Sunday 21 April 2013

Konflik di Mesir


MESIR OH MESIR!
[SN330] Berdasarkan perkembangan terbaru di Mesir setakat ini, tujuh penunjuk perasaan terbunuh dan beratus-ratus yang lain cedera dalam pertempuran antara penyokong Ikhwanul Muslimin dan pembangkang berdekatan kediaman rasmi presiden. Kenderaan polis dilaporkan turut kelihatan berkawal buat kali pertama sejak tunjuk perasaan besar-besaran diadakan 23 November lalu, selepas presiden Mesir mengeluarkan satu dekri yang meluaskan kuasanya. Kumpulan berhaluan kiri, liberal dan pembangkang berarak menuju kediaman rasmi Presiden bagi membantah pengendalian pungutan suara, yang dianggap dibuat secara tergesa-gesa berhubung Perlembagaan baru, yang didakwa menyebabkan negara mengalami perpecahan dan berlaku kongkongan terhadap agama. Ikhwanul Muslimin, yang mendominasi badan yang menggariskan Perlembagaan tersebut, turut mendesak pengikutnya untuk keluar beramai-ramai bagi menyatakan sokongan kepada Presiden dan juga kepada pungutan suara yang diyakini akan berpihak kepada mereka. Natijah dari semua ini, kita saksikan sekali persengketaan besar di bumi yang penuh bersejarah itu. 

Apa Yang Sebenarnya Berlaku?

Punca kepada segala kekecohan di atas adalah kerana MuhammedMursi, presiden Mesir yang dilantik sejak Jun 2012 itu telah mengeluarkan satu dekri presiden pada 22 November yang mengehadkan kuasa kehakiman dan menetapkan bahawa kuasa presiden adalah “muktamad dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana individu atau pihak sehinggalah sebuah perlembagaan baru disahkan dan parlimen baru dibentuk”. Hal ini telah membawa kepada ketegangan antara puak pembangkang sekular yang telah kalah dalam pilihan raya lepas dan pihak kerajaan. Penggantian pendakwa raya, Abdel Maguid Mahmoud, telah dikritik hebat kerana gagal (dalam kes) untuk mengenakan hukuman penjara yang lebih berat ke atas Hosni Mubarak dan sekutu-sekutunya, menyebabkan banyak pihak kehakiman bangkit membantah. Memandangkan pegawai kehakimanlah yang akan memantau undi di tempat-tempat pengundian, ini membuatkan pungutan suara perlembagaan yang ingin dilakukan Mursi pada pertengahan bulan nanti berada dalam keadaan kritikal. 

Akibatnya, terjadilah pertempuran di jalan-jalan di Kaherah, sehingga ibu pejabat Ikhwanul Muslimin dan istana presiden menjadi sasaran protes. Protes yang berlaku sekarang diketuai oleh puak sekular yang kecundang pada masa pilihan raya parlimen lepas. Walaupun sokongan kepada kumpulan ini kecil tetapi mereka mampu menarik media sosial sehingga apa yang mereka lakukan di jalanan ini nampaknya telah dapat menggugat cubaan Mursi untuk menyapu bersih segala kuasa. 

Mursi mencapai kemenangan bergaya dan menjadi ketua negara selepas era Mubarak. Sejak itu, dia telah berusaha mengukuhkan kedudukannya dan fokus ke arah itu adalah dengan memperkenalkan perlembagaan baru. Dia bagaimanapun menghadapi tentangan keras terhadap setiap usahanya untuk menjadi lebih berkuasa. Badan kehakiman membubarkan Parlimen atas sebab teknikal dan seterusnya membatalkan tugas Majlis Perlembagaan untuk menulis perlembagaan baru. Krisis perlembagaan terbaru ini pula telah memberi inspirasi kepada pembangkang yang melihat hal ini sebagai satu peluang untuk melemahkan Mursi dan seterusnya merebut manfaat daripada kelemahan pemerintahan presiden Mesir itu.

Dari segi badan kehakiman pula, badan ini memang tidak sekepala dengan Mursi sejak hari pertama Mursi menjadi presiden. Mahkamah Agung Administrasi pula dipenuhi oleh mereka dari era rejim Mubarak yang terkenal dengan membuat keputusan yang tidak pernah adil. Apa yang nyata dapat dilihat dari era Mubarak ialah diamnya pihak tentera dengan keputusan-keputusan para hakim ini yang secara implisit menunjukkan sokongan tentera terhadap keputusan-keputusan yang dibuat. Dengan campur tangan secara konsisten oleh badan kehakiman ke atas pihak Eksekutif, ini membuatkan mereka terus relevan di dalam merubah landskap politik Mesir.  

Pengaruh kuat dan campur tangan tentera dalam pemerintahan negara melemahkan lagi presiden. Sejak Mubarak disingkirkan, pihak tentera sentiasa memastikan agar urusan dalaman harian berada di tangan kerajaan tetapi polisi luar dipegang erat oleh tentera. Pihak tentera selalu berada di garisan tepi dan tidak melangkah untuk membantu Mursi. Walaupun di saat demonstrasi bertukar menjadi ganas, pihak tentera tidak berganjak kecuali sedikit, malah selalu menyatakan yang mereka berada di pihak rakyat. Tatkala istana presiden dan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin diserang, sikap tentera yang hanya memerhati ini melemahkan lagi kuasa Mursi.

Pada 10 Disember 2012 lepas, Mursi telah menarik balik kuasa yang dibuatnya melalui dekri presiden, satu langkah yang telah memberi kredit kepada pembangkang. Bagaimanapun, pungutan suara untuk perlembagaan tetap diteruskan. Jika ia berjaya, Mursi kemungkinan besar selamat dalam memastikan undi yang cukup untuk menjadikan perlembagaan baru sebagai rasmi.  Justeru, walaupun media global memberikan liputan yang meluas kepada pembangkang, MuhammedMursi mendapat sokongan padu dari dalam negara memandangkan sudah semakin ramai yang keluar menyatakan sokongan kepada Ikhwanul Muslimin berbanding mereka yang keluar menyokong golongan sekular dan pembangkang.

Apakah yang sebenarnya dimahukan oleh pembangkang? Pakatan utama pembangkang, The National Salvation Front, menyatakan bahawa mereka memprotes kerana Mursi cuba menjadikan dirinya berkuasa sebagaimana Mubarak. Oleh itu, mereka keluar ke jalan-jalan dan melaungkan penentangan mereka terhadap Mursi dan perlembagaannya, dengan menekankan ketidaksetujuan mereka terhadap unsur-unsur keIslaman yang ada dalam perlembagaan. Mursi telah pun mengajak mereka untuk mengambil bahagian di dalam perbincangan pada 7 Disember 2012 tetapi mereka menolak. Namun, apabila Mursi membatalkan dekrinya, anehnya pembangkang mengutuk Mursi kerana melakukan apa yang mereka sendiri mahukan dan menyatakannya sebagai tidak boleh diterima. Hal ini telah menambah burukkan lagi protes. Pembangkang menyatakan bahawa penarikan balik dekri hanyalah helah untuk mencapai “tujuan sebenar” dan menyatakan bahawa rakyat mesti terus memprotes terhadap “presiden yang tidak mempedulikan rakyat”. 

Realitinya, pembangkang yang telah kalah teruk dalam pilihan raya sedang berusaha untuk melemahkan kekuasaan Mursi dan cuba menunjukkan kekuatan mereka dalam krisis terbaru ini. 

Apa yang amat menyedihkan dengan krisis terbaru di bumi para anbiya’ itu ialah terjadinya pembunuhan dan pergaduhan berterusan sesama Muslim…dan ia berlaku hanya kerana mempertahankan sebuah perlembagaan yang mana fasal-fasal di dalamnya bercanggah dengan Islam.  Sehubungan dengan itu, HizbutTahrirMesir telah menjelaskan percanggahan perlembagaan baru tersebut dengan Islam dan seterusnya mengingatkan umat Islam agar membuang keseluruhan sistem buatan manusia ini daripada akar-akarnya dan menggantikannya dengan sistem Islam (Khilafah) yang diredhai oleh Allah SWT. 

[Berikut adalah terjemahan nasyrah yang dikeluarkan dan disebarkan di Mesir dan seluruh dunia]

Bismillahirrahmanirrahim
Apakah Kerana Draf Perlembagaan Seperti Ini Kalian Berselisih Dan Bergaduh? Sedangkan Islam Langsung Tidak Terlibat Dalam Apa Yang Kalian Perselisihkan!!
 
Setelah presiden mengejutkan semua pihak dengan dekri perlembagaan baru yang menyebabkan pergaduhan besar dan pecah belah di jalanan di Mesir kepada pendukung presiden dan pembangkangnya, Majlis Perlembagaan secara tergesa-gesa menamatkan proses menulis perlembagaan baru dan memutuskan bahawa pungutan suara dalam isu ini akan dijalankan segera. Perkara ini ditetapkan meskipun tempoh untuk menyelesaikan penyusunan perlembagaan bersesuaian dengan dekri baru itu telah dilanjutkan selama dua bulan. Sejak itu, telah berlaku tunjuk perasaan yang begitu besar…seolah-olah draf perlembagaan ini telah dicabut dari “mulut singa” dalam pertempuran untuk menerapkan Islam dan menjaga identiti Mesir yang Islami!! Hakikatnya, fasal-fasal utama dalam rancangan perlembagaan baru itu tidak berbeza sedikit pun dengan perlembagaan lama. Bahkan, susunan ayat dalam fasal-fasalnya yang bertentangan dengan Islam pun tetap sama, tidak berubah sedikit pun. Malah nombor fasalnya pun tidak berubah! Meski pun susunan ayat dalam beberapa fasal bertepatan menurut syariah, namun pengambilannya bukanlah bersandar kepada akidah Islamiyyah melainkan merupakan penerapan utilitarianisme demokrasi. Kami (HizbutTahrir) menolak perlembagaan ini secara menyeluruh dan secara terperinci dan kami jelaskan - sebagai nasihat yang wajib diberikan dan demi membebaskan diri kami dari tanggungan di akhirat - sebagai berikut:-

Pertama; Fasal pertama draf perlembagaan menetapkan bahawa “Republik Arab Mesir sistemnya adalah demokrasi”. Sesungguhnya fasal ini menyalahi Islam, sebab sistem republik demokrasi akidahnya adalah fasl al-deen ‘an al-daulah (pemisahan agama dari negara). Akidah tersebut muncul di Eropah pasca pertarungan sengit antara para pemikir dengan gereja di zaman pertengahan. Akidah ini menjadikan al-siyadah li al-sya’bi (kedaulatan milik rakyat), yakni menjadikan hak pembuatan hukum ada di tangan manusia…manusialah yang menetapkan halal dan haram sesuka hatinya, sedangkan Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6):57].
 
Kedua; Fasal kedua draf perlembagaan itu menyatakan bahawa “Prinsip-prinsip syariah Islamiyyah merupakan sumber utama untuk pembuatan hukum”. Fasal ini menyebut “prinsip-prinsip” syariah Islam bukannya “hukum-hukum”, yang bermakna ia membuka pintu yang luas untuk proses tasyri’  (pembuatan hukum) oleh manusia. “Prinsip-prinsip” ini seperti yang mereka jelaskan adalah “asas-asas yang tegas” bagi Islam yang mereka fahami, tanpa memasukkan hukum-hukum qath’iy di dalamnya seperti hudud dan banyak lagi, apatah lagi hukum-hukum dzanniy lainnya. Walhal, kita dituntut menerapkan hukum Islam secara total meliputi hukum-hukumnya yang qath’iy mahu pun dzanniy. Kesemuanya adalah hukum syariah yang wajib diterapkan. Adapun frasa yang berbunyi syariah sebagai “sumber utama tasyri’” membawa maksud bahawa ia tidak menghalang adanya sumber-sumber lain yang boleh dijadikan sebagai tasyri’. Hal ini (tasyri’) sungguh merupakan penyekutuan terhadap Allah dalam hal al-hakimiyah (yang berhak menetapkan hukum)!!

Ketiga; Fasal keempat draf perlembagaan itu khusus menjadikan al-Azhar sebagai pihak yang dibebani tugas mengembang dakwah Islamiyyah sedangkan dakwah dan jihad adalah sebahagian dari kewajiban negara dan tidak boleh dialihkan atau dibatasi kepada institusi-institusi pendidikan dan kewajiban jihad oleh negara tidak boleh dihapuskan sama sekali!

Keempat; Fasal kelima draf perlembagaan itu menyatakan bahawa “Kedaulatan adalah milik rakyat yang mesti dijaga dan dilindungi dan rakyat adalah sumber kekuasaan”. Fasal ini merupakan penegasan atas fasal pertama yang memperuntukkan bahawa “Republik Arab Mesir sistemnya adalah demokrasi”. Demokrasi menjadikan “kedaulatan milik rakyat dan rakyat menjadi sumber kekuasaan”. Rakyat adalah pihak yang menetapkan hukum dan pemilik kekuasaan legislatif. Rakyat juga adalah pihak yang mengimplementasikan kekuasaan dan pemilik kekuasaan eksekutif. Ini bermakna syariah tidak akan dapat diterapkan dan tidak akan mengikat manusia kecuali sekiranya rakyat menghendakinya. Dalam demokrasi juga, rakyat adalah hakim dan pemilik kekuasaan judikatif, yang bermaksud suatu undang-undang itu adalah tidak sah dan mahkamah tidak boleh memutuskan hukum kecuali dengan apa yang diputuskan oleh rakyat (yang menjadi pembuat hukum). Jika beginilah peruntukannya, di mana rakyat (manusia) boleh menetapkan itu dan ini, lalu di manakah letaknya firman Allah SWT, “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka” [TMQ al-Ahzab (33):36]?
 
Kelima; Fasal keenam draf perlembagaan itu menyatakan bahawa sistem demokrasi - yang menjadi sistem negara, tertegak “atas prinsip-prinsip syura dan kewarganegaraan”. Syura dalam Islam berbeza dengan demokrasi baik dari sisi akidah mahupun sistem. Demokrasi adalah pungutan suara manusia ke atas undang-undang dan hukum, apakah akan diambil atau tidak. Syura hanyalah pengambilan pendapat dalam perkara-perkara yang diperbolehkan oleh hukum syarak dan bukan pengambilan suara atas hukum syarak itu sendiri. Jelas sekali, keduanya (syura dan demokrasi) merupakan dua hal yang jauh berbeza!!

Itu baru menyentuh beberapa fasal, belum lagi fasal-fasal lain yang masih banyak di dalam draf perlembagaan tersebut yang menyalahi Islam, yang tidak dapat disebutkan di sini satu demi satu. Terdapat juga banyak elemen-elemen berbentuk ‘keharmonian’ yang tidak berguna sama sekali. Hakikatnya, perlembagaan ini tidak diputuskan dengan Islam dan tidak melangkah di atas satu langkah Islam pun! Apa yang dinyatakan di atas sudah cukup untuk menjadi hujah bahawa draf perlembagaan baru itu sesungguhnya menyalahi Islam, baik dalam hal pokok mahupun cabangnya. Tambahan lagi, perlembagaan baru itu tidak menentukan untuk kita sistem ekonomi Islam, tidak memutuskan perkara atas asas Islam, tidak menetapkan politik pendidikan Islam dan tidak juga politik luar negeri Islam yang asasnya adalah dakwah kepada Islam! Maka kami merasa sungguh hairan, apakah untuk perlembagaan seperti ini umat digerakkan dan bermati-matian membelanya?! Amat buruklah apa yang mereka tetapkan itu!

Wahai kaum Muslimin, wahai warga Mesir al-Kinanah! Krisis politik sekarang ini adalah hasil dari pertarungan antara pelbagai kekuatan - kelompok-kelompok yang disebut Islami di satu pihak dan kelompok-kelompok sekular di pihak yang lain. Manakala di hadapan dan belakangnya adalah “kekuatan-kekuatan rejim lama” yang tetap mengawal banyak sendi-sendi negara, terus tidak diselesaikan, tidak dihapuskan dan tidak dihambat. Ini adalah bukti paling kuat bahawa tidak mungkin untuk merubah sistem yang rosak, dari dalamnya. Akan tetapi sistem yang rosak itu wajib dilenyapkan bermula dari asasnya dan dihapuskan secara total termasuk perlembagaan usangnya dan draf perlembagaan lama yang diperbaharui serta kelompok-kelompok yang terus menyebar kerosakan. Keadaan umat ini tidak akan menjadi baik kecuali dengan tegaknya sistem al-Khilafah al-Islamiyyah menggantikan sistem yang usang lagi rosak ini. Khilafah yang akan menerapkan Islam secara kaffah yang dengannya akan membuatkan Rabb semesta alam redha, yang dengannya akan mendatangkan kenikmatan kepada seluruh manusia baik Muslim mahupun non-Muslim dan yang dengannya akan menebarkan kesejahteraan ke seluruh penjuru alam.

Kami di HizbutTahrir sungguh-sungguh menyeru kalian untuk berjuang bersama kami bagi merealisasikan kewajiban agung ini yakni kewajiban untuk menegakkan Daulah al-Khilafah ala minhaj nubuwwah. Maka apakah kalian tidak (ingin) memenuhi seruan ini? “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kalian kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kalian dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kalian akan dikumpulkan” [TMQ al-Anfal (8):24].
 
HizbutTahrir
Wilayah Mesir
18 Muharram 1434H 
2 Disember 2012

No comments:

Post a Comment