khilafah adalah sistem yang mampu menjamin kesejahteraan warganegaranya sama ada Muslim mahupun non-Muslim. Dalam Islam, negara wajib menjamin keperluan asas (primer) setiap individu rakyatnya yang tidak mampu berupa makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Begitu juga dengan keperluan-keperluan jama’ie (ramai) seperti hak keamanan, kesihatan dan pendidikan secara percuma, di samping negara juga bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial secara umumnya. 

Sejarah telah membuktikan bahawa para Khalifah pada masa kekhilafahan Islam mampu memenuhi seluruh keperluan asas rakyatnya dengan mekanisme yang sesuai dengan aturan Islam. Kaum wanita pun menjadi komuniti yang begitu dimuliakan dan sentiasa menjalani kehidupan yang sejahtera. Hal ini kerana, dalam Islam, setiap pemimpin berkewajipan mengusahakan dan melakukan berbagai mekanisme dan pendekatan untuk memenuhi segala keperluan rakyatnya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W, 

Setiap imam (pemimpin) adalah pemelihara dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari dan Muslim]. 

Khilafah Islamiyah bukan sahaja menjamin kesejahteraan wanita dan anak-anak, bahkan seluruh warganegaranya akan turut menikmati segala haknya. Kaum wanita tidak akan dijadikan sebagai komoditi yang “diperdagangkan” seperti yang berlaku pada saat ini apabila negara mengeksploitasi wanita bagi penghasilan wang dengan mengerah tenaga mereka dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Namun, jika Islam menjadi dasar peraturan negara, para wanita tidak akan dipaksa untuk keluar bekerja sehingga terpaksa meninggalkan peranannya sebagai pendidik pertama dan utama bagi anak-anaknya. Wanita akan menjadi cerdas secara politik apabila pemahamannya tentang tsaqafah Islam ditanamkan melalui sistem pendidikan yang efektif dan kemudian menjadi ibu mithali untuk mendidik generasi soleh dan solehah. Mereka pasti akan menjadi mutiara-mutiara yang memancarkan cahaya kemuliaan secara berterusan dalam membentuk masyarakat yang Islami.

Wanita Mulia Di Bawah Naungan Khilafah 


Dengan Khilafah, martabat wanita diangkat menjadi manusia yang dimuliakan. Negara Khilafah juga sentiasa melindungi kehormatan dan keselamatan wanita. Hal ini pernah dilakukan oleh Khalifah Al-Muktasim Billah ketika era pemerintahannya. Beliau telah membawa pasukan tentera yang sangat ramai dan dianggarkan panjangnya barisan pasukan tentera tersebut sejauh jarak antara Rom dan Baghdad hanya semata-mata untuk menyelamatkan dan mempertahankan maruah seorang Muslimah di perbatasan Rom yang dimalukan dan dipersendakan oleh orang-orang Rom.

Dewasa ini, fitnah tidak dianggap sebagai kejahatan berat, sedangkan Islam memandangnya sebagai masalah serius dan telah menetapkan hukum sebat sebagai hukuman atas perbuatan memfitnah. Pada zaman Khalifah Umar r.a, seorang hamba wanita mengadu kepada beliau, tentang majikannya yang telah menuduh dia berzina dan menghukumnya dengan memaksa dia duduk di atas api sehingga kemaluannya terbakar. Apabila disiasat ternyata majikan hamba wanita tersebut hanya mengesyaki sahaja tanpa saksi, bukti atau pengakuan yang dapat menyabitkan kesalahannya. Akhirnya Khalifah Umar r.a, menghukum si majikan dengan 100 kali sebatan dan membebaskan wanita hamba itu. Demikianlah bagaimana kehormatan wanita dilindungi walaupun hanya berstatus hamba. Negara Khilafah, dengan kekuasaannya pasti menjamin perlaksanaan hukum hudud Allah S.W.T. 

Begitulah komitmen dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh Khalifah Al-Muktasim Billah dan juga Khalifah-khalifah terdahulu yang seharusnya dicontohi oleh pemimpin sekarang. Pemimpin secara langsung menjamin keamanan seluruh warganegaranya dengan menerapkan undang-undang yang tegas kepada siapa sahaja yang mengganggu keamanan jiwa, kehormatan, darah dan harta orang lain.

Selain itu, khusus buat wanita, Khilafah menjanjikan penjagaan kesihatan terbaik bagi memudahkan mereka menjalani fungsi keibuannya. Peranan utama wanita sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga) dan juga pendidik generasi sangat sesuai dengan fitrahnya sebagai wanita.

Walau bagaimanapun, Islam juga membenarkan wanita untuk beraktiviti (mengamalkan ilmu untuk kemaslahatan umat) dalam kehidupan umum. Islam mewajibkan setiap Muslim termasuk Muslimah untuk menuntut ilmu dan berdakwah. Khilafah menyediakan pendidikan secara percuma dengan kualiti dan kemudahan yang terkini serta terbaik untuk setiap individu hingga ke peringkat tertinggi. Kurikulumnya disusun berdasarkan akidah Islam bagi melahirkan generasi yang mempunyai syakhsiyyah Islamiyyah (keperibadian Islam), taat kepada syariat, berakhlak mulia di samping memiliki kepakaran profesional dalam bidang sains dan teknologi. Khusus bagi kaum Hawa, pelbagai ilmu tambahan akan diajar bagi melengkapi persediaannya menjadi ibu dan pengurus rumah tangga. Di samping itu, Islam juga membolehkan wanita melakukan transaksi jual beli. 

Islam mempunyai konsep yang jelas bagaimana memuliakan dan mensejahterakan wanita. Terdapat banyak bukti sejarah yang mencatatkan bagaimana Rasulullah S.A.W pernah menunaikan kewajipan rutinnya membantu dan menjaga kebajikan ibu tunggal dan orang yang berkeinginan untuk berkahwin, dengan satu bahagian untuk ibu tunggal dan dua bahagian untuk yang mahu berkahwin, demi memenuhi keperluan-keperluan mereka. Firman Allah S.W.T, 

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui” [TMQ An-Nur (24):32]. 

Begitu juga ketika pemerintahan Umar bin Al-Khathab r.a., beliau pernah menerapkan jatah pembahagian terhadap setiap anak semenjak anak tersebut lahir. Khalifah berhasil memuliakan, mensejahterakan, dan menjamin keamanan wanita dan anak-anak. Oleh yang demikian, sudah selayaknya Muslimah hanya mengambil Islam dan memperjuangkan tegaknya Khilafah Islamiyyah untuk mengubah nasibnya menjadi lebih baik. 

Strategi dan pelaksanaan al-siyasah al-iqtisadiyyah (politik ekonomi) Khilafah juga berorientasikan kepada memenuhi keperluan asas serta memudahkan pemenuhan keperluan sekunder dan tertier. Khilafah akan melindungi wanita, termasuk memastikan keperluan kewangannya mencukupi tanpa harus mengalami dilema antara kerjaya dan mengurus anak-anak. Sekiranya mereka bekerja, mereka tidak akan dieksploitasi dan dipastikan sentiasa berada dalam keadaan yang terjamin keselamatan dan maruahnya. Fungsi utama wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga bukannya sebagai objek komoditi bagi meningkatkan pendapatan ekonomi negara. Hakikatnya realiti hari ini telah mendorong para wanita berbondong-bondong terjun ke dunia pekerjaan di luar rumah dan politik secara praktikal sehingga melalaikan tugasnya sebagai ibu dan pengatur rumah tangga. Harapan yang cukup tinggi disandarkan kepada kaum wanita agar aspirasi dan kemuliaan wanita boleh direalisasikan dengan beradanya wanita di kerusi legislatif. Namun begitu, semua itu hanya tipu daya dan angan-angan semata-mata sahaja yang tidak pernah terealisasi. Sesungguhnya kemuliaan wanita itu hanya ada bersama syariah dan Khilafah Islamiyyah. Syariah dan Khilafah Islamiyyah tidak hanya memuliakan para wanita, tetapi sekali gus memuliakan seluruh manusia. Itu didasarkan pada nas-nas dan sudah terbukti secara empirik. 

Khatimah 

Kita sebagai Muslimah seharusnya bersama-sama memperjuangkan tegaknya syariah dan Khilafah untuk mengubah suasana yang tidak Islami pada hari ini kepada suasana Islam yang sejahtera. Dengan itu, kita seharusnya membina para Muslimah di sekitar kita dengan pendidikan politik yang benar, berpolitik yang benar sesuai batas-batas syarak. Apa yang lebih penting dan utama ialah, semua usaha ini tidak seharusnya melalaikan para Muslimah dari tugas utamanya sebagai ibu dan pengatur rumah tangga, iaitu peranan mendidik anak, membentuk generasi Muslim yang unggul dan hebat. 

Wallahu a’lam.

Kehilangan

KEHILANGAN YANG TIDAK TERNILAI
 
[SN381] Sudah hampir sebulan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih belum terjawab walaupun usaha optimum sudah dijalankan. Ketegangan juga semakin memuncak apabila banyak pihak tidak dapat menerima penjelasan kerajaan yang tidak konsisten dan cara pengurusan kes yang dipertikaikan. Keluarga para penumpang khususnya dari China betul-betul menunjukkan rasa tidak puas hati dengan pelbagai cara dan yang lebih parah, kerajaan Malaysia dan MAS turut berhadapan dengan tuntutan saman oleh waris mangsa yang terlibat. Keadaan semakin keruh apabila dengan ketiadaan bukti kukuh, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi. Hal ini telah mengundang kritikan banyak pihak sama ada dari dalam mahupun luar negeri, apatah lagi dari keluarga mangsa sendiri. Apa pun, kerajaan Malaysia masih komited untuk terus mencari pesawat malang itu dengan bantuan beberapa negara lain, khususnya Australia, sebagai negara yang berdekatan dengan kawasan laut di mana pesawat dikatakan mengakhiri penerbangannya. 

Setelah pelbagai usaha mencari dan menyelamat pesawat Boeing 777-200 itu menemui jalan buntu, maka banyak pihak telah menarik banyak pengajaran dari tragedi ini seperti meminta umat Islam agar kembali sedar bahawa tiada kekuatan atau teknologi yang dapat menandingi kuasa Allah SWT. Ada juga yang menegur MAS agar jangan lagi menghidangkan arak di dalam pesawat dan pramugari hendaklah berpakaian menutup aurat sebagai pengajaran khusus untuk MAS. Namun, pengajaran yang paling tinggi ialah “doa” yang diseru dan dilakukan oleh banyak pihak sebagai usaha tanpa-putus mengharapkan bantuan daripada Allah SWT agar pesawat malang itu dan kesemua mangsa di dalamnya, ditemui. 

Ya benar, kita semua perlu menarik pengajaran dari kes kehilangan MH370 ini. Lihatlah bagaimana pesawat secanggih itu boleh hilang tanpa dapat dikesan. Apa yang lebih penting, terdapat 239 jiwa di dalamnya yang juga turut hilang. Lihatlah betapa banyak dan betapa besarnya usaha dan kekuatan dikerahkan untuk mencari pesawat dan jiwa yang hilang itu. Lihatlah berapa juta wang yang telah dihabiskan bagi mendapatkan semula apa yang hilang itu. Lihatlah bagaimana liputan dan laporan media yang dilitupi dengan suasana sedih dan murung atas kehilangan itu. Lihatlah bagaimana seluruh negara disibukkan dengan proses pencarian dan doa agar kehilangan tersebut berakhir. Tanpa menafikan kes kehilangan pesawat MH370 tersebut bukanlah suatu yang kecil, SautunNahdhah kali ini akan menarik pengajaran atas “kehilangan” sesuatu yang tidak ternilai harganya bagi umat Islam, yang sehingga kini masih ada yang tidak tahu atau leka mengenainya atau tidak bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya semula! 

Kehilangan Yang Tiada Gantinya

Siapa pun yang kehilangan sesuatu yang berharga untuk dirinya tidak akan berdiam diri dan akan berusaha mencarinya sampai dapat, selagi hal itu memungkinkan. Seorang raja yang sudah mempunyai banyak harta dan kekayaan sekalipun akan melakukan hal yang sama. Inilah lumrah manusia. Allah SWT telah mengisahkan hal ini di dalam KitabNya, 

“Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan, ‘Wahai kafilah! Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang mencuri. Mereka menjawab sambil menghadap kepada penyeru-penyeru itu, ‘Barang apakah yang hilang daripada kamu? Penyeru-penyeru itu berkata, ‘Kami kehilangan piala raja dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperoleh bahan makanan (seberat) beban unta dan aku menjamin terhadapnya” [TMQ Yusuf (12):70-72].

Jadi, bukanlah sesuatu yang janggal atau di luar kebiasaan jika orang yang kehilangan sesuatu  yang berharga itu mengumumkannya dan mengerahkan apa sahaja yang ia miliki bagi mencari barang yang hilang tersebut. Apatah lagi jika yang hilang bukanlah “barang” tetapi “orang”. Kerana itulah kita menyaksikan bagaimana ibu bapa yang kehilangan anak, pasti tidak akan berdiam diri, malah mustahil untuknya berdiam diri atas kehilangan itu. Dia bukan sekadar akan mengumumkan kehilangan tersebut, malah akan melakukan apa sahaja dan tidak akan berputus asa sehinggalah anaknya ditemui, tidak kiralah hidup atau mati. Kesimpulannya, manusia yang waras tidak akan berdiam diri dan akan melakukan apa sahaja bagi mendapatkan kembali sesuatu yang berharga yang telah hilang darinya. 

Allah SWT telah merakamkan sejarah yang benar tentang kisah kehilangan piala raja (di  zaman Nabi Yusuf) dan ia serta-merta diumumkan dan dicari pencurinya. Sejarah yang benar juga, bahawa sejak 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), umat Islam telah kehilangan perisainya, yakni Daulah Khilafah yang telah menjaga keselamatan dan kehormatannya selama lebih 13 abad. Maka tidakkah kita perlu berteriak akan kehilangan ini agar semua orang mengetahuinya? Wajar sekali kita berteriak “Wahai Barat, wahai para penguasa umat Islam yang khianat! Kamu adalah pencuri!” Jika mereka bertanya, “Apakah yang hilang dari kamu?”, maka kita akan menjawab dengan kuat dan yakin bahawa, “Kami telah kehilangan Khilafah…kami telah kehilangan negara kami yang kamu rampas dari kami”. 

Kini, sudah lebih 90 tahun kita telah kehilangan negara kita (Khilafah), suatu kehilangan yang sangat besar dan tidak ternilai harganya. Kita sebagai umat Islam telah kehilangan satu negara yang diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW dan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin. Kita telah kehilangan sesuatu yang tidak ada galang gantinya dan kesannya sungguh mendalam dan di luar daripada apa yang dapat kita bayangkan. Kami ingin mengingatkan bahawa bersama dengan kehilangan Khilafah ini, umat Islam turut kehilangan sekurang-kurangnya 15 perkara lain yang juga tidak ada galang gantinya:-

(1) Hilangnya negeri-negeri Islam dan tempat tinggal kaum Muslimin. Negeri Islam satu per satu di jajah oleh Barat dan setelah itu diletak penguasa Muslim boneka lagi khianat. Lebih buruk, Palestin sedikit demi sedikit hilang dari peta dunia. Apa yang berlaku di Andalusia (Sepanyol) juga tidak kurang tragisnya di mana kaum Muslimin dilenyapkan terus dari bumi Andalusia dengan cara yang sungguh menyayat hati. Di sebahagian wilayah yang lain di Asia Tengah dan Timur Jauh, Kosovo, Bosnia, Kashmir, Myanmar dan banyak lagi, kaum Muslimin kehilangan rumah dan terpaksa lari meninggalkan kampung halamannya sendiri dan menjadi pelarian dalam keadaan yang amat menyedihkan.

(2) Hilangnya tanah yang diberkati (Palestin) dan akibatnya umat Islam dilarang solat di masjid yang ketiga sucinya (Masjid Al-Aqsa) oleh Yahudi Zionis laknatullah, perampasnya. Dua lagi tanah suci (Mekah dan Madinah) juga tidak boleh dimasuki oleh umat Islam kecuali dengan izin (pasport dan visa) dari penjaganya yang tidak layak lagi khianat.

(3) Hilangnya kesatuan dan integriti umat Islam. Umat Islam yang dulunya hidup bersatu padu di bawah Khilafah, kini hidup terpecah-belah berdasarkan assabiyyah dan wathaniyah dan masing-masing berbangga dengan bangsa dan tempat masing-masing walhal itu semua adalah keharaman yang jelas lagi nyata. 

(4) Hilangnya hukum syarak dari pemerintahan negara dan dari sebahagian besar kehidupan umat Islam. Pemerintah tidak lagi menerapkan hukum Allah dan diganti dengan penerapan hukum kufur/sekular di bawah sistem demokrasi, monarki dan lain-lain. Hukum jihad dihilangkan terus dari kamus umat Islam, malah jihad akan dianggap sebagai satu keganasan dan kesalahan.

(5) Hilangnya kedaulatan dan jati diri umat Islam (khususnya penguasa) dan negeri Islam dalam membuat keputusan politik. Kebanyakannya tunduk dan menjadi pengekor kepada negara-negara penjajah kafir Barat dan institusi-institusi kufur di peringkat antarabangsa seperti PBB. 

(6) Hilangnya kemuliaan dan kehormatan umat Islam. Umat Islam bukan sekadar diperlecehkan dan hidup dalam keadaan terhina, malah agama Islam itu sendiri, al-Quran dan Rasulullah SAW turut dihina oleh orang-orang kafir manakala para penguasa Muslim terus membisu. Kaum wanita diperlecehkan dengan lebih buruk dan menjadi hamba kepada sistem Kapitalis sehingga hilang  peranan keibuan dan penjaga rumah tangga yang diletakkan oleh Islam ke atas mereka.

(7) Hilangnya rasa aman dan jaminan keamanan/keselamatan dan diganti dengan sebuah kehidupan yang penuh ketakutan. Di negara kufur, umat Islam sering dipandang negatif dan hidup dalam keadaan terancam. Manakala di banyak negeri Islam, kaum Muslimin dibunuh dengan sewenang-wenangnya oleh penguasa mereka sendiri. Kadar jenayah di kebanyakan negeri Islam terus meningkat. Jaminan keselamatan sudah tidak wujud, begitu juga jaminan bahawa keadaan akan kembali aman juga tidak wujud dalam sistem sekarang.

(8) Hilangnya amanah dan keikhlasan dalam pentadbiran sesebuah negara. Ini kerana, urusan pemerintahan dan pentadbiran diserah kepada bukan ahlinya. Maka kita menyaksikan kes rasuah dan penyelewengan dari kalangan penjawat awam yang menjadi ibarat sarapan pagi dan sudah tidak terubati lagi.

(9) Hilangnya keadilan yang disebabkan oleh hilangnya penerapan Islam. Sudah tidak ada lagi pemimpin yang adil dan diganti dengan pemimpin yang penuh dengan kefasikan dan kejahatan. Manakala undang-undang dan mahkamah yang ada lagi jauh dari keadilan. Keadilan hanya tinggal pada slogan, bukan pada amalan.

(10) Hilangnya kekayaan dan sumber alam milik umat. Sebahagian dari hasil bumi negara diberikan kepada Barat dan sebahagian yang lain dirampas oleh para pemimpin dan kroni mereka. Pemimpin dan kroni tenggelam dalam kekayaan yang melimpah ruah manakala rakyat tenggelam dalam kemiskinan dan penindasan.

(11) Hilangnya tsaqafah Islam daripada tubuh umat. Hal ini seiring dengan hilangnya sistem pendidikan Islam dan tradisi keilmuan Islam yang tinggi dan unik, sebaliknya diganti dengan tsaqafah dan pemikiran asing yang rosak lagi merosakkan.

(12) Hilangnya syakhsiyyahIslamiyyah (keperibadian Islam) dalam diri individu Muslim. Hal ini termanifestasi dari cara berfikir (aqliyyah) dan cara bertindak (nafsiyyah) yang tidak lagi berdasarkan kesucian ajaran Islam. Lahirnya ramai orang yang jahat, yang rosak akhlaknya dan rosak cara berfikirnya. Ada pula yang cara berfikirnya benar, tetapi rosak pula nafsiyahnya seperti orang yang mengetahui bahawa riba itu haram tetapi tetap mengambilnya, mengetahui bahawa dakwah itu wajib tetapi tetap tidak melakukannya dan mengetahui bahawa kesatuan umat Islam itu wajib tetapi tetap tidak berusaha mempersatukannya. 

(13) Hilangnya para ulama yang mukhlisin yang memberikan pengajaran dan pedoman yang benar kepada umat, di mana kebanyakan mereka diancam, ditutup mulut mereka, ditangkap dan dibunuh dan diganti dengan ulama su’ (buruk) yang berkhidmat kepada pemerintah atau menjadi pengampu kepada pemerintah dengan bayaran yang lumayan.

(14) Hilangnya Imam atau Khalifah, bermakna hilangnya bai’at di pundak kaum Muslimin, kerana bai’at hanya diberikan kepada Khalifah. Hal ini mengundang dosa besar kecuali kepada orang yang memperjuangkan untuk mewujudkan bai’at tersebut (memperjuangkan wujudnya Khilafah). Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada baiat maka matinya jahiliyah” [HR Muslim]. Ijmak Sahabat telah menetapkan bahawa umat Islam tidak boleh kosong dari adanya seorang Khalifah selama 3 hari. Sedangkan kini sudah lebih 90 tahun umat Islam tidak mempunyai seorang Khalifah! 

(15) Hilangnya redha Allah SWT. Keredhaan Allah SWT hanya dapat dicapai dengan melaksanakan seluruh hukum dan peraturanNya sebagaimana dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Dengan kata lain, keredhaan Allah SWT hanya dapat dicapai dengan menerapkan Islam secara kaffah di dalam kehidupan dan hal ini sekali-kali tidak akan dapat dilaksanakan kecuali dengan adanya sebuah negara (Khilafah) yang akan menerapkannya. 

Inilah kehilangan-kehilangan besar yang berlaku ke atas umat Islam setelah kita kehilangan negara Khilafah.

Saudara-saudara sekalian! Hadiah yang ditawarkan oleh pemerintah Mesir pada masa Nabi Yusuf untuk mendapatkan kembali barangan yang hilang adalah makanan seberat beban unta. Demi Allah! Sesungguhnya hadiah bagi sesiapa sahaja yang berusaha mengembalikan semua kehilangan kita adalah jauh lebih berharga dari pemberian tersebut. Cukuplah kami sekadar mengutip apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW ketika utusan Aus dan Khazraj bertanya kepada baginda pada saat bai’atAqabah kedua, “Apa imbalannya bagi kami jika kami mengabulkan janji untuk mendukung dan melindungimu?” Baginda menjawab, “Syurga”. Lalu mereka pun berbai’at kepada Rasulullah SAW di mana selepas itu berlakulah hijrah dan tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah di mana hukum Allah SWT dapat diterapkan secara kaffah setelah adanya sebuah Negara Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Hilangnya Khilafah Islamiyyah bukanlah untuk selama-lamanya. Negara Islam ini pasti akan muncul kembali dengan izin Allah dan saat kembalinya itu sudah sangat dekat. Ia akan menjadi lebih dekat lagi sekiranya seluruh kaum Muslimin berusaha siang dan malam untuk mengembalikannya. Munculnya kembali Khilafah Islamiyyah ini akan menjadi lebih dekat sekiranya semua pihak (bukan sahaja HizbutTahrir) melaungkan akan kehilangannya di setiap corong dan lorong, mencarinya dengan bersungguh-sungguh dengan seluruh kekuatan harta dan jiwa raganya, di samping tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar segera memunculkannya. Jika kehilangan sebuah pesawat dengan 239 nyawa dicari dengan kesungguhan yang amat luar biasa, kenapa tidak kehilangan sebuah negara dan jutaan nyawa dicari dengan kesungguhan yang sama, malah sepatutnya lebih lagi kerana ia merupakan sebuah kewajipan!? Untuk kehilangan sebuah pesawat dengan 239 nyawa, pihak yang berkenaan hanya ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh manusia, namun untuk kehilangan Khilafah dan jutaan nyawa, setiap Muslim akan pasti ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, ittaqullah ya ikhwan al-kiram…ittaqullah! Nusikumbitaqwallah..