Sunday 30 March 2014

Antara Fiqh dan Syariat Islam

Rabu, 20 Mac 2013 13:01
Terdapat banyak cara yang dilakukan oleh orang-orang Barat kafir dalam usaha mereka untuk menghancurkan Islam. Salah satu daripadanya adalah dengan membezakan antara istilah fiqh dan syariat. Fiqh dianggap sebagai sesuatu yang relatif atau boleh dibanding-bandingkan, manakala syariat pula dianggap sebagai sesuatu yang mutlak dan baku. Fiqh dianggap tidak lebih daripada interpretasi manusia ke atas syariat  (yang banyak dipengaruhi oleh latar belakang ideologi dan situasi sosio-psikologi seseorang) dan ia bukannya dianggap sebagai syariat itu sendiri. Dengan kata lain, syariat adalah hukum Tuhan yang mana hanya Tuhan sendiri sahaja yang memahaminya, sedangkan fiqh adalah sekadar penafsiran manusia ke atas hukum Tuhan tersebut. Ia boleh berubah, berbeza dan beraneka ragam. Itulah beberapa pemahaman sebahagian daripada kaum Muslimin yang sudah terkeliru dalam memandang apakah itu fiqh dan syariat Islam. Persoalannya, adakah benar pendapat sedemikian?

Penulisan ini bertujuan untuk meluruskan kembali makna fiqh dan syariat dengan merujuk kepada penjelasan yang terdapat dalam kitab Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, jilid ketiga, karya Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di samping rujukan kepada beberapa kitab usul fiqh karya para ulama muktabar yang lain.

Pemahaman Keliru Tentang Fiqh dan Syariat Islam

Pertama, fiqh dianggap sebagai hukum syariat yang boleh berubah-ubah sesuai dengan situasi, waktu dan tempat. Antara hujah yang dijadikan dalih untuk mendukung anggapan ini adalah adanya qaul qadîm (pendapat terdahulu) dan qaul jadîd (pendapat terbaru) Imam asy-Syafi'ie serta adanya perbezaan fatwa hukum yang dikeluarkan oleh para ulama dalam sesuatu kes yang sama tetapi berlaku pada tempat, situasi dan waktu yang berbeza. Kenyataan ini dianggap sebagai bukti bahawa fiqh boleh berubah kerana perubahan tempat, situasi dan waktu.

Kedua, fiqh dianggap berbeza dengan syariat. Fiqh dikatakan digali daripada nas/dalil yang bersifat dzanni (sangkaan) yang mana ia boleh disesuaikan dengan situasi dan fakta realiti, manakala syariat pula digali daripada dalil yang qath‘i (jelas). Pemahaman fiqh seperti ini telah meletakkan fiqh sebagai sesuatu yang masih perlu untuk diterjemahkan (dan ia masih terus berjalan), sedangkan syariat pula sebagai sesuatu yang tidak boleh diterjemahkan. Bahkan, terdapat juga sebahagian umat yang menganggap bahawa syariat itu hanya diketahui oleh Allah SWT sedangkan manusia hanya mengetahui fiqh belaka. Oleh itu, istilah retorik seperti penerapan syariat Islam yang dipropagandakan oleh sebahagian gerakan Islam dianggap sebagai propaganda dangkal yang tidak sejalan dengan akal yang sihat. Bagi mereka, yang benar adalah menerapkan fiqh Islam dan bukannya menerapkan syariat Islam. Ini adalah disebabkan oleh pemahaman mereka bahawa kebenaran syariat itu bersifat mutlak dan hanya diketahui oleh al-Khaliq. Atas dasar itu, perjuangan untuk menerapkan syariat Islam adalah dianggap seperti memperjuangkan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan oleh manusia.

Ketiga, dilihat dari segi metodologi (sistem kaedah dan prinsip), sebahagian umat menganggap bahawa fiqh hanya sah digali berdasarkan fakta, situasi dan momentum yang sedang berkembang. Di samping itu, muncul juga anggapan bahawa dalil untuk masalah fiqh tidak harus didasarkan pada dalil-dalil syariat. Fiqh dikatakan bersifat fleksibel dan dinamik, tidak sama sebagaimana syariat. Akibatnya, perkara yang sudah jelas hukumnya masih boleh diinterpretasi berulang kali berdasarkan realiti dan kenyataan. Misalnya, keharaman kepemimpinan wanita dalam institusi negara boleh diubah menjadi halal dengan dalih fiqh sesuai dengan konteks realiti dan kepentingan politik. Anggapan seperti ini telah meletakkan fiqh pada darjat yang sangat rendah, bahkan cenderung untuk melecehkan fiqh itu sendiri. Ini adalah kerana mereka telah mensejajarkan fiqh dengan pendapat-pendapat yang lahir daripada hawa nafsu manusia dan kepentingan politik. Kemudian lahirlah apa yang dikatakan sebagai ‘fiqh realiti’ (fiqh al-wâqi‘), ‘fiqh keseimbangan’ (fiqh al-muwâzanah), ‘fiqh gerakan’ dan sebagainya, yang mana kesemuanya ini digali berdasarkan realiti semasa serta menggunakan metodologi istinbâth (penggalian hukum) yang bercelaru. Akhirnya, fiqh Islam hanya digunakan sebagai penjustifikasi fakta yang rosak yang bertentangan dengan syariat Islam.

Inilah beberapa anggapan keliru mengenai fiqh dan syariat yang sedang berjalan dalam pemikiran umat pada hari ini dan ia telah menjadi arus perdana pemikiran majoriti kaum Muslimin. Ironisnya, anggapan-anggapan salah seperti ini telah diuar-uarkan oleh sebahagian kaum Muslimin dengan dalih sebagai ‘pencerahan dan pembaharuan’ agama. Padahal, apa yang berlaku ini bukanlah pencerahan dan pembaharuan, tetapi sebaliknya ia adalah 'pemadaman dan penghancuran' Islam.

Kini kita perlu meletakkan kembali garis lurus di antara garis-garis yang bengkang-bengkok ini agar umat sentiasa berjalan di atas jalan yang lurus dan benar serta tidak mudah untuk berpaling kepada propaganda-proganda murahan yang disorongkan.

Menelusuri Kembali Makna Fiqh dan Syariat

Al-Ghazali berpendapat bahawa secara bahasanya, fiqh bermaksud al-‘ilm wa al-fahm (ilmu dan pemahaman). [Imam al-Ghazali, Al-Mustashfâ fî ‘Ilm al-Ushûl, hlm. 5. Lihat juga Imam al-Razi, Mukhtâr ash-Shihâh, hlm. 509; Imam asy-Syaukani, Irsyâd al-Fuhûl, hlm. 3; Imam al-Amidi, Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm, I/9]. Sedangkan menurut Taqiyyuddin al-Nabhani, secara bahasa, fiqh bermakna pemahaman (al-fahm). [Taqiyyuddin an-Nahbani, Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah, III/5]

Manakala makna fiqh secara istilah (syar'ie), para ulama mendefinisikan fiqh sebagai berikut:

Fiqh adalah pengetahuan tentang hukum-hakam syariat yang bersifat praktis (‘amaliyyah) yang digali daripada dalil-dalil yang bersifat rinci (tafshîlî). [An-Nabhani, ibid., III/5]

Fiqh adalah pengetahuan yang dihasilkan daripada sejumlah hukum-hakam syariat yang bersifat cabang (furu') yang digunakan sebagai landasan untuk masalah-masalah amal perbuatan dan bukan digunakan sebagai landasan dalam masalah akidah. [Al-Amidi, op.cit., I/9]

Fiqh adalah ilmu tentang hukum-hakam syariat yang digali daripada dalil-dalil yang bersifat rinci. [Asy-Syaukani, op.cit., hlm.3]

Manakala syariat/syariah (syarî‘ah) didefinisikan oleh para ulama usul sebagai berikut:
Syariat adalah perintah Asy-Syâri‘ (Pembuat hukum iaitu Allah SWT) yang berhubung dengan perbuatan-perbuatan hamba dan berkaitan dengan iqtidhâ‘ (ketetapan), takhyîr (pilihan) atau wadh‘i (situasi) (khithâb asy-Syâri‘ al-muta‘allaq bi af‘âl al-‘ibâd bi al-iqtidhâ‘ aw al-takhyîr, aw al-wadl‘i). [An-Nabhani, op.cit., III/31]
Syariat adalah perintah Asy-Syâri’ (Pembuat hukum) yang berhubung dengan perbuatan mukallaf (orang yang menerima kewajipan hukum)(khithâb asy-Syâri‘ al-muta‘allaq bi af‘âl al-mukallafîn). [Al-Amidi, op.cit.]

Syariat adalah perintah Asy-Syâri’ (Pembuat hukum) yang berhubung dengan perbuatan-perbuatan hamba (khithâb asy-Syâri‘ al-muta‘allaq bi af‘âl al-‘ibâd).[Al-Amidi, ibid., I/70-71]

Syariat adalah perintah Asy-Syâri’ (Pembuat hukum) yang berhubung dengan perbuatan-perbuatan mukallaf dan berkaitan dengan iqtidhâ’ (ketetapan), takhyîr (pilihan) atau wadh’i (situasi) (khithâb asy-Syâri‘ al-muta‘allaq bi af‘âl al-‘ibâd bi al-iqtidhâ‘ aw al-takhyîr, aw al-wadl‘i).[Asy-Syaukani, op.cit., hlm. 7]

Daripada penjelasan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa fiqh dan syariat adalah dua perkara yang sama sekali tidak boleh dipisah-pisahkan meskipun kedua-duanya boleh dibezakan. Kedua-duanya saling berkaitan dan berbicara dalam aspek yang sama yakni hukum syariat.

Fiqh adalah pengetahuan terhadap sejumlah hukum-hakam syariat yang digali daripada dalil-dalil yang bersifat rinci. Manakala syariat adalah hukum Allah yang berlaku terhadap benda dan perbuatan manusia. Menurut Imam al-Ghazali, fiqh mencakupi kajian terhadap dalil-dalil dan arah tuju yang ditunjukkan oleh dalil (makna) daripada tinjauan yang bersifat rinci. Contohnya, penunjukkan sebuah hadis terhadap makna tertentu, misalnya nikah tanpa wali secara khusus. [Al-Ghazali, op.cit., hlm. 5]. Manakala hukum syariat adalah perintah Asy-Syâri’ yang berhubung dengan perbuatan hamba, baik dengan iqtidhâ’, takhyîr mahupun wadh‘i.

Baik fiqh mahupun syariat, kedua-duanya harus digali daripada dalil-dalil syariat iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan Qiyas. Kedua-duanya tidak boleh digali daripada fakta mahupun situasi yang ada. Kedua-duanya juga tidak boleh diubah-ubah mahupun disesuaikan dengan realiti yang berkembang di tengah-tengah masyarakat. Sebaliknya, realiti masyarakat yang sepatutnya disesuaikan dengan kedua-dua fiqh dan syariat.

Syariat dan Fiqh Harus Ditetapkan Berdasarkan Dalil Syariat

Kesalahan anggapan pertama

Adalah tidak benar jika dinyatakan bahawa fiqh bersifat fleksibel dan boleh disesuaikan dengan situasi, tempat dan waktu, sedangkan syariat tidak. Ini adalah kerana kedua-dua fiqh mahupun syariat adalah hukum yang diistinbâth (digali) daripada dalil-dalil syariat untuk menghukum sesuatu fakta. Dengan kata lain, fiqh dan syariat harus ditetapkan berdasarkan dalil syariat semata-mata (al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan Qiyas) dan bukannya didasarkan pada kenyataan. Fiqh dan syariat itu lahir melalui proses penggalian (istinbâth) daripada dalil/nas, bukan lahir daripada fakta atau kenyataan yang ada.

Perbezaan fatwa dan pendapat yang pernah dikeluarkan oleh Imam Syafi'ie dalam kes yang sama disebabkan adanya perbezaan tempat dan situasi tidak boleh serta-merta dijadikan hujah untuk menunjukkan bahawa beliau telah menjadikan fakta dan situasi sebagai mashdar al-hukm (sumber hukum). Perlu difahami bahawa hakikat permasalahan yang wujud adalah berbeza dan ia tetap tidak sama. Oleh itu, hukum yang ditetapkan untuk fakta tersebut adalah berbeza. Malah, Imam Syafi'ie sendiri telah mengkritik dengan keras terhadap sesiapa yang berdalil dengan istihsân. Beliau menyatakan bahawa, “Sesiapa yang melakukan istihsân (menetapkan hukum berdasarkan fakta), maka ia telah membuat syariat. Dan sesiapa yang telah membuat syariat, maka sesungguhnya ia telah kafir.”

Kesalahan anggapan kedua

Fiqh sememang berbeza dengan syariat, tetapi bahan pembahasannya adalah sama, yakni hukum-hakam. Dengan kata lain, baik fiqh ataupun syariat, ia sama-sama harus lahir daripada dalil syariat dan bukannya daripada fakta atau realiti yang ada. Pendapat yang menyatakan bahawa fiqh boleh disesuaikan dengan fakta harus ditolak kerana sumber daripada fiqh adalah al-Quran, as-Sunnah, Ijma' Sahabat dan Qiyas sahaja. Namun begitu, apabila seseorang faqih (ahli fiqh) hendak menghukum sesuatu fakta atau realiti, ia tidak cukup dengan hanya memahami nas-nas syariat belaka, tetapi ia juga harus memahami realiti tersebut. Ini diperlukan agar hukum dan realiti yang ingin dipadankan adalah sesuai dan sejalan.  

Anggapan bahawa syariat itu hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja adalah anggapan yang sangat keliru dan dangkal. Bahkan, pandangan seperti ini telah menunjukkan bahawa orang tersebut tidak memahami fiqh dan syariat secara mendalam. Walhal terdapat banyak ayat-ayat al-Quran di mana Allah SWT sendiri telah memerintahkan agar kaum Muslimin untuk berhukum dengan hukum Allah (syariat).  Lantas, bagaimana mungkin Allah SWT memerintahkan kepada kita sesuatu yang kita sendiri tidak boleh memahaminya? Maha Suci Allah daripada segala kesia-siaan. Allah SWT berfirman:

“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang yang kafir.” [TMQ al-Maidah (5): 44]

“Demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerimanya dengan sepenuhnya.” [TMQ an-Nisa’ (4): 65]

Oleh itu, propaganda yang dilaung-laungkan untuk penerapan syariat Islam adalah propaganda yang benar dan perjuangan yang realistik, dan ia bukannya bersifat utopia.

Kesalahan anggapan ketiga.

Dari segi metodologi istinbâth (kaedah penggalian hukum), syariat harus digali daripada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan Qiyas. Syariat tidak boleh lahir daripada fakta atau dipengaruhi dan disesuaikan dengan situasi yang ada. Perbincangan fiqh adalah hukum syariat, maka kaedah istinbâth syar‘iyyah (penggalian syariat) juga berlaku di dalam masalah fiqh. Adalah tidak benar jika sebahagian kaum Muslimin menyatakan bahawa persoalan fiqh boleh diubah dan disesuaikan berdasarkan situasi, waktu dan tempat. Sebarang ketetapan hukum harus lahir daripada dalil syariat semata-mata, bukan daripada fakta mahupun kepentingan politik sesaat.

Khatimah

Sesungguhnya di sebalik penyesatan makna fiqh dan syariat, terdapat juga maksud tujuan politik tertentu yang ingin menjadikan realiti sekularistik-kapitalistik yang ada pada hari ini sebagai sumber untuk menetapkan hukum. Padahal hukum harus digali berdasarkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan Qiyas semata-mata dan bukannya berdasarkan fakta yang ada. Kedudukan realiti hanyalah sebagai objek yang dihukumi (manâth al-hukmi), bukan sebagai sumber hukum. Fakta harus tunduk dan disesuaikan dengan syariat, dan bukan di sebaliknya.

Motif lain dalam usaha penyesatan makna fiqh ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan rejim sekularistik-kapitalistik kufur yang sedang berkuasa saat ini. Dengan mengatasnamakan fiqh, mereka berusaha untuk merosakkan dan menghancurkan kesucian syariat Islam. Syariat Islam hanya dipergunakan sebagai alat untuk menjustifikasi fakta yang rosak akibat penerapan sistem sekular yang kufur.

Justeru, umat Islam harus segera sedar dan bangkit dengan melihat bahawa usaha-usaha untuk merosakkan dan menghancurkan kesucian ajaran Islam telah masuk ke dalam jantung pertahanan kaum Muslimin yakni dengan melakukan kerosakan terhadap pemahaman umat dalam masalah akidah dan hukum-hakam Islam.

Bughat Dalam Pandangan Islam

Rabu, 12 Mac 2014 10:27
Secara bahasa, bughât adalah bentuk jamak al-bâghi, berasal daripada kata baghâ, yabghî, baghyan-bughyat[an]-bughâ’[an]. Kata baghâ bermakna thalaba (mencari, menuntut), zhalama (berbuat zalim), i’tadâ/tajâwaza al-had (melampaui batas), kadzaba (berbohong), ‘alâ (sombong), ‘adala ‘an al-haqq (menyimpang dari kebenaran) (Ibrahim Anis, Mu’jam al-Wasith, 1972, hlm. 64-65; Munawwir, Kamus al-Munawwir, 1997, hal. 98; ash-Shan’ani, Subul as-Salam, hlm. 257, Maktabah Dahlan). Jadi, secara bahasa, al-bâghi (dengan bentuk jamaknya al-bughât), bermaksud azh-zhâlim (orang yang berbuat zalim), al-mu’tadî (orang yang melampaui batas), atau azh-zhâlim al-musta’lî (orang yang berbuat zalim dan menyombongkan diri).  

Secara syar’i, orang yang disebut melakukan bughât adalah orang-orang yang keluar menentang Daulah Islamiyah dan mereka memiliki kekuatan. Ertinya, mereka adalah golongan yang membangkang dan tidak mahu taat kepada Daulah, menghunus senjata melawan Daulah dan mengumumkan perang terhadap Daulah.  Dalam hal ini, tidak ada bezanya sama ada bentuk pembangkangan mereka itu disebabkan oleh kepentingan dunia, atau kerana adanya takwil, atau kerana mereka memiliki syubhah dalil. Semuanya merupakan bughat selama mana mereka memerangi kekuasaan Islam (Abdurrahman al-Maliki, Nizhâm al-‘Uqubât, hlm. 41).
Muhammad Khair Haikal dalam kitabnya Al-Jihâd wa al-Qitâl (Dar al-Bayariq, hlm. 63) menjelaskan bahawa terdapat 3 ciri golongan bagi orang-orang yang melakukan bughat ini, iaitu:

1.     Membangkang terhadap kekuasaan Daulah dengan enggan menunaikan hak-hak negara, tidak mahu mentaati undang-undang atau berusaha untuk melucutkan jawatan ketua negara (Khalifah).

2.     Memiliki kekuatan yang memungkinkan mereka untuk menguasai (as-saytharah).

3.     Melakukan khuruj, yakni penentangan, dalam versi moden dikenali sebagai revolusi bersenjata, perang sivil, perang dalam negeri, menggunakan senjata atau kekerasan untuk meraih tujuan politik yang menjadi alasan untuk dilakukan revolusi.

Deskripsi tersebut dijelaskan dalam al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Sahabat.  Dalil utama tentang bughât adalah firman Allah SWT:
 
وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الأخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Jika dua golongan dari orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya (zalim) maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali pada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil” [TMQ al-Hujurat (49): 9]

Syeikhul Islam Zakariyya Al-Anshari (w.925 H) dalam Fath al-Wahhab (II/153) mengatakan,”Dalam ayat ini memang tidak disebut ‘membangkang kepada Imam’ secara sarih (jelas). Akan tetapi, ayat tersebut telah mencakupi hal tersebut berdasarkan keumuman maknanya, atau kerana ayat tersebut menuntutnya. Sebab, jika perang dituntut kerana kezaliman satu golongan atas golongan yang lain, maka kezaliman satu golongan terhadap Imam tentu lebih-lebih lagi dituntut.”
Rasulullah saw dengan jelas menyatakan betapa tercelanya tindakan membangkang kepada Imam (al-khuruj ‘an tha’at al-imam). Nabi saw bersabda:
 
مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ وَخَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ فَمَاتَ فَمِيتَتُهُ جَاهِلِيَّةٌ

“Barangsiapa yang memisahkan dirinya daripada jamaah (kaum Muslimin) dan keluar daripada ketaatan (kepada Khalifah) lalu ia mati, maka matinya adalah mati Jahiliyah”.
 [HR Ahmad daripada Abu Hurairah ra].

Pembangkangan kepada Imam itu tidak semestinya dalam bentuk mereka memulai terlebih dahulu mengangkat senjata. Itulah yang menjadi ijmak para sahabat dalam peristiwa pembangkangan sekelompok orang Arab yang enggan membayar zakat kepada Khalifah Abu Bakar ra.  Khalifah Abu Bakar ra pernah memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat kerana kebakhilan mereka, atau kerana suatu syubhat (keraguan) sehingga mereka beranggapan bahawa tidak wajib membayar zakat kecuali kepada orang yang doanya membuat mereka tenteram iaitu Nabi saw sendiri, sedangkan baginda kini telah wafat dan mereka berpendapat bahawa tidak wajib lagi untuk membayar zakat. Berkenaan hal ini, Imam asy-Syafi’i di dalam kitab Al-Umm (II/215) menyatakan, “Sesiapa sahaja yang tidak mahu menunaikan apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT, manakala Imam (Khalifah) juga tidak mampu untuk mengambilnya disebabkan pembangkangan mereka, maka Imam (Khalifah) wajib memerangi mereka. Jika seseorang atau kelompok yang membangkang untuk menunaikan sesuatu kewajipan, misalnya apabila dikatakan kepada mereka, “Tunaikan (kewajipan) ini!”, lalu mereka menjawab, “Saya tidak akan menunaikannya, dan saya tidak akan memulakan perang kecuali kamu yang memerangi saya”, maka mereka perlu diperangi.  Hal ini kerana, mereka diperangi di atas sikap pembangkangan terhadap (kewajiban) yang seharusnya mereka tunaikan.

Abdul Qadir Audah menegaskan tentang maksud Imam, “[Yang dimaksudkan dengan] Imam adalah pemimpin tertinggi (ketua) Negara Islam (ra’is ad-Daulah al-Islamiyah al-a’la), atau orang yang mewakilinya…” (Tasyrî’ al-Jinâ`i,II/676).

Oleh yang demikian, pembangkangan terhadap ketua negara selain Khalifah atau ‘Amirul Mukminin, misalnya kepada Presiden dalam sistem republik, Perdana Menteri dalam sistem Parlimen, maka ia sama sekali tidak boleh disebut sebagai bughât biar dilihat dari segi apapun menurut pengertian syar’i yang sahih.

Selain itu, orang-orang yang melakukan bughât itu haruslah mempunyai kekuatan yang memungkinkan mereka untuk mendominasi. Kekuatan ini haruslah sedemikian rupa sehingga untuk mengajak golongan bughat ini kembali taat, Khalifah perlu mengerahkan segala kekuatannya, misalnya mengeluarkan dana besar, menyiapkan pasukan, dan mempersiapkan perang (Al-Husaini, Kifayah al-Akhyar, II/197). Kekuatan itu dapat terwujud dengan adanya sejumlah orang yang banyak (al-katsrah) dan adanya kekuatan (al-quwwah), serta adanya pemimpin yang ditaati (Zakariyya al-Anshari, Asna al-Mathalib, IV/111). Ini bererti, kekuatan itu terwujud ketika mereka yang melakukan bughât itu berkelompok sebagai tha’ifah.

Hal itu ditegaskan dalam surah al-Hujurat ayat 9, pada frasa “wa in thâ’ifatâni”. Lafaz thâ’ifah di dalam ayat tersebut adalah bermaksud al-jama’ah (kelompok) dan al-firqah (golongan) (Anis, Al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 571). Ayat tersebut menggunakan kalimat syarat “in” yang memberikan pengertian jika bukan tha’ifah maka tidak boleh diterapkan keseluruhan hukum dalam ayat ini.  Oleh kerana itu, istilah bughât tidak boleh diterapkan terhadap individu.  Taqiyuddin al-Husaini mengatakan, “Jika (yang memberontak) itu adalah individu-individu (afrâdan), serta mudah mendisiplinkan mereka, maka mereka itu bukanlah bughât.”(Kifayah al-Akhyar, II/198).
Adapun tentang al-khurûj (penentangan) mengggunakan senjata untuk mewujudkan tujuan-tujuan tertentu, dasarnya adalah frasa “iqtatalû” (kedua-dua golongan itu berperang) dalam surah al-Hujurat ayat 9. Ayat ini mengisyaratkan adanya sarana yang digunakan dalam perang, iaitu senjata (as-silâh). Selain itu, Nabi saw juga bersabda :
 
مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا

“Barangsiapa yang membawa senjata untuk memerangi kami, maka ia bukanlah daripada golongan kami.” (Muttafaqun ‘alaih).

Dengan semua huraian di atas, maka jelas bahawa bughât adalah pembangkangan terhadap Khalifah atau Daulah Islam yang dilakukan secara berkelompok oleh suatu kelompok (tha’ifah atau jamaah) dengan bermodalkan kekuatan, termasuklah senjata.  Ia juga tetap disebut sebagai bughât walaupun kelompok pembangkang itu belum secara nyata menggunakan senjata atau belum memulakan perang menentang negara, sepertimana yang terjadi dalam peristiwa pembangkangan untuk membayar zakat pada zaman Abu Bakar ra. Mereka membangkang untuk membayar zakat kerana mereka merasa mereka memiliki kekuatan disebabkan jumlah mereka dan senjata yang mereka ada.

Menangani Bughât
Ayat di atas telah menyatakan bahawa hukuman terhadap pelaku bughat adalah diperangi sehingga mereka kembali taat kepada perintah Allah, iaitu kembali taat kepada Khalifah atau Daulah Islam dan menghentikan pembangkangan mereka. Namun, sebelum sampai kepada perang tersebut, Imam atau Khalifah perlu berhubung dengan mereka dan bertanya apakah yang mereka tuntut daripada Negara. Jika mereka menyatakan bahawa disebabkan berlakunya suatu kezaliman, maka kezaliman itu perlu segera dihilangkan (diselesaikan). Jika mereka menyatakan disebabkan oleh suatu syubhat, maka syubhat (keraguan) tersebut perlu dirungkai dan dijelaskan.  Jika mereka menilai dan menganggap apa yang dilakukan oleh Khalifah (Daulah Islam) sebagai menyalahi kebenaran atau syariah, padahal kenyataannya bukan sedemikian, maka perlu dijelaskan hal itu mengikut kesesuaian dan kebijakan Khalifah sehingga syariah dan nas-nasnya perlu ditonjolkan kebenarannya. Semua itu perlu dilakukan dan dirasakan telah memadai. Sebaliknya, jika pelaku bughât itu masih tetap dalam pembangkangannya, maka mereka perlu diperangi agar mereka kembali taat.  Namun harus diingat, perang terhadap mereka adalah perang dalam rangka memberi pelajaran (qitâl at-ta’dîb) dan bukannya perang untuk memusnahkan.  Perang terhadap mereka bukan merupakan sebuah jihad sepertimana perang memerangi kafir harbi fi’lan.  Jadi dalam hal ini, jika perang berlaku terhadap mereka, harta mereka bukan fa’i atau ghanimah dan ia tidak boleh dirampas dan diagihkan.  Mereka yang ditawan juga tidak dianggap sebagai tawanan perang, tetapi dianggap sebagai pelaku jenayah.  Wanita dan anak-anak mereka yang turut serta di medan perang juga tidak boleh dijadikan sabi.
Wallahu a’lam.

Krisis di Republik Afrika Tengah Semakin Meruncing - Umat Islam Bangui Memerlukan Pembelaan

Rabu, 19 Februari 2014 10:06
Krisis di Bangui, Republik Afrika Tengah yang tercetus semenjak beberapa bulan yang lalu antara penganut ajaran Kristian dan Muslim telah menjadi semakin meruncing. Saban hari, umat Islam di republik tersebut diancam dengan pembunuhan oleh kumpulan militia Kristian yang bersenjatakan parang dan senjata api. 

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terkini, dilaporkan sebanyak 1.3 juta orang penduduk republik tersebut berdepan dengan krisis bekalan makanan. Sumber yang sama turut menyatakan bahawa nisbah 9 daripada 10 orang penduduk di sana hanya makan sekali sehari sahaja. Hal ini menjadi semakin buruk kerana sebilangan besar peniaga-peniaga Muslim yang memainkan peranan penting dalam urusniaga makanan dan pertanian telah melarikan diri akibat ancaman puak militia Kristian.

Negara republik tersebut mempunyai sejarah hitam yang mencatatkan beberapa siri rampasan kuasa dan perbalahan yang berlaku semenjak mencapai kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1960.

Krisis terkini tercetus mulai bulan November 2012 apabila pakatan pemberontak Seleka mula mengangkat senjata menentang kerajaan pimpinan Presiden Francoise Bozize yang dikatakan telah melanggar perjanjian damai dan enggan membebaskan tahanan politik sebagaimana yang telah dijanjikan. Pemberontak Seleka telah berjaya menggulingkan Bozize pada bulan Mac tahun lepas. 

Namun keadaan menjadi semakin huru-hara apabila sekumpulan militia Kristian telah bertindak balas terhadap pemberontak Seleka yang majoritinya menganut agama Islam. Kelompok militia Kristian yang digelar ‘anti-balaka’ bukan sahaja menentang pemberontak Seleka, bahkan mensasarkan kekejaman terhadap penduduk Muslim yang terdiri daripada kaum Fula.

Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Medecins Sans Frontier (MSF), dalam tempoh minggu lepas sahaja, sebanyak 100 orang pesakit telah menerima rawatan di lapangan terbang Bangui yang menempatkan hampir 100 ribu orang pelarian. PBB melaporkan sehingga ke hari ini, sebanyak 2000 orang telah terkorban dan sebanyak 800 ribu orang menjadi pelarian.

Terlalu banyak laporan kekejaman militia Kristian terhadap kaum Muslim telah dilaporkan. Malangnya, para penguasa kaum Muslimin tidak mengambil sebarang tindakan bagi melakukan pembelaan. Sebaliknya, mereka terus bergantung harap kepada PBB dan Kesatuan Afrika, sedangkan ternyata organisasi-organisasi kufur tersebut telah gagal melakukan sebarang pembelaan. Sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama mengembalikan semula Khilafah yang akan bingkas menghantar ketumbukan ketenteraan bagi menyelamatkan kaum Muslimin yang terancam di seluruh dunia. Wallahua’lam.

Sumber: arabnews.com

Kebencian Penguasa Rusia Terhadap Kebangkitan Islam Semakin Terserlah

Selasa, 04 Mac 2014 15:29
Pada penghujung bulan Januari baru-baru ini telah dilaporkan berita tentang penahanan terhadap beberapa kaum Muslimin di Tatarstan. Pemeriksaan, penahanan, penculikan, penyeksaan dan pertuduhan di mahkamah adalah berita sedih yang sudah menjadi perkara biasa berlaku di sana. Tindakan kejam ini memanifestasikan kebencian yang tidak dapat disembunyikan lagi oleh pemerintah Rusia terhadap umat Islam terutamanya terhadap para pejuang Islam. Umpama seperti bangkai yang membusuk, kejahatan yang mereka lakukan selama ini semakin terserlah dan tidak mampu lagi untuk ditutup meskipun dengan mata yang buta. Kebencian dan kebiadapan mereka ini bukan sahaja berlaku di Rusia, malah di tempat-tempat lain seperti di negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain di mana para penguasa mereka masih berada di bawah pengaruh Rusia dan mereka terus berkhidmat untuk memuaskan hati tuan mereka di Kremlin. Selain itu, Kremlin juga memainkan peranan di tempat lain seperti memberi sokongan kepada si penyembelih, Bashar Al-Assad di Syiria sama ada dari segi sokongan politik mahupun persenjataan.

Pada bulan November 2013, berpuluh-puluh kaum Muslimin telah telah ditahan dan dicampakkan ke dalam penjara di bandar Neftekhimik dan Chistobl. Mereka telah diseksa dengan dikenakan renjatan elektrik dan dilemaskan. Tulang belakang, rusuk dan kaki sebahagian daripada mereka ada yang patah, termasuklah ada yang dibakar bahagian anggota sulit mereka. Ini hanyalah sebahagian daripada bentuk-bentuk penyeksaan yang dilakukan oleh pemerintah Tatarstan terhadap mereka, belum mengambil kira seksaan dalam bentuk psikologi seperti memisahkan anak daripada ayah serta pelbagai ugutan berbaur kecaman dan bunuh.

Pada pertengahan Januari 2014, di bandar-bandar seluruh Tatarstan seperti Kazan, Neftekhimik, Elapog, Nizhny Chelny, Olmatvsk, Nurlat, Chistobl dan Oznakayv; kaum Muslimin ditangkap dan rumah mereka digeledah. Mereka telah dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan yang mereka tidak lakukan. Pada 20 Januari 2014, laman web rt.rbc.ru melaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri Tatarstan, Jukhurin, mengeluarkan kenyataan berkaitan pengeboman dan bahan letupan, “Kita dan sekutu dalam perisikan Rusia bertanggungjawab melakukan yang terbaik untuk menghadapkan pelaku pengeboman ke muka pengadilan agar tiada seorang pun yang akan terlepas dan mereka ini ialah daripada Hizbut Tahrir”.

Ini merupakan penipuan dan tuduhan liar yang dilemparkan kepada Hizbut Tahrir dengan mengaitkannya dengan kekejaman dan aktiviti keganasan. Hizbut Tahrir merupakan parti politik intelektual yang menolak sebarang penggunaan kekerasan dalam perjuangan mereka dan tuduhan ini menunjukkan kekejaman pemerintah Rusia. 

Pada 30 Disember 2013, bandar Volgagrad telah digeledah berikutan pengeboman di stesen keretapi. Berhampiran dengan gereja di situ terdapat hampir 200 orang penduduk berkumpul berdemonstrasi sambil melaungkan slogan, “Perisikan mendapat jutaan wang hasil daripada pengeboman”. Seperti biasa, kaum Musliminlah orang pertama yang dituduh bagi setiap kes yang melibatkan pengeboman. Mengikut rakaman video yang dikeluarkan dalam internet, pelbagai perbincangan telah dilakukan tentang perisikan Rusia yang masih menggunakan teknik yang sama sejak lewat 90-an apabila Rusia digegarkan oleh pengeboman yang dilakukan sendiri oleh pihak perisik. 

Pemerintah Rusia juga mungkin terpengaruh dengan hasil kajian Paul Goble, penyelidik yang secara khusus melakukan kajian terhadap kaum minoriti di Persekutuan Rusia yang mana ia meramalkan bahawa Rusia bakal menjadi sebuah negara majoriti Muslim dalam beberapa dekad akan datang. Ini merupakan ancaman terbesar kepada mereka.

Walau apapun ramalannya, hakikatnya adalah bahawa kerajaan Rusia ketika ini sedang berada dalam ketakutan dengan usaha untuk menegakkan Negara Islam di mana-mana di seluruh dunia. Ketakutan inilah yang menyebabkan mereka terus menindas kaum Muslimin di Rusia sehinggakan tindakan mereka yang kejam ini sudah keluar daripada batasan kemanusiaan. Mereka sangat khuatir akan kebangkitan semula Khilafah yang akan menyatukan umat Islam dan bimbang akan kehilangan pengaruh khasnya di rantau Asia Tengah. 

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov pada 14 Disember 2013  dalam sebuah wawancara dengan Vesti 24, beliau mengatakan bahawa “ada keadaan-keadaan di mana semua pejuang tanah air Syria harus memahami apa yang lebih penting (sama ada) untuk memerangi mereka yang ingin Syria menjadi Negara Khilafah atau untuk bersatu dan mengembalikan imej tanah air mereka yang terkenal itu selama berabad-abad iaitu (sebagai) negara multi-pengakuan, multi-etnik, dan negara sekular di mana semua orang hidup dengan selesa”. Pada akhir kenyataan, Menteri tersebut mengatakan bahawa “isu ini pasti akan menjadi salah satu isu utama dalam Konferens Geneva”.

Ketahuilah bahawa rejim tersebut tidak akan sesekali berdiam diri dalam terus menekan para pejuang yang ikhlas dalam menggalas misi dakwah menuju kebangkitan. Rejim inilah yang mendesak penguasa-penguasa Tatarstan yang silih ganti untuk menyekat kebangkitan Islam.
Justeru, Hizbut Tahrir ingin menegaskan beberapa fakta berikut:

Pertama: Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai ideologi perjuangannya. Matlamatnya adalah untuk melestarikan kehidupan Islam melalui perjuangan intelektual dan politik dalam rangka mengembalikan semula Khilafah Islam di negeri-negeri kaum Muslimin. Maka, segala pertuduhan yang dilakukan terhadap para anggota Hizbut Tahrir adalah tidak berasas dan ia merupakan tuduhan yang penuh kedustaan.

Kedua: Hizbut Tahrir mencontohi jalan dakwah yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dalam perjuangannya menubuhkan Daulah Islam. Kerajaan Tatarstan tidak pernah sekalipun berjaya membuktikan keterlibatan para anggota Hizbut Tahrir dalam aktiviti keganasan dan pelampau sepanjang tempoh perjuangan mereka di negara tersebut. Parti ini menolak pendekatan kekerasan secara fizikal dalam perjuangannya kerana itulah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan bukannya kerana takut terhadap tekanan daripada rejim yang zalim. Metodologi yang ditunjukkan oleh Rasulullah inilah yang telah digunapakai oleh Hizbut Tahrir di Tatarstan dan  di mana- mana sahaja Hizbut Tahrir beraktiviti di pelbagai belahan penjuru dunia.

Ketiga: Parti ini tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang usaha yang dilakukan oleh rejim, bahkan sebaliknya usaha-usaha tersebut semakin meneguhkan lagi iltizam para anggotanya. Kami yakin bahawa setiap penindasan yang dilakukan akan hanya menambahkan lagi keazaman, keteguhan dan sekaligus mendorong kami untuk meneruskan perjuangan yang murni meskipun terkorban jiwa dan raga. Sesungguhnya kejayaan yang dijanjikan Allah itu adalah seseuatu yang pasti, meskipun dibenci oleh puak kuffar dan ejen-ejen mereka. Ujian yang dikenakan oleh penguasa Tatarstan ini adalah terlalu ringan jika dibandingkan dengan seksaan yang bakal ditimpakan oleh Allah sekiranya mengabaikan kewajipan dalam mengembalikan kehidupan Islam di muka bumi ini.

Usaha untuk mengembalikan Khilafah Islam semakin berkembang pesat di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Seruan untuk mengembalikan Khilafah di atas manhaj kenabian yang dilaungkan kini telah pun berkumandang di segenap pelusuk dunia. Sesungguhnya, kembalinya Khilafah itu adalah satu kepastian! Inilah janji Allah dan bisyarah RasulNya. Maka nantikanlah balasan dan hukuman terhadap mereka yang berlaku zalim terhadap kaum Muslimin dan yang berusaha untuk menegakkan Islam apabila Khilafah kembali kelak. Ingatlah wahai penguasa Rusia dan tali barutnya, sesungguhnya segala kekejaman yang kamu lakukan ke atas umat Islam ini, pasti akan diperhitungkan oleh Sang Khalifah kelak. Kalian boleh berasa kuat pada hari ini, tetapi pada hari esok belum tentu kalian akan dapat tidur lena apabila Khilafah telah tertegak.
 
وَاللَّهُ غَالِبٌ عَلَى أَمْرِهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

 “Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [TMQ Yusuf (12):21]

IM529 – Kekejaman Rejim As-Sisi di Bawah Telunjuk AS-Israel

Khamis, 27 Mac 2014 11:04
Sebanyak 529 orang aktivis dan penyokong Ikhwanul Muslimin telah dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah di wilayah Minya, Mesir. Pejabat Media Ikhwanul Muslimin di London melalui kenyataan media yang dikeluarkannya telah mengecam keputusan kehakiman tersebut yang dikatakan berat sebelah. Dalam perbicaraan yang berlangsung hanya selama dua hari, sebanyak 529 orang defendan telah disabitkan kesalahan dan dihukum mati, manakala sebanyak 16 orang lagi dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.1

Dalam perkembangan yang sama, jurucakap Jabatan Kenegaraan AS, Marie Harf telah mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keputusan tersebut. Namun, beliau menegaskan bahawa AS masih lagi melihat kepada kepentingan untuk memelihara hubungan dua hala dengan rejim As-Sisi.

Terdapat beberapa perkara yang wajar direnungi daripada krisis yang melanda Bumi Kinanah tersebut:

1. Kezaliman rejim As-Sisi dalam menyekat pengaruh pihak pembangkang khasnya Ikhwanul Muslimin. Hal ini jelas ketara melalui tindakan ganas rejim tersebut dalam menamatkan penentangan rakyat Mesir semenjak Presiden Mursi digulingkan pada bulan Julai 2013. Keputusan mahkamah tersebut merupakan sebuah lagi manifestasi kezaliman yang cuba disembunyikan di sebalik keputusan mahkamah yang bertujuan untuk “mengabsahkan pembunuhan beramai-ramai secara undang-undang” (attempt to legalize a massacre).

2. Keputusan mahkamah ini juga menggambarkan betapa rosaknya sistem kehakiman yang digubal berasaskan akal manusia tanpa bimbingan wahyu. Meskipun pihak Kementerian Kehakiman Mesir menafikan campur tangan pihak rejim dalam penghakiman tersebut, namun keputusan yang dikeluarkan itu jelas bermotifkan politik dan bertujuan untuk melenyapkan pengaruh Ikhwanul Muslimin selaku pembangkang terbesar di negara tersebut.

3. Krisis ini secara keseluruhannya juga merupakan antara bukti bahawa perjuangan melalui jalan demokrasi ternyata gagal untuk memenangkan Islam. Walaupun Parti Kebebasan dan Keadilan yang mewakili Ikhwanul Muslimin telah berjaya membentuk kerajaan secara demokratik, namun kerajaan tersebut dapat digulingkan dengan begitu mudah oleh pihak rejim tentera yang sekular. Sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan yang sama oleh parti FIS di Algeria pada awal 90-an dahulu, begitu juga dengan parti Rafah di Turki, kedua-duanya turut mendatangkan natijah yang sama. Selaku seorang Muslim, kita sewajarnya tidak mengulangi kesilapan yang sama sebagaimana sabda Rasulullah SAW: 

“Tidak selayaknya seorang Mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali” [HR Bukhari & Muslim].

Hizbut Tahrir telah acapkali mengingatkan bahawa jalan menuju perubahan tidak akan sesekali tercapai melalui jalan demokrasi dan Hizbut Tahrir tetap konsisten dengan perjuangan yang ditabanni daripada thariqah (jalan/method) dakwah Rasulullah SAW.3

4. Kemelut di Mesir juga jelas menggambarkan sikap hipokrit AS yang bermuka-muka dalam polisi luar negaranya. AS yang kononnya memperjuangkan demokrasi masih lagi mengekalkan hubungan dengan rejim As-Sisi demi memelihara kepentingannya di Terusan Suez dan rantau Timur Tengah amnya. Hakikatnya, AS merupakan negara yang membekalkan persenjataan kepada pihak tentera Mesir dalam rangka memastikan agar pihak tentera Mesir tunduk kepada polisi AS di rantau tersebut. Setiap tahun, AS memperuntukkan hampir 1.6 bilion dolar AS kepada tentera Mesir sebagai habuan bagi memastikan Mesir sentiasa akur terhadap “Pelan Damai” AS yang hakikatnya bertujuan untuk memelihara kelestarian negara haram Israel.

Wahai kaum Muslimin, sudah tiba masanya untuk kita menyedari hakikat bahawa kemelut yang melanda umat Islam di Mesir bukan sekadar konflik dalaman semata-mata. Jelas bahawa rejim As-Sisi yang zalim itu tidak lebih daripada sekadar bidak catur yang akur kepada telunjuk AS dan sekutunya Israel. 

Hanya dengan kembalinya Khilafah atas manhaj kenabian, segala krisis dan kemelut tersebut akan dapat ditangani secara tuntas. Kembalinya Khilafah kelak, Khalifah yang dibai’ah akan memimpin ketumbukan tentera kaum Muslimin yang ikhlas dalam melakukan pembelaan serta menamatkan hegemoni AS-Israel di seluruh dunia. Ayuh, sahutlah seruan Hizbut Tahrir dalam rangka mengembalikan syariah dan Khilafah!

Sumber: 
1) Press Release: Mass Sentencing to Death of 529 Egyptians Violates Judicial Norms 

2) Egyptian court sentences 529 Brotherhood members to death; Reuters March 24, 2014   
3) SN 247: Mesir Bangkitlah Menuju Perubahan Hakiki dengan Khilafah 

Obama

KEDATANGAN OBAMA WAJIB DITOLAK OLEH SETIAP MUSLIM


Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dilaporkan akan datang ke Malaysia pada penghujung bulan April 2014. Kedatangannya kali ini adalah sebagai ganti kepada lawatannya yang lepas yang dibatalkan atas sebab krisis dalaman negaranya. Duta AS ke Malaysia, Joseph Y. Yuan mengesahkan bahawa Obama akan bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu-isu semasa yang boleh memberi faedah kepada kedua-dua negara dan beberapa memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pendidikan dan perdagangan dijangka akan dimeterai.

Sebagaimana kenyataan dan pendirian yang telah dikeluarkan sebelum ini, kami, HIZBUT TAHRIR MALAYSIA dengan ini menegaskan sekali lagi bahawa kami menolak sekeras-kerasnya kedatangan musuh Allah ini ke Malaysia, kerana:-

Pertama: Barrack Obama merupakan ketua kepada negara imperialis yang nyata-nyata memusuhi dan memerangi umat Islam mengatasnamakan perang melawan keganasan. Peperangan yang dilancarkan oleh Bush dan diteruskan lagi oleh Obama ke atas Iraq dan Afghanistan sehingga menyebabkan kematian dan penderitaan ratusan ribu umat Islam dan kemusnahan yang begitu besar, adalah bukti nyata akan sikap Obama ke atas Islam dan umat yang mulia ini. Ini belum lagi mengambil kira peperangan yang tidak diisytiharkan oleh Obama ke atas Pakistan, Yemen, Syria dan banyak lagi. Ketidakstabilan di rantau Asia Barat pada ketika ini juga merupakan hasil daripada percaturan politik yang dimainkan oleh negara imperialis ini. Hegemoni mereka dalam pelbagai badan dunia seperi PBB, IMF, World Bank serta apa-apa yang lahir darinya merupakan manifestasi daripada penjajahan mereka ke seluruh dunia amnya dan ke dunia Islam khasnya.

Kedua: Kita menduga kuat bahawa kedatangan pemimpin utama negara Kapitalis dunia ini bukanlah hanya sekadar ingin membincangkan persoalan pendidikan atau ekonomi semata-mata, tetapi lebih dari itu yakni untuk mengukuhkan cengkamannya di rantau ini, mengukuhkan kedudukan politik dan ketenteraannya serta memastikan Malaysia akan terus berpegang teguh dengan demokrasi, hak asasi manusia, liberalisme, sekularisme dan pemikiran-pemikiran kufur lainnya dan yang tidak kurang pentingnya adalah agar Malaysia terus berpegang dengan fahaman moderat yang dimahukan Barat. Ini semua dilakukan AS untuk mengelak umat Islam dari kembali menerapkan syariah secara kaffah di bawah naungan Khilafah. Apatah lagi dengan isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang penuh misteri, AS telah dan akan menggunakan isu ini sebaik-baiknya sebagai alasan untuk terus menancapkan cengkamannya di Malaysia. 

Ketiga: Umum mengetahui bahawa Amerikalah yang melantik dan menjaga para penguasa Muslim yang diktator lagi khianat di kebanyakan negeri Islam hari ini, sama ada yang telah mati mahupun yang masih hidup. Dengan sokongan, kerjasama dan bantuan Amerikalah, para penguasa ini terus mengganas dan membunuh umat Islam sesuka hati sebagaimana yang kita saksikan di Mesir, Libya, Yemen, Tunisia, Pakistan, Bangladesh, Syria dan banyak lagi. Pemimpin Muslim mana sekalipun yang bersahabat dengan Amerika sesungguhnya bukan sahaja akan tunduk kepada kehendak negara Uncle Sam itu, malah sebenarnya telah menjadi pengkhianat kepada Islam dan umatnya.

Keempat: Seluruh dunia mengetahui bahawa Obama adalah pendukung utama dan penjaga Yahudi Zionis dan entiti haram Israel. Hal ini sebagaimana diakui sendiri oleh Obama secara terbuka dan presiden AS ini telah berjanji dan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan Zionis laknatullah itu. Kejahatan Zionis ke atas umat Islam dan tanah Palestin yang diberkati sudah tidak terkata dan semua kejahatan itu berlaku dengan kerjasama dan bantuan Obama dan presiden-presiden AS sebelumnya. Justeru, menyambut kedatangan Obama sesungguhnya tidak ada bezanya dengan menyambut kedatangan Zionis kerana keduanya adalah ibarat isi dan kuku. 

Kelima: Allah SWT mengharamkan kaum Muslimin menjadikan orang-orang kafir sebagai teman kepercayaan. FirmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman setia…” [TMQ al-Mumtahanah (60):1]. Sejak awal Obama menjadi presiden AS sehinggalah sekarang, tangan Obama terus berlumuran dengan darah umat Islam hasil dari dasar imperialismenya ke atas wilayah umat Islam. Jadi, menerima kedatangan Obama, malah menghulur tangan persahabatan dengan musuh Allah dan musuh umat Islam ini, apatah lagi memberi sambutan kenegaraan yang penuh hormat kepadanya, adalah menyalahi perintah Allah SWT. 

Sehubungan dengan itu, HIZBUT TAHRIR MALAYSIA menolak sekeras-kerasnya kedatangan Barack Obama ke Malaysia dan sekali gus ingin menyatakan dengan tegas bahawa:-

1.     Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya mengundang mahupun menerima kunjungan Obama dan jika Perdana Menteri Malaysia benar-benar berpegang teguh dengan Islam dan mengambil berat urusan umat Islam, maka beliau hendaklah membatalkan kunjungan pengganas nombor satu dunia ini ke Malaysia dengan apa cara sekalipun.

2.    Kesemua pimpinan kerajaan yang lain, termasuklah Ahli-ahli Parlimen, baik dalam kalangan kerajaan mahupun pembangkang, khususnya yang beragama Islam, hendaklah menekan dan mendesak Perdana Menteri agar membatalkan lawatan Obama ke tanah air kita. Inilah tanggungjawab pemimpin dan ahli politik yakni sepatutnya menjaga kepentingan umat Islam dan wilayah Islam, bukannya menjaga kepentingan Perdana Menteri, apatah lagi kepentingan AS. 

3.    Kesemua gerakan Islam hendaklah menyatakan pendirian dan melakukan aktiviti yang sewajarnya bagi menolak kedatangan musuh Allah ini ke sini. Tindakan berdiam diri dalam hal ini hanyalah menunjukkan ketidakpedulian dan ketidaksensitifan anda terhadap perancangan musuh Islam ke atas kita semua dan terhadap saudara-saudara anda di seluruh dunia yang sedang tenat menderita akibat kejahatan Obama dan hal ini adalah dilarang oleh Islam. 

4.     Setiap individu Muslim hendaklah berusaha semampu mungkin untuk menyatakan bantahan dan menolak kedatangan Barack Obama ke Malaysia kerana setiap Muslim adalah bertanggungjawab mencegah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya, apatah lagi kemungkaran yang dilakukan oleh penguasa yang boleh mendatangkan kemudaratan yang besar kepada umat Islam keseluruhannya.


ABDUL HAKIM OTHMAN
Jurucakap Rasmi
HIZBUT TAHRIR MALAYSIA

Hedonisme

DEMOKRASI MELAHIRKAN HEDONISME
 
[SN380] Tatkala seluruh negara masih dirundung kesedihan dan sedang mendoakan dijumpainya MH370, pesawat Malaysia Airlines yang hilang dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur menuju Beijing, pada masa yang sama Bukit Jalil gegak gempita dengan pesta maksiat yang diraikan dengan penuh kebesaran secara terbuka. Pesta Future Music Festival Asia (FMFA) yang dikatakan dibuat secara senyap itu telah menggemparkan negara apabila 6 orang disahkan mati akibat pengambilan dadah yang berlebihan. Lebih memalukan dan mendukacitakan, antara yang meninggal dan yang menyertai festival muzik antarabangsa itu adalah dari kalangan anak-anak muda Muslim. Sungguh memalukan dan mendukacitakan juga apabila pihak polis hanya bertindak untuk membatalkan konsert yang penuh dengan maksiat itu pada hari ketiga, setelah berlakunya kematian sehari sebelumnya. Umum mengetahui bahawa pesta seumpama itu memang tidak sah jika tidak disertai dengan arak dan dadah, malah perzinaan juga. Di manakah letaknya maruah Malaysia yang pemerintahnya mengaku sebagai sebuah “Negara Islam”? Apakah konsert liar ini bertepatan dengan konsep wasatiyyah (sederhana) yang dicanangkan oleh Perdana Menteri sehingga pesta maksiat ini dibenarkan oleh kerajaan? Apakah sudah tidak ada mufti dan alim ulama dalam kerajaan yang berani menegur tindakan maksiat pemerintah ini? Atau semuanya lebih memilih untuk menjadi syaitan bisu dek pendapatan lumayan yang diperolehi setiap bulan?

Liberalisme, Hedonisme Dan Penjajahan 

Sesungguhnya tragedi yang berlaku itu tidak dapat lepas dari budaya liberalisme yang sudah parah di Malaysia. Muncul dan menyebarnya budaya liberalisme di tanah air kita ini bukanlah proses yang berlaku secara semula jadi, tetapi merupakan hasil dari proses liberalisasi budaya yang dijalankan secara terorganisasi dan sistematik dan proses ini sudah semestinya tidak terlepas dari perancangan Barat ke atas umat Islam. Agama Islam yang dianut oleh majoriti penduduk negeri ini tidak pernah mengajar semua ini. Budaya liar itu merupakan budaya Barat yang dibawa masuk seiring dengan penjajahan sama ada dalam bentuk fizikal mahupun mental di negeri kaum Muslimin. Jadi, masuk dan berkembangnya budaya liberalisme di Malaysia ini memang tidak dapat dipisahkan dari konspirasi Barat yang licik dan rapi ke atas umat Islam.

Konspirasi liberalisasi budaya oleh Barat terhadap negeri Muslim berjalan selari dengan motif penjajahan. Dengan liberalisasi budaya itu, masyarakat di negeri-negeri Muslim, termasuk Malaysia, akan kehilangan identiti Muslim mereka, lalu memakai baju Barat, malah dengan bangga melakukannya, tanpa mempertimbangkan lagi halal atau haram. Inilah yang dikehendaki Barat yakni agar umat Islam menjadi pengekor mereka dan kalau boleh, masuk ke dalam agama mereka. Akhirnya, penjajahan dan pengekoran terhadap Barat tidak lagi dipandang sebagai suatu masalah, malah menjadi lambang kemajuan. 

Fahaman hedonisme mengajarkan manusia untuk mengejar kenikmatan material dan jasadi serta melakukan apa sahaja yang boleh mendatangkan kenikmatan, termasuk kesenangan yang lahir dari hubungan seks (luar nikah). Fahaman ini tercermin dalam slogan fun (kesenangan/pesta), food (makanan) dan fashion (busana). Dengan fahaman hedonisme ini manusia didorong untuk mengejar kenikmatan dengan jalan bersenang-senang tanpa memandang lagi halal atau haram, termasuk di dalamnya dengan berpesta, melakukan seks bebas demi mendapatkan kenikmatan dan diikuti dengan makanan/minuman arak dan dadah serta berpakaian (berfesyen) yang gila-gila, malah ada yang hanya menutup bahagian-bahagian tertentu sahaja. Pendek kata, budaya kufur ini mengajar manusia untuk melakukan apa sahaja demi mencapai kemuncak kepuasan dan kenikmatan dalam hidup. FMFA hanyalah secebis dari manifestasi budaya kufur hedonisme yang diamalkan di negara ini. 

Sama ada sedar atau tidak, budaya hedonisme telah lama ditanamkan dan diizinkan oleh kerajaan melalui media elektronik mahupun media cetak, melalui program-program yang bernuansakan hiburan, muzik, fesyen, festival dan lain-lain, termasuklah dengan kewujudan pub, disko, kelab-kelab malam dan sebagainya. Kebanyakan program dan suasana seumpama ini merupakan ‘salinan dan tiruan’ dari program dan suasana yang sama di Barat. Kita dapat saksikan bagaimana anak-anak kecil sudah dididik dengan pertandingan muzik, nyanyian, tarian, fesyen dan terkinja-kinja di pentas. Malah berapa ramai dari kalangan ibu bapa yang bangga anaknya begitu. Rancangan televisyen dan juga festival yang berlangsung di dalam masyarakat juga seolah-olah tidak sah jika tidak disertai dengan muzik, nyanyian dan tarian. Jadi tidak hairanlah kalau anak-anak muda Islam terbius dengan hedonisme dan terlibat dengan konsert liar seperti FMFA, kerana segala-galanya sudah ‘disediakan’ secara sistematik sejak dari kecil lagi.

Itu dari satu aspek. Dari aspek lain yang lebih penting, sesungguhnya budaya hedonisme itu tidak wujud dan tidak akan boleh berkembang kecuali dalam sistem demokrasi! Budaya kufur itu tidak akan boleh berkembang kecuali di dalam sistem kufur juga. Budaya liar itu sesungguhnya berjalan seiring dengan proses pendemokrasian (democratisation) yang sedang diamalkan di negeri-negeri Muslim, termasuklah Malaysia. Semakin liberal sesuatu negeri itu, maka ini bermakna semakin baiklah proses pendemokrasiannya di mata dunia dan inilah apa yang cuba dicapai oleh Malaysia. 

Punca Kemaksiatan Merajalela

Fenomena hedonisme dengan segala akibat buruknya dari tahun ke tahun cenderung semakin meningkat baik secara kuantitatif mahupun kualitatif. Kerosakan sistematik ini tentu tidak terjadi begitu sahaja tetapi mesti ada penyebabnya. Allah SWT berfirman, 

“Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan (perbuatan) manusia, kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian balasan daripada perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) [TMQ ar-Rum (30):41]. 

Menurut ayat ini, pangkal penyebab semua kerosakan di seluruh muka bumi ini adalah hasil perbuatan manusia. Para mufasirin menjelaskan bahawa “perbuatan tangan” yang dimaksudkan adalah perbuatan “dosa dan maksiat” yang dilakukan oleh manusia. 

Al-Jazairimenafsirkannya: bi zhulmihim wa kufrihim wa fisqihim wa fujurihim(kerana kezaliman, kekufuran, kefasikan dan kejahatan mereka). Al-Baghawi menyebutnya bi su’ dzunubihim(kerana keburukan dosa-dosa mereka). Tidak jauh berbeza, Ibnu Katsirmemaknainya dengan bi sabab al-ma’asi(kerana kemaksiatan-kemaksiatan). Al-Zamakhsyari dan Abu Hayyan menuturkan bi sababma’asuhim wa dzunubihim (kerana perbuatan maksiat dan dosa mereka). Menurut al-Alusi, kesimpulan tersebut sejalan dengan firman Allah SWT, 

“Musibah apa saja yang menimpa kalian adalah akibat perbuatan tangan kalian sendiri” [TMQ asy-Syura (42):30]. 

Dengan kata lain, kerosakan yang berlaku adalah disebabkan oleh pelanggaran manusia terhadap deen Allah, baik akidah mahupun syariah, itulah yang menjadi punca kerosakan. Kesimpulan ini amat jelas jika dikaitkan dengan ayat sebelum dan sesudahnya, serta nas-nas lainnya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, 

“Jika zina dan riba telah tampak di suatu negeri, maka sesungguhnya mereka telah menghalalkan diri mereka dengan azab Allah [HR at-Thabrani dan al-Hakim].

Sejak runtuhnya Khilafah pada 3 Mac 1924, seluruh aturan hidup kita sekarang sudah tidak lagi diatur oleh wahyu tetapi diatur oleh sistem buatan manusia. Sistem Khilafah yang berasal dari Islam telah digantikan dengan sistem demokrasi. Sekularisme yang merupakan akidah kepada demokrasi telah dijadikan aturan hidup. Baik sekularisme mahupun demokrasi, kedua-duanya adalah hasil dari produk tangan-tangan manusia. Demokrasi merupakan sistem kufur yang datangnya dari Barat. Demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan manusia. Ia mengajar dan memberikan hak kepada manusia untuk membuat undang-undang dengan mengenepikan undang-undang Allah SWT. Demokrasi menjunjung empat jenis kebebasan yakni kebebasan berakidah, bertingkah laku, berpemilikan dan bersuara. Idea kebebasan inilah yang telah mewujudkan kerosakan yang amat parah di dalam tubuh umat Islam dan seterusnya melahirkan kerosakan yang tidak boleh dibaiki lagi di dalam negara. 

Liberalisme dan hedonisme adalah lahir dari idea kebebasan di bawah sekularisme. Sekularisme adalah idea dasar yang memisahkan peranan agama dari pengaturan kehidupan. Sekularisme menuntun manusia untuk menempatkan agama hanya pada skop individu dan wilayah spiritual sahaja. Sekularisme mengajar bahawa manusia bebas mengatur hidupnya dan Tuhan tidak boleh campur tangan di dalamnya. Dalam penetapan baik-buruk, ideologi ini mendasarkan pada asas manfaat material (materialisme), mengikut hawa demi mencapai kesenangan (hedonisme). Konsep halal dan haram tidak ada dalam kamus penganut sekularisme. Kerana itulah, oleh pemerintah yang mengamalkan sekularisme, FMFA bukannya dilihat dari sisi halal-haram, tetapi manfaat yang dapat diraih seperti pendapatan dari sewa tapak stadium, harga tiket, aspek keuntungan dari sudut pelancongan dan lain-lain. Inilah antara punca kerosakan apabila manusia menghalalkan apa yang Allah haramkan!

Tanggungjawab Dan Penyelesaian

Tidak dinafikan bahawa setiap individu yang terlibat di dalam kemaksiatan akan menanggung dosa atas apa yang dilakukannya. Namun, perlu diingat bahawa dosa turut ditanggung oleh mereka yang membiarkan (apatah lagi membenarkan) kemaksiatan itu berlaku. Pihak polis yang mengetahui akan hal ini, malah pergi berkawal di tempat maksiat tersebut, namun tidak menghalangnya, maka mereka juga menanggung dosa. Pihak Jabatan Agama, yang mengetahui akan hal ini, tetapi tidak mengambil tindakan, baik sebelum mahupun sesudah penganjuran pesta maksiat tersebut, adalah turut berdosa. Ini kerana, pihak polis dan Jabatan Agama adalah pihak yang berkuasa untuk menghalang (dan mengambil tindakan terhadap) maksiat tersebut  tetapi mereka tidak melakukannya. Sungguh ajaib dengan sikap pihak berkuasa ini kerana berapa banyak dari program-program agama yang mereka pantau dan batalkan, tetapi program maksiat sebesar ini dibiarkan!

Walau bagaimanapun, dosa yang lebih besar ditanggung oleh pemerintah yang membenarkan kemaksiatan itu berlaku!!! Tindakan pemerintah ini bukan sahaja mengundang dosa ke atas mereka, malah sebenarnya mengundang azab Allah ke atas kita semua. Na’uzubillah min zalik. Sabda Rasulullah SAW, 

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak akan mengazab segolongan umat kerana perbuatan (dosa) segelintir orang dari kalangan mereka, sehinggalah apabila mereka melihat kemungkaran dilakukan secara terang-terangan di hadapan mereka, yang mereka mampu untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Maka, jika itu terjadi, Allah pasti akan menurunkan balasan (azab) kepada segelintir pelaku dosa itu dan keseluruhan umat tersebut” [HR Ahmad].

Apa pun, kaum Muslimin secara keseluruhannya tidak boleh hanya berpeluk tubuh menyaksikan apa yang berlaku. Sesungguhnya siapa sahaja yang berdiam diri dari kemaksiatan yang berlaku di sekelilingnya turut mendapat saham dosa yang dikerjakan oleh orang lain. Justeru, apakah yang seharusnya dilakukan oleh setiap Muslim? Oleh kerana kekufuran, kemaksiatan, dan perbuatan dosa merupakan penyebab terjadinya kerosakan, maka penyelesaiannya adalah dengan cara mencegah atau menghilangkan segala kemaksiatan tersebut dan seterusnya mengembalikan semula perjalanan kehidupan sesuai dengan tuntunan syariah. Selama kemaksiatan terus merajalela, jangan berharap pula kerosakan di muka bumi ini akan berhenti. Itulah mafhumnya secara ringkas. 

Ibnu Katsir mengutip paparan Abu al-Aliyah ketika menjelaskan Surah 30:41 di atas yang menerangkan bahawa siapa sahaja yang bermaksiat kepada Allah di muka bumi, sungguh dia telah melakukan kerosakan di muka bumi. Baiknya bumi dan langit disebabkan kerana penerapan hukum Allah, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud di mana Rasulullah SAW bersabda, “Had (hukum hudud) yang ditegakkan di muka bumi lebih baik bagi penduduk bumi daripada turunnya hujan selama 40 hari.” Hal itu kerana jika hudud ditegakkan, ia dapat membuatkan manusia - sebahagian besar atau kebanyakan manusia - meninggalkan perbuatan yang diharamkan. Sebaliknya, jika manusia melakukan maksiat, maka itu menjadi sebab bagi lenyapnya berkah dari langit dan bumi. 

Seperkara lagi yang perlu diingat adalah bahawa berhenti dari maksiat dan kembali kepada syariah Islam itu mestilah secara kaffah (total) sebagaimana perintah Allah di dalam Surah al-Ma’idah ayat yang ke-3. Jika belum total, bererti masih ada ruang untuk kemaksiatan dan mengundang kehinaan serta azab Allah sebagaimana firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat ke-85. Maka, setiap Muslim wajib berusaha untuk menerapkan syariah dan mendirikan semula Daulah Khilafah, bukan sahaja bagi mencegah segala kemaksiatan ini, malah bagi mengeluarkan mereka dari saham-saham dosa pelaku maksiat tersebut.

Khatimah

Wahai pemerintah! Sesungguhnya HizbutTahrir ingin menyatakan dengan tegas bahawa kamu bertanggungjawab di atas segala kemaksiatan dan kerosakan yang berlaku di muka bumi ini yang terhasil dari sistem sekular yang kamu terapkan. HizbutTahrir sudah banyak kali mengingatkan kamu dan kami tidak akan berhenti mengingatkan kamu walaupun kamu tidak pernah mendengar nasihat dan peringatan yang kami sampaikan. Kamu boleh terus memekakkan telinga kamu dari nasihat kami dan kamu boleh terus membenarkan segala kemaksiatan berlangsung…ya kamu boleh melakukan semahu kamu di dunia ini kerana kuasa ada pada kamu. Jika kamu masih ingin mendengar, kami dengan ini mengingatkan kamu kepada hari di mana kamu tidak akan mempunyai kuasa dan keupayaan walaupun sedikit. Pada hari itu, Allah tidak akan melupakan sedikit pun apa yang kamu telah lakukan di dunia ini dan neraka ketika itu terbentang luas di hadapan kamu. Nauzubillah min zalik.

“Patuhilah seruan Tuhanmu sebelum datang suatu hari yang tidak dapat ditolak kedatangannya. Kamu tidak memperoleh tempat berlindung pada hari itu dan tidak pula dapat mengingkari (dosa-dosa kamu)” [TMQ asy-Syura (42):47].

MH370

DI SEBALIK MISTERI KEHILANGAN MH370

[SN379] Seluruh negara, malah seluruh dunia gempar dengan kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas. Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dikatakan hilang dari radar di Laut China Selatan di kawasan perairan Vietnam. Sejak itu, usaha mencari dan menyelamat terus dijalankan yang sehingga kini telah melibatkan banyak pihak termasuk seluruh pakar, kenderaan dan peralatan yang paling canggih di dunia dari lebih 10 buah negara. Walaupun segala usaha telah dan sedang dilakukan, namun ternyata setakat ini langsung tidak ada petunjuk atau tanda-tanda untuk menemui pesawat berkenaan. Kebuntuan terus melanda setiap pihak yang terlibat dalam pencarian pesawat malang berkenaan hingga ke saat nasyrah ini ditulis. 

Setakat ini para pakar telah pun membincangkan dengan mendalam dari setiap sudut akan segala kemungkinan yang menyebabkan kapal terbang ini hilang, namun ternyata kesemuanya gagal memberikan jawapan yang pasti. Ini kerana setiap kemungkinan yang diungkapkan terpatah dengan sendirinya berdasarkan maklumat dan fakta yang ada. Kebuntuan inilah yang justeru menjadikan kehilangan pesawat MH370 ini sebagai satu misteri. SautunNahdhah kali ini bukanlah ingin merungkai misteri kehilangan pesawat Boeing 777 yang canggih ini, tetapi ingin menarik perhatian pembaca terhadap beberapa senario atau respons yang terlalu banyak berlaku dan berlegar sehingga kita perlu mengambil satu sikap yang benar dalam isu ini. 

Pertamanya kita perlu memerhati laporan dan spekulasi dari media atau laman sosial, termasuk melalui aplikasi telefon pintar dan lain-lain sumber yang melimpah ruah dan tidak terbendung di alam maya. Walaupun kerajaan banyak kali berpesan agar tidak mengambil berita dari sumber lain dan mengingatkan rakyat agar tidak membuat sebarang spekulasi, namun ternyata pada zaman teknologi serba canggih ini, hal ini hampir mustahil untuk disekat. Berita dan spekulasi di media sosial terlalu banyak tersebar, bahkan dalam banyak hal mendahului berita daripada kerajaan dan pendedahannya malah lebih rinci, lebih banyak dan lebih menarik. 

Dalam pada kerajaan menekankan berkali-kali yang mereka tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, ternyata banyak perkara yang sebenarnya tersembunyi, malah media sosial menyebarkan dengan meluas di alam maya fakta-fakta yang tidak atau lambat dijelaskan oleh kerajaan. Hal ini menambahkan lagi kepercayaan orang ramai kepada media sosial dan “menggalakkan” pihak-pihak berkepentingan mendedahkan lebih banyak maklumat dan spekulasi, yang akhirnya terpaksa dijawab dan ditepis oleh kerajaan di dalam sidang akhbar. Persoalan semakin bermain di minda apabila ternyata setelah “digasak” habis-habisan oleh wartawan, beberapa jawapan yang diberikan kerajaan kelihatan mengelirukan dari jawapan atau penerangan sebelum ini, yang menambahkan lagi persoalan sedia ada. 

Kesimpulan mudah yang dapat kita petik daripada maklumat dan spekulasi di media sosial ini adalah bahawa banyak pihak yang sebenarnya sudah tidak atau kurang percaya kepada penjelasan kerajaan. Ketidakpercayaan rakyat ini sememangnya berasas kerana rekod kerajaan sebelum-sebelum ini yang selalu tidak telus dengan rakyat baik dalam hal-hal kecil mahupun besar. Rakyat masih lagi diliputi ‘misteri’ kes kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM pada tahun 2007 yang hanya terdedah lebih dua tahun kemudian. Begitu juga dengan misteri kematian model Mongolia, AltantuyaShaariibuu yang diletupkan dengan bom. Kemudian diikuti dengan hilangnya penyiasat persendirian dalam kes tersebut, P. Balasubramaniam. 

Kematian Teoh Beng Hock di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam pada tahun 2009 masih menjadi misteri hingga kini. Dua tahun kemudian, satu lagi misteri melanda apabila Penolong Pengarah Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed ditemui mati di bangunan yang sama. Masih agak baru kita digemparkan dengan kes Lahad Datu yang juga mengundang banyak persoalan. Pendek kata macam-macam kes yang berlaku, baik besar mahupun kecil yang penuh dengan misteri yang kesemua ini akhirnya telah menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Jadi, tidak pelik jika rakyat kini lebih percaya kepada sumber-sumber lain yang dilihat lebih telus dan tepat berbanding sumber kerajaan. 

Namun demikian, dalam keghairahan banyak pihak melaporkan berita dan spekulasi, sebagai Muslim, kita wajib ingat bahawa kita bertanggungjawab dengan apa yang kita sebarkan. Bagi orang yang menyebar berita dan apatah lagi menyebarkan spekulasi, jika tidak ada asas dan faktanya, sama ada dilakukan dengan niat baik mahupun jahat, maka perbuatan ini boleh terjerumus ke dalam dosa atas sebab pembohongan yang disebarkan. Rasulullah SAW bersabda, 

“Cukuplah seseorang itu dikatakan berdusta jika ia menceritakan setiap yang ia dengar” [HR Muslim]. 

Maka, jadilah Muslim yang bertakwa dan berhati-hati dengan apa yang kita sebarkan. Manakala bagi yang menerima berita atau spekulasi pula, berhati-hatilah dengan berita yang diterima kerana khuatir orang yang menyebarkannya adalah termasuk orang-orang yang fasik. Firman Allah SWT, 

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang-orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti….” [TMQ al-Hujurat (49):6].

Dalam misteri kehilangan pesawat MH370 ini juga, kita dapat melihat “mentaliti manusia” yang pelbagai ragam sehingga ada yang tidak lagi berpijak di bumi nyata. Antara maklumat awal yang berlegar ialah kes ini merupakan satu usaha untuk menutup dan mengalihkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehari sebelumnya diputuskan bersalah oleh Mahkamah Rayuan dalam kes liwat dan dihukum penjara 5 tahun. Hal ini termasuk dalam salah satu teori konspirasi yang agak banyak berlegar. “Teori konspirasi” sebenarnya adalah antara mentaliti yang paling banyak dimiliki orang dan paling diminati oleh ramai orang untuk diperkatakan sehingga pereka teori ini dilihat seolah-olah seorang perisik yang hebat dan jika tidak pun seorang yang sebenarnya hanyalah “syok sendiri”. Kita tidak menafikan kemungkinan wujudnya konspirasi dalam kes ini, namun dengan kekurangan fakta dan maklumat yang kita tahu, kita tidak seharusnya berlebih-lebih dalam teori konspirasi ini yang akhirnya membuang masa dan memenatkan tanpa mendatangkan apa-apa faedah, sebaliknya boleh mengundang ta’jub dan riya’ dengan pendapat sendiri, yang diharamkan oleh Islam.

Tidak kurang dalam isu kehilangan MH370 ini terzahirnya manusia yang bermentaliti mistik dan metafizik yang tidak berpijak di bumi nyata. Setelah sains dan teknologi gagal mengesan kehilangan pesawat malang itu, maka wujudlah pihak-pihak yang mengaitkan kehilangan MH370 dengan alam khayalan seperti bunian, fenomena segi tiga Bermuda dan seumpamanya. Mentaliti khayalan seumpama ini adalah antara yang sukar dibendung kerana pengamalnya kebanyakannya taksub dengan apa yang mereka fikirkan hingga mereka terperosok ke dalam dunia khurafat dan tahyul. Hakikatnya akal mereka sendiri tidak dapat menjangkau perkara tersebut tetapi mereka tetap ingin menghasilkan keyakinan (di akal mereka) melalui gambaran peristiwa yang mereka reka/ada-adakan sendiri! Maka wujudlah para bomoh dan pengamal paranormal yang cuba mengesan kehilangan pesawat Boeing tersebut dengan upacara karut yang memalukan melalui penggunaan pancaindera ke-6 mereka yang tidak pernah wujud! 

Tidak jauh berbeza dengan mentaliti di atas adalah pihak yang cuba bermain dengan nombor/angka. Golongan ini, sama ada sedar atau tidak, adalah cenderung kepada pemikiran Rashad Khalifa yang terkenal mentafsirkan Al-Quran dengan kod-19nya. Mereka memusingkan dan cuba mengaitkan mana-mana angka agar “terkena” dengan surah dan ayat Al-Quran yang ingin mereka bahaskan. Antaranya adalah kejadian kehilangan pesawat yang berlaku pada tarikh 8.3 yang berlepas dari lapangan terbang pada jam 12.41, hal ini dikaitkan dengan Surah Yasin yang mengandungi 83 ayat dan bermula dari ayat ke-41 hingga 43 Allah menceritakan tentang tanda-tanda kebesaranNya yang boleh mengangkut manusia di dalam bahtera dan menenggelamkan mereka apabila Dia menghendakinya. Mengaitkan nombor/angka tertentu dengan kejadian tertentu dengan surah dan ayat tertentu dalam Al-Quran dengan menggunakan logik akal semata-mata, adalah suatu perbuatan yang boleh merosakkan akidah kerana ia termasuk dalam mentafsirkan Al-Quran mengikut hawa. Sabda Rasulullah SAW, 

“Barang siapa yang berkata-kata dengan Al-Quran dengan pendapat (logik akal)nya, maka silakan ia mengambil tempat duduknya di neraka” [HR Tarmizi]. 

Dalam kebuntuan manusia, sains dan teknologi menjejaki pesawat yang hilang ini, maka muncullah juga sesetengah pihak yang terus mengaitkan kehilangan pesawat tersebut dengan alam ghaib seperti perbuatan jin dan mempercayai atau meyakini orang-orang alim tertentu yang “boleh nampak” apa yang berlaku kepada pesawat itu, di mana ia berada dan kemudian bilakah ia akan muncul atau ditemui. Malah, dipercayai pula dengan hanya melakukan acara-acara tertentu, akan “mengembalikan” semula MH370, sama ada dalam keadaan orang-orang yang berada dalam pesawat masih hidup atau mati. Walhal Allah SWT berfirman, 

“Katakanlah: ‘Tidak ada siapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah” [TMQ an-Naml (27):65]. 

Berfikir Dengan Benar

Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan manusia, alam dan kehidupan ini dengan hukum sababiyyah (sebab-akibat) yakni setiap kejadian yang berlaku (akibat) ada sebab-musababnya. Maksudnya tidak akan berlaku sesuatu di alam ini secara tiba-tiba yang tidak ada penyebabnya. Sebagai contoh, sebuah kereta yang terbalik atau kereta api yang tergelincir dari landasannya, sudah pasti ia tidak terjadi dengan sendirinya, tetapi ada yang menyebabkannya, tidak kiralah sama ada faktor manusia atau faktor kenderaan itu sendiri atau faktor lainnya yang dapat diindera. Begitu juga dengan pesawat yang hilang, sudah pasti ia tidak akan hilang dengan sendirinya tetapi akan ada penyebabnya yang dapat diindera. Penyebab itulah yang menghasilkan akibat dan inilah yang dinamakan sebagai hukum sababiyyah. 

Hanya saja, ada manusia yang tahu dan ada manusia yang tidak tahu kenapa hal itu terjadi (apakah penyebabnya). Manusia yang terlibat dalam kejadian tersebut contohnya, sudah pasti akan mengetahui apakah sababiyyahnya (jika masih hidup), berbanding manusia yang tidak terlibat dengannya. Manusia yang tidak terlibat dengannya sudah pasti tidak mengetahuinya disebabkan oleh keterbatasan (kemampuan) manusia itu sendiri, walaupun manusia itu dibantu oleh manusia yang lain dan dibantu dengan pelbagai alat dan teknologi. Di sinilah letaknya kesalahan berfikir orang yang mengaitkan sesuatu itu dengan faktor ghaib, kerana ia cuba mengaitkannya dengan sesuatu yang langsung tidak dapat diinderanya. Walhal akalnya terbatas dan dirinya adalah lemah. Dia sesungguhnya langsung tidak mengetahui yang ghaib tetapi cuba mengaitkannya dengan yang ghaib. Akhirnya dia membuat kesimpulan berdasarkan akalnya yang terbatas tadi yang hakikatnya tidak menghasilkan apa-apa kecuali kesalahan.

Di sebalik kita meminta dan menerima bantuan dari banyak negara dalam usaha mencari MH370 ini, antara perkara yang harus dilihat di dalam kes ini ialah campur tangan asing, khususnya Amerika dan Barat ke dalam wilayah Malaysia. Ini kerana mereka adalah pasukan dari negara kuffar yang selama ini memusuhi Islam dan umatnya. Dengan penghantaran kapal dan peralatan perang tercanggih oleh Amerika atas nama ‘bantuan’ mencari dan menyelamat, kita seharusnya mempersoalkan ‘keikhlasan’ mereka di sini kerana selama ini sudah berapa banyak mereka membunuh umat Islam yang tidak berdosa di Afghanistan, Pakistan, Iraq dan yang secara tidak langsung di Palestin, Syria, Mesir dan banyak lagi, melalui sokongan mereka kepada pemimpin negara-negara tersebut yang menjadi ejen mereka. Aneh, kenapa pula kali ini mereka beriya-riya ingin menyelamatkan orang lain? Apatah lagi dalam keadaan kita didedahkan dengan fakta tentang wartawan kontroversi CNN, Richard Quest yang terbang bersama pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid, 17 hari sebelum kejadian. Semua ini tidak harus diambil mudah.

Sememangnya menjadi tanggungjawab pemerintah untuk berusaha mencari dan menyelamatkan mangsa dan kita tidak menafikan usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan. Dalam masa yang sama kita juga tidak boleh menafikan seratus peratus tidak wujudnya konspirasi, apatah lagi dalam keadaan banyak persoalan yang tidak terjawab. Apa yang penting ialah kita mesti berhati-hati dengan campur tangan asing (khususnya Barat) dan kita mengharapkan agar tidak wujud apa-apa konspirasi dalam kes ini yang cuba disembunyikan oleh pemerintah. Sekiranya ada, maka kita berdoa kepada Allah agar menggagalkan konspirasi ini dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dengan apa yang dikehendakiNya. 

Khatimah

Selain kita berusaha dan mendoakan yang terbaik, kita juga dapat menarik banyak pengajaran dari peristiwa kehilangan pesawat MH370 ini. Antaranya adalah kita melihat bagaimana kekuatan tentera dikerahkan dan perhatian seluruh rakyat ditarik kepada usaha menyelamatkan mangsa yang masih tidak dapat dipastikan sama ada hidup atau sudah mati. Hal ini memang suatu tindakan yang patut dan wajar. Cuma, alangkah baiknya jika kekuatan tentera juga dikerahkan bagi menyelamatkan umat Islam yang kini secara nyata sedang dibunuh dan dianiaya di Palestin, di Syria, Myanmar, Afrika Tengah dan lain-lain, kerana hal ini juga adalah kewajipan, malah merupakan kewajipan yang sangat mendesak. Kita juga melihat bagaimana dunia boleh bergabung dengan bersungguh-sungguh demi menyelamatkan mangsa, namun dalam masa yang sama dunia hanya berdiam diri dan membiarkan ratusan ribu umat Islam dibunuh dengan kejam di negeri-negeri yang berkenaan. Pengajaran lain yang sering disebut dalam tragedi ini ialah, walau bagaimana hebat dan canggih ilmu sains dan teknologi yang ada, namun kuasa Allah itu melebihi segala-galanya. Namun, janganlah hendaknya bersungguh-sungguh berdoa mengharapkan pertolongan Allah tatkala berlakunya musibah yang kita sudah tidak ada daya dan upaya lagi untuk menyelesaikannya. Namun tatkala senang dan gembira, Allah dilupakan. 

Wallahua’lam.

Ketua Jenayah

Bismillahirrahmanirrahim

ATAS PERINTAH KERRY DAN FORD, COALITION TENGGELAM SEPENUHNYA MENGIKUTI KETUANYA KE JENAYAH GENEVA

 
“Orang-rang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya” [TMQ al-An’am(6):124]

[SN378] Pemimpin Coalition, Al-Jarba, mengumumkan kelulusan pada malam Sabtu 18/01/2014, bahawa Coalition akan menghadiri persidangan Geneva II sebagaimana yang diarahkan oleh Kerry dan Ford; membelakangkan semua keputusan yang telah diumumkan oleh Coalition sebelum ini bahawa mereka tidak akan berunding dengan rejim Bashar dan juga membelakangkan peraturan Coalition sendiri yang memerlukan kelulusan dua pertiga daripada 121 ahli-ahlinya. Ia sudah lupa semua itu atau sebenarnya buat-buat lupa, disebabkan tekanan daripada tuan mereka. Lalu mereka mengumumkan kelulusan dengan bilangan undi sebanyak 58 ahli dan bukannya 81. Mana mungkin Coalition yang tidak lebih daripada hamba itu, menolak perintah Amerika, sekecil mana sekalipun perintah itu, kerana Coalition itu adalah buatan Amerika. Jadi mana mungkin mereka melanggar perintah penciptanya?!

Pemimpin Coalition menyatakan bahawa mereka tidak menyerahkan harga diri mereka, padahal sudah tidak ada sedikit pun harga diri lagi yang tersisa daripada mereka! Justeru, keengganan mereka (selama ini) untuk berunding dengan rejim Bashar hanyalah lakonan semata-mata. Selain itu, misi mereka untuk berunding dengan jaminan kematian Bashar, jaminan ini telah tenggelam dan dilupakan! Hakikatnya tidak wujud jaminan dan tidak wujud harga diri, tetapi yang ada hanyalah sikap tunduk dan menyerah diri kepada Amerika dan sekutunya, demi mencari ketetapan baru bagi kesinambungan pengaruh Amerika. Segalanya adalah mengenai Bashar baru bagi menggantikan Bashar lama! Sesungguhnya Coalition ini telah mengkhianati Allah dan RasulNya serta orang-orang Mukmin, sejak awal penubuhannya lagi. 

Pemimpin Coalition itu sebenarnya menyeru ke arah matlamat yang sama sebagaimana yang dilalui oleh rejim Basyar, yakni sebuah republik demokratik sekular dan mengiktiraf kesetiaan yang sama kepada Amerika seperti yang diiktiraf oleh rejim Basyar...Ramai yang dikelabui mata mereka pada awal kemunculan Coalition, kini cahaya sudah mula kelihatan dalam kabus yang tebal. Realiti sebenar Coalition sudah terdedah di mata orang buta sekalipun, setelah Coalition memijak-mijak semua darah yang telah tertumpah dan pengorbanan yang telah dilakukan. Inilah wajah sebenar Coalition, yang bersetuju untuk berunding dengan rejim diktator untuk berkongsi pemerintahan di atas tumpahan darah kaum Muslimin Syam, di atas kemusnahan rumah-rumah, di atas kemusnahan kehidupan manusia, pokok-pokok dan batu-batuan oleh peluru berpandu rejim, segala jenis bom dan senjata kimia dan di atas segala pembakaran, rompakan dan pemerkosaan...

Wahai Muslim yang ikhlas di tanah Syam...Wahai mereka yang telah ditumpahkan darahnya, dan diserang kehormatannya, harta dan rumahnya...!

Sesungguhnya Coalition telah menikam kalian dari belakang dan depan. Ia tidak menyembunyikan pengkhianatannya sedikit pun, malah menayangkannya secara terbuka...Ia tidak menutup auratnya dengan sedikit pakaian pun, malah ia sudah hilang perasaan malu dan kesopanannya. Wajahnya dicalari dengan jenayah dan terlihat jelas seperti matahari di siang hari, sehingga karakter mereka menjadi petunjuk kepada jenayah mereka. Sebagaimana firman Allah SWT,

“Orang-orang yang berdosa dikenal dengan tanda-tandanya, lalu dipegang ubun-ubun dan kaki mereka” [TMQ ar-Rahman (55):41]. 

Jadi, ikatlah tangan-tangan Coalition untuk menghentikan mereka. Buanglah mereka sebagaimana kalian membuang biji dari buah yang sudah dimakan. Jangan biarkan mereka melalui atau menempati tanah Syam, pusat Darul Islam. Isytiharkanlah ia dengan lantang, sebagaimana kalian memulainya dengan pengisytiharan hiya lillah hiya lillah (“perjuangan ini adalah untuk Allah, perjuangan ini adalah untuk Allah”)...Ketahuilah bahawa Persidangan Geneva I dan II adalah perangkap; Amerika telah menjalin tali untuk diikuti oleh kuasa-kuasa yang campur tangan dalam hal ini yang dibuat oleh Amerika untuk memastikan kesetiaan kepada sistem baru ini, sepertimana kesetiaan kepada sistem yang sedia ada...Maka potonglah tali ini dan halanglah campur tangan antarabangsa yang dibuat Amerika. Ia bertentangan dengan jatidiri kalian yang sebenar. Janganlah tunduk dan setia kepada Amerika dan ejen-ejennya kerana tidak ada seorang pun yang bersahabat dengan Amerika kecuali mereka adalah para pengkhianat dan pelupa daratan, yang menjual akhirat untuk keuntungan duniawi yang sedikit. Apa yang diperolehinya hanyalah duri dan ia akan ditimpa oleh apa yang menimpa sekutunya itu iaitu kehinaan dalam kehidupan dunia dan azab di Akhirat.

“Dan sesungguhnya seksaan Akhirat lebih menghinakan sedang mereka tidak diberi pertolongan” [TMQ Fussilat (41):16].

Wahai Muslim yang ikhlas di tanah Syam...Wahai mereka yang telah diserang darahnya, kehormatannya, harta dan rumahnya...!

Kalian telah berjuang menentang kezaliman selama tiga tahun yang penuh diliputi dengan asap konspirasi; di peringkat antarabangsa dari Amerika dan sekutunya; di peringkat serantau dari orang-orang Arab dan bukan Arab yang mengikuti konspirasi antarabangsa sejengkal demi sejengkal. Malah mereka yang telah meninggikan suara mereka, baik di kalangan Arab mahupun bukan, yang melaung untuk membantu kalian, laungan mereka itu hanyalah bunyi tanpa aksi. Walau bagaimanapun, kalian tetap teguh dan sabar dan kalian memenuhi lelangit Syam dengan laungan “Takbir” kalian. Kalian juga telah dihujani dengan semua bentuk kezaliman daripada sang rejim, namun kalian telah berjaya mencederakan musuh tanpa ia melemahkan keazaman kalian mahupun melembutkan perjalanan kalian sedikit pun...

Sungguh berani Coalition yang tidak mempedulikan ikatan persaudaraan dan perlindungan sesama orang-orang yang beriman itu, mengisytiharkan rundingan dengan rejim diktator untuk berkongsi kuasa dengannya, seolah-olah tiada apa yang telah berlaku di Syam?! Kalian, wahai warga Syam, sesungguhnya mampu untuk menggagalkan konspirasi Amerika dan sekutunya dan menekan Persidangan Geneva dan Coalition itu…kerana dalaman kalian amat teguh dan sabar dan kalian adalah kayu ukur...kalian adalah sumber kekuatan Syam. Coalition yang bertaraf “hotel berbintang” itu, tidak kira berapa besar pengkhianatan dan jenayah mereka, tidak boleh berbuat apa-apa jika kalian berdiri teguh di depannya dengan haq dan ikhlas kepada Allah serta amanah kepada Rasulullah SAW; jika inilah yang kalian lakukan, maka sudah pasti Coalition itu akan tunduk terhina dan keletihan...

Malangnya, Coalition itu telah berjaya menembusi beberapa kedudukan kalian dan lebih buruk sekiranya ia berjaya menembusi kedudukan beberapa kumpulan, mempengaruhi dan menjadikan mereka bersandar kepadanya, condong terhadapnya dalam mencari ejen baru bagi menggantikan ejen sedia ada. Jika demikian halnya, kumpulan ini akan dilaknat oleh darah-darah yang telah mengalir dan akan ditolak oleh pengorbanan-pengorbanan yang telah dibuat. Kumpulan ini dan orang-orang yang mengikuti mereka, yang diheret oleh Coalition itu, akan menjadi seperti apa diterangkan oleh Allah SWT, 

“…seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat…” [TMQ an-Nahl (16):92]. 

….mereka akan kehilangan dunia ini dan juga Akhirat dan itulah kerugian yang nyata.

Wahai Muslim yang ikhlas di tanah Syam...Wahai mereka yang telah diserang darahnya, kehormatannya, harta dan rumahnya...!

Sesungguhnya ketua itu tidak akan berbohong kepada pengikutnya dan Hizbut Tahrir berpaling ke arah kalian, memberikan khabar ancaman dan khabar gembira kepada kalian.

Hizbut Tahrir memberikan khabar ancaman kepada kalian daripada terjatuh ke dalam api Geneva. Ini kerana, rundingan Coalition dengan rejim hanyalah mengikut laluan yang sudah dirancang yang mana ia tidak akan keluar dari laluan tersebut. Ia adalah bagi melahirkan seorang diktator baru yang tidak berbeza daripada diktator sebelumnya kecuali namanya dan raut wajahnya sahaja. Jadi, Amerika boleh secara bebas, masuk dan berkeliaran di dalam dan di sekitar Syam sebagaimana ia bebas memasuki dan berkeliaran sebelumnya. Kemudian, kesusahan dan kesengsaraan akan membelit leher kalian sekali lagi dan kalian akan menyesal tetapi ia sudah terlambat. 

Janganlah hendaknya ada seorang pun di antara kalian yang berkata, saya hanya bertanggungjawab terhadap diri saya sendiri, dosa dan kemusnahan hanya akan menimpa orang-orang yang ke Geneva sahaja...janganlah berkata demikian, kerana jika kejahatan menimpa orang yang tidak berusaha menghentikannya dan merubahnya, maka azab akan menimpa kesemuanya...sebagaimana telah diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, dari Abu Bakr ra, bahawa dia berkata, selepas memuja-muji Allah, 

“Wahai manusia…Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah maksiat dilakukan dalam suatu kaum, tetapi mereka tidak merubahnya padahal mereka mampu merubahnya kecuali Allah akan meratakan azab kepada mereka”. 

Oleh yang demikian, jagalah diri kalian dari azab seksa...

HizbutTahrir menyampaikan khabar gembira buat kalian bahawa jika kalian ikhlas kepada Allah SWT dan membenarkan RasulNya serta teguh di dalam perkataan dan perbuatan kalian di dalam mengikuti hukum Allah, dengan menegakkan Khilafah Rasyidah, serta ikhlas berusaha menghapuskan pengaruh Amerika beserta ejen-ejennya, dari akarnya...Maka Allah pasti menolong kalian dan Dia akan membinasakan musuh-musuh kalian.

“Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang beriman” [TMQ ar-Rum (30):47]. 

Dan perkataan siapakah yang lebih benar daripada Allah?

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya” [TMQ Qaaf (50):37]. 

Hizbut Tahrir
18 RabiulAwal 1435H
19 Januari 2014M

[Terjemahan nasyrah dari Hizbut Tahrir Pusat yang disebarkan ke seluruh dunia amnya dan ke Syam khususnya].