Friday 26 April 2013

Penentu kemenangan


BILANGAN BUKAN PENGUKUR KEMENANGAN

[SN308]
 Kebelakangan ini nampaknya banyak program mega dijalankan sama ada oleh pemerintah mahupun pembangkang. Tentunya hal ini tidak lepas dari perang dingin dan propaganda pihak-pihak yang terbabit untuk menunjukkan kekuatan masing-masing menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti. Walaupun ia sebenarnya dah agak lama bermula, namun boleh dikatakan bahawa ia semakin menjadi-jadi sejak demonstrasi besar-besaran Bersih 3.0 pada 28 April lalu. Bermula dari situ, “angka” mula menjadi senjata masing-masing dalam perang propaganda mereka menuju PRU-13 nanti. Pembangkang mendakwa bahawa golongan yang berhimpun di Kuala Lumpur semasa Bersih 3.0 lalu lebih 200,000 orang, manakala kerajaan (melalui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim) mendakwa bahawa jumlah yang hadir hanyalah 22,275 yang dikira melalui kaedah ‘centimeter exposition mechanism photography’ yang sekali gus menunjukkan bahawa pembangkang tidak bercakap benar [Bernama 27/05/12]. 

Tidak lama selepas itu iaitu pada 11 Mei, UMNO menganjurkan perhimpunan ‘gelombang merah’ di Stadium Nasional Bukit Jalil di mana UMNO mendakwa lebih 100,000 hadir bagi meraikan ulang tahun ke-66 parti assabiyyah Melayu terbesar itu. Tidak cukup dengan itu, “perang angka” terus berlaku pada 23-27 Mei di mana kerajaan UMNO menganjurkan Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya yang didakwa dihadiri oleh 2 juta belia dari seluruh negara. Dalam usaha menarik seramai mungkin orang muda ke himpunan tersebut, ia turut diserikan dengan pelbagai program maksiat seperti konsert kumpulan K-Pop dari Korea Selatan yang menelan belanja hampir RM1 juta. Manakala pada 1 Jun lepas, PAS pula mengadakan “Himpunan Hijau ke Putrajaya” di Stadium Darul Aman, Alor Setar, di mana lebih kurang 100,000 peserta dilaporkan memenuhi stadium di ibu negeri Kedah itu. 

Dari kesemua program mega tersebut, kita boleh membaca saban hari bagaimana peperangan angka di antara parti pemerintah dan pembangkang terus berlangsung di media cetak dan elektronik. Tidak sedikit daripada penyokong masing-masing yang melahirkan kebanggaan dengan angka yang besar pada program masing-masing dan sebaliknya berlaku tuduh-menuduh bahawa pihak lawan berbohong dengan angka yang dilaporkan. Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, pihak pemerintah dan pembangkang mendakwa dan yakin bahawa dengan kehadiran yang begitu besar pada program mereka, itu semua menunjukkan sokongan padu rakyat kepada mereka yang sekali gus menunjukkan bahawa mereka bakal memenangi PRU-13 nanti. 

Pendek kata, semua peperangan angka itu tidak boleh dipisahkan dari hasrat masing-masing untuk mempertahankan dan menakluk Putrajaya. Bagi kedua-dua pihak, “Putrajaya” seolah-olah syurga idaman masing-masing sehingga segala perjuangan, hidup dan mati adalah demi Putrajaya! Persoalannya, apakah standard atau ukuran untuk menilai sesebuah kejayaan atau kemenangan di dalam perjuangan, adakah kerana bilangan ahli pertubuhan atau penyokong yang ramai, atau kerana ramainya bilangan orang yang hadir di dalam sesuatu program yang diadakan? Khusus bagi gerakan Islam pula, apakah keberhasilan atau kejayaan dakwah untuk menerapkan Islam atau mendirikan Negara Islam diukur dengan angka atau bilangan yang ramai? Atau faktor apakah yang menjadi ukuran sebenarnya? 

Apa Yang Perlu Diubah?

Sebelum berbincang lebih jauh, perlu ditentukan terlebih dahulu apakah asas dan ghayah (objektif) sesebuah pertubuhan itu ditubuhkan. Pertubuhan yang ditubuhkan atas dasar bangsa (assabiyyah), maka objektifnya sudah tentu untuk memartabatkan bangsa atau memperjuangkan nasib bangsa tersebut. Pertubuhan seperti ini tidak menjadi perbincangan kita kerana ia bukanlah pertubuhan atau gerakan Islam. Pertubuhan seperti ini haram untuk didirikan dan jika ada, wajib dibubarkan dan digantikan dengan asas Islam. Manakala bagi pertubuhan atau gerakan yang didirikan atas asas Islam, maka wajib baginya untuk menjadikan akidah Islam (dan hukum Islam) semata-mata sebagai teras perjuangan dengan isti’naf al-hayah al-Islamiyyah (mengembalikan semula kehidupan Islam) dijadikan sebagai ghayahnya. 

Jika ia mengambil selain Islam di dalam perjuangan sama ada dalam perkara usul (pokok) atau furu’ (cabang), maka gerakan Islam tersebut sebenarnya telah menyimpang dari jalan yang lurus. Gerakan Islam yang mengambil demokrasi atau mengambil jalan Parlimen untuk menerapkan Islam atau mengambil Perlembagaan yang ditinggalkan oleh kafir penjajah sebagai pegangan, bekerja sama (tahalluf) dengan gerakan kafir dan sekular, membuka keahlian kepada orang kafir dan sebagainya, kesemua ini menunjukkan bahawa gerakan Islam tersebut telah tersasar dari jalan yang benar. 

Persoalan kedua yang perlu diperhatikan adalah, perubahan bagaimanakah yang ingin dibawa? Jika perubahan sebahagian atau bertahap (tadarruj), maka ini bukanlah perubahan yang dituntut oleh Islam, malah akan menjerumuskan gerakan Islam itu ke dalam keharaman. Manakala jika tetap memilih sistem demokrasi untuk melakukan perubahan, hal ini sesungguhnya langsung bukan merupakan perubahan! Ia hanya menunjukkan perubahan “orang” atau “parti” yang memerintah sahaja manakala sistemnya tetap sama, ibarat kereta buruk yang hanya berganti pemandu! Perubahan yang disasarkan hendaklah perubahan yang mendasar yakni mencabut sistem kufur demokrasi ini dengan akar-akarnya sekali dan diganti dengan sistem Islam (Khilafah). Inilah perubahan hakiki yang sepatutnya dilakukan oleh gerakan Islam. 

Perubahan pemerintahan dari sistem kufur kepada sistem Islam tidak akan berlaku sekiranya pemikiran ahli-ahli gerakan Islam itu sendiri tidak berubah! Jika ahli-ahli gerakan Islam itu masih mahukan demokrasi dan berjuang hanya dalam ruang lingkup demokrasi dan mematuhi segala ajaran demokrasi di dalam perjuangannya, maka gerakan Islam itu sebenarnya langsung tidak berbeza dengan parti sekular yang sedang memerintah. Gerakan Islam seumpama ini pastinya tidak akan menerapkan Islam dan tidak akan dapat menerapkan Islam, walau berapa ramai sekalipun ahli dan para penyokongnya dan walau betapa besar sekalipun program yang dianjurkannya.

Oleh yang demikian, sesebuah gerakan Islam mahupun seorang da’i (pendakwah) yang berjuang untuk meninggikan syiar Allah, harus jelas di dalam meletakkan satu kayu ukur dalam menilai keberhasilan atau kejayaan di dalam perjuangan dakwahnya. Walaupun kebanyakan gerakan Islam mahupun pendakwah individu tersebut, malah ramai di kalangan kaum Muslimin yang amat berbangga melihat ramainya orang yang menjadi ahli, penyokong atau yang hadir di dalam setiap ceramah, demonstrasi atau apa jua program yang dianjurkan oleh sesebuah pertubuhan atau individu berkenaan, namun sesungguhnya adalah amat keliru dan salah sekiranya kejayaan dakwah itu dinilai dari aspek angka kehadiran, tanpa memerhatikan apakah “isi kandungan” program yang cuba disampaikan. 

Walaupun kita tidak menafikan setiap jemaah memerlukan bilangan yang ramai sebagai ahli atau penyokongnya, bagaimanapun, jumlah atau bilangan yang ramai bukanlah suatu yang benar untuk menilai kejayaan dakwah yang dibawa. Ini kerana, kejayaan atau kemenangan dakwah itu dinilai dari sudut kebenaran (al-haq) yang dibawa, bukan kerana besarnya bilangan pengikut atau penyokong. Kerana itu, para pejuang Islam tidak boleh sekali-kali mengukur keberhasilan dakwahnya dengan jumlah pengikutnya. Ukuran seperti ini bukan sekadar salah, malah boleh membahayakan perjuangan, kerana akan mengalihkan perhatian para pejuang daripada perjuangan menerapkan Islam kepada perjuangan meramaikan ahli dan penyokong. 

Bercermin Kepada Sirah Rasulullah

Sesungguhnya perjuangan Rasulullah SAW bermula dengan jumlah yang amat sedikit. Pada awal dakwahnya, Nabi SAW mengajak orang-orang yang telah sedia menerima dakwahnya tanpa mengira usia, status, jenis kelamin dan asal usulnya. Baginda tidak pernah memilih-milih orang yang akan diseru kepada Islam, tetapi mengajak semua manusia dan menuntut kesediaan mereka untuk menerima Islam. Jumlah mereka yang menerima dakwah Rasul saat diutusnya baginda hingga turunnya perintah Allah untuk menzahirkan dakwah hanyalah lebih kurang 40 orang yang kebanyakannya terdiri dari kalangan pemuda. Jumlah yang kecil ini ternyata amat ditakuti oleh musuh Islam kerana kekuatan kebenaran yang dibawanya.

Setelah kejadian Baiah Aqabah I, Mus’ab bin Umair diutus oleh Rasulullah ke Madinah untuk mendakwahi penduduk di sana. Walaupun Mus’ab diutus oleh Rasulullah seorang diri sahaja, namun ternyata beliau berjaya mengIslamkan sebahagian besar pemimpin dan penduduk Madinah. Kisah dakwah Mus’ab di Madinah menunjukkan bahawa bilangan bukanlah pengukur kepada kejayaan kerana yang penting adalah kebenaran yang dibawa. 

Setelah berlakunya hijrah, maka terbentuklah Negara Islam yang pertama di muka bumi ini di mana Rasulullah SAW menjadi Ketua Negaranya. Dalam keadaan negara yang baru dan masih kecil, berlakunya Perang Badar pada tahun kedua Hijrah. Dengan jumlah kaum Muslimin seramai lebih kurang 300 orang manakala kekuatan musuh berjumlah 1000 orang. Walaupun jumlah pasukan musuh adalah tiga kali ganda dari kaum Muslimin, namun keimanan dan keyakinan akan kebenaran Islam yang dibawa telah menghasilkan kekuatan yang luar biasa. Sa’ad bin Mu’adz yang merupakan pemimpin kaum Ansar berkata kepada Rasulullah, 

“Kami sungguh-sungguh mengimani dan membenarkanmu. Kami bersaksi bahawa apa yang engkau datangkan adalah benar. Atas dasar itu, kami memberikan kepadamu janji dan kebulatan tekad untuk selalu mendengar dan mentaatimu. Kerana itu, perbuatlah wahai Rasulullah apa yang engkau inginkan, maka kami akan tetap bersamamu. Demi Dzat Yang mengutusmu, seandainya engkau mengajak kami menyeberangi lautan, lalu engkau terjun ke dalamnya, maka kami pasti turut terjun bersamamu. Tidak seorang pun dari kami yang akan berpaling dan kami tidak benci jika besok hari engkau mempertemukan kami dengan musuh kami. Sesungguhnya kami pasti sabar dalam peperangan, benar dalam pertemuan. Semoga Allah memperlihatkan kepadamu sesuatu dari kami yang dapat menenangkanmu. Berjalanlah bersama kami dengan naungan berkat dari Allah.”

Begitulah kata-kata semangat dan keyakinan dari sahabat. Akhirnya, pertempuran pun meletus dan kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin walaupun jumlah kaum Muslimin lebih kecil. Para sahabat yang beriman kepada Allah dan RasulNya berpegang teguh dengan “kebenaran” yang dibawa oleh mereka. Itulah yang menjadi ukuran mereka di dalam perjuangan, bukannya persoalan bilangan yang ramai!

Begitu juga apa yang telah terjadi di dalam Perang Mu’tah di mana pasukan kaum Muslimin yang berjumlah 3000 orang menghadapi pasukan musuh yang berjumlah 200,000 orang. Bilangan musuh yang jauh lebih besar ini pada mulanya memang mengejutkan pasukan Islam dan mereka berbincang selama dua malam mengenai langkah yang akan diambil. Pendapat yang terkuat di antara mereka adalah agar menulis surat kepada Rasul SAW untuk memberitahu kepada baginda tentang jumlah pasukan musuh yang begitu besar. Namun, Abdullah bin Rawahah justeru berbeza pendapat dan berkata dengan lantang kepada mereka, 

“Wahai manusia! Demi Allah sesungguhnya apa yang kalian benci justeru itulah yang kalian cari, iaitu mati syahid! Kita tidak memerangi manusia kerana jumlahnya, kekuatannya dan banyaknya pasukan. Kita tidak memerangi mereka, kecuali kerana agama ini yang mana Allah telah memuliakan kita dengannya. Berangkatlah kalian! Sesungguhnya di sana itu terdapat salah satu di antara dua kebaikan, menang atau mati syahid.”

Seketika itu juga bergeloralah keimanan dan semangat dalam tubuh pasukan kaum Muslimin dan mereka melanjutkan perjalanan hingga berlangsungnya peperangan yang paling dahsyat dan menakutkan antara pasukan mereka dengan pasukan Rom. Kematian di pihak Rom menyebabkan bangsa berkulit merah itu tercengang. 

Walaupun ketiga-tiga panglima Islam kesayangan Nabi iaitu Zaid bin Haritsah, Jaafar bin AbiThalib dan Abdullah bin Rawahah syahid di dalam peperangan ini, namun pasukan kaum Muslimin kembali ke kota Madinah dari medan perang dengan selamat, berkat strategi yang diputuskan oleh Khalid al-Walid. Dengan demikian, mereka kembali dari kancah perang dalam keadaan tidak menang dan tidak pula kalah. Akan tetapi, dalam perang tersebut mereka memperoleh hasil yang baik kerana keimanan mereka kepada Allah dan RasulNya. Kerana itu, wajib bagi setiap Muslim untuk istiqamah di dalam kebenaran, tidak tergelincir dari Islam dan tidak perlu memperhitungkan faktor lainnya di dalam perjuangan menegakkan agama Allah, meski pun jumlah kita sedikit. 

Pengajaran juga wajib diambil oleh kaum Muslimin melalui kisah Perang Hunain di mana kaum Muslimin ketika itu cukup berbangga dengan bilangan mereka yang ramai yakni lebih kurang 12,000 orang. Namun pasukan ini diserang hendap dengan begitu hebat sehingga menyebabkan kaum Muslimin lari kucar kacir meninggalkan Rasulullah di medan perang. Rasulullah SAW berada di saat yang paling getir ketika itu sehinggalah Abbas berjaya menyeru pasukan yang lari agar kembali semula. Dalam kejadian ini, Allah menurunkan firmanNya, 

“Sesungguhnya Allah telah menolong kalian di medan peperangan yang banyak dan juga pada hari peperangan Hunain, iaitu di waktu kalian menjadi congkak kerana ramainya jumlah kalian. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepada kalian sedikit pun dan bumi yang luas itu terasa sempit oleh kalian, kemudian kalian lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kalian tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir” [TMQ at-Taubah (9):25-26].

Sesungguhnya banyak lagi kisah lainnya yang tidak dapat diungkapkan di sini kerana keterbatasan ruang, namun apa yang perlu diambil pelajaran ialah jangan sekali-kali berbangga dengan jumlah yang ramai dan menyangka bahawa itulah petanda kemenangan, kerana kemenangan Islam itu sesungguhnya bukan diukur dengan bilangan tetapi dengan kebenaran yang dibawa. Oleh yang demikian, jika sesebuah gerakan itu berjaya mengumpulkan puluhan ribu orang dalam programnya sekalipun, namun sekiranya pemikiran mereka dan isi kandungan program mereka tidak selaras dengan Islam, masih lagi berbincang tentang demokrasi, masih lagi mempertahankan nasionalisme, patriotisme, negara-bangsa, masih lagi tunduk kepada undang-undang dan sistem yang sedia ada, masih lagi mentaati Perlembagaan ciptaan penjajah dan seumpamanya, maka semua ini tidak ada nilainya di sisi Islam dan tidak menunjukkan tanda-tanda kemenangan sedikit pun! 

Namun, jika sesebuah gerakan Islam itu mengadakan perjumpaan atau program yang membincangkan tentang bagaimana untuk menukar pemikiran kufur kepada pemikiran Islam, menukar sistem kufur kepada sistem Islam, bagaimana untuk menggantikan sistem mungkar demokrasi kepada sistem Khilafah, bagaimana untuk menjadikan agama Allah zahir di atas agama-agama yang lain, bagaimana untuk memerintah negara dan dunia dengan Islam dan sebagainya, maka program tersebut, walaupun hanya dihadiri oleh 10 orang dan bukannya 100,000 orang, maka ia pasti akan membawa kejayaan dan kemenangan. Firman Allah SWT, 

“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (kelompok) yang mengajak pada kebajikan (Islam), memerintahkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan” [TMQ Ali Imran (3):104]. 

Kepada mereka yang berbangga dengan bilangan yang ramai (yang tidak berdiri di atas kebenaran), ingatlah akan Firman Allah, 

“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar” [TQM al-Baqarah (2):249]. 
Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment