Wednesday 14 May 2014

Khutbah Rasulullah SAW ketika menjelang Ramadhan

Berikut merupakan wasiat Baginda Rasulullah SAW pada malam terakhir bulan Sya’ban, tatkala menyambut datangnya bulan Ramadhan-

"Wahai manusia!

Sungguh telah datang kepada kalian bulan Allah yang membawa berkah, rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya paling utama. Malam-malamnya paling utama. Detik demi detiknya paling utama. Inilah bulan di mana kalian diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.

Pada bulan ini nafas-nafas kalian menjadi tasbih, tidur kalian ibadah, amal-amal kalian diterima dan doa-doa kalian dikabulkan. Mohonlah kepada Allah, Tuhan kalian, dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Dia membimbing kalian untuk melakukan puasa dan membaca Kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah pada bulan agung ini.

Bersedekahlah kepada kaum fakir dan miskin. Muliakanlah orang tua. Sayangilah yang muda. Sambungkanlah tali persaudaraan. Jagalah lidah. Tahanlah pandangan dari apa yang tidak halal untuk kalian pandang. Peliharalah pendengaran dari apa yang tidak halal untuk kalian dengar.

Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosa. Angkatlah tangan-tangan kalian untuk berdoa pada waktu solat. Itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah ‘Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih. Dia menyahut mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyahut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa-doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya. 

Wahai manusia! 

Sesungguhnya diri kalian tergadai kerana amal-amal kalian. Oleh kerana itu, bebaskanlah dengan beristighfar. Belakang-belakang kalian berat kerana beban (dosa). Maka dari itu, ringankanlah dengan memperpanjangkan sujud. 

Ketahuilah! Allah SWT bersumpah dengan segala kebesaran-Nya, bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan-Nya. 

Wahai manusia! 

Siapa saja di antara kalian memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa pada bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.

Jagalah diri kalian dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah diri kalian dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.

Wahai manusia! 

Siapa yang memperbaiki akhlaknya pada bulan ini, ia akan berhasil melalui sirath al-mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) pada bulan ini, Allah akan meringankan persoalan-Nya pada Hari Kiamat. Siapa saja yang menahan keburukannya pada bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa sahaja yang memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa saja yang menyambungkan tali silaturahmi pada bulan ini, Allah akan menghubungkannya dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa saja yang memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. 

Siapa saja yang melakukan solat sunat pada bulan ini, Allah akan mencatatkan baginya kebebasan dari api neraka. Siapa saja yang melakukan solat fardhu, baginya pahala seperti melakukan 70 solat fardhu pada bulan lain. Siapa saja yang memperbanyak selawat kepadaku pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangannya ringan. Siapa saja pada bulan ini membaca satu ayat al-Quran, pahalanya sama seperti mengkhatamkan al-Quran pada bulan-bulan yang lain. 

Wahai manusia! 

Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagi kalian. Kerana itu, mintalah kepada Tuhan kalian agar tidak pernah menutupkannya bagi kalian. Sesungguhnya pintu-pintu neraka tertutup. Kerana itu, mohonlah kepada Tuhan kalian untuk tidak akan pernah membukakannya bagi kalian. Sesungguhnya syaitan-syaitan terbelenggu. Kerana itu, mintalah agar mereka tak lagi pernah menguasai kalian.

Wahai manusia! 

Sesungguhnya kalian akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang mana Allah telah menjadikan puasanya suatu kefardhuan, dan qiyam pada malam harinya suatu tathawwu’.

Siapa saja yang mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu amal kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan satu kefardhuan di dalam bulan yang lain. 

Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan dan bulan Allah memberikan rezeki kepada Mukmin di dalamnya. 

Siapa saja yang memberikan makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikit pun berkurang.

Inilah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Siapa saja yang meringankan beban dari hamba sahaya, nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka. 

Kerana itu, perbanyakkanlah empat perkara pada bulan Ramadhan: dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhan kalian, dua perkara lagi yang sangat kalian perlukan. Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan mohon ampunan kepada-Nya. Dua perkara yang sangat kalian perlukan ialah memohon syurga dan perlindungan dari neraka. 

Siapa saja yang memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Nya, dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga."
 [HR Ibnu Khuzaimah]

Ramadhan Kesatuan Ummah

Hampir satu abad lamanya seluruh umat Islam berada dalam naungan negara bangsa dan  diterapkan sistem peraturan yang tidak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah sejak runtuhnya Daulah Khilafah Islamiyyah di Turki pada tanggal 3 Mac 1924. Mulai detik itu, umat Islam mula kehilangan arah tuju dalam persada politik dunia. Mereka dipecah-pecahkan melalui kepada lebih daripada 50 buah negara kecil yang lemah melalui fahaman nasionalisme dan patriotisme. Sejak daripada itulah mereka telah terlupa dan terlena tentang kemuliaan dan ketinggian darjat yang pernah mereka miliki satu ketika dahulu selama lebih daripada 1300 tahun mereka berada di bawah naungan Daulah Khilafah.

Salah satu perkara penting yang dianggap sebagai manifestasi kepada perpecahan umat Islam adalah Hari Raya 'Eidul Fitri dan Eidul Adha. Saban tahun, mereka sentiasa mula menjalani ibadah puasa Ramadhan dan merayakan kedua-dua hari kebesaran Islam itu pada hari yang berbeza antara satu sama lain.  Padahal jika kita telusuri kembali kepada sirah Rasulullah SAW dan juga para sahabat, maka kita akan dapati bahawa puasa dan hari raya mereka adalah sama walaupun berada di tempat yang berlainan. Dari segi realiti fakta peredaran bumi yang mengelilingi matahari dan bulan yang mengelilingi bumi, ia juga akan dapat membuktikan perkara tersebut. Jarak matahari yang paling jauh dapat dilihat di muka bumi pun tidak akan membezakan hari. Perbezaan jarak waktu yang paling lama di belahan bumi ini adalah 12 jam dan ia tidak akan sampai melebihi tempoh 24 jam. Malah, bulan itu cuma satu. Sudah sepatutnya penentuan awal dan juga akhir bulan melalui pemerhatian hilal (anak bulan) adalah sama.

Sesungguhnya Allah SWT dan RasulNya telah memerintahkan kepada kita untuk memulakan bulan Ramadhan dan juga mengakhirinya melalui rukyatul hilal (melihat anak bulan) secara fizikal. Pada saat ini, kita dapat menyaksikan segelintir umat Islam yang telah melakukan perkara ini dengan bersama-sama walaupun mereka berada di negeri yang berbeza. Mereka tentu akan lebih bersatu dalam menjalani ibadah Ramadhan dan juga Hari Raya dengan dengan penuh kebersamaan di seluruh dunia jika sekiranya mereka disatukan dalam satu kepemimpinan dunia yang mana ia disatukan oleh satu komando. Kepimpinan dan komando yang satu itu tidak lain adalah Khilafah Islam yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul serta telah terbukti selama belasan abad yang mampu menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

Kaedah syarak ada menyatakan bahawa 'amrul Imaam yarfaul khilaf’ (perintah  seorang Imam/Khalifah akan menghilangkan perbezaan/perselisihan). Ini termasuklah persoalan tentang perbezaan dalam memulakan dan mengakhiri bulan Ramadhan jika umat Islam memiliki satu kepimpinan. Bahkan Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadhan, 'Eidul fitri dan 'Eidul adha sebagai syiar (simbol) kesatuan umat Islam di mana umat Islam di seluruh dunia disatukan dengan mula melaksanakan puasa Ramadhan secara serentak pada hari yang sama, kemudian disatukan pula dengan melakukan solat Eidul fitri serentak pada hari yang sama. Pada bulan Zulhijjah pula, umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Mekkah dan di sekitarnya bagi melaksanakan ibadah haji, seterusnya mereka berpuasa pada hari 'Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah dan melaksanakan solat 'Eidul adha pada keesokan harinya. Ibadat ini dilanjutkan pula dengan tiga hari tasyrik melalui takbir dan penyembelihan haiwan korban.  Inilah ruh yang seharusnya dimiliki oleh umat Islam agar mereka menyedari bahawa mereka adalah umat yang satu dan tidak terpecah-belah.

Terlalu banyak hadis daripada Rasul saw yang memerintahkan kepada kita untuk memulakan Ramadhan dan berbuka (menyambut 'Eidul fitri) secara serentak di seluruh dunia:

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِين

“Berpuasalah kalian dengan melihatnya (anak bulan) dan berbukalah (berhari raya 'Eidul fitri) kalian dengan melihatnya ( anak bulan). Maka jika terhalang penglihatan kalian (awan mendung), maka sempurnakanlah Sya’ban itu menjadi tiga puluh hari.” [HR Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu].

لاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلاَلَ وَلاَ تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ

 “Janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat hilal (anak bulan) dan janganlah berbuka (berhari raya 'Eidul fitri) sehinggalah kamu melihatnya (hilal).” [HR Bukhari daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu]. 
Imam Ahmad ra mengatakan :
يَصُومُ مَعَ الْإِمَامِ وَجَمَاعَةِ الْمُسْلِمِينَ فِي الصَّحْوِ وَالْغَيْمِ

“Berpuasalah bersama-sama Imam/Khalifah dan bersama-sama seluruh Muslimin, baik dalam keadaan cuaca cerah (nampak hilal) ataupun mendung (hilal tidak kelihatan).”

Hadis-hadis di atas memerintahkan agar seluruh umat Islam untuk memulakan  puasa bulan Ramadhan dan mengakhirinya (berhari raya) tatkala apabila terdapat salah seorang daripada kaum Muslimin yang ternampak hilal. Jika ada seorang Muslim yang menyaksikan kehadiran bulan baru (nampak anak bulan), kemudian diambil sumpah kesaksiannya bahawa ia benar-benar telah melihatnya dan orang tersebut sanggup untuk memberi sumpah, maka kaum Muslimin yang lain baik di sekitarnya mahupun di seluruh dunia wajib untuk mengikuti hasil pemerhatiannya.  Di sinilah berlakunya rukyah global sebagaimana pendapat daripada jumhur ulamak.

Pada zaman Rasulullah saw, pelaksanaannya dilakukan secara terpimpin oleh Rasulullah saw sendiri, lalu diteruskan pula oleh Khulafa' Ar-Rasyidin (Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab, Utsman bin 'Affan dan Ali bin Abi Thalib). Kemudian dengan cara yang sama juga telah diteruskan oleh para Khalifah seterusnya di sepanjang keberadaan Daulah Khilafah kerana penentuan awal dan akhir Ramadhan adalah merupakan hak seorang Imam/Khalifah (melalui pemerhatian yang dilakukan oleh seluruh kaum Muslimin). Daripada sini dapat kita perhatikan bagaimana Khalifah memiliki peranan yang sangat besar dan penting dalam menyatukan umat Islam dalam apa jua perkara.

Daripada secebis paparan di atas dapat kita lihat bagaimana Allah SWT telah menciptakan bulan Ramadhan dan juga sambutan 'Eidul fitri sebagai salah satu medium yang bersistematik untuk mewujudkan kesatuan sekaligus menguatkan lagi ukhwah sesama umat Islam. Akan tetapi kesatuan yang hakiki ini hanya akan dapat wujud dan dizahirkan apabila umat Islam berada di bawah satu kepimpinan iaitu Khilafah, di mana Khalifah yang memerintah akan menerapkan syariat Islam secara kaffah kepada seluruh umat di samping menyebarluaskan dakwah ke seluruh penjuru dunia. Pada saat ini, kepimpinan tersebut sudah tidak lagi wujud sejak runtuhnya Khilafah lebih 90 tahun yang lalu. Justeru, langkah utama yang perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam adalah berjuang bermati-matian untuk menegakkan kembali Khilafah di atas muka bumi ini dengan menjernihkan semula pemikiran dan pemahaman umat Islam serta menanamkan kesedaran di tengah-tengah  umat tentang peri  pentingnya institusi Khilafah terhadap umat dan juga deen yang Maha Mulia ini. Dengan itu, mereka akan berjuang dengan bersungguh-sungguh dan akan sentiasa berasa rindu untuk kembali hidup di bawah naungan Khilafah sepertimana yang dijanjikan oleh Rasulullah saw:

“...Kemudian akan ada kembali Khilafah di atas jalan kenabian.”
 [HR Ahmad],

Bughat Dalam Pandangan Islam

Rabu, 12 Mac 2014 10:27
Secara bahasa, bughât adalah bentuk jamak al-bâghi, berasal daripada kata baghâ, yabghî, baghyan-bughyat[an]-bughâ’[an]. Kata baghâ bermakna thalaba (mencari, menuntut), zhalama (berbuat zalim), i’tadâ/tajâwaza al-had (melampaui batas), kadzaba (berbohong), ‘alâ (sombong), ‘adala ‘an al-haqq (menyimpang dari kebenaran) (Ibrahim Anis, Mu’jam al-Wasith, 1972, hlm. 64-65; Munawwir, Kamus al-Munawwir, 1997, hal. 98; ash-Shan’ani, Subul as-Salam, hlm. 257, Maktabah Dahlan). Jadi, secara bahasa, al-bâghi (dengan bentuk jamaknya al-bughât), bermaksud azh-zhâlim (orang yang berbuat zalim), al-mu’tadî (orang yang melampaui batas), atau azh-zhâlim al-musta’lî (orang yang berbuat zalim dan menyombongkan diri). 

Secara syar’i, orang yang disebut melakukan bughât adalah orang-orang yang keluar menentang Daulah Islamiyah dan mereka memiliki kekuatan. Ertinya, mereka adalah golongan yang membangkang dan tidak mahu taat kepada Daulah, menghunus senjata melawan Daulah dan mengumumkan perang terhadap Daulah.  Dalam hal ini, tidak ada bezanya sama ada bentuk pembangkangan mereka itu disebabkan oleh kepentingan dunia, atau kerana adanya takwil, atau kerana mereka memiliki syubhah dalil. Semuanya merupakan bughat selama mana mereka memerangi kekuasaan Islam (Abdurrahman al-Maliki, Nizhâm al-‘Uqubât, hlm. 41).
Muhammad Khair Haikal dalam kitabnya Al-Jihâd wa al-Qitâl (Dar al-Bayariq, hlm. 63) menjelaskan bahawa terdapat 3 ciri golongan bagi orang-orang yang melakukan bughat ini, iaitu:

1.     Membangkang terhadap kekuasaan Daulah dengan enggan menunaikan hak-hak negara, tidak mahu mentaati undang-undang atau berusaha untuk melucutkan jawatan ketua negara (Khalifah).

2.     Memiliki kekuatan yang memungkinkan mereka untuk menguasai (as-saytharah).

3.     Melakukan khuruj, yakni penentangan, dalam versi moden dikenali sebagai revolusi bersenjata, perang sivil, perang dalam negeri, menggunakan senjata atau kekerasan untuk meraih tujuan politik yang menjadi alasan untuk dilakukan revolusi.

Deskripsi tersebut dijelaskan dalam al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Sahabat.  Dalil utama tentang bughât adalah firman Allah SWT:
وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الأخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Jika dua golongan dari orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya (zalim) maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali pada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil” [TMQ al-Hujurat (49): 9]

Syeikhul Islam Zakariyya Al-Anshari (w.925 H) dalam Fath al-Wahhab (II/153) mengatakan,”Dalam ayat ini memang tidak disebut ‘membangkang kepada Imam’ secara sarih (jelas). Akan tetapi, ayat tersebut telah mencakupi hal tersebut berdasarkan keumuman maknanya, atau kerana ayat tersebut menuntutnya. Sebab, jika perang dituntut kerana kezaliman satu golongan atas golongan yang lain, maka kezaliman satu golongan terhadap Imam tentu lebih-lebih lagi dituntut.”
Rasulullah saw dengan jelas menyatakan betapa tercelanya tindakan membangkang kepada Imam (al-khuruj ‘an tha’at al-imam). Nabi saw bersabda:
مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ وَخَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ فَمَاتَ فَمِيتَتُهُ جَاهِلِيَّةٌ

“Barangsiapa yang memisahkan dirinya daripada jamaah (kaum Muslimin) dan keluar daripada ketaatan (kepada Khalifah) lalu ia mati, maka matinya adalah mati Jahiliyah”.
 [HR Ahmad daripada Abu Hurairah ra].

Pembangkangan kepada Imam itu tidak semestinya dalam bentuk mereka memulai terlebih dahulu mengangkat senjata. Itulah yang menjadi ijmak para sahabat dalam peristiwa pembangkangan sekelompok orang Arab yang enggan membayar zakat kepada Khalifah Abu Bakar ra.  Khalifah Abu Bakar ra pernah memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat kerana kebakhilan mereka, atau kerana suatu syubhat (keraguan) sehingga mereka beranggapan bahawa tidak wajib membayar zakat kecuali kepada orang yang doanya membuat mereka tenteram iaitu Nabi saw sendiri, sedangkan baginda kini telah wafat dan mereka berpendapat bahawa tidak wajib lagi untuk membayar zakat. Berkenaan hal ini, Imam asy-Syafi’i di dalam kitab Al-Umm (II/215) menyatakan, “Sesiapa sahaja yang tidak mahu menunaikan apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT, manakala Imam (Khalifah) juga tidak mampu untuk mengambilnya disebabkan pembangkangan mereka, maka Imam (Khalifah) wajib memerangi mereka. Jika seseorang atau kelompok yang membangkang untuk menunaikan sesuatu kewajipan, misalnya apabila dikatakan kepada mereka, “Tunaikan (kewajipan) ini!”, lalu mereka menjawab, “Saya tidak akan menunaikannya, dan saya tidak akan memulakan perang kecuali kamu yang memerangi saya”, maka mereka perlu diperangi.  Hal ini kerana, mereka diperangi di atas sikap pembangkangan terhadap (kewajiban) yang seharusnya mereka tunaikan.

Abdul Qadir Audah menegaskan tentang maksud Imam, “[Yang dimaksudkan dengan] Imam adalah pemimpin tertinggi (ketua) Negara Islam (ra’is ad-Daulah al-Islamiyah al-a’la), atau orang yang mewakilinya…” (Tasyrî’ al-Jinâ`i,II/676).

Oleh yang demikian, pembangkangan terhadap ketua negara selain Khalifah atau ‘Amirul Mukminin, misalnya kepada Presiden dalam sistem republik, Perdana Menteri dalam sistem Parlimen, maka ia sama sekali tidak boleh disebut sebagai bughât biar dilihat dari segi apapun menurut pengertian syar’i yang sahih.

Selain itu, orang-orang yang melakukan bughât itu haruslah mempunyai kekuatan yang memungkinkan mereka untuk mendominasi. Kekuatan ini haruslah sedemikian rupa sehingga untuk mengajak golongan bughat ini kembali taat, Khalifah perlu mengerahkan segala kekuatannya, misalnya mengeluarkan dana besar, menyiapkan pasukan, dan mempersiapkan perang (Al-Husaini, Kifayah al-Akhyar, II/197). Kekuatan itu dapat terwujud dengan adanya sejumlah orang yang banyak (al-katsrah) dan adanya kekuatan (al-quwwah), serta adanya pemimpin yang ditaati (Zakariyya al-Anshari, Asna al-Mathalib, IV/111). Ini bererti, kekuatan itu terwujud ketika mereka yang melakukan bughât itu berkelompok sebagai tha’ifah.

Hal itu ditegaskan dalam surah al-Hujurat ayat 9, pada frasa “wa in thâ’ifatâni”. Lafaz thâ’ifah di dalam ayat tersebut adalah bermaksud al-jama’ah (kelompok) dan al-firqah (golongan) (Anis, Al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 571). Ayat tersebut menggunakan kalimat syarat “in” yang memberikan pengertian jika bukan tha’ifah maka tidak boleh diterapkan keseluruhan hukum dalam ayat ini.  Oleh kerana itu, istilah bughât tidak boleh diterapkan terhadap individu.  Taqiyuddin al-Husaini mengatakan, “Jika (yang memberontak) itu adalah individu-individu (afrâdan), serta mudah mendisiplinkan mereka, maka mereka itu bukanlah bughât.”(Kifayah al-Akhyar, II/198).
Adapun tentang al-khurûj (penentangan) mengggunakan senjata untuk mewujudkan tujuan-tujuan tertentu, dasarnya adalah frasa “iqtatalû” (kedua-dua golongan itu berperang) dalam surah al-Hujurat ayat 9. Ayat ini mengisyaratkan adanya sarana yang digunakan dalam perang, iaitu senjata (as-silâh). Selain itu, Nabi saw juga bersabda :
مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا

“Barangsiapa yang membawa senjata untuk memerangi kami, maka ia bukanlah daripada golongan kami.” (Muttafaqun ‘alaih).

Dengan semua huraian di atas, maka jelas bahawa bughât adalah pembangkangan terhadap Khalifah atau Daulah Islam yang dilakukan secara berkelompok oleh suatu kelompok (tha’ifah atau jamaah) dengan bermodalkan kekuatan, termasuklah senjata.  Ia juga tetap disebut sebagai bughât walaupun kelompok pembangkang itu belum secara nyata menggunakan senjata atau belum memulakan perang menentang negara, sepertimana yang terjadi dalam peristiwa pembangkangan untuk membayar zakat pada zaman Abu Bakar ra. Mereka membangkang untuk membayar zakat kerana mereka merasa mereka memiliki kekuatan disebabkan jumlah mereka dan senjata yang mereka ada.

Menangani Bughât
Ayat di atas telah menyatakan bahawa hukuman terhadap pelaku bughat adalah diperangi sehingga mereka kembali taat kepada perintah Allah, iaitu kembali taat kepada Khalifah atau Daulah Islam dan menghentikan pembangkangan mereka. Namun, sebelum sampai kepada perang tersebut, Imam atau Khalifah perlu berhubung dengan mereka dan bertanya apakah yang mereka tuntut daripada Negara. Jika mereka menyatakan bahawa disebabkan berlakunya suatu kezaliman, maka kezaliman itu perlu segera dihilangkan (diselesaikan). Jika mereka menyatakan disebabkan oleh suatu syubhat, maka syubhat (keraguan) tersebut perlu dirungkai dan dijelaskan.  Jika mereka menilai dan menganggap apa yang dilakukan oleh Khalifah (Daulah Islam) sebagai menyalahi kebenaran atau syariah, padahal kenyataannya bukan sedemikian, maka perlu dijelaskan hal itu mengikut kesesuaian dan kebijakan Khalifah sehingga syariah dan nas-nasnya perlu ditonjolkan kebenarannya. Semua itu perlu dilakukan dan dirasakan telah memadai. Sebaliknya, jika pelaku bughât itu masih tetap dalam pembangkangannya, maka mereka perlu diperangi agar mereka kembali taat.  Namun harus diingat, perang terhadap mereka adalah perang dalam rangka memberi pelajaran (qitâl at-ta’dîb) dan bukannya perang untuk memusnahkan.  Perang terhadap mereka bukan merupakan sebuah jihad sepertimana perang memerangi kafir harbi fi’lan.  Jadi dalam hal ini, jika perang berlaku terhadap mereka, harta mereka bukan fa’i atau ghanimah dan ia tidak boleh dirampas dan diagihkan.  Mereka yang ditawan juga tidak dianggap sebagai tawanan perang, tetapi dianggap sebagai pelaku jenayah.  Wanita dan anak-anak mereka yang turut serta di medan perang juga tidak boleh dijadikan sabi.
Wallahu a’lam.

Hudud dihina

MENERAPKAN SYARIAH HENDAKLAH DENGAN JALAN YANG SYAR’IYYAH

[SN385]
 Isu hudud berputar lagi tetapi kali ini terdapat sedikit kelainan kerana selama ini ia diputarkan oleh pemerintah untuk memecah-belahkan pakatan pembangkang dan mereka (pemerintah) tetap berpendirian untuk tidak melaksanakannya. Kali ini, sedikit angin perubahan dilihat melanda parti pemerintah di mana mereka mula menunjukkan reaksi yang positif kepada pelaksanaannya. Isu hudud timbul kali ini apabila kerajaan Kelantan menyuarakan hasrat dan berusaha untuk membentangkan undang-undang Islam itu ke Parlimen untuk mendapat kelulusan badan perundangan tertinggi Malaysia itu.UMNO dilaporkan bersetuju dengan PAS untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal bagi membincangkan tentang pelaksanaan hukum tersebut. UMNO juga dilaporkan telah menggerakkan usaha di kalangan ahli-ahlinya untuk memberi penerangan tentang hudud. Manakala PAS pula sedang berhadapan dengan tentangan daripada rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat, khususnya daripada DAP yang menentangnya sejak dulu. Dalam masa yang sama, usaha sedang giat dijalankan oleh gerakan Islam itu bagi mendapatkan sokongan seramai mungkin ahli Parlimen agar pembentangan usul hudud untuk dilaksanakan di Kelantan mendapat kelulusan majoriti ahli Parlimen. 

Hudud DiTundukkan Kepada Demokrasi!

Mekanisme pengambilan keputusan yang ada dalam sistem demokrasi (melalui Parlimen) adalah mengundi. Demokrasi mengajar penganutnya bahawa keputusan apa pun yang akan dibuat, ia hendaklah didasarkan kepada kaedah suara majoriti. Persoalannya, apakah mekanisme seperti ini dibenarkan oleh syarak? Memang benar, dalam perkara-perkara tertentu, Islam membenarkan suara majoriti, yakni dalam hal-hal yang berkaitan dengan masalah uslub (teknik) yang bersifat mubah (harus). Dalam perang Uhud sebagai contoh, Rasulullah SAW pernah mengambil suara majoriti untuk menetapkan apakah kaum Muslimin bertahan di dalam kota atau di luar kota Madinah. Majoriti sahabat menetapkan agar kaum Muslimin menyusuri musuh di luar kota. Rasulullah SAW mengambil pendapat majoriti ini walaupun baginda sendiri condong untuk memilih bertahan di dalam kota Madinah. Dalam perkara-perkara seperti ini, suara majoriti boleh diambil kerana ia hanyalah persoalan uslub yang bersifat mubah, bukan persoalan yang melibatkan hukum.

Namun dalam perkara-perkara yang melibatkan hukum syarak, mengundi atau mengambil suara majoriti adalah diharamkan. Hukum syarak atas sesuatu perbuatan tidak boleh ditetapkan berdasarkan suara terbanyak. Hukum syarak adalah untuk dilaksanakan secara langsung kerana hukumnya telah ada dan manusia tidak ada hak untuk menetapkannya. Manusia hanya berhak mengistinbat(menggali) dan melakukan ijtihad sebelum melaksanakannya, tetapi bukan mengundi untuk melaksanakannya. Contohnya, kewajipan solat lima waktu telah ditetapkan berdasarkan dalil-dalil yang qath’ie. Solat lima waktu wajib dilaksanakan tanpa perlu menunggu (dan haram untuk menunggu) kelulusan majoriti terlebih dahulu. Walaupun majoriti manusia tidak bersetuju bahkan kalau majoriti manusia bersetujusekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan tanpa tertakluk kepada “hukum majoriti” tersebut.

Hak yang ada pada manusia hanyalah untuk mengistinbat dan berijtihad dalam pelaksanaan solat, tetapi bukannya mengundi untuk membolehkannya dilaksanakan. Inilah yang dilakukan oleh para imam mazhab dan mujtahidin di mana mereka mengistinbat dan berijtihad(dan berlakunya perbezaan pendapat) dalam memahami nas tentang hukum-hukum tertentu, namun mereka sama sekali tidak pernah mengundi atau mengajar murid-murid mereka atau menerangkan kepada manusia bahawa sesuatu hukum syarak itu boleh dan perlu diundi sebelum dilaksanakan!Tidak ada bezanya sama ada hukum syarak itu mengenai solat mahupun mencuri, kerana kedua-duanya adalah hukum Allah yang wajib diterapkan. Syariat Islam merupakan hukum Allah yang wajib diterapkan oleh manusia dan tidak tertakluk kepada persetujuan atau undi dari manusia!!!

Sistem demokrasi mengajar dan “mewajibkan” manusia untuk melakukan pengundian sebelum sesuatu undang-undang itu boleh dilaksanakan dan di bawah sistem kufur ini, hukum Allah juga tidak terkecuali daripada pengundian! Tidak akan ada undang-undang yang boleh dilaksanakan kecuali setelah diundi dan diluluskan oleh majoriti pembuat undang-undang (ahli Parlimen atau DUN). Begitu jugalah dengan hukum Allah SWT yang juga tertakluk kepada undi dan kelulusan majoriti sebelum dapat dilaksanakan! Inilah demokrasi dan inilah apa yang cuba dilakukan dengan hudud sekarang. Manusia telah mengambil hak Allah sebagai As-Syari’ (Pembuat hukum) dan akan mengundi untuk menerapkannya!

Mengundi hukum Allahsesungguhnya merupakan satu kelancangan terhadap hukumNya. Dengan mengundi hukum Allah, sesungguhnya seseorang itu telah menundukkan hukum Allah kepada demokrasi!Hukum Allah itu seolah-olah berada di bawah dan demokrasi berada di atasnya sehingga hukum Allah tidak boleh melepasi demokrasi kecuali dibenarkan oleh demokrasi! Alangkah tingginya demokrasi sehingga untuk melaksanakan hukum Allah pun, ia hendaklah melalui (dan tunduk kepada) proses demokrasi!!!Sungguh, betapa kufurnya sistem ini! Bagaimana mungkin orang yang memperjuangkan Islam tidak sedar dan tidak mahu sedar akan hal ini dan masih bergelumang dan mentaati sistem kufur ini, yang menjadikan kuasa manusia lebih tinggi daripada kuasa Allah SWT??? Sabda Rasulullah SAW, 

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam” [HR Baihaqi]. 

Inilah antara sihir demokrasi sehingga Muslim yang ikhlas yang inginkan Islam sekalipun akan tunduk kepada demokrasi! Dengan mengambil demokrasi, secara sedar atau tidak, Muslim yang ikhlas yang ingin memartabatkan dan meninggikan Islam, sebenarnya telah meletakkan demokrasi itu lebih tinggi daripada Islam! Apa yang menyedihkan ialah sebahagian mereka mengatakan tidak dapat keluar darinya dan sebahagian lain tidak mahu keluar daripadanya. Banyak gerakan Islam terus berpaku dengan sistem batil ini dan berusaha bermati-matian memenangkan suara di Parlimen agar penerapan syariah dapat diluluskan. Walhal sungguh teramat jelas bagi setiap insan yang memiliki mata hati, bahawa mekanisme pengambilan keputusan yang ada di Parlimen  (yang bersandar kepada suara majoriti) adalah mekanisme batil yang bertentangan dengan syarak. Prinsip ini (suara majoriti) tidak boleh (haram) dilakukan atau dijadikan syarat untuk menerapkan syariat Islam. Muslim mana pun yang mengiyakan dan mengikuti mekanisme ini untuk memutuskan sesuatu perkara, sesungguhnya ia telah mengakui dan meredhai sebuah mekanisme yang haram. 

Menerapkan Hudud Tanpa Negara Islam? 

Persoalan hudud yang merupakan hukum Allah adalah persoalan yang wajib diketahui oleh setiap Muslim kerana ia termasuk perkara ma’lum min ad-deen bi dharurah (tidak ada alasan/hujah untuk tidak mengetahuinya). Begitu juga dengan kewajipan untuk menerapkannya. Namun, setiap Muslim juga wajib mengetahui bahawa hudud hanyalah sebahagian daripada hukum Allah yang termasuk dalam kategori uqubat(hukuman/punishment). Hudud ialah uqubat atas kemaksiatan yang telah ditetapkan had/kadarnya oleh syarak dan terdapat hak Allah di dalamnya. Terdapat 7 kesalahan hudud iaitu zina, liwat, qazaf, minum arak, mencuri, murtad, hirabah (termasuk di dalamnyabughat dan qutha’uthariq). Selain hudud, kategori uqubat yang lain adalah qisas/jinayat, takzir dan mukhalafat. 

Berdasarkan nas-nas yang jelas, hudud dan lain-lain hukum Islam itu wajib dilaksanakan bukan sahaja ke atas Muslim, tetapi juga non-Muslim (kafir zimmi) yang tinggal di dalam Daulah Islam. Nas hanya mengecualikan non-Muslim dalam beberapa perkara tertentu sahaja seperti masalah akidah, ibadat, perkahwinan dan makan-minum mereka. Walaupun ada pengecualian, namun mereka tetap tidak boleh melakukan hal-hal tersebut sesuka hati mereka kerana terdapat nas lain yang melarang mereka berbuat demikian. Contohnya, mereka tidak boleh menjual atau meminum arak secara terang-terangan di khalayak ramai, mereka tidak boleh membangun rumah ibadat mereka dengan menzahirkannya di tengah-tengah masyarakat dan lain-lain lagi.

Setiap Muslim perlu memahami bahawa uqubat hanyalah sebahagian kecil daripada hukum Islam. Islam adalah deen yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk mengatur hubungan di antara manusia dengan Penciptanya, dengan dirinya sendiri dan dengan manusia yang lain. Hubungan manusia dengan Penciptanya (Allah) meliputi hukum-hukum akidah dan ibadat. Hubungan manusia dengan dirinya sendiri meliputi hukum-hukum akhlak, makanan dan pakaian. Manakala hubungan manusia dengan manusia yang lain meliputi hukum-hukummuamalah (sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, polisi pendidikan, polisi luar negeri) dan uqubat (qisas, hudud, takzir dan mukhalafat). Inilah hukum-hukum Islam dan wajib ke atas kaum Muslimin mengamalkan segala hukum Islam yang sempurna ini, bukannya sebahagian-sebahagian. Mengambil atau mengamalkan sebahagian daripada Islam hanya akan mengundang kehinaan dan murka daripada Allah SWT. FirmanNya,

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian (isi) kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain? Maka, tidak ada balasan bagi orang yang melakukan hal itu, selain kehinaan dalam kehidupan di dunia, serta pada hari Kiamat nanti akan dikembalikan kepada azab yang sangat pedih” [TMQ al-Baqarah (2):85].

Selain mengundang murka Allah, dengan pelaksanaan Islam yang sekerat-sekerat, sesungguhnya keindahan Islam itu sendiri tidak akan dapat dilihat dan dirasa, apatah lagi oleh non-Muslim yang tidak memahami Islam. Sebagai contoh, sistem ekonomi Islam mengajar bahawa negara wajib memenuhi keperluan asas rakyat berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal, bagi yang tidak mampu; negara juga wajib menyediakan air dan api (tenaga/elektrik) secara percuma kepada rakyat; segala hasil sumber alam (minyak, gas asli, emas dan lain-lain) adalah milik umat dan wajib diagihkan kepada umat secara saksama oleh negara;pendidikan, kesihatan dan keamanan wajib dinikmati oleh setiap warganegara secara percuma; sistem perbankan ribawi yang menindas tidak boleh ada dalam negara, begitu juga dengan perjudian, saham, insurans dan lain-lain keharaman, semuanya tidak boleh ada; pergaulan bebas, kelab-kelab malam dan disko, konsert-konsert dan semua perkara yang boleh merosakkan masyarakat adalah dilarang sama sekali. Kesemua ini wajib diterapkan secara serentak oleh negara. Setelah segala hak rakyat diberikan, segala ruang kebaikan disediakan dan segala ruang kejahatan dan kemaksiatan ditutup rapat, namun jika terdapat juga orang yang melakukan kesalahan dan kemaksiatan, maka barulah uqubat akan mengambil tempatnya. Di sinilah aspek keadilan dan keindahan Islam itu akan terserlah dengan sendirinya tatkala ia diterapkan secara menyeluruh. Inilah yang perlu difahami dan difahamkan kepada setiap manusia, bukan hanya aspek hudud sahaja yang ditonjolkan!

Akhir sekali dan sama pentingnya, perlu difahami bahawa di antara kesempurnaan hukum-hakam Islam itu juga adalah kewajipan akan adanya sebuah Negara Islam. Penerapan Islam tidak akan sempurna tanpa adanya Khilafah Islamiyyah, satu-satunya Negara Islam yang wajib ke atas kita semua. Bagaimana mungkin menerapkan Islam tanpa Negara Islam? Ini kerana,negaralah yang akan menerapkan Islam, menjaganya dan menyebarluaskannya. Penerapan Islam dalam negara/sistem demokrasi bukan sahaja bertentangan dengan syarak, malah menimbulkan pelbagai masalah lainnya. Apatah lagi sistem demokrasi di Malaysia yang berbentuk federalisme di mana peruntukan tentang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, namun tetap tertakluk kepada kuasa Pusat dan Perlembagaan Persekutuan. 

Oleh yang demikian, mengusahakan pelaksanaan hudud hanya di negeri Kelantan bermaksud mengabaikan kewajipan hudud secara menyeluruh. Ini kerana hudud itu wajib diterapkan bukan di Kelantan sahaja, malah di seluruh negara dan malah di seluruh dunia. Bagaimana mungkin kerajaan negeri dan kerajaan Pusat boleh bersetuju dan berusaha untuk melaksanakan hukum Allah di Kelantan sahaja? Adakah hudud itu hanya wajib di Kelantan dan untuk rakyat Kelantan sahaja? Sedangkan Allah SWT memerintahkan, 

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” [TMQ al-Baqarah (2):208].

Mungkin ada yangberpendapat bahawa kita buat setakat mana mampu atau buat sedikit-sedikit itu lebih baik buat daripada tidak buat langsung atau melakukan sesuatu itu lebih baik daripada hanya tahu mengkritik dan sebagainya. Perlu difahami di sini bahawa kita bukanlah tidak menyokong usaha-usaha untuk menerapkan hukum Allah. Malah, haram bagi Muslim untuk tidak bersetuju dengannya atau menentangnya. Namun, persoalan di sini adalah mengenai “jalan” atau mekanisme yang diambil untuk menerapkan hukum Allah tersebut, adakah ia bertepatan atau bertentangan dengan Islam? Inilah isunya di sini. 

Setiap Muslim mesti faham bahawa kita wajib berusaha menerapkan hukum Allah dan kita wajib berusaha untuk menerapkan kesemua hukumNya, bukan hanya hudud. Apa yang sama wajibnya dengan usaha penerapan itu ialah “jalan”nya. Menerapkan hukum Allah hendaklah (wajib) dilakukan dengan jalan yang ditentukan oleh Allah jua, bukannya dengan jalan yang ditentukan oleh manusia, apatah lagi menjadikan jalan yang ditentukan oleh manusia (demokrasi) sebagai penentu kepada pelaksanaan hukum Allah. Di sinilah letak isu dan kesalahannya. Sesungguhnya melaksanakan hukum Allah itu tidak boleh (haram) dilakukan melalui jalan yang batil kerana dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara (al-ghayah la tubarriru al-wasithah).  Ringkasnya, pelaksanaan hukum-hukum Allah hendaklah melalui jalan yang juga ditetapkan oleh Allah dan wajib adanya sebuah Negara Islam (Khilafah) yang akan menerapkannya.

Khatimah

Wahai Ahli Parlimen! Wahai pembuat undang-undang! HizbutTahrir mengingatkan kalian bahawa kalian tidak ada hak untuk membahas dan mengundi hukum Allah di Parlimen. Apa yang kalian lakukan hanya akan mengundang murka Allah SWT. Bagaimana mungkin kalian ingin meluluskan hukum Allah dengan cara-cara yang ditetapkan oleh Lord Reid di dalam perlembagaannya? Bagaimana mungkin kalian menjadikan perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid itu lebih tinggi dari Kalamullah, Al-Quranul Kareem? Sesungguhnya penerapan syariah itu wajib dilakukan dengan jalan yang syar’iyyah dan bukan mengikut jalan selain itu, apatah lagi dengan jalan yang ditentukan oleh orang-orang kafir. Hukum-hukum Islam wajib diterapkan oleh negara/penguasa secara langsung yang lahir dan terpancar dari akidah Islamiyyah yang dimiliki oleh setiap Muslim (dan bukannyamelalui pengundian) dan ia wajib diterapkan secara menyeluruh dan sempurna. Inilah cara penerapan yang sahih dan diredhai oleh Allah SWT. 

Wallahua’lam.  

Tiga Hari Penghinaan

TIGA HARI YANG PENUH PENGHINAAN
 
[SN384] Akhirnya musuh Allah itu berjaya memijakkan kakinya ke tanah umat Islam, Malaysia. Bukan sahaja berjaya, malah dia diberi sambutan kenegaraan dan layanan yang amat luar biasa yang tidak pernah diberi kepada manusia mana pun di atas muka bumi ini. Lawatan tiga hari Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia memang menjadi sejarah dan ia menjadi sejarah hitam kepada negara ini. 

Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia sesungguhnya telah hilang kedaulatannya dengan lawatan pengganas nombor satu dunia itu. Malah kedaulatan Malaysia sebenarnya telah hilang sebelum itu lagi.Apa tidaknya, bermula dengan pijakan kakinya ke bumi Malaysia, permaidani merah dibentangkan dengan megah untuknya, jalan raya disekat dan dikosongkan dari segenap arah sehingga menyusahkan ribuan pengguna jalan raya, makan malam kenegaraan yang tidak dapat digambarkan kemewahannya disediakan untuknya dan banyak lagi. Setiap tempat yang dilawati oleh Obama telah diperiksa rapi, malah setiap individu yang terlibat turut diperiksa akan latar belakangnya. Segala peralatan dan kelengkapan yang digunakan oleh Obama diambil alih dan dikawal sepenuhnya oleh orang-orangnya. 

Antara yang paling penting di atas segalanya adalah aspek keselamatan di mana kawalan keselamatan ke atas Obama dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan secret service (perkhidmatan rahsia)nya. Dalam hal ini, pasukan keselamatan Malaysia sendiri tidak boleh campur tangan dan hanya menjadi penjaga dari jauh. Kawalan keselamatan di Masjid Negara dan Universiti Malaya contohnya, dua buah tempat yang dilawati oleh presiden AS ini, diambil alih sepenuhnya oleh secret servivedan pasukan keselamatan Malaysia tidak berhak melakukan apa-apa, kecuali sekadar membantu dan memerhatikan dari luar!

Pendek kata, “kepemilikan” (ownership) dan kedaulatan kita ke atas barangan dan kawasan kita, segala-galanya “hilang” dengan kedatangan Obama. Negara ini, tempat/kawasan di negara ini, barangan dan peralatan yang kita miliki, semuanya mesti dilepaskan dan seolah-olah menjadi hak milik Amerika di mana ia boleh melakukan apa sahaja ke atasnya. Pasukan keselamatan kita juga tidak ada nilainya dan tidak boleh dipercayai di sisi Obama, kerana itulah pasukan keselamatan kita hanya dibenarkan berkawal dari jarak jauh dan mesti tunduk dan patuh kepada semua arahan daripada secret servicenya. 

Selama 3 hari, dari A-Z, Malaysia terpaksa tunduk kepada kuffar Amerika di sepanjang kedatangan Obama ke sini. Segala-galanya disediakan oleh Malaysia dengan penuh penghormatan, bukan seperti tuan rumah melayan tetamu, tetapiseperti seorang hamba melayan dan menyediakan kelengkapan untuk tuannya dengan penuh ketundukan!!! Dengan semua ini, sesungguhnya Malaysia bukanlah menjadi negeri yang istimewa dengan kehadiran Obama di sini, tetapi ternyata menjadi negeri yang telah tergadai dan kehilangan kedaulatan serta maruahnya!!!

Natijah Lawatan Obama

Sebagaimana yang telah dijangka, antara isu-isu yang diangkat oleh Obama sepanjang keberadaannya di sini adalah isu hak asasi manusia, kebebasan, moderat dan demokrasi. Hal ini dapat dilihat dari ucapan dan dialognya bersama para pelajar di Universiti Malaya dan juga dalam perjumpaannya dengan pihak-pihak yang memperjuangkan hak asasi, kebebasan dan demokrasi seperti Maria Chin Abdullah (Pengerusi Bersih 2.0), Tan Sri Hasmy Agam (Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia - Suhakam), Datuk AmbigaSreenevasan(peguam dan aktivis hak asasi manusia), Christopher Leong (Presiden Majlis Peguam Malaysia), Dr Ahmad Farouk Musa (Pengerusi dan Pengarah Islamic Renaissance Front - IRF), Ratna Osman (Pengarah Eksekutif Sisters In Islam - SIS) dan Rev Dr Herman Shastri(wakil Majlis Gereja-Gereja Malaysia - CCM) di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Pertemuan Obama di Universiti Malaya boleh dilihat melalui video manakala dengan kumpulan hak asasi dilakukan secara tertutup. Di dalam ucapan dan dialognya, Obama bertindak seolah-olah dialah satu-satunya penyelesai masalah (problem solver) kepada dunia dan dunia mesti tunduk kepadanya selaku polis dunia. Obama tanpa segan silu dan rasa bersalah menerangkan tentang ‘misi’ Amerika yang membawa keamanan kepada dunia, walhal hakikatnya Amerikalah yang telah dan sedang memporak-perandakan seluruh dunia dengan peperangan dan penjajahannya ke atas dunia Islam dan juga melalui kerjasama dan sokongannya kepada para penguasa Muslim yang diktator dan juga kepada Israel, yang telah membunuh ratusan ribu umat Islam. 

Dengan segala kejahatannya yang melanggar hak asasi manusia yang dapat dilihat oleh orang buta sekalipun, sungguh aneh bagaimana kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan hak asasi manusia boleh meluahkan masalah kepadanya dan bergantung harap kepadanya seolah-olah Obama adalah penyelamat manusia dari sebarang penindasan atau ketidakadilan! Inilah sihir Obama. Manusia bukan sahaja boleh terhakis keimanan dan ketakwaannya, malah hilang pertimbangan intelektual dan kewarasannya apabila berhadapan dengan musuh Allah ini. 

Dengan sikap ketundukan dan posisi psikologi pihak lain terhadap Amerika seperti itu, ia jelas tidak memungkinkan mana-mana pemimpin mahupun mana-mana pihak untuk melakukan apa yang disebutnya sebagai dialog, bertukar fikiran, persefahaman, kerjasama atau sejenisnya, dengan Amerika. Apa yang justeru terjadi hanyalah berupa suatu “laporan”atau “keluhan” dari seorang hamba atau pekerja, kepada tuan atau majikannya. Perdana Menteri Malaysia sahaja sudah bersikap “yes sir” kepada AS, apatah lagi pihak-pihak lain yang menyanjungi AS. Inilah sikap orang-orang yang berkiblatkan Barat. Bandingkan dengan sikap orang-orang beriman yang mempunyai kemuliaan seperti Khalifah Harunar-Rasyid yang menyampaikan mesej yang jelas kepada Nakfur, melalui kata-katanya yang terkenal“Dari Harunar-Rasyid, pemimpin orang-orang Mukmin, kepada Nakfur, anjing Rom...” (as-Suyuthi, Tarikh al-Khulafa’, h. 231). 

Oleh yang demikian, apa yang disebut sebagai dialog, persefahaman,mutual respect, kerjasama dan sebagainya tidak lebih dari sebuah penyesatan pendapat dan politik. Ini kerana, semuanya itu tidak akan pernah terjadi dengan AS dan bertentangan 180 darjah dengan kenyataan yang ada. Tindakan-tindakan seperti ini menunjukkan bahawa sebahagian pemimpin dan tokoh Muslimtelah kehilangan pandangan yang jernih tentang bagaimana sikap yang harus diambil terhadap negara kafir harbifi’lan. Sebaliknya mereka menjadi penyokong dan pelaksana kepada polisi-polisi negara kafir tersebut ke atas umat Islam. Contohnya, apabila Najib bersetuju untuk mempererat kerjasama dengan Obama untuk memerangi pengganas, ini bermakna Perdana Menteri Malaysia itu bersetuju untuk memerangi umat Islam kerana yang dimaksudkan dengan pengganas oleh Obama adalah umat Islam itu sendiri. Hal ini terbukti dengan penangkapan 9 orang ‘militan’ Muslim sebaik sahaja Obama meninggalkan Malaysia. 

Kita juga menyaksikan bagaimana kenyataan akhbar bersama Najib-Obama, kunjungan Obama ke Masjid Negara, dialog Obama dengan para pelajar dan pertemuannya dengan kumpulan-kumpulan liberal dan hak asasi manusia, semuanya itu ternyata gagal dimanfaatkan (dan tidak  ditujukan pun) untuk mendakwahkan Obama kepada Islam. Sebaliknya Obamalah yang berjaya “mendakwahkan”mereka kepada kekufuran di mana Obama berjaya menyeru mereka kepada demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan, kerjasama politik, ekonomi, pendidikan, ketenteraan dan banyak lagiyang bertentangan dengan Islam. Kesemua ini menjadikan Malaysia lebih tunduk dan mengikut telunjuk serta ajaran Amerika, sekali gus memberikan kejayaan kepada Amerika dalam mengukuhkan penjajahannya ke atas umat Islam dan negeri ini. Inilah antara natijah dari lawatan Obama ke Malaysia. 

Hukum Bersikap Inferior Terhadap Orang Kafir

Layanan yang melebihi first class ke atas Obama oleh pemimpin Malaysia sesungguhnya sesuatu yang amat menghinakan dan memalukan sebagai sebuah negara berdaulat. Begitu juga dengan layanan teramat istimewa yang diberikan oleh Masjid Negara dan Universiti Malaya terhadap pembunuh umat Islam ini, sesungguhnya merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima oleh mana-mana bangsa yang bermaruah. Walaupun ada sebahagian tokoh agama pendukung kerajaan yang cuba mengait dan membolehkan lawatan Obama menurut hukum Islam, namun hakikatnya ia tidak berangkat dari ajaran Islam, tetapi lebih kepada sekadar justifikasi dan menunjukkan sikap inferiormereka terhadap kafir Barat dan secara implisitnya mengakui AS, yang jelas-jelas merupakan negara kafir harbifi’lan itu, sebagai sahabat dan sebagai tetamu yang mulia! 

Penjelasan Masjid Negara yang membenarkan Obama memasuki masjid atas alasan untuk mendakwahi Obama, ternyata menjadi alasan semata-mata. Sekali imbas, “rayuan” Imam Besar Masjid Negara kepada Obama agar tidak menindas umat Islamtidaklah menampakkan apa-apa kesalahan. Namun, “merayu” kepada penindas atau pembunuh agar tidak lagi melakukan penindasan atau pembunuhan, jelas menggambarkan kelemahan di pihak perayu dan kekuatan di pihak penindas/pembunuh. Apa yang pasti,itu bukanlah suatu bentuk dakwah kepada Obama, sebaliknya menunjukkan satu sikap ketundukan dankerendahan kepada Obama, sang kafir harbi yang merupakan musuh Allah. Walhal Allah SWT berfirman, 

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” [TMQ Ali Imran (3):139].

Lafaz “in kuntum mu’minin” (jika kalian beriman) menjadi penegasan bahawa mereka yang merasa inferior atau bersikap merendah diri di depan orang kafir itu adalah orang yang dinafikan keimanannya, kerana setiap Muslim wajib meyakini kemuliaan dan ketinggian ajaran Islam dan mempamerkan sikap tersebut di hadapan kekufuran dan pemeluknya.Rasulullah SAW bersabda, “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya” [HRBaihaqi] yang menggambarkan ketinggian Islam dan kemuliaan penganutnya sekali gus menunjukkan kerendahan agama selain Islam dan kehinaan penganutnya. 

Rasulullah SAW mengambil sikap yang tegas dan mempamerkan kemuliaan dan ketinggian Islam apabila menghadapi ketua negara kufur. Di dalam surat baginda kepada penguasa Rom, baginda menulis, 

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad, hamba Allah dan RasulNya, kepada Heraqlius, penguasa Rom. Keselamatan semoga diberikan kepada siapa saja yang mengikuti petunjuk (Islam). Selanjutnya, sungguh aku menyeru kamu dengan seruan Islam. Masuk Islamlah, nescaya kamu akan selamat. Jika kamu masuk Islam, maka Allah akan memberikan pahala dua kali ganda buat kamu. Namun jika kamu menolak, maka dosa seluruh penduduk Rom akan ditanggung oleh kamu”. 

Inilah bentuk dakwah yang ditunjukkan oleh Junjungan Besar kita, jika kita ingin mendakwahi penguasa negara kafir. Banyak lagi nas lain yang menunjukkan Rasulullah SAW dan para delegasi baginda, mempamerkan kemuliaan dan ketinggian di hadapan penguasa kafir. Begitu juga dengan para Khalifah setelah baginda. Mereka tidak tunduk atau mempamerkan kerendahan sedikit pun kepada penguasa kafir di zamannya. Semuanya adalah kerana Islam. Mereka berada dalam kedudukan sebagai pengembang risalah Allah yang mulia. Mereka mengajak orang-orang kafir kepada Islam. Negara mereka (DaulahIslamiyyah)adalah negara yang berdaulat, merdeka dan menerapkan hukum-hukum Islam. Hal ini sungguh berbeza dengan pemimpin dan tokoh Islam yang ada sekarang yang mempamerkan sikap yang menghinakan diri sendiri (idzlal) apabila berhadapan dengan penguasa kafir, yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim, apatah lagi selaku seorang pemimpin atau tokoh.

Allah SWT menyatakan dengan tegas, 

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menjadikan jalan bagi orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman” [TMQ an-Nisa’ (4):141]

yang bermaksud Allah SWT mengharamkan orang-orang beriman untuk tunduk atau berada dalam posisi inferiorterhadap orang-orang kafir. Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman, 

“Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113]. 

Cenderung kepada orang zalim sahaja sudah tidak dibolehkan, apalagi beramah mesra, berdialog, bersahabat dan menjalin kerjasama erat dengan mereka. Apatah lagi sang kafir itu adalah kafir farbifi’lan yang tangannya masih dipenuhi darah umat Islam yang dibunuhnya. 

Allah SWT menyatakan dengan tegas bahawa sikap yang wajib diambil oleh kaum Muslimin terhadap kafir yang memerangi Islam ialah, 

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari Akhir dan mereka yang tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan RasulNya dan mereka yang tidak beragama dengan agama yang benar (iaitu orang-orang) yang telah diberikan Kitab, hingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk" [TMQ at-Taubah (9):29]. 

Inilah hukum Allah ke atas Muslim dan kafir yakni kaum Muslimin wajib memerangi mereka sehingga mereka tunduk kepada Islam, bukan sebaliknya yakni kaum kafir memerangi Muslim dan kaum Muslimin tunduk kepada mereka! Justeru, tindakan pemimpin dan tokoh agama di negara ini yang menghormati dan menunjukkan ketundukan kepada Obama, musuh Allah ini, sesungguhnya menyalahi perintah Allah SWT dan perintah RasulNya. 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Amerika adalah negara kafir harbifi’lan yang diharamkan untuk kita menjalin apa jua hubungan dengannya, kecuali hubungan perang. Berdasarkan nas-nas yang jelas, perbuatan menyambut, memuliakan dan menjalin kerja sama dengan musuh Allah ini adalah sebuah keharaman. HizbutTahrirmengingatkan umat Islam bahawa pemimpin yang ada pada hari ini sudah tidak boleh dipercayai lagi kerana mereka menjadi pengkhianat kepada umat dengan berbaik serta tunduk kepada Amerika. HizbutTahrir juga mengingatkan bahawa satu-satunya entiti yang akan melawan dan mengalahkan hegemoni Amerika adalah Khilafah Islamiyyah, sebuah super power yang sedang diusahakan oleh HizbutTahrir dan bakal muncul tidak lama lagi dengan izin Allah. Amerika perlu ingat bahawa mereka pernah tunduk kepada Daulah Khilafah di zaman Khalifah Salim ke-3 yang pada zamannya Amerika terpaksa membayar kepada Khilafah sebanyak 642,000 dolar emas dengan penambahan 12,000 lira emas Uthmani sebagai ganti pembebasan para tawanan Amerika yang ada di Algeria dan sebagai keizinan kepada kapal-kapal Amerika untuk belayar dengan aman di Lautan Atlantik dan Laut Mediteranean tanpa menghadapi tentera laut Uthmani di wilayah Algeria. Insya Allah, sejarah akan berulang. Kemenangan Islam akan pasti datang. Daulah Khilafah akan muncul kembali dalam masa terdekat ini dan akan mengulangi kejayaannya sebagaimana di masa lalu. Wallahu a’lam.

Lawatan Obama ke Malaysia

LAWATAN OBAMA KE MALAYSIA: MENGUKUHKAN PENJAJAHAN DAN MENCEMARKAN ISLAM
 
[SN383] Nampaknya kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak terus memekakkan telinga dengan bantahan daripada umat Islam terhadap kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia. Musuh Allah ini dilaporkan akan tiba di Kuala Lumpur pada 26hb April nanti dan selain bermesyuarat dengan Najib, dia turut dijadualkan melawat Masjid Negara dan akan memberi ucapan di University Malaya. Joshua Kurlantzick, seorang fellow di US Council on Foreign Relations menjelaskan, dalam lawatannya ke Malaysia, Obama will “highlight the growing strategic and economic relationship”with Malaysia and its “credentials as a moderate, Muslim-majority state and emerging democracy” (Obama akan “mengangkat isu hubungan strategi dan ekonomi yang semakin meningkat” dengan Malaysia dan juga “kelayakan Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Muslim yang moderat dan demokrasi yang semakin menyerlah”). Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Mustapa Mohamed mengesahkan bahawa sebahagian dari perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat antara Obama-Najib ialah tentang Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Sebelum ini telah disahkan juga yang presiden negara penjajah itu akan menandatangani memorandum persefahaman dengan Malaysia dalam bidang ekonomi, pendidikan dan ketenteraan. 

Amerika Syarikat adalah sebuah negara penjajah atau dalam istilah fikihnya dikenali sebagai negara kafir harbifi’lan (kafir yang sedang memusuhi/memerangi Islam secara nyata) dan Obama adalah ketua negara kafir harbifi’lan ini. Oleh itu, haram untuk menerima kedatangannya ke tanah umat Islam, haram untuk menandatangani apa jua perjanjian dengannya dan haram untuk menjalin apa jua hubungan dengannya. Satu-satunya hubungan yang ada di antara sebuah Negara Islam dan negara kafir harbif’ilan ialah hubungan perang. Satu-satunya perjanjian yang dibolehkan dengan negara kafir harbifi’lan ialah hudnah (perjanjian gencatan senjata) dan satu-satunya sebab untuk membolehkan kita menerima kedatangankafir harbifi’lanke negara kita ialah jika ia masuk untuk mendengar atau mempelajari Islam. Inilah hukum Islam ke atas kafir harbifi’lan.Sebagai sebuah negara penjajah yang memusuhi Islam, sudah pasti kedatangan Barack Obama ialah untuk mengukuhkan lagi penjajahannya ke atas umat Islam. Begitu juga dengan apa jua perjanjian atau persefahaman yang akan dimeterai, sudah pasti ialah untuk kepentingan mereka serta dalam masa yang sama akan mengukuhkan lagi cengkamannya ke atas umat Islam secara umum dan ke atas pemimpin umat Islam secara khusus. 

Kita memang marah dan kesal dengan sikap Perdana Menteri Malaysia yang menerima kunjungan Obama. Kita juga dengan ini melahirkan kemarahan dan kekesalan yang tidak terhingga kepada pihak Masjid Negara (dan Universiti Malaya tidak terkecuali) jika mereka akan menerima lawatanObama ke institusi-institusi tersebut. Khusus bagi Masjid Negara, pihak pengurusan masjid tidak seharusnya menerima lawatan pembunuh umat Islam itu ke masjid. Sama ada mereka ditekan oleh pihak atasan atau melakukannya dengan sukarela, pihak pentadbiran masjid tidak seharusnya tunduk kepada pemimpin yang telah melakukan maksiat. Mereka seharusnya menjalankan tugas menjaga masjid dengan amanah, berani dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Masjid adalah tempat suci dan rumah Allah yang di dalamnya disebut nama-nama Allah dan bukannya tempat untuk dikotori dengan masuknya musuh Allah ke situ untuk kepentingan dan propaganda mereka.

Hukum Orang Kafir Memasuki Masjid Secara Umum

Untuk membenarkan orang kafir, apatah lagi kafir harbifi’lan seperti Obama memasuki, masjid, pihak pentadbiran masjid hendaklah mempunyai nas/hujah yang kukuh yang mereka boleh jawab di hadapan Allah nanti, kenapa mereka membenarkan orang-orang kafir tersebut memasuki rumah Allah yang suci itu. Kami dengan ini mengemukakan hujah tentang hukum orang-orang kafir memasuki masjid dan semoga ia bermanfaat untuk kita di dunia dan akhirat. Sebelum membahas tentang hukum kafir harbifi’lan masuk masjid, akan dijelaskan tentang pandangan para fukaha’ tentang hukum orang kafir secara umum memasuki masjid. 

Pertama:Orang kafir boleh masuk masjid, bahkan Masjid al-Haram sekalipun. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi. Hujahnya adalahkerana Nabi SAW pernah menerima delegasi Tsaqif di masjid baginda, sementara mereka masih kafir. Hujah lain adalah‘kenajisan’ mereka sesungguhnya bukanlah najis fizik, melainkan terletak pada keyakinan mereka sehingga sifat kenajisan itu tidak boleh mencemari masjid. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. Kerana itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini”[TMQ at-Taubah (9):28].Mereka menyatakan bahawa maksudnya adalah, “Jika mereka masuk dengan sombong, untuk menguasai atau telanjang (tidak menutup aurat) sebagaimana tradisi mereka pada zaman Jahiliyah.” Jika tidak, maka tidak ada larangan untuk mereka memasukinya (Ibn ‘Abidin, Raddu al-Mukhtar ‘ala ad-Dur al-Mukhtar, Dar al-Fikr, Beirut, 1995, VI/ 691).

Kedua: Mereka boleh masuk masjid dengan izin kaum Muslimin, kecuali Masjid al-Haram dan setiap masjid yang ada di Tanah Haram. Ini pendapat mazhab as-Syafie (Abu Zakariyya an-Nawawi, Raudhatu at-Thaliban wa ‘Umdatu al-Muftin, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., I/281).Dalam salah satu riwayat juga dinyatakan, bahawa Imam Ahmad berpendapat sama. Sebahagian mazhab Hanbali juga sependapat dengan pandangan ini. Ibn Qudamah, dalam kitabnya, Al-Mughni, berpendapat, “Adapun masjid di Tanah Halal, mereka tidak boleh memasukinya, kecuali dengan izin kaum Muslimin....Jika mereka diizinkan untuk memasukinya maka menurut mazhab yang sahih dibolehkan. Sebab, Nabi SAW pernah didatangi delegasi penduduk Thaif (Bani Tsaqif). Baginda pun mempersilakan mereka singgah di masjid, sebelum mereka masuk Islam.”

Said bin al-Musayyab berkata, “Abu Sufyan pernah masuk Masjid Nabawi saat masih musyrik. ‘Umair bin Wahab juga pernah masuk Masjid Nabawi saat Nabi ada di sana dan dia hendak menyerang baginda, kemudian Allah menganugerahkan Islam kepadanya”(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni ‘ala Mukhtashar al-Khiraqi, XIII/202).

Ketiga: mereka tidak boleh sama sekali masuk masjid. Ini adalah pendapat Imam Ahmad dalam riwayat lain. Alasannya, sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Qudamah, kerana Abu Musa al-Asy’ari pernah menemui Umar, selaku Khalifah pada waktu itu, dengan membawa surat. Umar berkata kepada Abu Musa, “Panggil orang yang menulisnya, untuk membacakannya.” Abu Musa menjawab, “Dia tidak boleh masuk masjid.” Umar bertanya, “Mengapa?” Abu Musa menjawab, “Kerana dia Kristian.” Ini menjadi hujah dalam kalangan sahabat dan mereka sepakat. Selain itu, juga dengan alasan, bahawahadas junub, haid dan nifas sahaja sudah dilarang untuk tinggal di masjid, maka hadas syirik tentu lebih tidak boleh lagi (Ibn Qudamah al-Maqdisi, Ibid, XIII/202)

Al-Qurthubi juga menisbatkan pendapat terakhir ini kepada pendapat penduduk Madinah:“Berdasarkan hukum itulah, Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, ketika menjadi Khalifah, menulis surat kepada para pegawainya di daerah.....Pendapat tersebut diperkuat dengan firmanNya, “Di rumah-rumah (Allah) itu, Allah mengizinkannya untuk diagungkan dan disebut namaNya” [TMQ an-Nur (24):36]. Masuknya kaum kafir ke sana bertentangan dengan usaha mengagungkan rumah Allah. Dalam Sahih Muslim dan lain-lain juga dinyatakan, “Bahawa masjid-masjid ini tidak boleh ada sedikitpun kencing dan kotoran...” Padahal orang kafir tidak terhindar dari semuanya itu. Baginda Nabi SAW juga bersabda, “Masjid tidak dihalalkan untuk orang yang haid dan junub.” Orang kafir itu termasuk dalam kategori junub. Allah juga berfirman, “Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis” [TMQ at-Taubah (9):28]. Allah menyebut mereka najis, apakah zat (fizikal)nya yang najis ataukah ia (kafir) dijauhkan dari jalan hukum Allah, mana-mana sahaja dari keduanya, hukum menjauhkan mereka dari masjid tetap wajib, kerana ‘illat-nya adalah najis dan faktanya ada pada diri mereka, sementara kesucian itu ada di masjid..” [Al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkami al-Quran, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, VIII/103).

Keempat: Mereka dilarang masuk ke masjid kecuali untuk aktiviti yang bersifat darurat. Ini adalah pendapat mazhab Maliki. As-Sawi, dalam Hasyiyah as-Sawi, menyatakan, “Keterangan: Orang kafir juga dilarang masuk masjid sekalipun diizinkan oleh orang Islam, kecuali kerana ada aktiviti yang bersifat darurat..” (As-Sawi, Hasyiyah as-Sawi ‘ala as-Syarh as-Saghir, I/160).Al-Khurasyi menyatakan, “Orang kafir, baik lelakimahupun wanita, haram masuk masjid jika tidak diizinkan oleh orang Islam. Bahkan jika diizinkan sekalipun tetap tidak boleh, kecuali terpaksa, seperti untuk membina masjidtatkala tidak ada seorang Muslim pun yang boleh atau orang kafir tersebut lebih dipercayaipembinaannya”(Al-Khurasyi, Manhu al-Jalil Syarah Mukhtashar Khalil, Dar Sadir, I/71.)

Berdasarkan pendapat-pendapat mazhab di atas, boleh disimpulkan bahawa hukum memasuki Masjid al-Haram jelas berbeza dengan masjid-masjid yang lain. Orang kafir, baik Ahli Kitab, (Yahudi dan Nasrani)mahupun musyrik, baik yang menjadi AhluDzimmah(warganegara Daulah Islam) mahupun AhluHarb(bukan warganegara), haram masuk ke Masjid al-Haram. Mengenai hujah mazhab Hanafi, baik tentang masuknya orang kafir ke Masjid Nabawi mahupun penarikan hukum dari Surat at-Taubah: 28 untuk membolehkan kafir masuk ke Masjid al-Haram, ia jelas tidak tepat.Adapun masjid-masjid lain, selain Masjid al-Haram dan masjid di Tanah Haram lainnya, hukumnya adalah berbeza. 

Secara umum, pendapat fukaha’ menyatakan bahawa kaum kafir, baik Ahli Kitab mahupun musyrik, boleh masuk masjid (baik dengan syarat ada izin dari kaum Muslimin atau kepentingan yang mendesak) sesungguhnya boleh dikembalikan pada satu hal, iaitu pendapat Ketua Negara (Khalifah).Dengan demikian, tindakan Nabi SAW menerima Abu Sufyan dari Makkah dan delegasi Bani Tsaqif dari Thaif di Masjid Nabawi, mengikat Tsumamah saat menjadi tawanan Perang Badar, juga di Masjid Nabawi dan membiarkan Umair bin Wahab masuk ke masjid saat baginda ada di dalam masjid, jelas tidak bertentangan dengan keputusan Umar. Ini kerana, masing-masing adalah Ketua Negara pada zamannya dan masing-masing berhak memutuskan apa yang mereka anggap tepat dan tidak. Hal ini termasuk dalam solahiyyah (bidangkuasa) Ketua Negara.

Selain itu, kita juga dapat memahami berdasarkan fakta bahawa pada waktu Nabi SAW membuat keputusan seperti itu pada zaman baginda, cahaya Islam belum selebar pada zaman Umar. Dengan berada di masjid, orang-orang kafir itu boleh menyaksikan langsung cahaya Islam dari dekat. Tambahan lagi, masjid pada zaman Nabi SAW juga tidak hanya difungsikan untuk ibadah, tetapi juga aktiviti administrasi, politik dan pemerintahan. Pada zaman Umar, saat cahaya Islam telah tersebar meluas dan pendekatan kepada orang kafir dengan mengizinkan mereka masuk masjid tersebut sudah tidak diperlukan lagi. Ini dari satu sisi. Di sisi lain, Umar sendiri adalah seorang yang sangat mengagungkan dan memuliakan masjid sehingga dijaga betul agar tidak ternoda oleh kotoran sedikit pun. Kesimpulannya, hukum bagi orang-orang kafir secara umum memasuki masjid adalah terpulang kepada Ketua Negara yang akan bertindak mengikut kepentingan Islam dan kaum Muslimin. Solahiyyah ada pada merekadan ketetapan serta pandangan merekalah yang akan diambil kira dalam membenarkan atau tidak membenarkan orang-orang kafir memasuki masjid.

Hukum Kafir Harbi Fi’lan Memasuki Masjid

Adapun bagi kaum kafir harbifi’lan, telah disebutkan di atas bahawa mereka tidak dibenarkan (haram) memasuki negeri kaum Muslimin. Jika memasuki negeri sahaja sudah tidak dibenarkan, apatah lagi jika ingin memasuki masjid. Pengecualian dibenarkan jika mereka ingin melakukan perjanjian gencatan senjata (perjanjian damai sementara) atau mereka masuk untuk mendengar Kalamullah atau mempelajari Islam. Jika mereka diizinkan masuk ke negeri kaum Muslimin dengan al-aman (jaminan keamanan) untuk mempelajari Islam, lalu masuk ke masjid untuk mendengarkan ajaran Islam, maka hal ini dibolehkan. Tidak kiralah sama ada yang masuk itu merupakan ketua mereka atau bukan. 

Namun, jika mereka datang dan masuk ke negeri kaum Muslimin bukan untuk mempelajari Islam, lalu masuk ke masjid hanya untuk tujuan melawat atau melihat keindahan dan kebesarannya, maka hal ini tidak dibenarkan (haram). Apatah lagi jika kemasukannya ke masjid itu hanya merupakan usaha atau muslihat untuk mengelabui mata umat Islam agar menganggap mereka sebagai seorang yang baik dan tidak memusuhi Islam serta sebenarnya dalam usaha untuk mengukuhkan lagi penjajahannya terhadap negeri umat Islam, maka hukumnya tetaplah haram. Allah SWT berfirman, “Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang menghalang-halangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjidNya dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat [TMQ al-Baqarah (2):114].

Khatimah

Wahai mereka yang memegang amanah! Apakah kalian ingin mengambil izzah (kemuliaan/keagungan) dengan lawatan Obama, si kafir harbifi’lanmusuh Allah itu? Sedangkan Allah SWT berfirman,“Apakah mereka mencari izzah di sisi orang-orang kafir itu? Maka sesungguhnya semuaizzah itu di sisi Allah”[TMQ an-Nisa’ (4):139]. Ya mungkin Malaysia akan mendapat nama, penghormatan dan akan lebih dikenali dengan lawatan Obama. Ya mungkin ‘darjat’ Najib selaku Perdana Menteri Malaysia akan menjadi lebih tinggi. Ya  mungkin Universiti Malaya akan lebih tersohor dan tarafnya akan lebih meningkat. Ya mungkin nama Masjid Negara akan lebih dikenali. Namun, semua ‘kemuliaan’ itu hanyalah dapat diraih di sisi manusia sahaja dan di sisi Allah ia menjadi suatu kehinaan. Ini kerana, Obama adalah musuh Allah, musuh RasulNya dan musuh kaum Mukminin. Kita tidak dapat menerima perbuatan pemimpin yang menerima kemasukan musuh Allah ke negeri kita. Kita juga tidak dapat menerima sikap pihak pentadbiran Masjid Negara yang sanggup mencemari kesucian masjid dengan kaki Obama. Bagaimana mungkin tangan Obama yang masih berlumuran dengan darah kaum Muslimin itu dibenarkan memasuki masjid kaum Muslimin? Bagaimana mungkin Obama yang merupakan musuh Allah itu dibenarkan masuk ke rumah Allah? Bagaimana mungkin Obama yang merupakan musuh Islam itu dibenarkan masuk ke tempat suci Islam? Sungguh, kebenaran yang telah diberikan oleh pemimpin Malaysia untuk Obama memasuki Malaysia dan memasuki Masjid Negara akan mengukuhkan lagi penjajahan kuffar Barat ke atas umat Islam dan mencemarkan Islam dengan najis-najis demokrasi, fahaman moderat, hak asasi manusia, perjanjian persefahaman dan lain-lain yang dibawa oleh Obama bersamanya!!!