Thursday 29 August 2013

MESIR BERDARAH KEMBALI

MESIR BERDARAH KEMBALI

[SN359] Pada hari Rabu 14/8/2013 yang lalu, Abdel Fattah al-Sisi telah membunuh lebih dari 600 orang dan mencederakan lebih dari 5000 yang lain dalam satu tindakan jenayah yang penuh dengan niat jahat dan kebencian. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini kecuali seperti yang pernah dilakukan oleh entiti penjenayah Yahudi. Kami menyeru kepada mereka yang amat mencintai Islam dan bercita-cita untuk melihatnya terlaksana di dalam kehidupan, agar janganlah kalian dipatuk dari lubang yang sama, dua kali! 

Kami menyeru kepada kalian yang telah bangkit melalui jalan demokrasi - sebuah sistem kufur yang meletakkan kedaulatan undang-undang di tangan manusia dan meminggirkan hukum Allah - dan kalian yang telah menganggapnya sebagai jalan terbaik untuk menegakkan pemerintahan Islam, sedarlah kalian, bahawa mereka yang telah menyeru dan memperhambakan dirinya kepada demokrasi telah pun berpaling menentangnya, menyalahinya dan memijaknya dengan kasut-kasut mereka. Sedangkan kalian pula masih berpegang teguh dan terdorong kepadanya. Walhal mereka itu telah pun mengisytiharkan permusuhan terhadap kalian yang mahukan Islam!

Kalian jawablah kepada mereka dengan menghinakan demokrasi yang busuk ini, dan kibarkanlah panji-panji Khilafah. Buangkanlah kata-kata “legitimasi” dan “demokrasi” ini dari kamus hidup kalian. Isytiharkanlah bahawa “kedaulatan hanyalah milik Allah dan hanyalah milik Allah!” seperti mana yang pernah dilaungkan di dalam revolusi Syria yang diberkati. Janganlah kalian berasa malu untuk meninggikan panji-panji dan bendera Nabi kalian SAW, kerana di dalamnya terletak kemuliaan dan kehormatan diri kalian! Campakkanlah bendera Sykes-Picot itu ke dalam tong sampah sejarah! Perjanjian (Sykes-Picot) ini  sesungguhnya telah memecah-belahkan kalian dan mengekalkan pemisahan kalian. Ia sesungguhnya telah mengoyakkan-rabakkan umat ini sehingga menjadi entiti yang sangat menyedihkan, yang memperhambakan dirinya kepada musuh dan menghalang dari kembalinya Islam ke dalam pemerintahan. 

Janganlah kalian mempertaruhkan diri kalian kepada demokrasi dan musuh-musuh deen Allah ini dari negara kafir Barat yang sedang mengalami keruntuhan. Sebaliknya letakkanlah kesetiaan kalian kepada umat dan tunduk patuhlah kalian hanya kepada Allah SWT. Hanya Dialah yang akan menolong kalian menggapai kemenangan dariNya. Dialah Tuhan sekalian alam dan Tuhan kalian semua, sedangkan mereka tidak menjadikanNya sebagai Tuhan mereka. Kita tidak akan pernah takut dengan al-Sisi, pasukan keselamatannya serta mesin pembunuhnya. Itu semua hanya akan meningkatkan ketabahan dan ketetapan hati kita untuk terus mara demi menegakkan hukum Allah di dalam Daulah Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwah yang bakal tertegak sedikit masa lagi…[ringkasan nasyrah daripada Sharif Zayed, Ketua Pejabat Media, HizbutTahrirMesir, nasyrah penuh boleh dilayari di http://www.khilafah.com/index.php/activism/middle-east/16733-the-believer-is-not-stung-from-the-same-hole-twice-]

—————————————————————————————————————
[Berikut adalah terjemahan nasyrah dari HizbutTahrir Pusat yang disebarkan ke seluruh dunia amnya dan Mesir khususnya]

Bismillahirrahmanirrahim

Obama Mengutuk Keganasan di Mesir Padahal Dialah Yang Mendorongnya Dengan Pertumpahan Darah Dan Pembunuhan Beramai-ramai. Amerika Memanipulasi Pelbagai Urusan Di Mesir - Dari Presiden Yang Digulingkan, Kepada Presiden Yang Dipecat Sehinggalah Ke Presiden Yang Terlemah

Semalam 15/08/2013, Obama mengulas mengenai pembunuhan beramai-ramai yang berlaku semasa operasi pihak tentera membubarkan perhimpunan di Rabiah al-Adawiyyah dan An-Nahdhah, bahawa dia mengutuk sekeras-kerasnya kejadian tragis yang berlaku dan dia juga mengutuk keganasan terhadap orang awam...Obama kemudian menambah bahawa kenyataannya ini adalah berdasarkan kepada kepentingan Amerika dan bahawa Mesir adalah “asas keamanan di Timur Tengah”...

Sesungguhnya Obama menipu dirinya sendiri sebelum dia menipu orang lain, kerana “keamanan” yang disebutnya adalah merujuk kepada penyerahan segalanya kepada entiti Yahudi, penjualan al-Aqsa dan apa yang ada di sekelilingnya serta pengesahan Perjanjian Camp David...Kutukan Obama terhadap keganasan yang dilakukan al-Sisi ke atas orang awam adalah satu pembohongan secara terang-terangan! Adakah keganasan yang dilakukan oleh rejim Mesir tersebut terlepas daripada pengaruh Amerika? Bukankah semua itu berlaku hasil sokongan Amerika dan dengan lampu hijau, sehijau-hijaunya daripada Amerika?! 

Adakah wujud mana-mana orang yang waras dan sedar yang tidak menyedari bahawa tangan Amerika telah terhulur ke kancah politik, ketenteraan dan ekonomi Mesir sejak berdekad lamanya? Adakah delegasi Amerika yang sentiasa keluar-masuk Mesir, apatah lagi di setiap waktu terjadinya perubahan di Mesir, hanya keluar dan masuk untuk tujuan pelancongan atau lawatan? Sedangkan delegasi itu telah diutus secepat kilat setiap kali wujud rejim baru di Mesir dan ia selalunya terdiri daripada orang yang sangat berpengaruh, dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negara sehinggalah ke Kongres!...Selepas penggulingan Mubarak dan pengambil alihan pemerintahan oleh Majlis Tentera, delegasi AS datang mencurah-curah sejak awal lagi dan hal ini terus berlangsung sehingga setelah naiknya Mursi ke kerusi pemerintahan dan hal yang sama terus berulang setelah penggulingan Mursi apabila Abdel Fattah al-Sisi mengambil alih kekuasaan...

Amerika mendalangi segala episod sedih di bumi Mesir dengan berselindung di sebalik rejim yang sedia ada mahupun rejim sebelumnya...Amerika tidak memandang remeh dalam memenuhi kepentingannya untuk mencapai matlamat, tidak kira namanya Husni, Mursi atau Sisi...mereka akan dicampakkan ke tepi jika gagal memenuhi kepentingan Amerika atau gagal mempertahankan kestabilan, yang menjadi asas kekuatan pengaruh Amerika di Mesir. Perkara ini adalah amat jelas kepada semua orang yang mempunyai mata! Sungguh menyayat hati menyaksikan Mesir yang (pernah satu ketika dulu) mengalahkan tentera Salib dan tentera Tatar dan hampir melumpuhkan entiti Yahudi, menjadi sarang kepada campur tangan Amerika, pagi dan petang, semuanya kerana pengkhianatan rejim Mesir!

Wahai kaum Muslimin di bumi Mesir al-Kinanah! 

Musuh-musuh kalian, yang diketuai oleh Amerika dan sekutu-sekutunya serta pengikut-pengikut mereka, telah berjaya menggambarkan isu ini seolah-olah ia adalah (konflik) di antara orang-orang Islam dan kafir, walhal kalian semua adalah Muslim...Mereka juga telah berjaya menggambarkan isu ini seolah-olah ia adalah (konflik) di antara pihak yang pro negara Islam atau negara sekular, walhal tiada seorang pun daripada pemerintah Mesir, baik yang ada sekarang mahupun sebelum ini, melaksanakan sistem Islam atau memerintah dengan Islam...Akhirnya mereka (puak kuffar dan sekutu-sekutunya) telah berjaya membahagikan kalian kepada dua kumpulan, yang satu menjadi musuh penghalang yang kental dan tegar kepada yang lain, walhal untuk berabad lamanya kalian telah hidup sebagai saudara yang saling menyayangi. Islam menjadi penjaga hak kalian tanpa perbezaan antara yang berkulit merah atau hitam, antara lelaki dan perempuan dan antara orang Islam dan bukan Islam. Apabila Rasulullah SAW berpesan kepada kaum Muslimin di Mesir dengan kebaikan, baginda juga dalam masa yang sama berpesan kepada kaum Qibthi dengan kebaikan...

Wahai kaum Muslimin di bumi Mesir al-Kinanah! 

Sesungguhnya hal ini hanya akan selesai dengan cara sepertimana ia telah diselesaikan dahulu: Dengan menegakkan Khilafah ala minhaj nubuwwah yang akan menyatukan kalian pada kebenaran dan (dengan adanya) seorang Khalifah Rasyidah yang akan memimpin kalian untuk memerangi musuh kalian; seorang Khalifah yang benar-benar takut kepada Allah yang akan memimpin kalian menuju penghapusan entiti Yahudi dan mengembalikan semula Palestin -seluruh Palestin- ke dalam wilayah Islam; seorang Khalifah yang akan mematahkan tulang belakang Amerika dan sekutu serta para pengikutnya, sehingga Obama dan Eropah tidak lagi berani untuk menghulurkan tangan mereka, bahkan tidak jari sekalipun, walau hanya sedikit, ke arah tanah Mesir, agar tangan/jari tersebut tidak dipotong...Hanya selepas itu sahajalah Mesir akan kembali menjadi hebat dengan Islam, gagah perkasa dengan putera-puteranya, melimpah dengan kekayaannya (dengan) membuang segala bantuan beracun ke dalam kerongkong Amerika. Kemudian Mesir akan kembali kepada keadaan awal sebagai benteng Islam yang kukuh, merekrut tenteranya untuk jihad dan membuka tanah-tanah untuk Islam serta menyebarkan kebaikan ke semua empat penjuru bumi dan Allah Maha Agung di atas segalanya!

Wahai kaum Muslimin di bumi Mesir al-Kinanah! 

Sesungguhnya seorang pemimpin tidak akan menipu kaumnya, sebaliknya ia akan sentiasa menolong dan menasihati mereka ke jalan yang benar. Sebagaimana kami telah menasihati puak Tantawi apabila Majlis Tentera memerintah selepas Hosni Mubarak digulingkan...sebagaimana kami telah menyampaikan nasihat kami kepada Dr. Mursi semasa dia berkuasa...kini, kami beralih menasihati pemerintah de facto Mesir sekarang, puak Abdel Fattah al-Sisi. Walaupun puak Tantawi tidak mengendahkan nasihat kami, begitu juga dengan Dr. Morsi yang tidak mengendahkannya, namun kami tidak akan berhenti dan kami ingin sampaikan pula nasihat kami kepada puak al-Sisi ini. Semua ini adalah sebagai peringatan, kerana Allah SWT berfirman, 

“...sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman” [TMQ adz-Dzariat (51):55]. 

Peringatan itu datangnya dari pintu agama. Diriwayatkan oleh Muslim dari Tamim al-Dari r.a., dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

“Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya, “Untuk siapa?” Baginda SAW menjawab, “Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para pemimpin kaum Muslimin dan seluruh umat Islam”. 

Oleh yang demikian, kami ingin mengatakan –

Wahai Jeneral! 

Darah telah membanjiri jalan-jalan di Mesir dan pembunuhan beramai-ramai semakin merebak di lapangan, sehingga ke dalam masjid-masjid sekalipun. Banyak jiwa yang terkorban, bukan akibat dari melawan entiti Yahudi untuk membebaskan al-Aqsa, tetapi kerana perlumbaan untuk mendapatkan sebuah kerusi yang bengkok kakinya, malah kerusi yang kalian rebuti itu berada di bawah kawalan Amerika dari segi berdiri atau tumbangnya! Semua darah yang tertumpah dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ini tidak dapat pun membantu kalian di dunia, sebaliknya ia hanya membantu orang lain (Amerika dan sekutunya) dalam kehidupan dunia mereka dan Amerika tidak kisah pun berapa jumlah nyawa yang terkorban atau banyaknya darah yang tertumpah!

Apa yang Amerika ambil berat tentang Mesir hanyalah untuk menjadikannya sebagai pusat peluasan pengaruhnya dan sebagai batu loncatan untuk menjayakan konspirasinya, walaupun untuk itu, ia perlu menumpahkan darah ribuan demi ribuan rakyat Mesir...Jika mana-mana diktator menumpahkan darah namun kemudiannya gagal menstabilkan pengaruh Amerika, Amerika akan hanya mencampakkannya ke tepi dan mencari diktator lain yang akan menjual agama dan dunianya! Lihatlah kepada orang-orang sebelum kamu, seperti Mubarak yang telah menjaga kepentingan Amerika di Mesir. Dia telah dibiarkan terkontang-kanting apabila revolusi 25 Disember mengejutkan Amerika dan Mubarak gagal membunuh lebih banyak manusia untuk memadamkan revolusi tersebut...kemudian muncul pula Mursi...sekarang kamu (al-Sisi) sedang berjalan di jalan yang sama! Amerika tidak akan meninggalkan kamu sehingga kamu membunuh dan terus membunuh demi memelihara kestabilan dan pengaruhnya...tiba-tiba kamu akan mendapati diri kamu berada dalam jejak yang sama sebagaimana pendahulu kamu, Husni dan Mursi, seperti yang dikehendaki oleh politik Amerika!

Sesungguhnya pembunuhan adalah satu dosa besar. IbnMajahr.a. telah meriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar r.a. yang berkata, 

“Aku melihat Rasulullah SAW tawaf mengelilingi Kaabah dan baginda bersabda, ‘Alangkah indahnya kamu, alangkah harumnya aromamu dan alangkah agungnya kehormatanmu! Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di genggamanNya, sungguh kehormatan seorang Mukmin itu lebih agung di sisi Allah dari kehormatanmu, begitu juga dengan harta dan darahnya dan kami tidak berprasangka kepadanya kecuali dengan baik.”

Wahai Jeneral! 

Jadilah lebih bijak dan lebih sedar daripada pendahulu kamu dengan menerima nasihat kami, apatah lagi kamu mempunyai latar belakang Islam sepertimana yang tercatat dalam penulisan kamu pada tahun 2006 semasa kamu belajar di Akademi Tentera Darat Amerika Syarikat di Pennsylvania. Sesungguhnya kamu tidak akan terbebas dari keaiban dalam kehidupan ini atau azab di akhirat, melainkan jika kamu memutuskan tali penghubung Amerika-Mesir, menegakkan Khilafah dan membantu orang-orang yang berjuang menegakkannya, bagi membolehkan Mesir kembali menjadi pusat Khilafah di dunia ini. Mungkin ini akan menebus dosa-dosa kamu yang banyak itu dan membuatkan Allah SWT, RasulNya SAW dan kaum Mukminin, bersama dengan kamu. 

Sesiapa yang menjadikan hal ini (menegakkan Khilafah) sebagai usahanya, (semoga) Allah menerima (amalnya) di bumi dan meredhainya di langit. Sesungguhnya tidak ada yang dapat menakutkan mereka (para pejuang Khilafah ini), baik Amerika mahupun Eropah, mahupun talibarut dan pengikut mereka. Jika kamu tidak berbuat demikian, maka tali penghubung Amerika-Mesir akan terus kekal dan pertumpahan darah akan terus berlaku demi menyenangkan Amerika. Kemudian kamu akan kehilangan akhirat kamu dan kamu juga tidak akan mendapat dunia kamu dan itulah kerugian yang sangat nyata! Kamu pastinya telah membaca hadis Rasulullah SAW, 

“Siapa sahaja yang menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia (tidak membantunya) dan siapa sahaja yang menimbulkan kemarahan manusia dengan keredhaan Allah, maka Allah akan mencukupkannya dari (bantuan) manusia” [HR at-Tirmidzi dan Abu Na’im]. 

Sungguh sangat berbeza orang yang Allah serahkannya kepada manusia dengan orang yang Allah cukupkan baginya pertolongan manusia.

Ini adalah nasihat yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Kami tidak mengharapkan daripada kamu sebarang pembalasan atau penghargaan. Apa yang kami minta adalah pencegahan keriangan golongan kuffar, agen mereka dan semua musuh Islam ketika mereka tertawa besar melihat kehancuran Mesir yang agung, di tangan putera-putera Mesir sendiri demi melayani kaum kafir penjajah, inna lillahi wa innailaihiraaji’un!

Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan? Ya Allah! Saksikanlah
Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan? Ya Allah! Saksikanlah
Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan? Ya Allah! Saksikanlah

Hizbut Tahrir
9 Syawal 1434H
16 Ogos 2013M
Banner

TOLAK TPPA, TOLAK AMERIKA, TOLAK OBAMA!

TOLAK TPPA, TOLAK AMERIKA, TOLAK OBAMA!

[SN358] “Kerajaan memberi jaminan kepentingan Perusahaan Milik Negeri (SOE) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan dilindungi dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)...kerajaan juga beri jaminan bahawa kepentingan rakyat dan kedaulatan negara adalah keutamaan kami (dalam rundingan TPPA)” [BH 14/08/13]. Inilah janji Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada rakyat Malaysia di dalam isu TPPA yang dijangka ditandatangani sebelum akhir tahun ini yang membabitkan 12 negara iaitu Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Jepun, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat. Setakat ini sudah banyak bantahan yang dikemukakan oleh pihak pembangkang, NGO-NGO dan rakyat secara umumnya terhadap perjanjian ini, namun nampaknya kerajaan masih tetap meneruskan proses rundingan ke arah memuktamadkan perjanjian tersebut. Di antara perkara awal yang dibantah adalah berhubung isi perjanjian itu sendiri yang merupakan satu rahsia dan segala laporan mengenai rundingan yang tidak boleh didedahkan kepada umum. 

Kita sememangnya mengetahui bahawa jika Amerika Syarikat (AS) terlibat di dalam satu perkara, apatah lagi dalam perjanjian antarabangsa sepenting ini, Amerika tidak akan melakukannya jika ia tidak bermanfaat untuknya atau jika ia tidak mendapat apa-apa kepentingan darinya.  Kita juga tahu bahawa Amerika memusuhi Islam dan cuba untuk mendominasi umat Islam dan negeri-negeri kaum Muslimin, baik dari segi fizikal mahupun ekonomi. Justeru, dengan akal yang sederhana sahaja kita sudah boleh mengagak bahawa TPPA ini sudah pasti tidak akan dimasuki oleh AS jika ia bukan untuk mengukuhkan lagi hegemoni AS ke atas umat Islam dan negeri kaum Muslimin. 

Tahap kepedulian yang ditunjukkan oleh sesetengah umat Islam dalam hal ini amatlah baik, namun malangnya setakat ini semua bantahan yang diketengahkan hanyalah terfokus pada aspek ekonomi atau lebih tepatnya hanya berkisar soal “manfaat” yang bakal diperolehi atau bakal terjejas hasil dari memasuki perjanjian ini. Tolok ukur “manfaat” dalam menilai sesuatu perkara bukanlah salah, tetapi ia menjadi salah apabila hanya aspek tersebut sahaja yang dijadikan tolok ukur tanpa terlebih dahulu melihat aspek yang lebih penting dan utama yakni aspek “halal dan haram”nya sesuatu perkara itu. Meletakkan asas ukuran kepada “manfaat” sesungguhnya merupakan “cara berfikir” Kapitalisme. Ideologi ini mengajar penganutnya untuk mengambil apa sahaja yang boleh mendatangkan manfaat tanpa mengira aspek halal dan haram. Sedangkan ideologi Islam mengajar penganutnya bahawa tolok ukur kepada sesuatu (sama ada boleh diambil atau ditinggalkan) adalah halal dan haram, bukannya manfaat. Walau sebesar mana manfaat yang dapat diperolehi daripada sesuatu perkara/perbuatan, sekiranya perkara/perbuatan itu adalah haram, maka ia wajib ditinggalkan. Inilah “cara berfikir” Islam. 

Justeru, di dalam menilai sama ada TPPA ini boleh dimasuki oleh Malaysia atau tidak, ia hendaklah dinilai dari aspek hukum syarak (halal atau haram) terlebih dahulu, sebelum membincangkan aspek manfaatnya dari sudut ekonomi, teknologi, kemanusiaan dan seumpamanya. Sebagai Muslim, inilah aspek pertama dan utama yang perlu dibincangkan dan bukannya mendahului aspek manfaat atau mudarat dari segi ekonomi dan sebagainya. SautunNahdhah siri ke-069 telah membincangkan panjang lebar mengenai hukum sesebuah Negara Islam menandatangani perjanjian antarabangsa dengan negara kufur, maka kali ini kami akan membincangkannya sekali lagi dengan secara ringkas.

Hukum Perjanjian Antarabangsa Dengan Negara Kufur

Sesungguhnya negara umat Islam itu adalah negara yang satu, jadi tidak seharusnya ada perjanjian sesamanya. Perjanjian antarabangsa hanya boleh wujud di antara negara Islam dan negara kafir sahaja. Jika negara Islam (Khilafah) mengadakan perjanjian dengan sebuah negara kafir (negara yang tidak diterapkan syariat Islam), maka warganegara kafir tersebut disebut sebagai kaum mu’ahidin, manakala negaranya disebut sebagai ad-DaulahMu’ahidah (negara yang mempunyai perjanjian dengan Khilafah). Hubungan yang wujud di antara kedua negara ini adalah mengikut apa yang termaktub dalam teks perjanjian, selama mana selaras dengan hukum syarak. Bagi negara kafir yang sedang berperang secara nyata dengan umat Islam, ia disebut sebagai ad-Daulah al-Kafirah al-Harbiah al-Muharibah bi al-Fi’li (negara kafir harbi yang benar-benar sedang memerangi umat Islam secara nyata). Manakala bagi negara kafir yang tidak terlibat perang secara nyata dengan umat Islam, maka ia dikategorikan sebagai ad-Daulah al-Kafirah al-HarbiahGhairu al-Muharibah bi al-Fi’li (negara kafir harbi yang tidak terlibat perang secara nyata dengan umat Islam).

Jika sesebuah negara itu termasuk dalam kategori pertama, maka ‘hubungan’ yang wujud di antara negara Islam dengan negara mereka hanyalah hubungan ‘jihad fi sabilillah’. Daulah Islam (Khilafah) tidak boleh (haram) mengadakan sebarang perjanjian atau transaksi dengan negara ini baik perjanjian politik (seperti hubungan diplomatik), perjanjian ekonomi (seperti import-eksport) dan sebagainya. Perjanjian (jika ingin dilakukan) hanya boleh dilakukan setelah ada perdamaian (as-sulh). Satu-satunya perjanjian yang dibenarkan dengan negara kafir yang sedang memerangi umat Islam ini ialah hudnah (perjanjian gencatan senjata), itu pun dilakukan hanya untuk tempoh yang tertentu sahaja. Warganegaranya tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam negara Khilafah, kecuali jika ia datang untuk mendengar kalamullah (mempelajari Islam) atau untuk menjadi ahlu az-zimmi dalam negara Khilafah. 

Jika sesebuah negara itu termasuk dalam kategori kedua iaitu tidak berada dalam keadaan perang dengan kaum Muslimin, maka negara tersebut boleh melakukan perjanjian atau transaksi apa pun (yang tidak bercanggah dengan syarak) dengan Daulah Khilafah dan hubungan kedua-dua negara akan menjadi terikat sebagaimana syarat-syarat perjanjian yang telah disepakati. Warganegara mereka boleh memasuki Daulah Khilafah tetapi tidak dibolehkan tinggal lebih dari satu tahun [sila rujuk SN317 untuk pembacaan lanjut]. 

Wahai kaum Muslimin! Amerika adalah negara kafir yang sedang memerangi umat Islam secara nyata. Ketika ini mereka sedang memerangi umat Islam di Afghanistan, Pakistan dan membantu Israel memerangi umat Islam di Palestin. Amerika juga mendukung para pemerintah diktator yang sedang memerangi kaum Muslimin seperti yang dapat kita saksikan di Syria dan Mesir saat ini. Justeru, mengadakan apa jua perjanjian dengan AS adalah haram, bukan hanya TPPA semata-mata. Kedatangan Obama sendiri adalah haram untuk diterima, apatah lagi perjanjian dengan negara kafir harbi tersebut yang akan mengikat dan menjerat umat Islam dengannya. Maka, atas dasar akidah Islam dan pegangan kita kepada hukum Allah, marilah kita bersama-sama menolak TPPA, menolak Amerika dan menolak kehadiran Obama ke tanah kaum Muslimin!

JENAYAH SEMAKIN BERLELUASA,

JENAYAH SEMAKIN BERLELUASA, PEMERINTAH TETAP MEMINGGIRKAN HUKUM YANG MAHA ESA
 
[SN357] Apakah Malaysia sudah bertukar menjadi negara koboi? Itulah persoalan yang diungkap oleh sesetengah orang melihat kepada kejadian tembak secara terbuka yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Kes yang sedang hangat diperkatakan sekarang ialah pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi yang mati ditembak di Lorong Ceylon, dekat Bukit Bintang di ibu negara. Ia berlaku selepas dua hari kejadian pengerusi sebuah badan bukan kerajaan, MyWatch, R. Sri Sanjeevan ditembak oleh lelaki bermotosikal di pekan Bahau, Negeri Sembilan. Dia mengalami cedera parah. Kes ini amat membimbangkan kerana ia terkait dengan pihak polis sepertimana kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa percubaan membunuh Sanjeevan mungkin ada kaitan dengan pendedahannya baru-baru ini mengenai dakwaan penglibatan anggota polis dengan sindiket jenayah. Tidak lama sebelum ini, negara digemparkan dengan kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak dua lelaki bermotosikal pada 26 April ketika kenderaannya berhenti di persimpangan lampu isyarat di Putrajaya.

Kita juga dikejutkan dengan kes seorang guru penolong kanan, Hashim Mat Zain yang mati ditembak dari jarak dekat di dalam keretanya ketika hendak pulang ke rumahnya berhampiran Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan pada 7 Julai lalu. Tidak sampai dua minggu selepas itu, seorang lagi guru K. Shanmugam, ditembak mati di dalam kereta di Simpang Empat Keladi, Kulim, Kedah. Perkembangan ini sudah tentu amat membimbangkan orang ramai. Apatah lagi dengan kes terbaru pada 30 Julai lepas di Bukit Mertajam di mana seorang peniaga, G. Santhana Samy, 30 cedera parah selepas ditembak di Jalan Mengkuang. Manakala di Parit Buntar, N. Jeevandran, maut di tempat kejadian ekoran mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan pinggang dengan kesan tembakan. Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan sedang menunggang motosikal sebelum orang ramai mendengar bunyi tiga das tembakan. Kejadian tembak secara terbuka ini, selain menakutkan orang ramai, telah menimbulkan pelbagai persoalan seperti dari manakah si penembak ini mendapat senjata api dengan mudah sedangkan umum mengetahui bahawa undang-undang senjata api di Malaysia amat ketat, apakah mereka ini pembunuh upahan, apakah mereka ini sudah tidak takutkan undang-undang dan banyak lagi. Apa pun, dengan kejadian-kejadian terbaru ini, kredibiliti pasukan polis dan kepercayaan masyarakat terhadap mereka sememangnya semakin terjejas!

Sebagai respons kepada isu ini, Perdana Menteri Malaysia berkata, terserah kepada polis untuk meminta daripada kerajaan apa yang mereka perlukan dan kerajaan akan memberikan mereka apa yang dikehendaki untuk meningkatkan keberkesanan pasukan itu dalam memerangi jenayah serius. Dengan kata lain, PM telah memberi lampu hijau untuk menambah peruntukan kepada pihak polis, walaupun hakikatnya sebelum ini sudah berapa banyak peruntukan diberikan, namun tidak pernah dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya kadar jenayah semakin meningkat dan mengerikan. Ada juga Menteri yang mencadangkan agar ditambah jumlah CCTV di tempat-tempat awam yang kita tidak nafikan kebaikannya, sebagaimana yang telah dibuat sebelum-sebelum ini, namun tetap juga tidak dapat membendung peningkatan kadar jenayah.

Di sebalik semua cadangan yang dikemukakan, apa yang amat dikesalkan ialah tidak ada seorang pun dari kalangan pihak yang memegang pemerintahan atau pihak polis sendiri yang mengusul agar diterapkan hukum Allah di dalam negara dan diterapkan nidzam al-uqubat(sistem hukuman) Islam ke atas para pesalah. Apakah alasan pemerintah untuk tidak menerapkan hukum Allah SWT? Apakah mereka tidak yakin bahawa hukum Allah dapat menyelesaikan masalah? Atau apakah mereka terlalu jahil atau degil untuk memahami dan melaksanakan apa yang Allah wajibkan ke atas mereka? Apa pun alasannya, mereka mungkin sahaja dapat menjelaskannya kepada manusia di dunia ini, namun yang pasti, mereka tidak akan dapat memberikan apa-apa alasan/hujah kepadaAllah SWT di akhirat kelak!

Islam Mewajibkan Uqubat

Terdapat 4 kategori uqubat(hukuman) dalam Islam iaitu jinayat/qisas, hudud, ta’zir dan mukhalafat. Uqubatdisyariatkan untuk mencegah manusia dari melakukanjarimah (kejahatan). Allah SWT berfirman, 

“Dan dalam qisas (bunuh-balas) itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa” [TMQ al-Baqarah (2):179]. 

Maksudnya, di dalam pensyariatan qisas bagi kalian, yakni membunuh-balassi pembunuh, ada hikmah yang sangat besar, iaitu menjaga jiwa (nyawa). Ini adalah kerana, jika pembunuh mengetahui bahawa ia akan dibunuh (sebagai balasan ke atas pembunuhan yang dilakukannya), maka ia akan merasa takut untuk melakukan pembunuhan. Itu sebabnya, di dalam qisas ada jaminan hidup bagi jiwa. Pada kebiasaannya, jika orang berakal mengetahui bahawa bila ia membunuh,ia akan dibunuh balas, maka ia tidak akan melakukan pembunuhan tersebut. Dengan demikian, uqubat berfungsi sebagai zawajir (pencegahan). Ia disebut sebagai zawajirkerana dapat mencegah manusia dari melakukan kejahatan.

Kejahatan (jarimah) adalah perbuatan-perbuatan tercela (al-qabih). Al-qabihpula adalah apa jua yang dicela oleh Allah SWT. Itulah sebabnya, suatu perbuatan tidak dianggap kejahatan kecuali jika telah ditetapkan oleh syarakbahawa perbuatan itu tercela. Ketika syarak menetapkan bahawa perbuatan itu tercela, maka sudah pasti perbuatan itu disebut kejahatan. Hal itu tanpa memandang tahapketercelaannya, yakni tanpa memperhatikan besar kecilnya kejahatan. Syarak telah menetapkan perbuatan tercela sebagai dosa (dzunub) yang wajib dikenakan hukuman (uqubat). Demikianlah, dosa itu substansinya adalah kejahatan. 

Kejahatan bukanlah fitrah manusia. Kejahatan bukan pula profesyen yang diusahakan oleh manusia. Kejahatan juga bukan penyakit yang menimpa manusia. Akan tetapi, kejahatan adalah tindakan melanggar peraturan yang mengatur perbuatan manusia dalam hubungannya dengan Rabbnya, dengan dirinya sendiri dan hubungannya dengan manusia yang lain. Allah SWT telah menciptakan manusia lengkap dengan potensi kehidupannya, yakni naluri dan keperluan jasmani. Naluri dan keperluan jasmani adalah potensi hidup manusia yang mendorong manusia untuk melakukan pemenuhan terhadap potensi hidupnya itu. Manusia mengerjakan suatu perbuatan yang muncul dari potensi hidup tadi sekadar untuk mendapatkan pemenuhan terhadap potensi tersebut.

Perlu difahamibahawa membiarkan pemenuhan itu tanpa aturan akan membawa kepada kekacauan dan kegoncangan, serta akan membawa kepada pemenuhan yang salah, atau pemenuhan yang tercela. Oleh kerana itu, ketika Allah SWT mengatur perbuatan manusia, Allah juga telah mengatur pemenuhan terhadap naluri dan keperluan jasmani dengan suatu hukum. Syariat Islam telah menjelaskan kepada manusia hukum atas setiap realiti yang wujud. Itulah sebabnya Allah SWT mensyariatkan halal dan haram. Syarak mengandungi perintah dan laranganNya dan Allah SWT memerintahkan manusia untuk bertindak sesuai dengan apa yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya. Jika manusia menyalahi hal tersebut, maka hakikatnya ia telah melakukan perbuatan yang tercela, yakni melakukan kejahatan. Oleh kerana itu, orang-orang yang berdosa wajib dikenakan hukuman.

Perintah dan larangan tersebut tidak akan bererti sama sekali jika tidak ada uqubat bagi orang yang melanggarnya. Syariat Islam menjelaskan bahawa bagi pelanggar syariat, akan dikenakanuqubat di akhirat dan di dunia. Allah SWT akan mengenakan uqubat di akhirat ke atasnya dan Allah akan mengazabnya. Allah SWT berfirman, 

“Orang-orang yang berdosa dikenal dengan tanda-tandanya, lalu dipegang ubun-ubun dan kaki mereka” [TMQ ar-Rahman (55):41]. 

FirmanNya juga, 

“Dan orang-orang kafir, bagi mereka neraka Jahannam” [TMQ al-Fathir (35):36].

Dalam firmanNya yang lain, 

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedihpada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan belakang mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: ‘Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu” [TMQ at-Taubah [9]:34-35].

Firman Allah yang lain, 

“Beginilah (keadaan mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang durhaka benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk, (iaitu) neraka Jahannam, yang mereka masuk ke dalamnya; maka amat buruklah Jahannam itu sebagai tempat tinggal” [TMQ Sad (38):55-56].

Walaupun Allah SWT telah menjanjikan azab bagi para pelaku dosa, Allah juga memerintahkan kepada para pelaku dosa tersebut untuk berserah diri (bertaubat) kepadaNya kerana mungkin sahaja Allah berkehendak menjatuhkan uqubat atau mungkin juga Allah berkehendak untuk mengampuni mereka. Allah SWT berfirman, 

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendakiNya” [TMQ an-Nisa’ (4):48].

Berdasarkan keumuman dalil ini, taubat mereka boleh sahaja diterima oleh Allah SWT. 

Siapa Pelaksana Uqubat?

Uqubatwajib dilaksanakan oleh pemerintah. Dalam sebuah Negara Islam, uqubatdilaksanakan oleh Imam (Khalifah) yang merupakan ketua negara atau wakilnya, yakni diselenggarakan oleh negara melalui pelaksanaan hukum-hukum jinayat, hudud, ta’zir dan mukhalafat. Uqubat di dunia bagi pelaku dosa, atas dosa yang dikerjakannya di dunia dapat menghapuskan uqubat di akhirat baginya. Ini kerana, uqubat berfungsi sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus). Uqubatbertindak sebagai zawajirkeranaia mampu mencegah manusia dari perbuatan dosa dan tindakan pelanggaran. Manakala uqubatbertindak sebagai jawabirkeranauqubat(di dunia) dapat menebus uqubatdi akhirat. Uqubat akhirat bagi seorang Muslim akan gugur oleh uqubat yang dijatuhkan negara ke atasnya di dunia. Dalilnya adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari dari Ubadah bin Samit ra yang berkata:

“Kami bersama Rasulullah SAW dalam suatu majlis dan baginda bersabda, ‘Kalian telah membaiatku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, kemudian baginda membaca keseluruhan ayat tersebut. Barangsiapa diantara kalian memenuhinya, maka pahalanya di sisi Allah dan barangsiapa mendapatkan dari hal itu sesuatu, maka uqubatnya adalah kifarat (denda) baginya dan barangsiapa mendapatkan dari hal itu sesuatu, maka Allah akan menutupinya, mungkin mengampuni atau mengazab.” 

Hadis ini menjelaskan bahawauqubat dunia diperuntukkan untuk dosa tertentu, yakni uqubat yang dijatuhkan negara bagi pelaku dosa dan ini akan menggugurkan uqubat akhirat. Inilah antara keindahan hukum Islam apabila dilaksanakan yakni menjadi penghapus dosa pelakunya di akhirat.

Ramai di kalangan kaum Muslimin yang apabila melakukan kesalahan, telah menyatakan taubat mereka kepada Rasulullah SAW. Mereka mengakui pelanggaran yang mereka lakukan agar mereka dikenakan had oleh Rasulullah SAW sehingga mereka terbebas dari azab Allah di hari akhirat. Mereka rela menanggung sakitnya had dan qisas di dunia, kerana takutkan azab akhirat. Semua ini dilakukan mereka kerana memahami fungsi uqubat sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus). Untuk meraih itu, Ma’iz mengakui perzinaannya, kemudian ia direjam hingga mati. Demikian pula Ghamidiyyah, ia mengakui perzinaannya kemudian direjam hingga mati. Seorang wanita dari suku Juhainah mengaku berzina, lalu direjam hingga mati. Rasulullah SAW bersabda tentang mereka, 

“Sungguh ia telah bertaubat, seandainya dibahagi antara 70 penduduk Madinah, sungguh akan mencakup semuanya.”

Mereka meminta negara agar menjatuhkan uqubat atas pelanggaran mereka di dunia, bagi menggugurkanuqubat akhirat untuk mereka. Kerana itulah Ghamidiyyah berkata kepada Rasulullah SAW, 

“Ya Rasulullah sucikanlah aku!” 

Uqubatyang dijatuhkan oleh pemerintah atas dosa dan kejahatan merupakan satu-satunya metode untuk melaksanakan perintah dan larangan Allah. Allah SWT mensyariatkan hukum-hukumNya, sekaligus mensyariatkan pula hukumanterhadap pelanggarannya, yakni hukum-hukum uqubat. Contohnya, syarak telah memerintah kaum Muslimin untuk menjaga hartanya. Rasulullah SAW bersabda, 

“Tidak halal harta seorang Muslim (untuk diambil) kecuali dengan kerelaan dirinya.”

Rasulullah SAW juga bersabda,

“Sesungguhnya darah dan harta kalian adalah haram (untuk diambil/dirampas oleh orang lain).”

Untuk melaksanakan perintah Allah tersebut, Allah mensyariatkan hukum potong tangan ke atas orang yang mengambil/merampas harta orang lain tanpa kerelaannya. Firman Allah,

“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ al-Ma’idah (5):38].

Ketika Allah melarang perzinaan melalui firmanNya, 

“Janganlah kamu menghampiri zina…” [TMQ al-Isra’ (17):32], 

Allah juga mensyariatkan hukuman sebatsebagai hukuman bagi mereka yang melanggar laranganNya dalam hal itu. FirmanNya,

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ an-Nur (24):2].

Demikianlah, seluruh perintah dan larangan Allah SWT, telah ditetapkan metode pelaksanaan uqubatnya, yang menjadi kewajipan atas pemerintah untuk melaksanakannya.

Khatimah

Sesungguhnya keindahan Islam dan hukum Allah yang diterangkan di atas telah sirna seiring dengan jatuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924), lebih 90 tahun yang lalu. Hukum Allah telah digantikan dengan hukum kufur buatan manusia melalui negara demokrasi yang diajar oleh Barat kepada umat Islam. Hasilnya, berlakulah kerosakan dan kejahatan yang cukup mengerikan di dalam masyarakat baik dalam aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan banyak lagi. Umat Islam dipaksakan dengan sistem sekular oleh pemerintah, yang memisahkan agama dari kehidupan. Natijahnya, ajaran Islam hanya terhad kepada persoalan ibadat dan ruhiyah (spiritual) semata-mata. Islam dinyatakan sebagai agama rasmi tetapi hukum-hakamnya dicampakkan. Al-Quran dibaca, diperdengarkan malah dipertandingkan tetapi hukum-hukum yang terkandung di dalamnya tidak pernah diterapkan oleh pemerintah. Maka tidak hairanlah segala bentuk kejahatan merajalela dan tidak dapat dibendung dan manusia merasakan hidupnya penuh kesempitan walaupun hakikatnya bumi ini cukup luas untuk mereka. Benarlah firman Yang Maha Esa

“...dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Taha (20):124]. 

Bila lagi kalian ingin berusaha untuk menerapkan hukum Allah wahai kaum Muslimin, bagi menggantikan sistem sekular yang penuh kesempitan ini?

TUMBANGNYA MURSI SIRI 2

APA YANG MEMBUATKAN AMERIKA BERPALING MENENTANG MURSI?

[SN356] sambungan dari minggu lepas…6 - penyokong Mursi turun ke jalan-jalan untuk menyatakan protes dan sekiranya protes ini berterusan dan semakin meningkat dari segi momentum dan saiznya serta mendapat sokongan dari masyarakat umum, ini sudah cukup untuk memalukan Majlis Tentera dan memalukan Amerika yang memerlukan Amerika menanggapi Ikhwanul Muslimin. Ini kerana, ‘fakta-fakta kemenangan’ ada di tangan Ikhwanul Muslimin kerana Mursi adalah presiden yang dipilih oleh rakyat, diiktiraf oleh Mahkamah Perlembagaan, pihak tentera, institusi antarabangsa, AS sendiri dan semua negara lainnya. Tambahan lagi, mengikut norma negara-negara, Mursi tidak melakukan apa-apa tindakan yang melayakkan dia untuk digulingkan. Dia mendapat kuasa melalui pilihan raya yang dikatakan adil, tetapi telah digulingkan dengan kuasa tentera. Semua ini memberikan kuasa dan kesahihan kepada tindakan Ikhwanul Muslimin di samping menarik orang ramai bersama mereka.

Dilihat dari sudut ini, mereka yang menyokong rampasan kuasa dan penggulingan presiden, berada dalam situasi kritikal. Ini kerana, mereka sendiri sebenarnya menolak pemerintahan tentera dan campur tangan tentera dalam pemerintahan, sebaliknya mereka turut mahukan proses pilihan raya, namun dalam masa yang sama mereka menyokong rampasan oleh tentera! Berdasarkan hal ini, Ikhwanul Muslimin mungkin berupaya untuk menjadikan rampasan kuasa ini tidak bertahan lama dan mengembalikan semula presiden ke kerusi  pemerintahan atau sekurang-kurangnya berupaya memiliki bahagian yang besar dan berpengaruh di dalam institusi pemerintahan baru, khususnya jika mereka berjaya membangkitkan emosi rakyat Mesir. Bagaimanapun, jika para penyokong presiden yang telah digulingkan ini menerima rundingan dan konsesi, mereka akan kalah dan akan menyesal kerana usaha politik mereka menjadi sia-sia akibat kurangnya kesedaran di kalangan mereka bahawa hal ini akan berlaku!

7 - Kami simpulkan analisis ini dengan fakta yang hakiki iaitu siapa sahaja yang menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia dan urusannya akan menjadi kacau-bilau dan hubungannya dengan manusia akan menjadi semakin buruk. Sesungguhnya hal ini amat nyata dan boleh diindera secara pasti. Mursi dan Ikhwanul Muslimin telah berusaha menyenangkan Amerika dan setuju dengan rencana Amerika dan menyetujui perjanjian Camp David yang telah mengkhianati Palestin, melemahkan Sinai dan membenarkan entiti Yahudi merampas Palestin serta mengakui entiti Yahudi itu sendiri. Mursi telah meninggalkan banyak slogan-slogannya, mengisytiharkan persetujuannya terhadap sistem republik dan pemerintahan sekular dan kerajaan sivil demokrasi. Dia bersumpah atas hal-hal tersebut ketika dinobatkan sebagai presiden, dengan meninggalkan Islam dan pemerintahan Islam di belakang. Dia lakukan semua itu untuk menyenangkan Amerika agar dia tetap berada di kerusi yang condong. Maka dia berakhir dengan kerugian dunia dan akhirat, kecuali dia bertaubat dan memperbaiki urusannya. Benarlah sabda Rasulullah SAW, “Siapa sahaja yang menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia (tidak membantunya) dan siapa sahaja yang membuat marah manusia dengan keredhaan Allah, maka Allah akan mencukupkannya dari (bantuan) manusia” [HR at-Tirmidzi].

Kami sudahi jawapan ini dengan mengingatkan bahawa kami telah pun menyampaikan nasihat kepada Dr Mursi sebanyak dua kali dalam dua nasyrah kami. Pertama; pada 25 Jun 2012 dan kedua pada 13 Ogos 2012. Dalam nasyrah pertama kami katakan: 

“…Dan kami sampaikan nasihat yang tulus kerana Allah kepada presiden baru Mesir: Bertakwalah anda kepada Allah dan berhentilah dari menyeru negara sivil demokrasi dengan pemikiran, metode dan semangatnya yang sekular, kerana sesungguhnya kembali kepada kebenaran itu banyak keutamaannya. Hal itu adalah agar anda tidak mendapat kerugian secara keseluruhan di dunia ini setelah mendapat kerugian yang banyak apabila pihak tentera ‘mematahkan sebelah daripada sayap anda’ dan menghalang anda dari memiliki kekuasaan sepenuhnya. Dan agar anda tidak mendapat kerugian di akhirat kerana keredhaan anda kepada Amerika melalui seruan anda kepada negara sivil demokrasi dan agar anda tidak mendapat kemurkaan Tuhan Amerika dan Tuhan Barat kerana kegagalan anda untuk menegakkan Khilafah dan melaksanakan syariat Allah. Anda tidak syak lagi telahpun membaca hadis Rasulullah SAW, “Siapa sahaja yang menyenangkan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan menyerahkannya kepada manusia (tidak membantunya) dan siapa sahaja yang membuat marah manusia dengan keredhaan Allah, maka Allah akan mencukupkannya dari (bantuan) manusia” [Hadis dikeluarkan oleh Tarmizi dan Abu Na’im di dalam Al-Haliyah dari Aisyah]. 

Sesungguhnya nasihat yang ikhlas ini adalah semata-mata kerana Allah SWT. Kami tidak memerlukan dari anda sebarang balasan atau ucapan terima kasih, kecuali (kami mahukan) agar anda sedar dan tidak membiarkan kaum kuffar dan ejen mereka serta musuh Islam tertawa penuh kepuasan setelah mengetahui bahawa rancangan mereka untuk mewujudkan negara sivil demokrasi telah diserukan oleh kaum Muslimin dan Ikhwanul Muslimin. Sesungguhnya kepunyaan Allahlah segalanya dan kepada Allahlah kembali segala-galanya”.

Dan dalam nasyrah yang kedua kami katakan: 

“Kami tutup penjelasan ini dengan mengulangi nasihat kami kepada presiden Mesir, Muhammad Mursi, walaupun dia tidak mengambil nasihat pertama kami…Kami tidak akan berputus asa memberikan nasihat kepada setiap Muslim, khususnya jika ia memegang kuasa pemerintahan. Kami dengan ini susuli nasihat pertama kami dengan nasihat berikutnya dengan berkata: ‘Sesungguhnya meski pun tangan-tangan Amerika terhulur kepada perantara politik yang lama dan baru, namun memutuskannya adalah sangat mungkin dan mudah. Menjelaskan kesalahan menerima huluran tangan Amerika, walaupun sekali, adalah lebih baik daripada terus melakukan kesalahan (dengan menerima huluran tangan Amerika) berkali-kali. Sungguh, tangan-tangan Amerika tidak bermanfaat untuk didekati dan diberi kasih sayang, akan tetapi tangan-tangan tersebut lebih layak untuk dipotong-potong dan diputuskan. Jika tidak, ia akan
berakhir dengan penyesalan dan ketika itu sudah tidak ada gunanya lagi! Dan Kinanah Allah, di bumiNya memiliki kekuatan dan kehebatan. Sejarah telah membuktikannya. Sesiapa yang benarbenar bersama Allah, maka ia pasti menang. Hal ini telah pun diperingatkan oleh Zat yang Maha Bijaksana di dalam kitabNya dan presiden Mesir telah mengulang-ulangi perkara ini dalam ucapan terbarunya. 

“Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [TMQ Yusuf (12):21]

Benar, Maha Benar Allah, “Dan siapakah orang yang lebih benar perkataan(nya) daripada Allah?” [TMQ an-Nisa’ (4):87].

Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan. Ya Allah saksikanlah…Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan. Ya Allah saksikanlah…Ingatlah, bukankah kami telah menyampaikan. Ya Allah saksikanlah…

Hizbut Tahrir
3 Ramadhan 1434 / 12 Julai 2013


SEKILAS POLITIK KETENTERAAN DI MESIR

Rampasan kuasa terhadap pemerintahan Ikhwanul Muslimin di Mesir sekali lagi mengungkapkan peranan pihak tentera yang cukup berpengaruh di negara itu. Presiden Muhammad Mursi dan Ikhwanul Muslimin tidak berdaya ketika Jeneral Abdul Fatah al-Sisi mengumumkan penggulingan pemerintahan yang sebelum ini dipilih secara demokratik. Lebih dari 300 pejabat Ikhwanul Muslimin dikepung sepanjang malam dan menjadikan mereka tahanan. Laporan menyebut bahawa tentera telah mengatur dan meletakkan pihak pembangkang, sekularis dan Kristian Koptik serta Al-Azhar bagi mempersiapkan pemerintahan pasca Ikhwanul Muslimin. Dengan rampasan kuasa terbaru ini, tentera sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah pemilik kekuatan yang nyata di negara itu, meskipun presiden Mursi menang dalam pilihan raya demokrasi setahun yang lalu. Pengaruh tentera dapat dilihat dari banyak faktor yang ada dalam negara.

Sejarah telah mencatat bahawa tentera Mesir mula berperanan dalam mengambil alih kekuasaan di negara itu pada bulan Julai 1952 melalui sebuah rampasan kuasa yang didukung oleh AS untuk menggulingkan Raja Farooq, yang merupakan boneka British. Projek CIA ini telah digambarkan oleh Miles Copeland, salah seorang agen CIA, pada tahun 1970 dalam bukunya ‘The Game of Nations’ dan kemudian dalam memoirnya pada tahun 1989, ‘The Game of Player’. Gerakan Free Officers Movement yang terdiri daripada sekelompok pegawai tentera yang rata-ratanya masih muda, membentuk sistem politik baru yang menjadikan tentera sebagai institusi paling tersusun dan paling penting di negara tersebut. 

Pada tahun 1956, Gamal Abdul Nasser mengambil alih sebagai presiden Mesir. Nasser menasionalisasikan Terusan Suez, yang mencetuskan perang dengan British, Perancis dan Israel dan dalam proses selanjutnya menjadikan Nasser sebagai pahlawan nasional dan meningkatkan reputasinya di dunia Arab dengan lebih meluas. Kekalahan terhadap Israel dalam perang enam hari tahun 1967 menyebabkan kepimpinan tentera memutuskan untuk menjauhkan diri dari pemerintahan harian dengan menyerahkan urusan ini ke tangan kepemimpinan sivil, namun tentera tetap menjaga agar polisi luar negeri, pertahanan dan bajet nasional tetap berada di bawah kawalannya. Hingga ke saat ini, promosi untuk kenaikan pangkat tentera hanya dilakukan setelah pemeriksaan yang ketat terhadap kecenderungan politik dan kecenderungan seseorang kepada Islam.

Mengikut Wikipedia, ketika ini tentera Mesir adalah tentera yang terbesar di Afrika dan Timur Tengah dan merupakan tentera ke-10 terbesar di dunia. Dua buah syarikat, The National Services Projects Organisation dan The Egyptian Organisation for Industrial Development mendominasi perekonomian Mesir melalui pelbagai usaha sama dengan firma tentera, baik dalam perusahaan pembuatan domestik mahupun antarabangsa. Tentera terlibat dalam sektor industri dan perkhidmatan, termasuk senjata, peralatan elektronik, produk pengguna, pembangunan infrastruktur, pertanian, penerbangan, pelancongan dan keamanan. Demikian pula sebahagian besar gabenor daerah di Mesir adalah terdiri daripada para pesara tentera. Banyak institusi sivil yang besar dan perusahaan di dalam sektor umum dijalankan oleh para mantan jeneral. Tiga pihak berkuasa pembangunan negara (pertanian, perbandaran dan pelancongan) dipegang oleh para mantan tentera. Ringkasnya, tentera terlibat dalam perekonomian nasional dengan pengaruh yang cukup besar. Menurut beberapa sumber, sebanyak 40% perekonomian Mesir dikendalikan oleh tentera dan ini menjadikan mereka mempunyai alasan yang kuat untuk mempertahankan kedudukan tersebut.

Tentera Mesir telah memainkan peranan yang amat penting dalam melindungi kepentingan AS di wilayah tersebut. Sejak rampasan kuasa tentera pada tahun 1952, AS telah menjinakkan tentera Mesir dengan bantuan lebih dari $30 billion. Bantuan AS ini sesungguhnya merupakan suapan untuk menjaga kestabilan rantau tersebut, malah para pemimpin tentera Mesir sangat gembira untuk menjaga kepentingan AS tersebut. Pemimpin pertahanan negara Mesir saat ini, Abdul Fatah al-Sisi, adalah alumni US Army War College di Pennsylvania, manakala Ketua Angkatan Udara Mesir, Reda Mahmoud Hafez Mohamed, telah banyak melakukan lawatan ke Amerika Syarikat sebagai pegawai perhubungan. Lebih dari 500 pegawai tinggi tentera Mesir mendapat latihan dan kelulusan di sekolah tentera Amerika setiap tahun. Bahkan ada rumah khusus di Barat Laut Washington, yang menjadi tempat penginapan para pegawai tentera Mesir apabila berkunjung ke ibukota Amerika itu.

Perjanjian damai dengan Israel, yang ditandatangani pada tahun 1979 di bawah tajaan AS, merupakan dasar keseimbangan kekuasaan di rantau tersebut. Perjanjian ini mengakhiri perang dengan Israel dan meletakkan Sinai sebagai zon penyangga bebastentera (demilitarized buffer zone) antara kedua-dua negara, yang secara efektif menghilangkan ancaman perang antara negara dengan negara, yang hakikatnya memperkuatkan lagi kedudukan Israel.

Peranan tentera di Mesir telah memastikan tidak ada institusi saingan lainnya yang boleh berkembang. Akibatnya, sebahagian  besar institusi negara menjadi korup atau menjalankan kronisme. Dengan ekonomi yang dipegang oleh segelintir orang, kerjaya di bidang tentera merupakan satu-satunya cara yang boleh memenuhi keperluan hidup dalam keadaan ekonomi yang buruk. Tatkala para anggota tentera direkrut dari desa dan kota di seluruh Mesir, hanya ada sembilan sahaja kedudukan senior yang berautoriti. Akibatnya, untuk mencapai jawatan senior dalam tentera Mesir, ia bergantung pada siapakah yang anda kenali. Hal ini membuatkan pimpinan tentera Mesir mempertahankan kesetiaannya dari segi pangkat, kerana hanya pegawai yang mendapat latihan di AS sahaja yang boleh tersaring untuk mencapai kedudukan tersebut.

Pemecatan yang dilakukan mantan presiden Mursi terhadap dua jeneral tentera di awal pelantikannya sebagai presiden, dipandang sebagai langkah berani yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi angkatan bersenjata. Tetapi faktanya adalah, Mursi sebenarnya tidak pernah dapat mengambil alih kendali tentera. Jeneral yang dilantik Mursi, Jeneral Abdul Fattah al-Sisi, adalah pemimpin tentera yang sememangnya menunggu giliran untuk naik dan akhirnya, menjadi orang yang menggulingkan Mursi. Jadi, Ikhwanul Muslimin sebenarnya tidak pernah memiliki kekuatan yang hakiki, kerana mereka tidak pernah mengubah realiti politik di Mesir ini. Dengan monopoli tentera Mesir atas kekuasaan dan ekonomi, satu-satunya cara untuk menghasilkan perubahan yang hakiki adalah dengan memperbaiki struktur tentera secara menyeluruh dengan menghapuskan sistem yang wujud saat ini dan mengembalikan tentera kepada fungsi fitrahnya. Namun hal ini tidak akan berlaku selama mana tentera Mesir masih tunduk kepada Amerika dan bukannya tunduk kepada Allah sepenuhnya.

TUMBANGNYA MURSI

APA YANG MEMBUATKAN AMERIKA BERPALING MENENTANG MURSI?

[SN355] Sehingga kini Amerika Syarikat masih enggan menyifatkan apa yang berlaku di Mesir sebagai kudeta (rampasan kuasa). Namun ia menggalakkan pelaksanaan pelan (roadmap) yang diumumkan oleh pemerintah sementara. Pada 11/07/2013 aljazeera.net melaporkan yang jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, “Pelan yang dibuat oleh pemerintah sementara untuk peringkat seterusnya adalah menggalakkan”. Jen Psaki, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata, pemerintahan Presiden Mohamed Mursi adalah “tidak demokratik”, seperti yang dilaporkan dalam al-yaum as-sabi’ al-Misriyah (Mesir hari ketujuh) pada 12/07/2013.

Aljazeera.net juga melaporkan yang jurucakap White House, Jay Carney memberitahu pemberita pada11/07/2013 bahawa “Kami menilai bagaimana pihak berkuasa bertindak dan bagaimana mereka menangani keadaan semasa”, merujuk kepada pengumuman pada 03/07/2013 yang dibuat oleh Menteri Pertahanan dan komander tentera Mesir Abdel Fattah al-Sisi, tatkala mengguling Mohamed Mursi dan melantik Adli Mansour, ketua Mahkamah Perlembagaan sebagai presiden sementara.Jadi, apakah sebenarnya yang menjadikan Amerika berpaling menentang Mursi, sedangkan ia (Amerika) menyokong Mursi sejak awal lagi? Mengapa Amerika tidak menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai rampasan kuasa dan mengapa Amerika terus “menilai” (keadaan) sehingga ke hari ini!? Dan apakah yang boleh terhasil dari semua ini?

Jawapan kepada semua persoalan di atas dapat dijelaskan dengan poin-poin berikut:

1 -Dalam pusingan pertama pilihan raya presiden yang diadakan pada 23-24 Mei 2012, Mursi tidak dapat memenangi pilihan raya (terang-terangan), di mana undi terpecah antara beberapa calon. Pusingan kedua berlangsung pada 16-17 Jun 2012 dan Mursi diisytiharkan pemenang dengan 51.73% (kira-kira 13 juta undi) terhadap Ahmed Shafiq dengan 48.27% (kira-kira 12 juta undi). Ini bermakna bahawa hampir separuh daripada pengundi tidak mahukan Mursi sebagai presiden mereka, di mana mereka tetap memilih seorang lelaki daripada bekas rejim, walhal terhadap rejim itulah yang mereka memberontak sebelum ini.

Penting untuk disebutkan bahawa pengumuman keputusan pilihan raya presiden itu telah mengalami kelewatan, yang menunjukkan ada sesuatu di sebalik tabir. Kemudian ia selesai dengan mengisytiharkan kemenangan berpihak kepada Mursi ke atas Ahmed Shafiq, selepas Mohamed Mursi memberi jaminan kepada Amerika bahawa dia akan mematuhi perjanjian dan konvensyen yang telah dibuat oleh bekas rejim, terutamanya perjanjian Camp David, satu perjanjian yang sangat penting untuk Amerika, seperti yang dibuktikan oleh kenyataan Amerika sebelum dan selepas pilihan raya. Duta AS mengumumkan kepada akhbar Kuwait, al-Ra’yu al-Kuwaitiyyah, yang diterbitkan pada30/11/2012 bahawa:

“Amerika Syarikat komited kepada perjanjian damai antara Mesir dan Israel dan menganggap ia penting bagi keamanan dan kestabilan dirantau ini dan terutamanya untuk kesejahteraan rakyat Mesir dan Israel. Kami juga menganggap perjanjian ini sebagai asas bagi usaha keamanan dan kestabilan di rantau ini keseluruhannya. Kami sudah tentu gembira bahawa Kerajaan Mesir telah berulang kali menyatakan bahawa ia akan memenuhi semua obligasi antarabangsa Mesir”, sambil menambah “Kami menggalakkan Mesir dan Israel untuk meneruskan perbincangan langsung mereka terhadap keadaan keselamatan di Sinai dan isu-isu kepentingan bersama dan kami mengesahkan bahawa keselamatan di Sinai adalah yang paling penting dan utama."

Ini menunjukkan bahawa Amerika dan entiti Yahudi berada di sebalik tabir kempen rejim Mesir selama beberapa bulan, terhadap kumpulan bersenjata yang menyeru jihad ke atas musuh Islam itu.

2- Inilah sebabnya mengapa Amerika menyokong Mursi dan berusaha memastikan Mursi berada di atas takhtanya. Pencapaian pertama Mursi untuk kepentingan Amerika dan untuk keselamatan puak Yahudi adalah gencatan senjata yang dilakukannya antara entity Yahudi dan kerajaan Hamas di Gaza. Ia adalah gencatan senjata yang benar-benar berlaku, hingga ke tahap di mana Hamas telah meletakkan para anggotanya dibatas sempadan antara mereka dan entity Yahudi,demi mengelak sebarang penyalahgunaan atau sebarang tembakan terhadap entity Yahudi! Amerika telah memuji apa yang dilakukan Mursi ini, dalam melaksanakan polisinya berhubung isu Gaza.

Amerika juga menyokong Mursi di dalam isu resolusi perlembagaan yang berkaitan dengan imunitinya terhadap badan kehakiman. Pada waktu tersebut, jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland mempertahankan Presiden Mesir dengan berkata, “Presiden Mursi telah berbincang dengan badan kehakiman dan dengan pihak-pihak berkepentingan yang lain di Mesir. Seperti yang saya katakan, saya fikir kita belum dapat tahu lagi apa keputusan yang akan terhasil, tetapi sikap Mursi di sini agak jauh dari sikap yang mengatakan setiap perkara hendaklah dilakukan mengikut caraku atau jangan dilakukan sedikit pun” (Agensi Berita Timur Tengah 27/11/2012). Nuland secara khusus menafikan kata-kata penunjuk perasaan, yang menyifatkan Presiden Mursi sebagai diktator atau Firaun baru Mesir, sebaliknya dia mempertahankan Mursi dan keputusan yang telah di ambil Mursi.

Amerika juga menyokong Mursi berhubung resolusi kepimpinan di Mesir. Ia memecat beberapa komander tentera yang diketuai oleh Menteri Pertahanan dan juga Ketua Tentera, Hussein Tantawi dan Ketua Staf, Sami Annan, di mana Mursi mengeluarkan satu dekri perlembagaan terhadap hal ini dan Mursi tidak menghadapi sebarang tentangan yang ketara.

Amerika juga menyokong Mursi dalam isu Perlembagaan di mana Nuland berkata, “Puan Clinton berbincang semasa lawatannya ke Kaherah dan dalam mesyuaratnya dengan Presiden Mursi mengenai kepentingan dikeluarkan satu perlembagaan yang melindungi semua hak warga Mesir” (Timur Tengah 27/11/2012). Pengaruh politik Amerika dalam pemerintahan Mursi dan penentang Mursi adalah sangat jelas. Oleh itu, Perlembagaan telah diterima pakai dengan lampu hijau daripada Amerika Syarikat, yang hanya merupakan salinan “yang disemak semula” daripada perlembagaan 1971 bekas rejim, selepas menjalankan satu referendum di mana hanya 32.9% mengundi - satu pertiga daripada orang-orang yang layak mengundi, manakala dua pertiga lagi memboikot. Hasil referendum itu adalah 63.8% daripada satu pertiga pengundi tadi, mengundi untuk menerimanya! Jadi kesimpulannya, majoriti rakyat tidak gembira dengan perlembagaan tersebut dan juga tidak gembira dengan presiden mahupun keputusan-keputusannya.

3 –Amerika telah cuba untuk menenangkan keadaan dan meyakinkan rakyat untuk menerima presiden dan keputusan-keputusan presiden dan perlembagaan supaya dapat mewujudkan kestabilan rejim, yang boleh menjaga kelangsungan negeri di tangan Amerika pasca revolusi.Walau bagaimanapun, kestabilan yang diingini oleh Amerika gagal dicapai oleh Mursi dan Ikhwanul Muslimin (atas fakta bahawa mereka adalah parti presiden dan parti terorganisasi yang terbesar selepas pemansuhan Parti Nasional). Amerika mengharapkan yang Mursi dan Ikhwanul Muslimin bekerja untuk menstabilkan keadaan, seperti yang dilakukan oleh Parti Nasional bersama presiden yang telah diguling (Hosni Mobarak) selama 30 tahun. Ini kerana, Amerika mahukan Mesir menjadi pusat kestabilan pengaruhnya, bukannya demi kepentingan Mesir itu sendiri. Amerika mahu kestabilan di Mesir sebagai platform selamat untuk pengaruh dan projeknya, tetapi ternyata keinginannya tidak tercapai.

Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah kekeliruan oleh pihak Presiden dalam membuat keputusan dan berikutnya menarik balik keputusan akibat tekanan. Juga, pihak presiden sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa berunding dengan sekutu-sekutunya, tanpa cuba untuk meyakinkan mereka, tanpa proses menguji pandangan orang ramai dan tanpa mewujudkan pandangan umum(public opinion) terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Justeru, kacau bilau dan usaha untuk melakukan revolusi terhadap Presiden berterusan sepanjang tahun ini selama dia memegang jawatan.

Kemudian masalah menjadi semakin kacau dalam ucapannya yang panjang pada 26/06/2013. Dr Mursi kelihatan goyah apabila dia mengaku bahawa dia telah melakukan kesilapan. Mursi tidak menjelaskan apa kesilapan-kesilapan tersebut, tetapi dia merujuk kepada pengisytiharan perlembagaan pada 22/11/2012 yang mencetuskan bantahan rakyat terhadapnya dan menggerakkan rakyat untuk menyingkirnya. Dalam ucapan terakhirnya pada 07/02/2013 Mohamed Mursi menegaskan bahawa dia telah melakukan kesilapan dan beberapa kelemahan terjadi akibat tindakannya, tetapi dia bersedia untuk membetulkan semua itu. Ini menunjukkan bahawa dia telah menerima kompromi, selepas tentera mengancamnya dengan memberi notis 48 jam. 

Ini bermakna penyingkiran beliau telah diputuskan oleh tentera dan mereka yang berada di belakang tentera, iaitu Amerika, walaupun pada hakikatnya Mursi disokong oleh Amerika untuk mengambil keputusan sedemikian. Tetapi apabila timbulnya kesan negatif (hasil keputusan ini) maka Amerika meninggalkannya dan membiarkannya jatuh, malah berkonspirasi untuk menjatuhkannya, sebagaimana yang dilakukan Amerika terhadap kesemua ejennya yang tidak mengambil pengajaran!

4 -Begitulah kita telah melihat Amerika meninggalkan Mursi dan menafikan segala keputusannya. Pada07/02/2013 CNN memetik pegawai-pegawai kanan dalam pentadbiran AS sebagai berkata, “Duta Besar AS ke Mesir Anne Patterson dan pegawai-pegawai lain di White House berkata bahawa sebahagian besar tuntutan yang dibawa oleh rakyat Mesir dalam protes mereka adalah selaras dengan pembaharuan yang dituntut oleh Washington dan sekutu-sekutu Washington dalam beberapa minggu yang lalu.” Hal ini disahkan sebagaimana dipetik oleh Reuters dari kenyataan White House pada07/02/2013, “Presiden Obama menggesa Presiden Mursi untuk mengambil langkah-langkah bagi menjelaskan bahawa beliau telah memenuhi tuntutan penunjuk perasaan”. 

Obama seterusnya berkata, “Krisis ini hanya boleh diselesaikan melalui proses politik.”Kenyataan ini bermaksud bahawa Amerika ingin meninggalkan Mursi dan mencari satu proses politik yang baru.Tiada satu pun dalam kenyataan Amerika yang menunjukkan bahawa ia menyokong presiden Mesir yang dipilih itu (Mursi),sebaliknya Amerika meminta Mursi bertindak untuk memenuhi tuntutan penunjuk perasaan yang menuntut penggulingannya!

Semasa berlakunya rampasan kuasa, diumumkan bahawa Presiden Obama sedang bermesyuarat dengan penasihat kanannya di White House tentang apa yang sedang terjadi di Mesir dan Obama berkata, “Tentera Mesir mesti bertindak pantas dan penuh tanggungjawab untuk memulangkan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan awam (civilian government) secepat mungkin”(Reuters 03/07/2013). Obama tidak mengutuk rampasan kuasa itu, malah dia tidak pun menyifatkannya sebagai rampasan kuasa tentera. Amerika juga tidak menuntut agar Mursi dikembalikan ke jawatannya dan juga tidak menuntut untuk dibatalkan keputusan badan kehakiman yang mengeluarkan perintah setahun penjara ke atas Perdana Menteri dan penyingkirannya dari jawatan!

Amerika lebih menuntut untuk dikembalikan kuasa kepada kerajaan awam, yakni mana-mana kerajaan selain daripada kerajaan sekarang ini (kerajaan Mursi). Ini semua menunjukkan lampu hijau daripada Amerika terhadap rampasan kuasa dan penggulingan Mursi beserta kerajaannya. Malah, pentadbiran AS mengisytiharkan bahawa, “Dia (Mursi) tidak mendengar suara-suara rakyat mahupun memenuhi tuntutan mereka” (Reuters 03/07/2013), senada dengan arahan tentera Mesir yang mengatakan,“Presiden Mohamed Mursi tidak memenuhi permintaan rakyat.”Umum mengetahui bahawa kepimpinan tentera Mesir adalah dikawal olehAmerika, bahkan hampir majority bantuan AS kepada Mesir yang berjumlah 1.5 bilion setahun, mengalir kepada tentera.

5 –Mursi dan Ikhwanul Muslimin tidak sedar perkara ini, sebaliknya tampak bahawa Dr.Mursi telah tertipu dengan sokongan AS selepas dia bersetuju untuk mengikuti dasar-dasar dan mengekalkan kepentingan AS dan perjanjian yang dibuat oleh rejim republik Mesir, terutama perjanjian Camp David. Mursi memecat bekas pemimpin tentera dan menggantikannya dengan yang lain dan membuatkannya setuju dengan Mursi. 

Jadi Mursi membayangkan bahawa Amerika tidak akan meninggalkannya yang mana dia yakin bahawa Amerika akan membiarkan puak Islam moderat berkuasa dan Amerika akan terus menyokong mereka, sebagaimana yang terjadi di Turki. Mursi tidak sedar bahawa Amerika boleh meninggalkan ejennya yang mana sekalipun apabila telah selesai dipergunakan atau peranannya sudah habis. Amerika akan meninggalkan ejennya jika dia tidak dapat mencapai kestabilan dalam urus tadbir negara dan Amerika akan melantik ejen yang lain untuk mengekalkan pengaruhnya, sebagaimana yang berlaku dengan ejen terdahulu, Hosni Mubarak, yang paling setia kepadanya - malah menyediakan pula anaknya Gamal untuk menggantikannya sebagai ejen AS berikutnya.

Tetapi apabila gerakan rakyat mengejutkan AS dan AS mendapati dia (Mubarak) terlalu lemah untuk menanganinya dan memulihkan kestabilan Mesir agar sentiasa sesuai bagi kelangsungan kepentingan Amerika, lalu AS menyingkirkan Mubarak dan beralih menunggang gerakan rakyat dan mendatangkan Mursi (ke tampuk pemerintahan). Hal yang sama kini berulang terhadap Mursi. Jadi, apabila AS mendapati Mursi sudah tidak dapat menyediakan kestabilan bagi meneruskan keselamatan kepentingan dan pengaruh AS tanpa sebarang gangguan, maka AS mencampakkan pula Mursi ke tepi.

Ini bukanlah satu perkara baru, tetapi telah nyata sejak sekian lama. Laman web “gerakan sivil Mesir” yang merupakan laman sekular, telah melaporkan lebih dari dua bulan yang lalu, iaitu pada 22/04/2013 di bawah tajuk ‘syarat-syarat Amerika untuk meluluskan campur tangan tentera dalam bentuk yang tidak nampak sebagai satu rampasan kuasa tentera’! Laman web itumenyatakan bahawa “seorang personaliti, yang namanya tidak disebutkan, telah mengunjungi Amerika Syarikat pada beberapa hari lepas dan pulang semula selepas dia mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan yang ekstensif dengan para eksekutif dalam pentadbiran AS, Pentagon dan Keselamatan Negara, di mana kedudukan AS terhadap pemerintahan Ikhwanul Muslimin telah diperbincangkan.”

Laman web tersebut menyebut bahawa John Kerry, yang menghadiri mesyuarat itu, bercakap mengenai peranan penting tentera Mesir dalam mengawal peristiwa-peristiwa apabila orang ramai turun kedataran-dataran dan dalam mencegah perang saudara di antara gerakan-gerakan yang berbeza. Kerry kemudian menambah dengan berkata bahawa dia terkejut dengan rendahnya kemampuan Ikhwanul Muslimin dan kekeliruan cakap-cakap mereka yang tidak memberi faedah apa pun. Kerry mengesahkan yang dia percaya bahawa tentera akan menjalankan peranannya pada masa yang tepat. Personaliti itu menyebut bahawa perbualan yang berlaku adalah mengenai alternatif kepada pemerintahan Ikhwanul Muslimin dan kedudukan tentera semasa proses peralihan akan datang.

Laman webitu memetik bahawa seseorang yang berpengaruh di Pentagon yang merupakan seorang anggota American Brookings Institution yang turut hadir dalam mesyuarat itu sebagai berkata, “Mereka membuat kesimpulan bahawa walaupun Mursi yakin yang dia mesti berundur atau berundur dengan paksaan, para penyokongnya tidak akan menerima hakikat ini dan di sinilah peranan rakyat Mesir sekali lagi bahawa mereka perlu turun dalam jumlah yang besar untuk menyokong tentera dan berdemonstrasi menuntut pengunduran Mursi.” Semua perbualan ini telah dipublikasikan pada 22/4/2013, lebih dari dua bulan sebelum rampasan kuasa.

Amat jelas bahawa Amerika telah merancang rampasan kuasa sejak hari tersebut dan mahu menyelesaikan masalah dengan cara tersebut. Tarikh yang ditentukan adalah pada 03/07/2013 dan AS menolak daripada menyifatkannya sebagai rampasan kuasa. AS bagaimanapun terus memberi kenyataan kabur dan beransur-ansur, bermula dari “menilai” keadaan dan terus akan “menilai”dan bahawa Morsi adalah “tidak demokratik” dan pelan tindakan yang dirangka oleh pemerintah “amat memberangsangkan”, seperti yang dinyatakan dalam persoalan.

Bersambung ke minggu hadapan...

PEMERINTAHAN TENTERA…DAN DEMOKRASI HARAM

ISLAM MENGHARAMKAN PEMERINTAHAN TENTERA…DAN DEMOKRASI
 
[SN354] Di saat umat Islam menyambut Ramadhan dan mula berpuasa pada hari Rabu lepas, kedatangan Ramadhan kali ini menyaksikan satu lagi tragedi menyayat hati di dunia Islam apabila berlakunya pertumpahan darah sesama kaum Muslimin di Mesir ekoran penggulingan Presiden Mursi oleh pihak tentera pada 3 Julai lalu. Setakat ini, sudah puluhan jiwa yang terkorban yang kebanyakannya dilaporkan di pihak penyokong Mursi. Pihak tentera telah membuat beberapa pengisytiharan termasuklah melantik hakim Adly Mansour sebagai presiden sementara. Adly Mansour telah berikrar akan mengadakan pilihan raya baru awal tahun depan dan melantik pakar ekonomi, Hazem al-Beblawi sebagai Perdana Menteri dan bekas ketua agensi nuklear, Mohamed ElBaradei sebagai Naib Presiden. Piagam baru yang dibuat yang memberi lebih kuasa kepada presiden sementara itu, kini dikecam hebat dan telah memanaskan lagi keadaan yang tidak stabil di Mesir. 

Dalam pada itu, ramai pemimpin gerakan Islam di Mesir dan negara-negara Muslim lainnya menyeru agar dikembalikan demokrasi di Mesir. Manakala pada saat yang sama, puak sekular yang juga pro-demokrasi, sedang merayakan ‘kemenangan’ mereka dengan jatuhnya Mursi melalui penggulingan kuasa, yang sebelum ini dipilih melalui proses demokrasi! Lebih tidak mengejutkan, Barat yang mendakwa sebagai pejuang dan juara demokrasi, menyokong penggulingan kuasa yang tidak demokratik ini. Hal ini langsung tidak mengejutkan kerana selama berdekad sebelum ini pun, Baratlah yang menyokong dan memelihara si diktator Husni Mubarak yang tidak pernah mengenal erti demokrasi. 

Apakah peristiwa yang berlaku di Mesir ini menunjukkan kegagalan politik Islam? Apakah pengajaran yang dapat diambil dari sini? Apakah perubahan sebenar yang diperlukan oleh umat Islam? Setelah kejatuhan Mubarak, masyarakat Mesir ternyata terpecah di dalam membincang dan menentukan kedudukan yang terbaik untuk Mesir. Malangnya, masyarakat yang sepatutnya meletakkan fokus kepada masalah ‘sistem’ apakah yang patut diterapkan, lebih memfokuskan kepada masalah pelantikan atau pertukaran ahli-ahli politik dan pemerintah yang baru. Akhirnya, sistem sekular (yang bertentangan dengan Islam) yang sedia ada di Mesir, yang diwarisi dari Barat, tidak tersentuh sedikit pun. 

Oleh yang demikian, walaupun gerakan Islam berjaya naik ke tampuk kekuasaan, tetapi ternyata ‘Islam’ tidak berkuasa. Sistemnya tetap sama iaitu sistem sekular dan kesudahannya juga tetap sama iaitu ketidakpuasan, kesempitan hidup, penindasan dan segala bentuk ketidakadilan dan kecurangan terus berlaku. Hal ini sememangnya dapat diduga dengan mudah kerana masalah asas/pokok (yakni ‘sistem’) tidak diselesaikan, maka lahirlah dan kekallah segala bentuk masalah cabang yang semakin hari semakin memburuk. Selain itu, apa yang berlaku juga membuktikan kegagalan dan rosaknya idea sesetengah gerakan Islam yang ingin menerapkan Islam secara tadarruj (bertahap) dengan ‘mengambil alih kekuasaan’ dari puak sekular dan menerapkan Islam sedikit demi sedikit dalam bingkai demokrasi! Ternyata Islam tidak pernah dapat diterapkan secara tadarruj di dalam demokrasi, sebaliknya Islamlah yang sering dijadikan korban oleh mereka yang ingin bertadarruj!

Sungguh aneh dengan gerakan Islam yang melaungkan demokrasi, kerana hal yang sama juga dilaungkan oleh golongan sekular. Malah, di saat golongan sekular menyerukan penolakan syariah dan Khilafah sebagai penyelesaian, ada sesetengah kelompok Islam pula menyatakan bahawa syariat Islam tidak akan diterapkan selagi orang-orang kafir/sekular tidak faham dan tidak setuju. Malah ada yang menyatakan bahawa Khilafah adalah tidak praktikal atau khayalan. Meskipun mereka sayangkan Islam, malangnya mereka tetap mengambil solusiselain dari Islam. Akhirnya, apabila Allah memberikan kekuasaan kepada mereka, ya mereka menjadi berkuasa tetapi mereka tidak menjadikan ‘Islam’ berkuasa. Mereka lupa bahawa kekuasaan itu adalah amanah dari Allah untuk kita menerapkan hukum-hukumNya. 

Islam Mengharamkan Pemerintahan Tentera

Pemerintahan (kekuasaan) dalam Islam itu merupakan pelayanan urusan rakyat berdasarkan hukum syarak. Pemerintahan Islam bukan pemerintahan tentera. Oleh kerana itu, tentera dalam negara Islam bukan untuk melayani dan mengendalikan urusan rakyat. Ertinya, tentera itu tidak identik dengan pemerintahan, sekalipun adanya tentera, pembentukannya, pengendalian serta penyiapannya hanya boleh diwujudkan dengan adanya pemerintahan. Tentera merupakan manifestasi kekuatan fizik, yang tercermin dalam angkatan bersenjata (termasuk di antaranya adalah polis) di mana penguasa akan memanfaatkannya untuk menerapkan hukum-hukum syarak serta sebagai ancaman kepada para pelaku kejahatan dan orang-orang fasik. Tentera itu boleh dimanfaatkan untuk menundukkan orang-orang yang keluar (memberontak) dari kekuasaan negara Islam serta untuk menyeret para bughat (pemberontak) ke muka pengadilan. Seorang penguasa akan menggunakan tentera sebagai alat untuk mempertahankan kekuasaan, serta menjaga konsep dan pemikiran yang menjadi landasan kekuasaan tersebut, termasuk untuk mengembangkan konsep dan pemikiran itu ke luar negeri. 

Kesimpulannya, sesungguhnya pemerintahan itu tidak identik dengan tentera, sekalipun pemerintahan itu tidak akan mungkin boleh bertahan selain dengan adanya tentera. Begitu pula tentera tidak identik dengan pemerintahan, sekalipun tentera tidak akan mungkin terwujud selain dengan adanya pemerintahan. 

Oleh itu, pemerintahan tidak boleh berubah menjadi tentera, sebab kalau pemerintahan itu telah berubah menjadi tentera, maka pelayanan urusan rakyat itu jelas akan rosak. Ini kerana konsep dan standardnya telah berubah menjadi konsep dan standard autoritatif dan kediktatoran, bukannya konsep dan standard pelayanan urusan rakyat. Begitu pula pemerintahannya, telah berubah menjadi pemerintahan tentera, yang hanya akan melahirkan ketakutan, kediktatoran dan pertumpahan darah. Sebagaimana pemerintahan itu tidak boleh berubah menjadi tentera, maka tentera itu juga tidak boleh berubah menjadi pemerintahan. Sebab, dengan begitu akan menyebabkan kehancuran dan keruntuhan serta akan melahirkan kerisauan dan ketakutan, bahkan boleh membawa umat ke dalam jurang masalah yang amat dalam. Maka, semuanya itu merupakan ancaman yang sangat serius bagi rakyat. Pemerintahan tentera di negeri-negeri Arab dan Islam adalah contoh yang paling tepat untuk menggambarkan bentuk pemerintahan ini.

Dari sini, maka amat jelas bahawa pemerintahan dalam Islam itu bukan pemerintahan tentera. Dan sama sekali tidak diperbolehkan menjadi pemerintahan tentera. Ini kerana, pemerintahan tentera itu sangat berbahaya bagi kaum Muslimin serta bertentangan dengan hukum-hukum syarak, bahkan bertentangan dengan kaedah fiqh, “Tidak boleh ada bahaya dan ancaman (di dalam Islam)” [NidzamulHukmi Fil Islam, Abdul Qadim Zallum, penyempurnaan kepada karya Taqiyuddin an-Nabhani]

Berdasarkan nas-nas yang jelas, pemerintahan Islam ialah Khilafah, bukannya tentera dan bukan juga demokrasi. Khilafah, bukan sekadar sebuah kewajipan daripada Allah dan RasulNya, malah telah terbukti menjadi sistem pemerintahan Islam yang menerapkan hukum Allah selama lebih 1300 tahun. Khilafahlah satu-satunya sistem yang wajib diperjuangkan dan diterapkan oleh umat Islam. Khilafahlah yang telah mempersatukan umat Islam di seluruh dunia di bawah satu bendera. Khilafahlah yang telah meletakkan umat Islam di puncak ketamadunan dan menjadi cahaya kepada dunia. Khilafahlah yang telah menjadikan umat Islam sebagai umat yang mulia. Justeru, untuk mengembalikan umat Islam kepada kemuliaan yang pernah dikecapinya satu ketika dulu, untuk mengalahkan musuh-musuh Islam, untuk membebaskan umat Islam dan tanah kaum Muslimin dari cengkaman musuh, untuk kembali mempersatukan umat Islam di seluruh dunia dan untuk kembali menjadi super power dunia, maka tidak lain tidak bukan, umat Islam hendaklah berjuang untuk menegakkan semula Khilafah, yang Insya Allah tidak lama lagi akan berdiri kembali.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[Berikut adalah terjemahan nasyrah yang dikeluarkan oleh HizbutTahrirMesir rentetan penggulingan presiden Mursi]

Bismillahirrahmanirrahim

Rampasan Kuasa Tentera Terhadap Demokrasi Yang Penuh Khayalan

Petang semalam 03/07/2013 Jeneral Abdul Fattah As-Sisi, Menteri Pertahanan Mesir telah mengumumkan apa yang dipanggilnya sebagai ‘pelan masa depan’ negara. Pelan tersebut meliputi penggantungan kerja yang selari dengan perlembagaan untuk sementara waktu, pemecatan presiden yang telah dilantik, mengadakan pilihan raya presiden lebih awal, ketua mahkamah perlembagaan akan menjalankan hal-ehwal negara di sepanjang tempoh peralihan sehinggalah presiden baru dilantik dan ketua mahkamah tinggi perlembagaan mempunyai hak untuk mengeluarkan pengisytiharan perlembagaan di sepanjang tempoh peralihan tersebut. Abdul Fattah juga memberi indikasi bahawa sebuah ‘kerajaan nasional yang cekap’ akan ditubuhkan di samping penubuhan sebuah jawatankuasa yang akan meneliti semua cadangan pindaan perlembagaan dan rayuan kepada mahkamah tinggi perlembagaan dalam memutuskan undang-undang berkenaan pilihan raya parlimen.

Dengan cara inilah tentera telah ‘menjalankan’ tugas mereka terhadap negara yang dikatakan sebagai demokratik dengan Mursi sebagai seorang ‘pemerintah yang sah’ yang mereka sendiri dakwa selama ini! Rampasan kuasa ini berlaku atas alasan bahawa pimpinan umumtelah menolak “penyalahgunaan institusi nasional dan keagamaan negara di samping wujudnya intimidasi dan ancaman terhadap beberapa sektor masyarakat.” Dengan apa yang mereka lakukan, di manakah pendirian mereka terhadap demokrasi yang selama ini bermain di bibir mereka? Di manakah demokrasi yang mereka katakan selama ini, setelah mereka menutup semua rangkaian televisyen yang bersifat Islamik? Di manakah demokrasi yang mereka katakan selama ini, setelah mereka memburu ratusan tokoh-tokoh Muslim?

Dengan apa yang berlaku ini (rampasan kuasa), tanpa sedikit pun keraguan, semuanya menunjukkan bahawa pihak yang memegang kekuasaan sebenar dan efektif selama ini ialah pihak tentera! Presiden dan kelompoknya tidak lain hanyalah sebagai boneka yang hanya berada di bawah kawalan tentera dan di belakang tentera ini wujud pula kepala kekufuran, Amerika Syarikat, yang boleh menggerakkannya (tentera Mesir) pada bila-bila masa yang ia (Amerika) mahu. 

Dengan apa yang berlaku ini juga, ia menjadi bukti yang jelas lagi nyata bahawa adalah suatu yang mustahil untuk membawa Islam ke tampuk pemerintahan melalui jalan demokrasi dan pilihan raya dalam sistem sekular yang wujud hari ini. Nampaknya kelompok Islam seolah-olah tidak pernah belajar daripada apa yang telah terjadi ke atas Front Islamic Salvation (FIS) di Algeria. Kita harapkan agar dengan apa yang berlaku di Mesir ini dan buat kali terakhir, kelompok Islam yang berjuang atas landasan demokrasi akan sedar hakikat dan kebenaran ini.

Amerika hakikatnyatelah memanfaatkanpengalaman pahitumat ini bagi para penyeru yang mereka (AS) sebut sebagai golongan ‘Muslim Moderat’ untuk memberikanimej negatif ke atas Islamdengan menggambarkan bahawa kelompok Islami telah gagal mentadbir negara, walhal sebenarnya, kelompok ini tidakmenerapkanIslam pun dan kelompok ini tidak pun memegang kekuasaan sebenar di wilayah yang berkenaan. Jadi AS menggunakan kelompok ini untuk kepentingan mereka di mana akibat dari apa yang berlaku, telah terwujud gambaran bahawa ‘rakyat melepaskan diri dari pemerintahan Islam’ dan gambaran ini telah mempengaruhi sebahagian dari penduduk Mesir.

Justeru, kaum Muslimin perlu memahami bahawa hanya ada satu sahaja cara untuk menerapkan hukum Islam dan tidak ada cara yang lain. Satu-satunya cara tersebut ialah dengan mengikuti thariqah (jalan) yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak pernah terlibat di dalam pemerintahan Jahiliyyah yang korup atau menerima pemerintahan yang bersifat separa di mana Islam tidak dapat diterapkan sepenuhnya kerana semua ini bertentangan dengan Islam. 

Wahai kaum Muslimin! Kita hendaklah sentiasa bersabar dan istiqamah dalam perjuangan sehinggalah nusrah (pertolongan) datang sepenuhnya dan kita hendaklah berjuang siang dan malam di tengah-tengah umat untuk membentuk ra’yul am (pandangan umum / public opinion) di kalangan umat yang didasarkan kepada wa’yul am (kesedaran umum) terhadap kewajipan menerapkan hukum syarak secara kaffahdi dalam bingkai Negara Khilafah. Hal ini hanya akan terjadi melalui jalan perjuangan intelektual dengan mendakwahkan pemikiran Islam yang benar yang mencabar pemikiran kufur, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya, hal ini tidak akan terjadi dengan jalan mencairkan (mengorbankan) pemikiran Islam dan cuba mengharmonikannya ke dalam pemikiran kufur.

Kifahusiyasi (perjuangan politik) juga mesti dilakukan dalam rangka membongkar rancangan dan konspirasi jahat terhadap Islam dan kaum Muslimin, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Hal ini (pembongkaran konspirasi) tidak akan terjadi dengan jalan bermanis muka, memuji atau berjalan seiringan dengan pihak-pihak yang merupakan ejen Barat yang terdiri dari kalangan ahli politik, personaliti media atau golongan yang mendakwa diri mereka sebagai pemikir. 

Demikianlah caranya bagaimana ra’yul am tentang syariah dan Khilafah perlu digerakkan, yang akan membuatkan orang-orang yang ikhlas dari kalangan ahlul quwwah (pihak yang mempunyai kekuatan) dalam tentera akan mengambil bahagian dan memposisikan diri mereka selaras dengan seruan (dakwah) ini. Ini kerana, merekalah (tentera) pihak yang benar-benar memiliki kekuatan, sebagaimana terbukti dengan apa yang dilakukan oleh Jeneral Abdul Fattah As-Sisi. Malangnya, dia telah memberikan pertolongannya kepada pihak yang tidak sepatutnya, malah yang tidak ada hak pun untuk diberi pertolongan! Sebaliknya dia berpaling daripada pihak yang berbesar hati terhadapnya, tanpa memberikan peluang kepada pihak tersebut untuk membentangkan misi sebenar yang lahir dari akidah umat ini. 

Kami di HizbutTahrir, umpama pemimpin yang tidak akan menipu rakyatnya. Kami mengulangi pelawaan kami kepada mereka yang ingin melihat Islam dizahirkan secara utuh dalam Negara Islam (Negara Khilafah), untuk menyertai dan berjuang bersama kami menegakkan Negara Khilafah dengan thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana, inilah satu-satunya jalan yang akan membebaskan warga Mesir dan kesemua wilayah Muslim lainnya, bahkan seluruh dunia, daripada penindasan, pergaduhan, pertelingkahan dan kebencian antara satu sama lain. Manusia, sama ada Muslim mahupun bukan, akan hidup di bawah naungan negara ini (Khilafah) dengan penuh kebaikan. Negara ini (Khilafah) telah menjadi cahaya petunjuk kepada dunia, menjadi bunga yang mekar lagi harum kepada dunia dan menyinari dunia selama lebih dari 13 abad. 

“Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)” [TMQ al-Qasas (28):5].

Sharif Zayed
Ketua, Pejabat Media 
HizbutTahrir Wilayah Mesir
Khamis 25 Syaaban 1434 / 4 Julai 2013