Friday 21 June 2013

HAPUSKANLAH DIKTATOR

YA ALLAH! HAPUSKANLAH DIKTATOR DAN SEGERAKANLAH BERDIRINYA KHILAFAH
 
[SN251]Gelaran the mad man (lelaki gila) ke atas Kolonel Muammar Gaddafi sememangnya tepat dan tidak dapat dinafikan, malah dia kini kelihatan sedang mengalami delusi dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Si diktator Libya itu nampaknya semakin ganas membunuh rakyatnya dengan mengerahkan tentera untuk berbuat demikian. Hingga kini angka korban masih tidak dapat dipastikan, namun ada yang menyatakan ia telah mencecah 2000 orang. Terbaru, dilaporkan bahawa tentera pro-Gaddafi yang dilengkapi kereta kebal dan senjata antipesawat cuba merampas kembali bandar Zawiyah dalam pertempuran selama enam jam dengan menyerang kedudukan puak yang menentangnya dari enam arah. Namun puak penentang tersebut berjaya mematahkan serangan tentera dalam pertempuran di Zawiyah itu, kira-kira 50 kilometer di barat Tripoli.

Juga, terdapat laporan dari sumber Israel yang mengungkapkan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Menteri Pertahanan Ehud Barak, dan Menteri Luar Avigdor Lieberman dalam pertemuan tiga hala pada tanggal 18 Februari lalu, telah membuat keputusan untuk merekrut tentera upahan Afrika yang akan berperang membantu rejim Gaddafi melawan rakyat Libya. Sumber-sumber tersebut mengatakan bahawa Israel melihat revolusi Libya dari perspektif keamanan strategis sehingga Israel menganggap bahawa jatuhnya rejim Gaddafi akan membuka pintu bagi ‘rejim Islam’ di Libya, demikian menurut laporan Aljazeera. 

Krisis di Libya nampaknya tidak akan reda dalam masa terdekat, apatah lagi kini ia diperparah dengan campurtangan dari kuffar Barat. Menurut laporan berita media Iran, Press TV pada 1/3/2011, pemerintah British, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) telah pun mengirimkan ratusan penasihat tentera ke Libya untuk mendirikan pengkalan-pengkalan mereka di Libya timur. Menurut para diplomat tersebut, pasukan tentera ketiga-tiga negara tersebut sedang membangun pengkalan-pengkalan mereka di dua kota di Libya timur, Kota Benghazi dan Toburk. Kedua-dua kota yang kaya dengan minyak itu kini telah berada di bawah kawalan puak penentang. Pasukan khusus British dan AS telah memasuki Kota Benghazi dan Toburk pada 23 dan 24 Februari lepas. Sebelumnya, Pentagon telah mengesahkan pengerahan pasukan Angkatan Laut dan Udara ke wilayah berdekatan Libya. Jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Kolonel Dave Lapan mengatakan, para perancang di Pentagon sedang mempertimbangkan pelbagai pilihan dan rencana luar jangka (contigency plan) seiring dengan pergolakan yang terjadi. Setiausaha Negara AS Hillary Clinton juga telah menegaskan bahawa pemerintah AS akan terus mempertimbangkan semua pilihan yang ada dalam menyelesaikan konflik di Libya.

Sungguh keji apa yang dilakukan oleh Gaddafi ke atas rakyatnya sendiri! Barat pula yang senantiasa memerhati bak singa lapar, semakin maju sedikit demi sedikit mengatur langkah untuk menerkam dan membaham mangsanya (baca: umat Islam). Umat Islam di Libya kini tersepit dari dua penjuru. Inilah masalah yang dihadapi oleh umat Islam, bukan sahaja di Libya, malah di seluruh dunia, sejak jatuhnya Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) – dari satu sisi mereka terpaksa menghadapi pemimpin mereka sendiri yang zalim serta khianat dan dari sisi yang lain terpaksa berhadapan dengan cengkaman Barat yang tidak pernah lalai menancapkan kukunya ke atas umat Islam. 

Sudah begitu lama umat ini menderita dan terkial-kial di dalam mencari penyelesaian terhadap masalah mereka. Rejim demi rejim bersilih ganti hingga menumbuhkan kesedaran di dalam tubuh umat untuk bangkit menentang kezaliman rejim tersebut, namun hingga kini masalah umat Islam masih tak kunjung padam. Apakah yang tidak kena? Di manakah silapnya? Di sinilah Hizbut Tahrir menekankan sejak dahulu, bahawa punca kepada segala masalah ini adalah sistem kufur yang diterapkan oleh rejim-rejim ini. Rejim-rejim tersebut telah mencampakkan hukum Allah dari pemerintahan mereka, dan menggantikannya dengan sistem sekular, baik demokrasi, autokrasi, diktator, monarki, federasi dan sebagainya! Justeru, satu-satunya jalan penyelesaian adalah dengan kembali kepada sistem Islam iaitu sistem Khilafah. Umat ini perlu berusaha dan berjuang untuk menegakkan Khilafah dan melantik serta membaiah seorang Khalifah yang beriman lagi bertakwa, untuk menerapkan hukum berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. 

Dalam suasana kecundangnya rejim sekular/diktator satu per satu yang dapat kita saksikan sekarang, kita juga menyaksikan Barat berusaha bersungguh-sungguh untuk campurtangan dan menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak mahu wujudnya the Islamic State (Negara Islam) bagi menggantikan rejim sedia ada. Ya, inilah apa yang mereka katakan dan inilah sebenarnya ketakutan mereka iaitu kembalinya Negara Islam (Khilafah) ke persada dunia. Barat benar-benar faham bahawa sekiranya Daulah Khilafah kembali memerintah dunia, maka ini pasti akan menjadi episod akhir kepada hegemoni mereka. Oleh kerana itulah mereka berusaha mencegahnya dengan bersungguh-sungguh. Namun mereka lupa bahawa umat Islam yang sedang sakit selama ini sesungguhnya sedang sembuh dari sakitnya! Tubuh umat yang lemah selama ini, kini semakin pulih dan semakin menguat. Kekuatan umat Islam semakin hari semakin bertambah dan hanya menunggu masa untuk pulih sepenuhnya. Cuma sayangnya, ahlul quwwah (golongan yang memiliki kekuatan - tentera) di kalangan umat Islam masih lagi terleka dan terlena. 

Oleh kerana itulah, Hizbut Tahrir tidak jemu-jemu berusaha membangkitkan ahlul quwwah ini, mengejutkan mereka dari tilam-tilam mereka, meniupkan kata-kata semangat dan perangsang ke telinga mereka, mengingatkan mereka dengan kemuliaan yang dijanjikan oleh Allah kepada mereka apabila mereka bangkit serta Hizbut Tahrir melaungkan “ALLAHU AKBAR” di hadapan mereka agar mereka tersentak dari leka dan lena mereka yang panjang. Sesungguhnya apabila ahlul quwwah ini bangkit bersama-sama dengan umat, maka tidak ada satu kekuatan pun yang dapat mengalahkan mereka...itulah saat kehancuran para pemimpin yang zalim dan saat kebinasaan kuffar Barat! Ya Allah! Engkau hancurkanlah para pemimpin yang zalim dan berikanlah kemenangan kepada kami dengan tegaknya Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah Ala Minhaj Nubuwwah...
 
****************************************************************************

[Berikut adalah terjemahan surat yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir Pusat yang disebarkan ke seluruh dunia, khususnya di Libya sendiri]
Wahai Penduduk Libya…Wahai Cucu-Cucu Umar Al-Mukhtar!

Bismillahirrahmanirrahim

Setelah diktator Libya hampir binasa, Barat dengan dua sayapnya, Amerika dan Eropah, terus menghulurkan kepala untuk campurtangan dari segi ketenteraan dan politik dalam usaha mereka untuk merancang pengganti Gaddafi. Barat memasuki Libya atas alasan kononnya untuk memindahkan warganya dari Libya dengan bantuan tentera dan kadang-kadang atas alasan lain, kononnya untuk menjaga hak kemanusiaan dan membentuk zon larangan terbang di Libya. Semua ini adalah seperti yang dikeluarkan dalam kenyataan para pegawai mereka di Eropah dan Amerika pada 25 Februari 2011.
Eropah nampaknya mula berusaha memperbaharui pengaruhnya setelah peranan si diktator Gaddafi dalam menjaga pengaruh tersebut selama 40 tahun, tamat. Eropah sudahpun merancang pengganti Gaddafi dalam ‘bentuk’ yang sama tetapi dengan wajah buruk yang ‘lebih baik’ untuk mengelabui umat. Amerika pula berusaha menyaingi Eropah dalam merancang pengganti Gaddafi dengan menonjolkan wajah yang ‘lebih cantik’! Hakikatnya, kedua-duanya (Eropah dan AS) adalah penjahat yang telah ditolak oleh darah suci dan kaum mukmin…

Wahai Penduduk Libya, Wahai Cucu-Cucu Umar al-Mukhtar…! Darah suci kalian yang tertumpah demi menghancurkan si diktator itu adalah satu-satunya pengganti yang akan mengembalikan Libya ke jejak langkah pertamanya, sebagai negeri Islam yang merdeka dan mulia, yang berhukum dengan syariat Allah…Oleh itu, janganlah sampai kata-kata Barat yang dipermanis dengan tujuan-tujuan kemanusiaan, dapat memperdayakan kalian. Jika kalian terpedaya, lalu meminta mereka untuk meletakkan tempat berpijak (baca: penyelesaian) di dalam urusan kalian, maka kalian akan pasti menyesal di kemudian harinya!

Kalian telah memulakan satu gerakan menentang kezaliman dan kediktatoran dengan niat yang benar, maka teruskanlah dengan niat yang bersih itu. Sesungguhnya hanya tinggal sejengkal sahaja lagi, bahkan lebih dekat, bagi kalian untuk melepaskan diri dari diktator Libya dan kuncu-kuncuya. Oleh itu bersabarlah, teguhlah berdiri di atas kebenaran dan tetaplah berjalan di atasnya. Janganlah kalian jadikan tawaran imperialis Barat itu sebagai perosak jalan kebenaran yang kalian sedang tempuhi. Sebagaimana kalian kuat dalam menghadapi diktator, maka kuatkanlah diri kalian dalam menghadapi campurtangan Barat di negeri kalian yang bersih. Janganlah sampai perjuangan kalian yang diberkati itu menjadi rosak dan janganlah sampai darah suci kalian tercemar…

Wahai Cucu-Cucu Umar al-Mukhtar…Wahai penduduk Libya…! Kalian telah diuji dengan musibah yang bernama Gaddafi. Dia telah mengingkari As-Sunnah dan menyebarluaskan fitnah. Sesungguhnya manusia yang paling berat ujiannya adalah manusia yang paling mulia, kemudian berikutnya dan yang berikutnya, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, 

“Dari Mus’ab bin Sa’ad dari bapanya, ia berkata, aku bertanya, ‘Ya Rasulullah siapakah manusia yang paling berat ujiannya?’ Baginda menjawab, ‘Para Nabi, kemudian yang berikutnya lalu yang berikutnya” [HR at-Tirmidzi dan ia berkata: hadis ini hasan sahih]. 

Di dalam hadis ini terdapat kesaksian untuk kalian dengan kemuliaan. Allah SWT telah membebaskan kalian dari ujian tersebut dengan pengorbanan dan kekuatan tekad kalian, serta cucuran darah kalian yang dihirup oleh diktator hina ini. Dia lupa atau pura-pura lupa, bahawa akan pasti datang hari yang gelap bagi orang yang zalim, di mana dia akan merasakan akibat buruk dari apa yang dilakukannya. Dan sesungguhnya dia sudah hampir jatuh ke dalamnya dan dengan izin Allah dia tidak akan terlepas darinya. Imam al-Bukhari mengeluarkan hadis dari Abu Musa, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, 

“Sungguh Allah membiarkan orang yang zalim hingga apabila Dia mengambilnya, Dia tidak akan melepaskannya”.


Wahai Cucu-Cucu Umar al-Mukhtar…Wahai Tentera Libya yang Merdeka dan Mulia…! Kalian adalah ahlul quwwah (pemilik kekuatan). Kalianlah yang akan menentukan sama ada diktator ini boleh bertahan atau jatuh. Jika kalian berdiri bersama kebenaran dan itulah yang seharusnya kalian lakukan, serta mendokong saudara-saudara kalian yang sedang menentang si diktator ini, maka dia dan para pendukungnyaakan pasti jatuh. Dengan itulah kalian menjadi orang-orang mukmin yang membenarkan apa yang telah dijanjikan oleh Allah dan ini adalah kejayaan yang agung.

Namun begitu, sekiranya kalian mendukung si diktator, maka kalian akan pasti memikul dosa di atas bahu-bahu kalian dan kalian akan memikul segala dosa dan darah yang tumpah secara zalim dan penuh permusuhan. Meskipun demikian, apa yang kalian lakukan itu tidak akan dapat menghalang kemarahan umat terhadapnya dan kebinasaan diktator ini tetap ada di tangan umat. Dengan mendukung si diktator, kalian justeru  memperpanjangkan umurnya dalam pertumpahan darah dan pembunuhan orang-orang yang tidak bersalah, padahal kehormatan dan darah seorang Muslim itu lebih agung di sisi Allah daripada kehormatan Kaabah. Ibn Majah mengeluarkan dari Abdullah bin Umar, ia berkata, 

“Aku melihat Rasulullah SAW  tawaf mengelilingi Kaabah dan baginda bersabda, ‘Alangkah indahnya kamu, alangkah harumnya aromamu dan alangkah agungnya kehormatanmu, demi Zat yang jiwa Muhammad ada di genggaman kedua tanganNya, sungguh kehormatan seorang mukmin lebih agung di sisi Allah dari kehormatanmu, begitu juga dengan harta dan darahnya…”

Jika kalian mendukung si diktator ini, maka kalian menjadi penolong orang-orang yang zalim yang akan mengakhiri kehidupan mereka dengan penuh keaiban di dunia dan azab yang menghinakan di akhirat dan itu adalah kerugian yang nyata.

Wahai Cucu-Cucu Umar al-Mukhtar…Wahai Tentera Libya yang Mulia…! Dahulu kalian telah memikul senjata untuk melindungi tanah dan kehormatan kalian, maka janganlah kalian cemari hal itu dengan melindungi kezaliman dan kediktatoran. Ingatlah, kalian adalah cucu-cucu penakluk, para mujahid yang bertolak dengan hentakan kaki-kaki kuda mereka dari bumi kalian yang bersih, lalu mereka memakmurkannya. Mereka bersaksi dengan benar di mana sahaja mereka tinggal, di tepi laut, di puncak gunung, di dataran dan di tengah gurun…

Mereka berperang di jalan Allah melawan kezaliman dan para pengikutnya, para penjajah dan para pendukungnya. Mereka menyungkurkan Itali, sehingga ia lari bertempiaran dalam ketakutan dan kekalahan. Jadilah seperti datuk-datuk kalian dan buanglah si diktator dari kedua-dua sisinya. Sesungguhnya itu adalah amal yang akan ditulis di sisi Allah dan di sisi hamba-hambaNya dalam lembaran-lembaran yang putih bersih. Jadikanlah amalan ini sebagai amal kalian dan lembaran-lembaran itu menjadi lembaran-lembaran sejarah kalian. Allah bersama kalian dan Dia tidak akan mensia-siakan amalan kalian.

Wahai Cucu-Cucu Umar al-Mukhtar…Wahai Tentera Libya yang Mulia…! Sesungguhnya kalian mampu menyelesaikan masalah ini dengan menghumban diktator penumpah darah itu dan menyelamatkan tanah dan kehormatan umat Islam dari kegilaan dan halusinasinya…Dan pada masa yang sama, sesungguhnya kalian juga mampu menghalang campurtangan Barat dari kedua-dua sayapnya, Eropah dan Amerika, di negeri kalian. Janganlah kalian sia-siakan darah suci yang telah tertumpah. Janganlah sampai pengorbanan ini berlalu dengan sia-sia tanpa apa-apa hasil.

Hizbut Tahrir adalah antara yang awal mengorbankan darah suci dan takwa dalam pemerintahan diktator ini sejak tiga puluh tahun yang lalu. Seramai tiga belas orang syabab (pemuda-pemuda) pilihan dan terbaik Hizb telah syahid di tangan diktator durjana ini…Hizbut Tahrir menyeru kebangkitan tekad kalian untuk mencabut diktator Libya ini dari muka bumi dan membenamkannya ke perut bumi. Itu pun jika bumi yang baik ini tidak memuntahkannya kembali!

Wahai Cucu-Cucu Umar al-Mukhtar…Wahai Penduduk Libya…Wahai Tentera Libya yang Merdeka dan Mulia…! Darah suci kalian yang tertumpah di atas tanah Libya yang bersih menjerit meminta kalian agar memenuhi haknya. Oleh itu, jadikanlan harganya sebagai harga yang baik, bersih dan diberkati. Mahkotakanlah penentangan kalian dengan memberikan nusrah (pertolongan) kepada Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah Rasyidah yang akan menyebarkan keadilan di antara kalian, sehingga dengan itu penduduk bumi ini dapat merasakan kebahagiaan yang membuat iri para penghuni langit. Hizbut Tahrir mengingatkan kalian dengan kebaikan darah yang suci ini...

“Dan di hari (kemenangan) itu bergembiralah orang-orang yang beriman, kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendakiNya. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang”
 [TMQ ar-Rum (30):4-5].

Hizbut Tahrir
22 Rabiul Awal 1432H
25 Februari 2011M

PENGKHIANATAN KELUARGA SAUD

ARAB SAUDI DAN PENGKHIANATAN KELUARGA SAUD

 
[SN252] Angin perubahan di negara-negara Arab nampaknya semakin bertiup kencang dan kini telah mula menerjah ke Arab Saudi. Walaupun ia baru menampakkan bayangnya, namun arus kebangkitan yang bermula dari Tunisia ini sudah cukup untuk menakutkan penguasa Saudi. Arab Saudi menyaksikan perhimpunan rakyat yang pertama pada hari Jumaat lepas sebagai tanda tidak puas hati terhadap pemerintahan beraja keluarga Saud yang telah mencengkam bumi kelahiran Rasulullah itu sejak tahun 1932. Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menegaskan pada hari Sabtu lalu (5/3/2011) bahawa tindakan berdemonstrasi adalah dilarang di dalam kerajaan Arab Saudi kerana ia “bertentangan dengan syariat Islam.” Kementerian menyatakan bahawa pasukan keamanan mempuyai kuasa untuk mengambil “semua langkah-langkah” untuk mencegah “usaha-usaha yang mengganggu rejim”, demikian menurut sumber berita rasmi Arab Saudi.

Jurucakap kementerian juga menegaskan dalam sebuah kenyataan bahawa “peraturan yang diguna pakai dalam negara dengan tegas melarang segala bentuk demonstrasi, masirah (long march), mogok dan juga seruan, kerana semua itu bertentangan dengan prinsip syariat Islam, nilai-nilai dan norma masyarakat Saudi.” Kenyataan  tersebut mengatakan bahawa “pasukan keamanan sebagai alat rejim mempunyai kuasa untuk mengambil segala langkah-langkah yang diperlukan terhadap setiap usaha yang menggangu gugat rejim dengan apa jua cara sekalipun dan mengambil tindakan terhadapnya.” Menurut jurucakap itu lagi, langkah-langkah ini diambil memandangkan wujudnya usaha beberapa pihak untuk menghapuskan peraturan, arahan dan prosedur yang berkaitan dengan perkara tersebut bagi mewujudkan tujuan-tujuan yang tidak sah, iaitu merujuk kepada tindakan demonstrasi yang telah diadakan sebelum ini atau yang sedang dirancang oleh para aktivis untuk diadakan di Arab Saudi [moheet.com, 6/3/2011].

Arab Saudi merupakan salah sebuah negara di dunia Islam yang sangat strategik, terutama sekali kerana di negara tersebut terdapat Baitullah di Makkah yang menjadi pusat ibadah haji kaum Muslimin di seluruh dunia. Malah sejarah dan perjalanan Islam itu sendiri sememangnya tidak boleh dipisahkan dari wilayah Hijjaz itu kerana di sanalah Rasulullah SAW dilahirkan dan di sanalah Islam bermula sehingga menjadi peradaban besar dunia. Arab Saudi juga sering menjadi rujukan dalam bidang pendidikan Islam kerana di negara tersebut terdapat beberapa pusat pendidikan ulung seperti Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah dan Ummul Qura di Makkah yang menjadi tempat belajar ramai pelajar Islam dari seluruh dunia. Dari negara ini jugalah, munculnya gerakan Wahabi yang banyak membawa pengaruh dalam dunia Islam. Lebih jauh lagi, Saudi sering dianggap sebagai representasi model negara Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Itu dari satu sisi. Namun di sisi yang lain, Saudi juga merupakan negara yang paling banyak dikritik oleh dunia Islam. Sejak dari awal pembentukannya, negara ini dianggap sebagai pemberontak terhadap Khilafah Utsmaniyah. Sejarahnya juga penuh dengan pertumpahan darah terhadap lawan-lawan politiknya. Banyak pihak menjadi saksi terhadap tindakan keras yang dilakukan oleh rejim ini terhadap pihak-pihak yang menentang kekuasaan keluarga Saud. Bukan itu sahaja, Saudi juga dikecam kerana menyediakan negaranya untuk menjadi pangkalan militer AS. Kehidupan keluarga kerajaan Saud yang penuh dengan kemewahan yang melampau juga banyak menjadi perbincangan. Secara ekonominya, Saudi juga menjadi dambaan negara-negara kuasa besar dunia disebabkan faktor kekayaan minyaknya yang luar biasa.

Memberontak Terhadap Khilafah, Bersekutu Dengan British

Secara rasmi, Arab Saudi meraikan kemerdekaannya pada tanggal 23 September setiap tahun. Pada tarikh tersebut pada tahun 1932, Abdul Aziz (yang terkenal dengan gelaran Ibnu Saud) telah mengisytiharkan berdirinya Kerajaan Saudi Arabia (al-Mamlakah al-‘Arabiyah as-Su‘udiyah), sekaligus menghapuskan nama tanah ‘Hijjaz’ yang dikenali umat Islam selama ini. Abdul Aziz pada waktu itu berhasil menyatukan daerah-daerah kekuasaannya iaitu Riyadh, Najd, Ha-a, Asir dan Hijaz. Dia juga berjaya memanfaatkan fahaman Wahabi untuk mendukung kekuatan politiknya. Sejak awal lagi, dinasti Saud secara terbuka telah mengumumkan dukungannya dan menerima pakai sepenuhnya pemikiran Wahabi yang dicetuskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang kemudiannya dikenali dengan gerakan Wahabi. Dukungan ini kemudian menjadi kekuatan baru bagi dinasti Saud untuk melakukan penentangan terhadap Daulah Khilafah.

Gerakan Wahabi dan penguasa Saudi muncul pertama kali pada abad ke-18 di tengah-tengah keadaan yang kurang menguntungkan bagi Khilafah Utsmaniyah, baik secara internal mahupun eksternal. Secara internal, kelemahan Khilafah mulai membesar pada abad ke-18 disebabkan oleh buruknya penerapan hukum-hakam Islam, wujudnya pemikiran-pemikiran asing (seperti nasionalisme dan demokrasi) yang berjaya mengaburkan ajaran Islam dalam benak umat Islam dan lemahnya kefahaman Islam yang sangat ketara dengan adanya vakum ijtihad [Taqiyuddin An-Nabhani, Ad-Daulah Al-Islamiyyah, hal. 177].

Secara eksternal, negara-negara Eropah seperti British, Perancis dan Itali telah dan sedang berkonspirasi untuk menghancurkan Khilafah Utsmaniyah. Negara-negara Eropah tersebut berkali-kali berkumpul dan bersidang untuk membahaskan persoalan-persoalan yang mereka sebut sebagai Masalah Timur (al-mas’alah al-syarqiyyah). Hal ini dilakukan dengan tujuan untuk memecah dan membahagi-bahagikan tanah wilayah Khilafah mengikut kehendak mereka. Meskipun mereka tidak berhasil mencapai kata sepakat dalam pembahagian tanah tersebut, namun mereka sebulat suara bersetuju dalam satu perkara, iaitu Khilafah mesti dihapuskan. Demi menghancurkan Khilafah, negara-negara Eropah itu melakukan pelbagai bentuk serangan sehingga terpecah-belahlah wilayah-wilayah Khilafah. Selain Rusia yang yang telah menjajah Turkistan tahun 1884 dan berjaya memisahkannya dari wilayah Khilafah, Perancis sebelum itu telah menjajah Syam (Ghaza, Ramalah, dan Yafa) pada tahun 1799. Perancis juga telah merampas Al-Jazair (Algeria) tahun 1830, Tunisia tahun 1881 dan Marakesh (Maghribi) tahun 1912. Itali tidak ketinggalan dalam menduduki Tripoli (Libya) tahun 1911. Sementara British menguasai Mesir tahun 1882 dan Sudan tahun 1898 [Taqiyuddin An-Nabhani, Ad-Daulah Al-Islamiyyah, hal. 206-207].

Demikianlah serangan militer yang telah dilancarkan oleh Eropah untuk menghancurkan Khilafah dengan cara melakukan pemecahan wilayah-wilayahnya satu demi satu. Selain usaha langsung yang dilakukan dari luar, pelbagai cara juga telah ditempuh oleh Eropah untuk menghancurkan Khilafah dari dalam. Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam bukunya Kaifa Hudimat al-Khilafah (Bagaimana Khilafah Dihancurkan), terdapat empat cara yang digunakan iaitu: (i) meniupkan fahaman nasionalisme (ii) mendorong gerakan pemisah/separatisme (iii) memprovokasi umat untuk memberontak terhadap Khilafah (iv) memberi dukungan senjata dan dana untuk menentang Khilafah. Keempat-empat cara inilah yang telah digunakan oleh British untuk memukul Khilafah dari dalam melalui ejennya Abdul Aziz bin Muhammad bin Saud (w. 1830), yang mana si ejen ini memanfaatkan pula gerakan Wahabi untuk tujuan menghancurkan Khilafah. Seluruh usaha ini mendapat dukungan dana dan senjata dari British. Adapun dukungan gerakan Wahabi terhadap Abdul Aziz, ia sebenarnya terbentuk jauh sebelum itu iaitu sejak tahun 1744 ketika terjadinya kontrak politik antara ayah Abdul Aziz (Muhammad bin Saud) dengan pelopor gerakan Wahabi, Muhammad bin Abdul Wahhab. Kontrak politik ini berlangsung di kota Dir’iyyah, sehingga sering dikenali sebagai ‘Baiah Dir’iyyah’ [Tarikh Al-Fakhiri, tahqiq Abdullah bin Yusuf Asy-Syibl, hal. 25].

Melalui kontrak politik itu, Muhammad bin Saud mendeklarasikan dukungannya terhadap pemikiran dan gerakan Wahabi dan menerapkannya dalam wilayah-wilayah kekuasaannya. Dengan deklarasi ini, gerakan Wahabi yang sebelum ini hanya dikenali sebagai sebuah kumpulan dakwah telah berubah menjadi gerakan dakwah kekuasaan. Implikasinya, fahaman Wahabi yang sebelum ini hanya disebarkan melalui dakwah yang murni telah bertukar dengan disebarkan secara paksaan menggunakan kekerasan terhadap penganut mazhab-mazhab yang lain, terutamanya penganut mazhab Syafi’i [Kaifa Hudimat Al-Khilafah, hal. 16]. Ditambah dengan dukungan dana dan senjata dari British, penguasa Saudi dan puak Wahabi bahu-membahu memerangi dan menduduki negeri-negeri Islam yang berada dalam kekuasaan Khilafah. Dengan ungkapan yang lebih tegas, sebenarnya mereka telah memberontak terhadap Khalifah dan memerangi pasukan Amirul Mukminin dengan provokasi dan dukungan dari British [Kaifa Hudimat Al-Khilafah, hal. 13].

Penguasa Saudi dan Wahabi telah menyerang dan menduduki Kuwait pada tahun 1788, lalu menuju ke utara sehingga mengepung Baghdad, menguasai Karbala dan perkuburan Hussein (cucu Nabi SAW) di sana untuk menghancurkan kubur tersebut dan melarang orang ramai daripada menziarahinya. Pada tahun 1803, mereka menduduki Makkah dan tahun berikutnya (1804) mereka berjaya menduduki Madinah dan merobohkan kubah-kubah besar yang menaungi kubur Rasulullah SAW. Setelah menguasai Hijjaz, mereka menuju pula ke utara (Syam) dan mendekati Hims. Mereka berhasil menguasai banyak wilayah di Syria sehingga ke Halab (Aleppo) [Muwaffaq Bani Al-Marjih, Shahwah ar-Rajul Al-Maridh, hal. 285]. Menurut Zallum, serangan militer ini sebenarnya adalah tindakan imperialis British, kerana sudah diketahui umum bahawa penguasa Saudi adalah ejen British. Jadi, British telah memanfaatkan penguasa Saudi yang seterusnya memanfaatkan pula gerakan Wahabi untuk memukul Khilafah dari dalam dan mengobarkan perang saudara antara mazhab dalam tubuh Khilafah. Cumanya, seperti yang telah dijelaskan lebih awal, para pengikut gerakan Wahabi tidak begitu menyedari hakikat bahawa penguasa Saudi sebenarnya adalah ejen British. Mengapa? Ini adalah kerana menurut Zallum, hubungan yang terjadi bukanlah antara British dengan Muhammad bin Abdul Wahhab secara langsung, tetapi antara British dengan Abdul Aziz, kemudian antara British dengan anak Abdul Aziz, iaitu Saud bin Abdul Aziz [Kaifa Hudimat Al-Khilafah, hal. 14).

Persahabatan Dengan AS

Persahabatan Saudi dengan Amerika Syarikat (AS) bermula dengan penemuan telaga minyak di negara tersebut. Pada 29 Mei 1933, Standard Oil Company dari California telah diberi konsesi minyak selama 60 tahun oleh penguasa Saudi. Perusahaan ini kemudian berubah nama menjadi Arabian Oil Company pada tahun 1934. Pada mulanya, pemerintah AS tidak begitu peduli dengan Saudi. Namun, setelah melihat potensi minyak yang begitu besar di negara tersebut, AS dengan agresif berusaha untuk merangkul Saudi. Pada tahun 1944, Jabatan Luar Negeri AS menggambarkan Saudi sebagai ‘a stupendous source of strategic power and the greatest material prize in the world’s history’ (sumber yang menakjubkan dari kekuatan strategik dan hadiah material yang terbesar dalam sejarah dunia). Untuk kepentingan minyaknya, wakil khas perusahaan Aramco, James A. Moffet, menemui Presiden Roosevelt (April 1941) untuk mendorong pemerintah AS memberikan pinjaman hutang kepada Saudi. Hutang inilah yang menjerat Saudi menjadi ‘hamba’ kepada AS. Pada tahun 1946, Bank Eksport-Import AS memberikan pinjaman kepada Saudi sebanyak 10 juta dolar. Bukan itu sahaja, AS juga terlibat secara langsung dalam ‘membangunkan’ Saudi menjadi negara moden. Antaranya dengan memberikan pinjaman sebanyak 100 juta dolar untuk pembangunan landasan kereta api yang menghubungkan ibukota dengan pantai timur dan barat. Hutang yang terlalu besar ini kemudiannya semakin menjerat Saudi dengan lebih parah.

Konsesi lain yang diwujudkan melalui persahabatan Saudi-AS ini adalah penggunaan pangkalan udara selama tiga tahun oleh AS pada tahun 1943, yang sehingga kini ia terus dilanjutkan. Pangkalan Udara Dhahran merupakan pangkalan militer AS yang paling besar dan paling lengkap di Timur Tengah. Pangkalan inilah yang menjadi pangkalan strategik AS untuk menyerang negara kaum Muslimin Iraq dalam Perang Teluk II, dan ia terus beroperasi sehingga saat ini. Penguasa dari kalangan keluarga kerajaan Saudi dengan ‘sukarela’ membiarkan wilayahnya dijadikan pangkalan AS untuk membunuh sesama Muslim. Pada tahun 1947, ketika Putera Mahkota Emir Saud berkunjung ke AS, dia menerima penghargaan Legion of Merit atas khidmat jasanya kepada sekutu (AS) di sepanjang tempoh peperangan. Hingga kini, persahabatan Saudi dan AS terus berlangsung di mana Saudi senantiasa menyerahkan sepenuh taat setianya dan juga menyerahkan seluruh nyawa umat Islam kepada AS. Seluruh dunia menjadi saksi akan pengkhianatan penguasa Saudi terhadap umat Islam dan keakrabannya dengan AS yang merupakan musuh kaum Mukminin.

Salah satu kehebatan Arab Saudi selama ini adalah kejayaannya dalam menipu kaum Muslimin, dengan menonjolkan seolah-olah negaranya merupakan cerminan negara Islam yang menerapkan al-Quran dan Sunnah. Keluarga kerajaan Saud sering menampilkan diri mereka sebagai pelayan umat hanya kerana di negara mereka terdapatnya dua tanah suci, Makkah dan Madinah yang tidak putus-putus dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia. Saudi juga banyak memberikan bantuan kepada kumpulan-kumpulan Islam dan negeri-negeri umat Islam tertentu demi menonjolkan imej baik mereka sebagai ‘pelayan umat’ dan penjaga dua tanah haram (Khadim al-Haramain). Akan tetapi, dia lupa bahawa imej baik itu sesungguhnya semakin pudar hasil persahabatannya dengan AS sehingga sanggup mengorbankan dan mengkhianati kaum Muslimin. Seluruh dunia tahu bahawa Arab Saudi adalah pendukung penuh AS baik secara politik mahupun ekonomi dalam Perang Teluk II. Saudi juga menyokong serangan AS ke atas Afghanistan dan berada di sisi AS untuk memerangi teroris. Sudah terlalu nyata bahawa Saudi sentiasa berganding tangan dengan AS dalam kempen AS memerangi pengganas (baca: umat Islam).

Selain keakrabannya dengan syaitan besar AS, Saudi juga amat terkenal kejamnya terhadap gerakan-gerakan Islam yang mengkritik kekuasaannya. Ramai ulama yang berani dan soleh yang dipenjarakan hanya kerena mengkritik keluarga kerajaan dan pengurusannya terhadap umat. Selain itu, sikap joli keluarga Saud dengan gaya hidup kapitalisme sangat menyakitkan hati umat Islam. Mereka berjoli dengan segala kemewahan yang melimpah ruah, manakala pada saat yang sama mereka membiarkan rakyat mereka, rakyat Iraq, rakyat Palestin dan lain-lain hidup menderita akibat tekanan ekonomi, penindasan dari penguasa sendiri dan juga tekanan dari AS. Kerajaan Saudi tidak akan berkompromi dengan mana-mana rakyat yang mengkritiknya, malah kewujudan parti politik juga diharamkan sama sekali sejak dari mula ia memerintah lagi. Dalam masa yang sama, atas alasan menjaga keamanan keluarga dan kerajaan, mereka menghabiskan jutaan dolar dalam melakukan kerjasama militer dengan AS dan menempatkan (ketika ini) lebih daripada 5000 anggota tentera AS di Arab Saudi.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya senarai pengkhianatan keluarga Saud tehadap umat Islam ini amatlah panjang yang tidak akan habis untuk diungkapkan. Begitulah kerajaan Saud...semasa mereka merampas kekuasaan dari Khilafah yang sah dahulu melalui rampasan kuasa secara kekerasan, mereka tidak pernah bertanya sama ada hal itu bertentangan dengan syariat Islam ataupun tidak (walhal hal itu jelas-jelas bertentangan dengan Islam). Lalu kini, mereka mengatakan bahawa sesiapa yang cuba untuk melakukan demonstrasi kerana ingin menggulingkan kerajaan, hal ini adalah tidak sah menurut syarak!!! Justeru, sedarlah wahai kaum Muslimin terhadap pengkhianatan dan putar belit penguasa Saudi dan juga penguasa-penguasa umat Islam yang lain. Mereka telah memerintah umat Islam dengan menggulingkan pemerintahan Khilafah yang sah dahulu, lalu mereka mengatakan bahawa rampasan kuasa, pemerintahan serta sistem kufur yang mereka terapkan selepas itu sebagai ‘sah’!!! Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa kita semua kini perlu dan wajib kembali kepada sistem pemerintahan yang sebenar, dan satu-satunya sistem pemerintahan Islam yang sah menurut syarak adalah sistem Khilafah. Buanglah kesemua rejim yang menindas kalian selama ini dan InsyaAllah penggantian rejim dan sistem ini (dari sistem kufur kepada sistem Islam) akan berlaku apabila kalian semua menginginkannya. Keputusan adalah di tangan kalian. Walau sehebat dan sekuat mana sekalipun rejim yang memerintah, kalian sesungguhnya berkuasa untuk merobohkannya jika kalian ingin berbuat demikian. Maka marilah kita sama-sama meruntuhkan sistem kufur ini melalui thariqah (jalan) sebagaimana Rasulullah SAW telah meruntuhkannya di Makkah dahulu, sehinggalah Daulah Islam tertegak secara sah di muka bumi ini.

DNA MENJADI BUKTI?

BOLEHKAH DNA MENJADI BUKTI?
 
 [SN253] Kes perbicaraan liwat yang membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari sedang hangat berlangsung sekarang. Kes yang disifatkan Anwar sebagai penuh konspirasi ini kini mengundang kekecohan berikutan keengganan ketua pembangkang itu untuk menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA)nya. Pada perbicaraan 17 Februari lepas, menurut keterangan ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong, analisis DNA di bahagian atas rektum (dubur) Mohd. Saiful Bukhari Azlan menunjukkan kehadiran DNA dia sendiri dan DNA seorang lelaki lain yang dilabelkan sebagai ‘Lelaki Y’ yang merupakan penyumbang DNA yang dominan.

DNA ‘Lelaki Y’ juga ditemui pada seluar dalam kelabu kepunyaan Saiful. Beliau seterusnya berkata, analisis DNA di sekitar perianal (bahagian luar dubur) pengadu pula menunjukkan campuran DNA yang disumbangkan oleh Saiful, Lelaki Y dan seorang lagi lelaki [UM 17/02/11]. Pada hari perbicaraan berikutnya, Dr. Seah menyatakan bahawa dia tidak mengetahui siapa penyumbang profil DNA ‘Lelaki Y’ yang ditemui itu kerana dia hanya menerima sampel tompokan darah milik Mohd. Saiful Bukhari sebagai perbandingan profil DNA dan tiada sampel lain diperoleh untuk analisis yang dijalankannya [UM21/02/11]. 

Dalam perkembangan yang berkaitan, desakan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA secara sukarela bagi menyelesaikan misteri lelaki ‘Y’ terus disuarakan lebih 30 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun di Hotel Grand Seasons. Malah, kesemua yang hadir pada perhimpunan anjuran Gabungan NGO Malaysia (GNM) itu turut sependapat meminta mahkamah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kuasa bagi mendesak Ketua Pembangkang tersebut berbuat demikian sekiranya beliau masih berdegil [UM 17/03/11]. 

Di Nibong Tebal Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dengan kerjasama PAS dan DAP mengadakan demonstrasi membantah tindakan sesetengah pihak yang disifatkan cuba mempolitikkan isu DNA Anwar. Ketuanya, Amir Md Ghazali ketika mengetuai demonstrasi aman di perkarangan tol Jawi pada 16 Mac lepas, berkata, bantahan yang diadakan oleh badan bukan kerajaan atau NGO kebelakangan ini adalah didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). 

Dalam masa yang sama di dewan parlimen, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli membangkitkan isu pertuduhan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat yang mencetuskan kemarahan anggota parlimen kerajaan. Perdebatan tercetus selepas Hatta dalam perbahasan Titah Diraja, menyentuh kempen yang akan dibuat PKR sebagai respons kepada isu liwat membabitkan Ketua Pembangkang yang bertemakan DNA-Datuk Najib Altantuya [harakahdaily.net]. 

Sautun Nahdhah siri 207 (tajuk: Anwar Saiful Dan...) telah pun menyentuh isu perbicaraan liwat Anwar-Saiful yang tidak dijalankan mengikut Islam dan kali ini, kita akan membincangkan satu lagi kesalahan perbicaraan yang dilakukan oleh mahkamah taghut ini dari aspek ‘pembuktian’ (al-baiyyinat) yang digariskan oleh Islam.

Jenis-jenis Pembuktian Di Dalam Islam

Hukum-hukum pembuktian (ahkam al-bayyinaat) menurut Islam adalah sama seperti halnya hukum-hukum Islam yang lain, di mana, ia merupakan hukum-hukum syarak yang digali dari dalil-dalil yang bersifat tafsiliyyah (terperinci). Syeikh Ahmad ad-Da’ur mendefinisikan ‘bukti’ (al-baiyyinat) sebagai ‘semua hal atau perkara yang dapat membuktikan sesuatu dakwaan’. Bukti juga merupakan hujah bagi orang yang mendakwa atas dakwaannya. Islam menjelaskan bahawa al-baiyyinat (bukti) itu terdiri dari 4 jenis iaitu:-

(i) Pengakuan 
(ii) Sumpah 
(iii) Kesaksian 
(iv) Dokumen-dokumen bertulis yang meyakinkan. 

Keempat-empat bukti di atas adalah bukti-bukti yang telah ditetapkan oleh syarak dan tidak ada bukti-bukti yang lain yang diiktiraf oleh syarak selain dari 4 kategori bukti di atas. Banyak pihak yang masih terkeliru yang menganggap bahawa ‘indikasi’ (qarinah) adalah bukti, walhal qarinah tidaklah termasuk sebagai bukti menurut syarak [Syeikh Ahmad ad-Da’ur, Ahkam al-Baiyyinat Fil Islam].

Untuk mengatakan/memasukkan sesuatu itu sebagai baiyyinat (bukti), maka ia hendaklah berdasarkan dalil, bukannya berdasarkan akal, apatah lagi berdasarkan undang-undang taghut yang ada sekarang. ‘Pengakuan’ (al-iqrar) telah ditetapkan (sebagai bukti) berdasarkan nas yang jelas, yang tercantum di dalam Al-Quran dan juga Hadis. Allah SWT berfirman, 

“Dan  (ingatlah) ketika Kami mengambil janji dari kamu (iaitu) kamu tidak akan menumpahkan darahmu (membunuh orang) dan kamu tidak akan mengusir dirimu (saudaramu) dari kampung halamanmu, kemudian kamu berikrar (akan memenuhinya) sedang kamu mempersaksikannya” [TMQ al-Baqarah (2):84]. 

Maksudnya, kemudian kalian berikrar (memberi pengakuan) dengan isi perjanjian tersebut dan kebenarannya. Dan Allah SWT telah menetapkan bahawa iqrar (pengakuan) mereka, lalu iqrar mereka menjadi hujah bagi mereka. Dalam hadis tentang Ma’iz telah disebutkan dari Ibnu ‘Abbas, 

“Bahawa Nabi SAW  bertanya kepada Ma’iz bin Malik, ‘Apakah benar apa yang telah disampaikan kepadaku tentang dirimu?’ Ma’iz bertanya kembali, ‘Apakah yang telah disampaikan kepadamu tentang diriku?’ Nabi SAW menjawab,  ‘Telah sampai berita kepadaku bahawa engkau telah berzina dengan hamba perempuan keluarga si fulan’. Ma’iz menjawab, ‘Benar’. Kemudian bersaksilah empat orang saksi. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar Ma’iz direjam. Maka direjamlah Ma’iz.” 

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW bersabda, 

“Wahai Unais (seorang lelaki dari Bani Aslam)! Temuilah wanita itu, jikad ia mengaku, maka rejamlah dia.”

‘Sumpah’ (al-ayman) telah ditetapkan dalilnya (sebagai baiyinnah) baik di dalam Al-Quran mahupun As-Sunnah. Allah SWT berfirman, 

“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Barangsiapa yang tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya adalah puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar)” [TMQ al-Maidah (5):89]. 

Di dalam hadisnya, Rasulullah SAW bersabda, 

“Bukti itu wajib bagi orang yang mendakwa sedangkan sumpah itu wajib bagi orang yang mengengkari(menafikan)nya.”

‘Kesaksian’ (syahadat) juga telah ditetapkan dalilnya (sebagai baiyyinah), baik dalam Al-Quran mahupun As-Sunnah. Allah SWT berfirman, 

“Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki di antara kamu. Jika tak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan” [TMQ al-Baqarah (2):282]. 

Nabi SAW bersabda, 

“Dua saksi dari kalian atau sumpahnya.”

Sedangkan ‘dokumen-dokumen bertulis’ telah ditetapkan dalilnya (sebagai baiyyinah) di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman, 

“Dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil mahupun besar sampai batas waktu membayarnya. Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (Tulislah muamalahmu itu), kecuali jika muamalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu tidak menulisnya” [TMQ al-Baqarah (2):282]. 

Ayat ini menunjukkan bahawa bukti-bukti bertulis, baik berupa dokumen-dokumen perdagangan, laporan-laporan tertulis dan lain-lain adalah termasuk dalam kategori bukti-bukti (al-baiyyinat) secara syar’ie. 

Kesemua jenis baiyyinat yang telah disebutkan di atas adalah digali (dan telah ditetapkan) dalilnya dari Al-Quran dan juga As-Sunnah. Sedangkan indikasi (qarinah) tidak dianggap (tidak termasuk) sebagai sebahagian dari baiyyinat secara syar’ie, tidak kira samada qarinahnya bersifat qat’ie (pasti) mahupun tidak. Sebab, tidak ada satu dalil/nas pun yang menunjukkan bahawa ‘indikasi’ (qarinah) merupakan baiyyinah yang syar’ie. Baiyyinah tidak diakui sebagai baiyyinah yang syar’ie kecuali ada dalil yang menetapkannya atau termasuk sebahagian dari dalil-dalil. Oleh kerana itu, seorang detektif/penyiasat atau anjing pembantu tidak termasuk sebagai baiyyinat yang syar’ie. Walaupun benar bahawa qarinah seorang detektif atau anjing pembantu dan sebagainya boleh digunakan untuk menyelidiki/menyiasat suatu kejadian, akan tetapi ‘penyelidikan/siasatan’ dan ‘bukti’ adalah dua hal yang berbeza. Pelbagai hal mungkin sahaja boleh digunakan untuk menyiasat, misalnya ‘ucapan’ seorang pembunuh yang menuduh bahawa orang lain (si fulan bin si ulan) adalah orang yang membunuh. Ucapan ini boleh sahaja digunakan untuk menyiasat si fulan, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai bukti atas suatu dakwaan. 

Rasulullah SAW ketika bertanya tentang seorang jariyah (hamba perempuan) yang terbunuh, siapakah yang telah membunuhnya, kemudian disebut nama si fulan dan si fulan, yang mengisyaratkan kepada nama seorang Yahudi, baginda tidak menetapkan ucapan itu sebagai baiyyinah meskipun baginda tetap melakukan penyiasatan terhadap lelaki Yahudi tersebut berdasarkan apa yang didengarnya tadi. Selanjutnya, lelaki Yahudi itu dipanggil dan dia mengakuinya, maka Yahudi itu pun dibunuh (qisas). Demikianlah kedudukan qarinah  atau yang sejenisnya yang harus diselidiki terlebih dahulu, tetapi tidak boleh dijadikan sebagai bukti.

Adapun tentang keterangan atau maklumat yang diperolehi dari orang-orang yang ahli/pakar, laporan-laporan yang jelas dan terang dari pakar dan sebagainya, kesemua hal ini tidak termasuk sebagai baiyyinah. Kesemuanya hanyalah sekadar informasi (khabar) dan khabar ini boleh dibangun di atas dasar dzan (sangkaan kuat) dan dalam masalah ini ia cukup disandarkan kepada berita ahad (berita yang tidak sampai ke darjat yang meyakinkan). Namun khabar ini tetap tidak boleh dijadikan sebagai baiyyinah untuk memperkuatkan dakwaan. Khabar hanya boleh dijadikan penguat untuk menguatkan salah satu perkara dari perkara-perkara dakwaan. Bagi orang yang memberikan khabar tersebut, sah untuknya menyampaikan khabarnya berdasarkan dzan (sangkaan kuat)nya. 

Bolehkah DNA Dijadikan Bukti?

Perkembangan sains dan teknologi pada hari ini telah melahirkan satu lagi hasil kajian sains yang digunakan di mahkamah iaitu penggunaan DNA sebagai bahan bukti. Ia telah banyak digunakan di mahkamah-mahkamah di seluruh dunia sebagai bukti sama ada untuk mensabitkan atau melepaskan seseorang dari suatu dakwaan. Di Malaysia, rang undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 18 Ogos 2008 oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Ia bertujuan mewajibkan suspek kes jenayah memberikan sampel DNA mereka kepada pihak berkuasa dan jika rang undang-undang itu diluluskan, tertuduh dan suspek kes jenayah yang enggan memberi sampel DNA boleh dikenakan hukuman. Apa yang pasti, rang undang-undang ini mula dibentangkan di Parlimen sebaik sahaja kes liwat yang membabitkan Anwar Ibrahim ingin dimulakan. Namun hingga ke hari ini, tidak kedengaran perkembangan terkini tentang rang undang-undang ini. 

Apa pun, melihat kepada perbicaraan liwat Anwar sekarang, UMNO-BN kini sedang berusaha dan sedang memperkudakan NGO-NGO pro-kerajaan untuk mendesak mahkamah dan polis campurtangan untuk mendapatkan DNA ahli parlimen Permatang Pauh itu. Persoalannya, bolehkah DNA dijadikan bukti di mahkamah untuk mensabitkan seseorang (dalam kes ini, Anwar)? Berdasarkan apa yang telah diterangkan di atas, sesungguhnya ‘bukti’ di dalam Islam itu hanyalah empat jenis sahaja dan tidak lebih dari itu. Selain empat jenis tersebut, apa yang relevan yang dikemukakan kepada mahkamah hanyalah boleh menjadi qarinah tetapi tidak boleh digunakan sebagai ‘bukti’ untuk mensabitkan seseorang.

Menggunakan qarinah untuk mensabitkan seseorang adalah salah dari sisi Islam dan merupakan suatu kezaliman. Ahkamul bayyinat (hukum-hukum pembuktian) di dalam Islam telah pun jelas dan sempurna sejak zaman Rasulullah lagi dan tidak boleh ditokok tambah dengan sains dan teknologi. Ini bukan bermakna bahawa Islam menolak sains tetapi sains mestilah digunakan bersesuian dengan Islam. Walaupun terbukti bahawa sains banyak membantu dan amat bermanfaat untuk manusia, tetapi sains hendaklah tunduk kepada Islam, bukannya Islam yang tunduk kepada sains. Dalam sains itu sendiri masih boleh wujud kesilapan dan ketidakpastian dan hal ini sering terjadi dan sentiasa sahaja ditemui di mana-mana. Justeru, menghukum seseorang berdasarkan sains, selain menyalahi hukum syarak, akan menyebabkan kezaliman kepada si tertuduh.

DNA sememangnya boleh dijadikan qarinah untuk menyokong sesuatu pertuduhan, namun DNA tidak boleh sekali-kali digunakan untuk mensabitkan seseorang itu dengan kesalahan. Ini kerana, qarinah tidak termasuk salah satu dari jenis ‘bukti’ secara syar’ie. Qarinah dan baiyyinah adalah dua perkara yang berbeza dan mesti dibezakan. Qarinah merupakan satu hal yang boleh menunjukkan berlakunya sesuatu yang ingin dibuktikan, tetapi ia bukanlah bukti secara tersendiri. Contohnya di dalam kes zina, Islam telah pun menetapkan hukum pembuktiannya yang tersendiri iaitu dengan tiga cara yakni:-

(i) mesti mendatangkan empat orang saksi (lelaki). Tidak cukup dengan empat saksi, Islam menetapkan lagi bahawa kesemua saksi itu mestilah melihat dengan jelas kejadian zina itu umpama ‘timba masuk ke dalam perigi’ 

(ii) ‘pengakuan’ dari penzina itu sendiri 

(iii) khusus bagi perempuan, bukti kehamilannya, dengan syarat perempuan itu disahkan belum berkahwin dan tidak ada bukti bahawa dia dirogol atau masuknya air mani lelaki ke dalam farajnya dengan cara lain selain perzinaan. 

Justeru, sekiranya ketiga-tiga cara pembuktian ini tidak wujud atau gagal dibuktikan, maka ia tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina. 

Katalah terbukti sekalipun melalui kaedah DNA di mana terdapat DNA (atau air mani) seorang lelaki di dalam farajnya, keadaan ini hanyalah menjadi ‘qarinah’ bahawa telah terjadi perzinaan di antara lelaki dan wanita terbabit. Inipun hanyalah kemungkinan sahaja, kerana dari segi fakta, boleh sahaja air mani masuk ke dalam faraj seseorang wanita melalui cara lain (tanpa perzinaan). Namun, apa yang lebih penting adalah persoalan baiyyinat yang perlu diperhatikan! Tanpa adanya empat orang ‘saksi’ atau ‘pengakuan’ dari perempuan atau lelaki yang berzina itu, maka dia tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina atau dengan kata lain dia tidak boleh dihukum kerana tidak ada ‘bukti’ bahawa dia telah berzina. Tidak ada bukti kerana tidak adanya ‘pembuktian’ yang ditetapkan oleh nas, untuk membolehkan dia disabit atau dihukum dengan kesalahan zina. Yang wujud hanyalah qarinah yang menunjukkan bahawa mungkin telah berlaku ‘aktiviti’ zina (melalui pengesahan DNA dari air mani), namun ‘pembuktian’ (baiyyinat) zina langsung tidak wujud! 

Begitulah juga dengan kes liwat di mana berdasarkan hukum pembuktian di dalam Islam, liwat hanya akan terbukti dengan:-

(i) pengakuan atau 

(ii) kesaksian 2 orang saksi atau seorang lelaki dan dua orang perempuan (yang adil). Sekiranya tidak dapat dibuktikan melalui dua cara ini, maka kes liwat sebenarnya tidak terbukti dan tertuduh mesti dilepaskan. 

Sekiranya benar sekalipun tertuduh melakukan liwat (tanpa dapat dibuktikan), walaupun dia terlepas di dunia, namun dia sekali-kali tidak akan terlepas di akhirat.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Seperkara yang kita perlu ingat ialah, sekiranya DNA boleh dijadikan sebagai bukti (untuk menjatuhkan hukum), maka ini secara automatik akan menjadikan hukum syarak tentang pembuktian seolah-olah tidak ada nilainya. Kenapa? Kerana keperluan ‘empat atau dua orang saksi’ sudah tidak lagi diperlukan, cukuplah dgn DNA untuk membuktikan segala-galanya! Padahal keperluan dua atau empat saksi adalah ketetapan dari Allah SWT secara qath’i di dalam Al-Quran. Dengan demikian, mana-mana hakim yang memutuskan kesalahan seseorang hanya berdasarkan DNA, maka dia sesungguhnya telah menyalahi ketetapan dari Allah dan ini merupakan suatu kezaliman. Na’uzubillah min zalik. Sesungguhnya tidak akan pernah wujud keadilan selama-lamanya selagi mana sesuatu kes itu dibicarakan menurut undang-undang manusia, bukannya undang-undang Allah. Justeru, pertelagahan demi pertelagahan yang muncul dalam kes ini, segalanya akan mengundang kepada kesia-siaan selagi mana ia diperdebatkan di sepanjang koridor sekularisme! Justeru, marilah kita sama-sama berusaha menukar sistem taghut  ini kepada sistem Islam agar semua pihak akan benar-benar mendapat keadilan.

VIDEO LUCAH

VIDEO LUCAH: POLITIK SEKULAR SEMEMANGNYA MENJIJIKKAN!!!
 

[SN254] Bersempena dengan pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak pada Isnin lepas, Malaysia turut dihidangkan dengan satu lagi episod skandal seks yang dikatakan membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Belum pun habis perbicaraan kes liwatnya di mahkamah, kini menyusul pula sebuah lagi drama baru yang disifatkan oleh Anwar sebagai konspirasi pihak atasan untuk mengaib dan menjatuhkannya. Pada 21 Mac lepas, satu rakaman video aksi seks seorang lelaki yang didakwa pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur dipercayai dari China di sebuah hotel di ibu kota telah didedahkan kepada pihak media. Rakaman video hitam putih itu dimiliki dan didedahkan oleh satu kumpulan yang enggan dikenali dan diketuai oleh seorang yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Datuk T’. Menerusi video bertarikh 21 Februari lalu, aksi hubungan seks ahli Parlimen itu berlangsung selama kira-kira 19 minit.

Datuk T turut memiliki seutas jam tangan Omega yang dikatakan milik ahli politik itu yang didakwa diambil oleh wanita berkenaan semasa mengadakan hubungan seks pada tarikh tersebut dan menunjukkannya kepada wakil media sebagai bukti. “Jika beliau dan isteri tidak berundur daripada politik dalam masa tujuh hari selepas menerima salinan video tersebut, saya akan menyerahkannya kepada satu panel pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli forensik bagi menentukan keaslian rakaman itu. Selepas itu baru satu dunia tahu siapa beliau dan mengapa saya melakukan semua ini. Saya sudah muak dengan segala pembohongan, cukuplah dan kini masyarakat awam perlu mengetahui perkara sebenar,” tegas Datuk T [UM 22/03/11]. 

Apa pun motifnya, nampaknya tayangan percuma ini telah dijalankan dengan ‘prosedur’ yang amat ketat. Rakaman yang ditayangkan kepada wartawan dan pengarang media yang menggunakan komputer meja di sebuah bilik di Carcosa Seri Negara itu dilakukan secara berperingkat bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari. ‘Penonton’ juga terpaksa melalui pelbagai peringkat pemeriksaan ketat termasuk penggunaan alat pengesan logam selain diberi jubah untuk dipakai sebelum dibenarkan memasuki bilik itu. Malah, mereka terpaksa menyerahkan semua barangan seperti pen, buku nota, telefon bimbit dan kamera. Di akhir tayangan itu, Datuk T turut mengedarkan kenyataan akhbar bertajuk ‘Dato’ Seri Anwar Ibrahim’ yang antara lain menjelaskan bagaimana pita rakaman itu diperoleh. Anwar pada sidang media khas beberapa jam kemudian menafikan beliau adalah individu dalam adegan seks itu dan menyifatkan ia fitnah untuk memusnahkan karier politiknya [BH 22/03/11]. 

Dengan tersiarnya berita sensasi ini, beberapa orang ahli politik pengampu kerajaan terus sahaja melemparkan kenyataan yang mempercayai bahawa pelaku adegan seks tersebut adalah Anwar Ibrahim. Ada pula yang cuba menimbulkan keraguan kepada masyarakat atas tindakan pantas Anwar membuat sidang media yang menafikan beliau adalah orangnya. Tidak kurang yang berpendapat bahawa Anwar cuba mengalihkan isu ini dari perhatian orang ramai dengan isu DNA yang sedang dihadapinya. Terbaru, identiti Datuk T telah dikenal pasti apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik tampil dengan sidang media dan mengakui bahawa beliau dan dua orang rakannya, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang juga seorang ahli perniagaan dan Datuk Shuib Lazim, Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah mereka yang bergelar Datuk T yang merujuk kepada ‘Trio’ [UM 24/03/11].

Hukum Menonton Filem Porno

Sesungguhnya pendedahan video ini telah menjadi satu lagi bukti betapa jijiknya politik sekular yang diamalkan pada hari ini. Sebelum kita berbincang lebih lanjut tentang persoalan video lucah ini yang cuba dijadikan ‘bukti’ untuk menuduh seseorang dengan kesalahan zina, kita perlu merungkai terlebih dulu apakah hukum Islam tentang menonton video lucah. Menurut Syeikh Atha’ Abu Rasytah, hukum menonton filem porno atau apa jua bentuk filem lucah adalah haram, meskipun yang ditonton itu hanya dalam bentuk imej dan bukannya orang yang sebenar. Dalil keharamannya adalah berdasarkan kaidah fiqh ‘al-wasilah ila al-haram, haram’ (jalan/sarana yang boleh membawa kepada keharaman, hukumnya adalah haram). Menurut beliau, pemakaian kaedah ini tidak mensyaratkan bahawa sarana itu mesti mengakibatkan (menghasilkan) keharaman secara qath’ie (pasti), tetapi cukup sekadar adanya ghalabat az-dzan (dugaan kuat) bahawa sarana itu akan mengakibatkan keharaman. Pada umumnya, filem porno akan mendorong penontonnya melakukan keharaman (kerana ia boleh membangkitkan rangsangan seksual) sehingga boleh terjadinya keharaman yang lain (seperti muqaddimah zina dan perzinaan itu sendiri). Oleh itu, kaedah fiqh tersebut dapat diaplikasikan dalam keadaan ini yang menjadikan hukum menonton filem porno adalah haram [Ajwibah As’ilah, 10/10/2006]. 

Di dalam kes yang didedahkan oleh ketiga orang datuk ini pula, menonton filem tersebut bukan sekadar boleh menimbulkan kesalahan dari aspek di atas, malah ia boleh menyebabkan berlaku dan tersebarnya fitnah ke atas seseorang yang belum terbukti bersalah. Ternyata, sebelum Anwar diputuskan bersalah, telah pun wujud pihak-pihak yang telah meletakkan beliau di dalam kesalahan dengan menuduhnya sebagai ‘aktor’ di dalam filem tersebut. Ini menyalahi kaedah syarak yang masyhur yang berbunyi al-aslu bara’at az-dzimmah (seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan). Di dalam keghairahan pihak-pihak tertentu ingin ‘mengenakan’ ketua pembangkang itu, mereka umpama dirasuk syaitan kerana sudah tidak ada lagi perasaan malu dan takut untuk berbuat dosa. Dosa apakah yang dimaksudkan di sini? Dosa di dalam mengajak manusia untuk menonton filem lucah secara beramai-ramai!!! Tidak kiralah siapa pelaku dan pelakon di dalam filem jijik tersebut, menontonnya tetaplah merupakan suatu dosa, malah perbuatan mengajak dan menonton filem porno tersebut secara beramai-ramai itu, sungguh lebih jijik rasanya!!! Bagi yang mengajak, sesungguhnya sudah hilang maruah dan sifat malunya kepada Allah, dan bagi yang diajak pula, kenapakah sanggup memenuhi ajakan haram ini? Apa pun motifnya, sebelum pihak-pihak terbabit cuba membuktikan kesalahan dan dosa Anwar, mereka nampaknya telah terlebih dahulu menjerumuskan diri sendiri ke lembah hina dan dosa dan merekalah yang seharusnya dihukum terlebih dahulu!

Bolehkah Rakaman Video Dijadikan Bukti? 

Di dalam Sautun Nahdhah yang baru lepas (SN253) kami telah pun menerangkan bahawa “bukti” dalam kes zina hanya ada tiga jenis sahaja. Rakaman video tidak boleh dijadikan sebagai bukti dalam kes perzinaan. Ketiga-tiga jenis pembuktian tersebut adalah:-

(i) Pengakuan (al-iqrar) iaitu pengakuan daripada pelaku zina dengan pengakuan yang penuh kesedaran dan jelas (tanpa sebarang kesamaran) dan tanpa menarik balik pengakuan tersebut 

(ii) Kesaksian (asy-syahadah) iaitu kesaksian daripada empat orang lelaki Muslim yang adil, yang menyaksikan perzinaan berlaku dengan jelas, ibarat ‘timba masuk ke dalam perigi’ 

(iii) Khusus untuk perempuan, kehamilannya yang terhasil bukan dari perkahwinan yang sah [lihat juga Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hal. 17-19; Ahmad Ad-Da’ur, Ahkamul Bayyinat, hal. 19; Abdul Qadir ‘Audah, At-Tasyri’ al-Jina`i al-Islami, hal. 395-440]. 

Syeikh Abdurrahman al-Maliki menegaskan bahawa tidak ada lagi pembuktian lain untuk kes zina selain daripada yang tiga di atas. Beliau memberikan contoh bahawa kesaksian para doktor akan seorang perempuan yang hilang keperawanannya bukanlah merupakan bukti dan tidak boleh dijadikan bukti untuk kes perzinaan. Walaupun seseorang hakim telah yakin seratus peratus bahawa seseorang perempuan itu telah berzina hasil dari keterangan doktor-doktor tadi, namun hakim tetap tidak boleh menjatuhkan hukuman kerana tidak didukung oleh salah satu daripada tiga bentuk bukti di atas.

Terdapat hadis di mana pernah suatu ketika Rasulullah SAW telah meyakini bahawa seorang perempuan telah berzina tetapi baginda tidak menjatuhkan hukuman disebabkan ketiadaan bukti (tiga bentuk bukti di atas). Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

“Jika sekiranya aku dibolehkan untuk merejam seseorang tanpa bukti, nescaya sudah pasti aku akan merejam si fulanah itu, kerana dapat dilihat dari gelagat zinanya (melalui) cara percakapannya, gerak geri tubuhnya dan orang yang pernah menggaulinya” [HR Ibnu Majah, no 2559, lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut: Dar Ibn Hazm, hal. 1471, hadis sahih]. 

Justeru, jika Rasulullah SAW sendiri (yang diberi wahyu) tidak boleh menghukum seseorang tanpa bukti, maka apatah lagi dengan orang biasa, baik dia adalah seorang Khalifah mahupun seorang qadhi (hakim). Rasulullah SAW mengajar kita bahawa untuk menghukum seseorang, ia mestilah berdasarkan bukti dan ‘bukti’ yang dimaksudkan di sini adalah bukti yang syar’ie (yang boleh diterima oleh syarak) bukannya bukti menurut undang-undang taghut seperti yang diamalkan pada hari ini. 

Daripada penerangan nas-nas di atas, maka adalah jelas bahawa rakaman video tidak boleh dijadikan bukti untuk kes perzinaan, meskipun video tersebut telah dibuktikan dan disahkan keasliannya seratus peratus oleh pakar. Ini adalah kerana, pembuktian kes zina dengan cara ini adalah tidak sah secara syar’ie, kecuali dengan dibuktikan melalui salah satu daripada tiga cara pembuktian di atas. Walaupun video bukanlah alat pembuktian dalam kes perzinaan, namun demikian rakaman video tersebut boleh dimanfaatkan sebagai usaha untuk memperoleh pengakuan (al-iqrar) daripada si tertuduh yang melakukan zina. Usaha tersebut adalah dibolehkan selama mana cara yang digunakan untuk memperoleh pengakuan itu tidak dilakukan dengan paksaan (al-ikrah), baik secara paksaan fizikal (seperti pukulan) ataupun bukan fizikal (seperti ugutan). Ini adalah kerana syarat terpenting daripada pengakuan adalah ikhtiyar (tidak wujudnya paksaan). Perlu difahami bahawa walaupun video yang ada itu boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan pengakuan dari si tertuduh, namun ini sekali-kali tidak melepaskan orang yang terlibat di dalam membuat rakaman dan menyebarkan video tersebut, daripada dosa. 

Di dalam Islam, usaha untuk mendapatkan pengakuan adalah dibolehkan berdasarkan hadis riwayat Imam Tarmizi daripada Anas ra, bahawa pernah seorang Yahudi memecahkan kepala seorang hamba perempuan dengan batu dan mengambil alat perhiasannya. Lalu hamba perempuan yang hampir mati itu dibawa kepada Nabi SAW. Nabi SAW pun bertanya, 

“Siapakah yang (ingin) membunuhmu? Adakah si fulan si fulan?’ Perempuan itu memberikan isyarat (jawapan) ‘tidak’ dengan gerakan kepalanya. ‘Adakah si fulan si fulan?’ tanya Nabi SAW lagi, sehinggalah Nabi menyebut nama seorang Yahudi lalu perempuan itu mengiyakan dengan isyarat gerakan kepalanya. Nabi SAW pun meminta supaya dipanggil Yahudi tersebut dan dia pun mengakui perbuatannya. Nabi SAW kemudian memerintahkan supaya dipecahkan kepala Yahudi itu dengan dua batu” [Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut: Dar Ibn Hazm, hal. 1411, no 3031, hadis sahih]. 

Namun perlu diperhatikan di sini bahawa pengakuan hanya dikira sah apabila ia dilakukan secara sedar, suka rela dan tanpa paksaan dan yang lebih penting, ia hendaklah dibuat di hadapan qadhi di dalam mahkamah atau dalam sidang pengadilan, bukannya diluar sidang pengadilan. Pengakuan yang dibuat di luar sidang pengadilan adalah tidak diterima [Ahmad ad-Daur, Ahkamul Baiyyinat]. 

Di dalam prosiding di mahkamah, si tertuduh boleh ditanya sama ada dia mengaku bersalah atau tidak di atas pertuduhan yang dikenakan. Usaha ini boleh dijalankan melalui proses yang dikenali sebagai pemeriksaan balas (cross examination), iaitu dengan mengajukan bermacam-macam bentuk soalan kepada tertuduh berdasarkan qarinah (indikasi) yang ada (contohnya gambar, video dan sebagainya). Setiap jawapan penafian boleh disoal lagi dengan soalan balas yang lain, lalu dibandingkan dengan kesemua jawapan yang telah diberikan, sehingga tertuduh dapat merasakan bahawa sudah tidak ada satu ruang lagi pun untuk dia melakukan pembohongan. Juga, soalan-soalan boleh diajukan kepada tertuduh hasil dari testimoni beberapa orang penyiasat dan pakar-pakar, sehinggalah tertuduh mengaku secara sukarela bahawa dia telah melakukan kesalahan tersebut. Soalan-soalan boleh diajukan sehingga tertuduh tidak lagi dapat mengelak dari berbohong memandangkan jawapan yang diberikannya akan bertentangan dengan kesemua qarinah yang ada sekiranya dia berbohong. Dengan demikian, diharapkan agar tertuduh akhirnya akan mengakui perbuatannya secara sukarela. 

Namun, perlu diperhatikan di sini bahawa, walaupun terdapat percanggahan di dalam jawapannya (kerana pembohongannya), tetapi selama mana dia tidak mengaku salah atau tiada bukti lain yang menunjukkan dia bersalah, maka dia tidak boleh dihukum. Kerana untuk menghukum seseorang, wajib bagi qadhi memutuskannya berdasarkan bukti dan qadhi sekali-kali tidak boleh menghukum atau mensabitkan seseorang tanpa bukti yang syar’ie. Disimpulkan bahawa, meskipun rakaman video boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan pengakuan, namun, segala ini hendaklah berjalan di mahkamah, bukan di luar sidang pengadilan. Justeru, tindakan menayangkan video kepada orang luar adalah satu kesalahan yang jelas menurut Islam, apatah lagi apabila ia ditunjukkan kepada sekumpulan wartawan, hal ini jelas menunjukkan ada motif-motif tertentu yang ingin diraih, bukannya untuk mencari keadilan terhadap orang yang dituduh. Sekali lagi diingatkan dan ditekankan di sini bahawa mahkamah yang dimaksudkan di sini hendaklah mahkamah yang menjalankan hukum Islam, bukannya mahkamah sivil mahupun mahkamah syariah yang ada sekarang yang menjalankan hukum taghut (selain Islam).

Walaupun hukum asal menonton video lucah ini adalah haram, namun dikecualikan dari keharaman menonton filem ini adalah pihak-pihak yang mempunyai hajat syar’iyah  (keperluan syar’i), iaitu keperluan yang memang dibenarkan oleh hukum syarak untuk berbuat demikian. Misalnya qadhi (hakim) yang membicarakan kes, peguam (yang mewakili tertuduh), para pakar forensik dan pihak-pihak lain yang benar-benar perlu melihat video tersebut dalam rangka pemeriksaan (siasatan) untuk membuktikan kesahihannya. Pengecualian ini hanyalah sekadar untuk pemeriksaan, bukannya bertujuan untuk mendapatkan kenikmatan syahwat di dalam menontonnya. Hal ini dibenarkan berdasarkan dalil hadis dan Ijma’ Shahabat. Diriwayatkan ketika Nabi SAW mengangkat Sa’ad bin Muadz sebagai hakim untuk menghukum mati kaum lelaki Yahudi Bani Quraizah, Sa’ad telah membuka kain mereka untuk mengetahui sama ada mereka sudah baligh atau belum  [HR Al-Hakim dan Ibnu Hibban]. Pada zaman Khalifah Utsman, seorang pencuri lelaki telah tertangkap, lalu Utsman memerintahkan para sahabat untuk melihat aurat di balik kainnya. Ternyata bulu kemaluan si pencuri itu masih belum tumbuh menyebabkan Utsman tidak memotong tangan si pencuri [HR Baihaqi]. Perbuatan Utsman ini diketahui oleh para shahabat dan tidak ada yang mengingkarinya sehingga ia menjadi Ijma’ Shababat [Taqiyuddin an-Nabhani, an-Nizham al-Ijtima’i fi al-Islam, hal. 40]. Hadis-hadis ini membolehkan melihat aurat (secara langsung) sekiranya ada keperluan yang dibenarkan oleh syarak. Justeru, melihat ‘gambar/imej’ aurat seperti filem porno juga diperbolehkan dalam keadaan wujudnya keperluan yang dibenarkan syarak seperti pemeriksaan oleh hakim, peguam, para pakar dan seumpamanya. 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kekejian dan kejijikan politik sekular semakin hari semakin terserlah. Manusia sudah hilang sifat malunya, apatah lagi rasa takut kepada Allah, kesemuanya sudah tercampak jauh dari peribadi Muslim, hanya semata-mata kerana ingin meraih kepentingan tertentu. Cubaan dan usaha untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain sudah sebati dengan politik sekular dan telah lama mendarah daging dalam diri para politikus. Politik kini bukan lagi dijadikan hal-ehwal untuk mengurus rakyat mengikut kehendak Allah, tetapi ia digunakan untuk menjatuhkan sesama Muslim yang menjadi pihak lawan baginya. Di dalam politik sekular ini, sudah tidak ada lagi perasaan hormat-menghormati, persaudaraan dan kasih-sayang sesama Muslim....yang ada hanyalah perasaan benci dan dendam kesumat untuk menjatuhkan orang lain dan menaikkan diri sendiri. Inilah akibatnya apabila seseorang itu menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhannya. 

“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” [TMQ al-Furqan (25):43-44]. Na’uzubillah min zalik.

KEKEJAMAN DIKTATOR LIBYA

KEKEJAMAN DIKTATOR LIBYA DAN KEENGGANAN PARA PENGUASA KAUM MUSLIMIN MENOLONG LIBYA
 

[SN255] Sudah hampir dua minggu puak kuffar Barat melancarkan serangan ke atas Libya. Serangan besar-besaran Barat itu diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) dengan dibantu sekutu kuatnya Britain dan Perancis. AS langsung tidak mengendahkan kecaman dari Russia dan China yang tidak bersetuju dengan serangan tersebut yang disifatkan sebagai mencabul kedaulatan sebuah negara yang mempunyai kerajaan yang sah dan boleh mengundang ‘perang salib’. Serangan brutal Barat ke atas Libya ini dijustifikasi dengan resolusi 1973 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan sebarang bentuk tindakan demi menjaga keselamatan warga sivil Libya dari tindakan ketenteraan Qaddafi.

Melalui serangan terbaru ke atas negara di utara Afrika itu, sekali lagi kita menyaksikan tentera bersekutu Barat telah berjaya menceroboh tanah umat Islam atas dalih undang-undang antarabangsa! Siapa pun yang mempunyai mata hati sesungguhnya dapat melihat bahawa kemasukan AS dan sekutunya ke Libya bukanlah kerana ingin menyelamatkan orang awam atau menghapuskan kediktatoran Qaddafi atau memusnahkan persenjataan tentera Qaddafi, namun ia adalah disebabkan oleh keinginan Barat untuk terus menancapkan kekuasaannya ke atas negara umat Islam dan merampaskekayaan sumber minyak di negara tersebut. 

Hal ini sama sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Barat semasa melancarkan serangan ke atas Iraq dan Afghanistan. Ia bukanlah kerana ingin menghapuskan senjata pemusnah besar-besaran (weapon of mass destruction) atau menghapuskan penguasa diktator atau menyelamatkan orang awam, tetapi ia adalah dalam rangka usaha berterusan mereka untuk menguasai negara umat Islam yang terkenal kaya dengan sumber minyak. Kisah-kisah yang lalu menjadi bukti yang amat jelas bagaimana Baratlah yang telah menaikkan penguasa diktator ini dan ‘menjaga’ mereka, membekalkan senjata kepada mereka, membiarkan mereka membunuh rakyat sendiri, memuji mereka dan sebagainya, sehinggalah apabila penguasa diktator ini sudah tidak lagi diperlukan Barat, maka Barat berusaha untuk membuang mereka dengan apa cara sekalipun termasuklah membunuh mereka! Begitulah nasib para penguasa kaum Muslimin yang kejam.Para penguasa penyembah Amerika ini tidak pernah mahu mengambil pengajaran bahawa mereka cuma ibarat tisu kepada AS, yang diguna apabila perlu dan akan dibuang begitu sahaja apabila sudah digunakan.

Pada akhir abad ke 18 semasa Daulah Khilafah tercerai-berai dan selepas kejatuhan Daulah Khilafah secara rasmi pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924) sehinggalah sekarang, kuffar Barat yang dahulunya diketuai oleh Britain dan kini AS, telah melantik ejen-ejen mereka sebagai penguasa di negara-negara umat Islam. Ejen-ejen ini begitu setia dengan Barat dan memerintah mengikut apa yang Barat arahkan tanpa terpesong sedikitpun dari kehendak Barat. Ejen-ejen ini terkenal dengan kediktatoran dan kebrutalan mereka di mana mereka sanggup (dan telah) membunuh ramai pejuang Islam yang merupakan rakyatnya sendiri, demi memastikan mereka terus kekal berkuasa dan menjadi penyembah tuan mereka yang setia. 

Kita telah menyaksikan bagaimana sejak lebih 80 tahun lepas, Barat yang kononnya menampilkan dirinya sebagai pejuang hak asasi manusia, tetapi dalam masa yang sama menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada penguasa Muslim yang korup lagi brutal di dalam isu hak asasi manusia. Barat akan sentiasa berdiam diri, malah akan terus menyokong rejim yang jahat ini walaupun kekejaman penguasa ini disaksikan oleh seluruh dunia. Kita melihat bagaimana rejim Saudi, Mesir, Tunisia, Yemen, Syria, Pakistan, Bangladesh, Uzbekistan, Tajikistan dan banyak lagi yang terus mendapat sokongan Barat walaupun kesemua rejim ini terkenal sebagai pembunuh rakyatnya sendiri yang merupakan umat Islam. Inilah sikap hipokrit Barat yang jelas dapat dilihat walau oleh orang yang buta sekalipun!Namun satu hal yang pasti, Barat tidak akan berkompromi sedikitpun dengan ejen-ejen mereka yang bodoh ini apabila ejen-ejen ini sudah tidak dapat memberi manfaat kepada Barat. Inilah yang terjadi kepada Ben Ali dan Mubarak dan kini giliran Qaddafi pula untuk dicampak dengan cara yang hina oleh Barat!

Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan Barat untuk membuang para penguasa diktator ini. Umat Islam yang berada di bawah 57 buah negara gabungan OIC mempunyai kekuatan yang cukup untuk menghapuskan mana-mana diktator. Tentera Mesir sahaja sudah cukup untuk menjatuhkan Qaddafi yang kejam itu, dengan bilangan tentera yang jauh lebih ramai dan persenjataan yang jauh lebih banyak dan canggih berbanding Libya. Namun oleh kerana kesemua pemimpin umat Islam merupakan pengkhianat kepada umat di mana mereka langsung tidak mempedulikan nasib umat Islam di Libya (dan juga di lain-lain negara), maka Barat dapat masuk ke negara umat Islam dengan begitu mudah. Bukan sahaja pemimpin-pemimpin ini hanya pandai berpeluk tubuh melihat umat Islam dibunuh, malah lebih buruk, ada yang menyokong dan membantu memberikan kemudahan kepada tentera bersekutu Barat untuk menyerang Libya! Sungguh, para pemimpin umat Islam yang berjumlah lebih dari 50 orang ini sudah tidak boleh diharap dan sudah hilang ketakwaan dan rasa malu mereka kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukmin! Ternyata dan terbukti sekali lagi bahawa negara-negara OIC benar-benar hanya“Oh I See..” sahaja ke atas apa yang menimpa umat Islam di Libya. Sedarlah wahai kaum Muslimin akan pengkhianatan para pemimpin kalian terhadap saudara-saudara kalian!! 

Selain pengkhianatan terhadap umat dan kesetiaan para pemimpin ini kepada Amerika, kaum Muslimin juga seharusnya sedar dan seharusnya telah lama sedar bahawa track record Amerika dalam memasuki negara umat Islam sesungguhnya penuh dengan segala bentuk  kepentingan peribadi yang berselindung di sebalik pelbagai ucapan manis! Sejak AS masuk ke Afghanistan pada tahun 2001, sudah tidak terkira berapa ramai orang awam yang terbunuh (baca: dibunuh) oleh AS. Begitu juga di Iraq, sejak pencerobohan tentera AS di tanah kaum Muslimin itu pada 2003, sudah tidak terhitung jumlah orang awam yang menjadi korban keganasan AS. Di Pakistan pula, sehingga kini berita tidak habis-habis melaporkan jumlah warga sivil yang terkorban atas dalih AS untuk memerangi pengganas. Penjara-penjara kejam AS seperti Abu Ghraib, Baghram dan lain-lain penjara rahsia, sudah menjadi ‘rahsia umum’ sebagai tempat seksaan kejam tentera AS ke atas umat Islam. Justeru, adakah masih lagi wujud sebab untuk umat Islam mempercayai AS dalam usahanya memasuki Libya atas alasan menyelamatkan warga sivil?

Sebagai Muslim, kita hendaklah sedar bahawa campurtangan kuffar Barat ke atas negara-negara umat Islam adalah haram dan wajib ditolak. Dengan kebangkitan yang sedang rancak berlaku di negara-negara Arab ketika ini,  umat Islam seharusnya sedar, lebih-lebih lagi pihak tentera, bahawa kita langsung tidak memerlukan bantuan Barat untuk menjatuhkan pemimpin diktator. Tentera umat Islam yang berada di sekitar Libya seperti Mesir dan Algeria wajib bergerak untuk membebaskan Libya dari kejahatan Qaddafi, bukannya sekadar melihat dan membiarkan AS campurtangan dalam urusan umat Islam. Sekiranya tentera berdekatan tidak bergerak (dan ini merupakan dosa atas mereka), maka wajib pula atas tentera Muslim lainnya untuk pergi membantu umat Islam di Libya. Tidakkah para tentera ini sedar bahawa mereka wajib bergerak untuk membantu saudara seakidah mereka tidak kira di bumi mana sekalipun saudara mereka itu berada? Tidakkah para tentera ini membaca ayat-ayat Allah, 

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita mahupun anak-anak yang kesemuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau” [TMQ an-Nisa’ (4):75]?

Cukuplah! Kita sudah tidak lagi dapat mempercayai dan mengharapkan para pemimpin yang ada sekarang untuk menyelamatkan umat Islam. Kita benar-benar memerlukan seorang Khalifah yang akan menggerakkan bala tentera umat Islam ke mana sahaja adanya suara umat Islam yang merintih memerlukan bantuan. Hizbut Tahrir dengan ini sekali lagi menyeru agar kalian berusaha bersama-sama kami ke arah merealisasikan penegakan Daulah Khilafah yang merupakan janji Allah dan kefardhuan ke atas kita semua.

[Berikut adalah terjemahan surat yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir Pusat yang disebarkan ke seluruh dunia]
 
***************************************************************************

Diktator Libya Dengan Pembantaian Berdarahnya Dan Kelemahan Para Penguasa Kaum Muslimin Dalam Menolong Libya; Mereka Bersekutu Dalam Kejahatan Campurtangan Militer Perancis, Britain dan Amerika!

Sejak malam 19-20/3/2011, negara-negara Barat melakukan serangan udara dan melancarkan peluru-peluru berpandu dari laut ke pelbagai sasaran di Libya. Negara-negara Barat itu memanfaatkan kelemahan para penguasa kaum Muslimin, khususnya Mesir dan Algeria untuk menolong warga Libya dan menyelamatkan mereka dari pembantaian Qaddafi yang dilakukan kuncu-kuncunya dan orang-orang upahannya…

Sungguh, hal ini benar-benar satu tragedi, di mana sang diktator Libya dengan pembantaian berdarahnya, telah membuka ruang bagi campurtanganketenteraan Barat di Libya…Sungguh hal ini benar-benar satu tragedi, di mana para penguasa Arab, bahkan seluruh penguasa di negeri-negeri umat Islam, turut bersubahat dalam kejahatan tersebut dengan tidak menolong warga Libya untuk menghadapi diktator (Qaddafi)…Seharusnya para penguasa ini segera mengerahkan pasukan (tentera) untuk menolong Libya, sehingga kediktatorannya dapat dihancurkan dan campurtangan negara-negara Barat di negeri kaum Muslimin dapat dicegah…Dan sungguh hal ini benar-benar satu tragedi, di mana kaum Muslimintelah memasukkan ke dalam rumah-rumah mereka ‘ular berbisa’ untuk mengatasi bahaya!

Sesungguhnya si diktator Libya dengan pembantaian berdarahnya dan para penguasa yang tidak menolong warga Libya dari tangan diktator itu, telah bersekutu dalam kejahatan. Akibatnya, terciptalah alasan bagi Barat untuk melakukan campurtangan secara militer, setelah sebelumnya berlaku campurtangan secara politik melalui Resolusi PBB 1973 dengan dalih menyelamatkan warga sivil Libya. Padahal di saat yang sama, negara-negara Barat itu tidak pernah mengenal erti kemanusiaan, kecuali dengan sebuah ‘bayaran’. Bukan sebarang bayaran, tetapi bayaran keji yang merealisasi kepentingan-kepentingan mereka di negeri-negeri kaum Muslimin!

Wahai kaum Muslimin! Bagaimana saudara-saudara kalian boleh memiliki kehidupan yang tenang jika kalian melupakan firman Allah SWT, 

“Jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [TMQ al-Anfal (8):72]?

Bagaimana umat Islam akan memiliki kehidupan yang tenang jika kalian tidak menolong saudara-saudara seagama kalian yang sedang dizalimi oleh Qaddafi? Bagaimanakah kehidupan umat Islam akan baik jika umat Islam melupakan sabda Rasulullah SAW, 

“Seorang mukmin bagi mukmin yang lainnya laksana satu bangunan yang saling kuat menguat antara satu sama lain (sambil) baginda merapatkan jari-jemari baginda antara satu sama lainnya” [HR al-Bukhari]?

Bagaimana umat Islam boleh berdiri di atas kedua kakinya, sementara mereka tidak melihat kedatangan orang yang akan menyelamatkannya dari kediktatoran penguasanyasebaliknya yang datang adalah musuh-musuhnya sendiri?!

Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya musibah yang menimpa sebahagian umat ini adalah akibat para penguasanya. Ia juga adalah akibat sikap berdiamdiri sebahagian umat itu sendiri terhadap kejahatan-kejahatan para penguasa yang zalim dan diktator. Akibatnya umat ini pun ditimpa musibah berupa azab seperti yang terjadi selama ini, belum di akhirat, malah di dunia lagi! Dan sekarang umat Islam sedang melihat musuh-musuhnya mengebom negerinya, mengelilingi langitnya (dengan jet pejuang) dan melanggar kehormatannya, namun sebahagiannya masih tetap diam seolah-olah tidak mendengar firman Allah, 

“Dan peliharalah dirimu dari seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras seksaanNya” [TMQal-Anfal (8):25]. 

Jika orang yang zalim dihukum kerana kezalimannya, orang yang dizalimi pula mendapat seksa kerana sikap diamnya terhadap kezaliman. Abu Bakar as-Siddiq ra pernah berkata, aku mendengar Rasul SAW bersabda, 

“Sesungguhnya manusia, jika ia melihat orang berbuat zalim lalu ia tidak mencegahnya dengan kedua tangannya, maka hampir-hampir Allah meratakan azab dari sisiNya” [HR Ahmad]. 

Sesungguhnya para penguasayang berada di kerusi kekuasaan mereka yang palsu dan hampir roboh ini,dengan tanpa segan silu melakukan penumpahan darah, melayani musuh dan menjual negeri dan penduduknya. Bagi penguasa ini, singgahsana mereka adalah 'tuhan-tuhan' mereka. 

“Dilaknati Allah-lah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling?” [TMQ at-Taubah (9):30]. 

Si diktator Libya ini tahu bahawa rakyat sudah tidak lagi menginginkannya. Dia juga tahu bahawa British yang telah meletakkannya ke kerusi pemerintahan sejak 40 tahun yang lalu, akan mencampakkannya ke tepi jalan ketika peranannya telah selesai. Dan sekarang peranannya telah atau hampir telah selesai. Sesungguhnya telah banyak pengajaran dari yang lain dan seandainya si Qaddafi ini berakal, nescaya dia akan berundur dari pemerintahannya dan berlalu pergi. Tetapi dia memilih untuk berakhir di atas mayat-mayat kaum Muslimin di Libya dan mengundang campurtangan musuh-musuh kaum Muslimin, tanpa merasa malu kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukmin!

Wahai kaum Muslimin! Wahai para penguasa di negeri kaum Muslimin! Wahai penguasa Mesir al-Kinanah! Tiadakah di antara kalian orang yang cerdik dan sedar akan kewujudan suatu masalah sebelum masalah tersebut menjadi serius dan kritikal, lalu ia menggerakkan pasukan tenteranya ke Libya untuk menyelamatkan Libya dari diktator Qaddafi dan mengembalikan senyuman kepada warga Libya?Tiadakah di kalangan kalian orang yang cerdik sehingga ia boleh melenyapkan dalih yang boleh digunakan Barat untuk menjamah langit dan tanah Libya dengan pesawat-pesawat dan peluru-peluru berpandu mereka? Tiadakah di antara kalian orang yang cerdik, sehingga boleh menghentikan campurtangan militer Barat yang menghinakan kaum Muslimin ini? Sungguh, ini benar-benar sebuah tragedi! Dan inilah masalah dunia hari ini di mana orang yang dizalimi tidak menemukan orang yang boleh menyelamatkannya dari orang yang zalim, kecuali musuhnya sendiri! Apakah satu setengah bilion orang Islam tidak mampu menyelamatkan Libya dari kediktatoran Qaddafi, sehingga warga Libya terpaksa memilih musuh mereka untuk menyelamatkan mereka?!

Wahai kaum Muslimin! Belum tibakah masanya bagi kalian untuk memahami apa yang telah dan terus diserukan oleh Hizbut Tahrir, bahawa penegakan Khilafah sahajalahmerupakan satu-satunyacara yang akan menjaga negeri kaum Muslimin dan penduduknya (dari musuh) sekaligus dapat menghancurkan tulang belakang (kekuatan) musuh-musuhnya? 

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu laksana perisai dimana orang-orang berperang di belakangnya dan menjadikannya pelindung” [HR Muslim].

Wahai kaum Muslimin! Belum tibakah masanya bagi kalian untuk memahami bahawa umat Islam di bawah Khilafah dahulu selalu diminta pertolongannya oleh orang-orang yang dizalimi di dunia untuk menghilangkan kezaliman atas mereka? Namun di zaman sekarang ini, di bawah rejim-rejim boneka dan penguasa-penguasa bodoh (ruwaibidhah), umat Islam sudah tidak lagi mampu menghilangkan kezaliman dari dirinya sendiri. Meskipun demikian, semua peristiwaini telah mendorong berkumandangnya seruan pembebasan. Kegelapan malam akan berakhir danakan disusuli fajar, dengan izinNya. Sesungguhnya Islam memiliki gegaran hebat yang akan mendatangi para penindas dan musuh-musuh Islam dari arah yang tidak mereka sangka! 

“Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [TMQ Yusuf (12):21].
15 RabiulAkhir 1432H
20 Mac 2011M
Hizbut Tahrir