Sunday 19 May 2013

AKTA MURTAD?


ADAKAH KITA MEMERLUKAN AKTA MURTAD?
 

[SN273] Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor nampaknya terus menjadi ‘punching bag’kerajaan UMNO-BN berkenaan isu pemeriksaan JAIS ke atas gereja Methodist Damansara Utama sejak ia mula meletus pada 3 Ogos lepas. Serangan demi serangan yang dilakukan oleh UMNO-BN menggambarkan bahawaparti pemerintah itu nampaknya lebih berminat untuk menuduh daripada menyelesaikan masalah. Inilah masalahnya dengan sistem federasi apabila hal-ehwal agama diletakkan di bawah bidangkuasa kerajaan negeri dan kerajaan Pusat meletakkan seratus peratus beban atau kesalahan kepada kerajaan negeri seolah-olah dosa tidak menerapkan Islam hanya ditanggung oleh kerajaan negeri!Hakikatnya, sistem pemerintahan Islam bukanlah sistem federasi sebagaimana yang diamalkan di Malaysia pada hari ini. Sistem federasi ini bukan dari ajaran Rasulullah SAW, tetapi ia adalah dari ajaran Lord Reid! Dan ternyata, sistem kufur ini yang juga diakui dan diamalkan oleh pembangkang, sering memakan diri mereka sendiri dalam banyak hal.

Sistem pemerintahan Islam (Khilafah) adalah sistem kesatuan (union) di mana kesemua wilayah atau kawasan yang dikuasai oleh Khilafah mengamalkan dan melaksanakan hukum Islam yang sama. Ini kerana hukum Allah ke atas manusia adalah sama sahaja tanpa mengira tempat.Wilayah Islam merupakan wilayah yang satu yang wajib berhukum dengan hukum yang sama walau betapa jauh sekalipun kedudukan gerografinya. Justeru, tidak timbul soal hal-ehwal Islam diletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri tertentu sebagaimana sistem federasi, yang menyebabkan kerajaan Pusat boleh lepastangan dari sebarang masalah, bahkan mempersalahkan kerajaan negeri dalam hal-hal tertentu, termasuklah dalam hal kegagalan kerajaan negeri menjaga akidah umat Islam! Walhal di dalam Islam, antara tugas pemerintah adalah menjaga akidah umat Islam dengan menerapkan undang-undang Islam di dalam negara secara keseluruhan. 

Sebagai respons kepada isu yang hangat ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, banyak usaha dilakukan pihak tertentu untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam di negara ini, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa agama Islam termasuk pimpinan tertinggi bagi menyekat aktiviti berkenaan [BH 07/0811]. Dewan Pemuda PAS Negeri Perak pula merakamkan sokongan terhadap cadangan Harussani agar menyegerakan Akta Murtad. “Kami yakin usaha untuk memelihara akidah umat Islam perlu kepada penegasan agar tindakan untuk memesongkan umat Islam terjebak kepada gejala murtad dapat diatasi,” ujar setiausahanya, Salman Saleh dalam surat yang diemelkan kepada Harussani [harakahdaily.net]. Menurutnya, Pemuda PAS negeri berharap cadangan tersebut dapat dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Perak dan mereka juga mencadangkan agar semua parti politik menyatakan sokongan secara terbuka demi memelihara akidah umat Islam. 

Dalam perkembangan yang berkaitan, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini. Beliau berkata, akta itu amat perlu kerana masalah umat Islam murtad semakin berleluasa, malah usaha memesongkan akidah umat Islam itu seolah-olah bukan lagi menjadi suatu rahsia. “Sebab itu, saya dari dulu lagi mencadangkan supaya diwujudkan atau kalau boleh supaya Akta Jenayah Akidah ini dibawa ke Parlimen untuk memastikan tidak ada usaha memurtadkan umat Islam di negara kita”, katanya [UM 09/08/11].

Murtad dan Hukumannya

Murtad adalah keluar dari agama Islam. Baik lelaki mahupun perempuan, apabila keluar dari agama Islam sementara mereka telah baligh dan berakal, maka mereka diajak kembali kepada Islam hingga tiga kali disertai peringatan. Jika mereka kembali, maka akan diterima, namun jika mereka menolak, maka akan dibunuh. Allah SWT berfirman,

“Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah orang yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”
 [TMQ Al-Baqarah, 2:217].

Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Ikrimah yang berkata, 

“Dihadapkan kepada Amirul Mukminin Ali karamAllahu wajhah orang-orang zindiq, lalu beliau membakar mereka. Maka berita itu disampaikan kepada Ibnu Abbas dan beliau berkata ‘Seandainya aku (yang menghukum), maka tidaklah aku akan membakarnya kerana adanya larangan dari Rasulullah SAW di mana baginda bersabda ‘Jangan kalian mengazab dengan azab Allah’. Akan tetapi aku (Ibnu Abbas) pasti akan membunuhnya kerana sabda Nabi SAW ‘Barangsiapa yang menukar agamanya (murtad), hendaklah kamu bunuh akan dia”. 


Membunuh lelaki yang murtad adalah didasarkan kepada zahir hadis tersebut. Sedangkan membunuh wanita yang murtad didasarkan kepada keumuman hadis, kerana Rasulullah SAW bersabda, “man baddala deenahu” (barangsiapa menukar agamanya) sedangkan lafaz “man” termasuk lafaz umum. 

Juga diriwayatkan oleh Daruqutni dan Baihaqi dari Jabir, 

“Bahawa Ummu Marwan telah murtad. Rasulullah SAW memerintahkan untuk menasihatinya agar ia kembali kepada Islam. Jika ia bertaubat (maka dibiarkan) jika tidak, maka ia dibunuh”. Adapun bagi kanak-kanakatau orang gila yang murtad, maka tidak sah hukuman bunuh ke atasnya. Ini kerana keduanya bukanlah mukallafdan mereka tidak dikenakan had murtad. Rasulullah SAW bersabda,

“Diangkat pena dari tiga orang (iaitu) anak kecil hingga baligh, orang yang tidur sampai bangun dan orang yang gila sampai sembuh”.


Pembahasan orang yang murtad dianjurkan untuk bertaubat dalam tempoh tiga hari adalah berdasarkan hadis dari Marwan, bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar menasihati orang yang murtad. Demikian pula yang dilakukan oleh Umar. Dari Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Qariy berkata, 

“Seorang lelaki dari sisi Abu Musa mengadap kepada Umar al-Khattab. Umar bertanya kepada lelaki itu, ‘Apakah ada khabar dari (daerah yang) jauh?’ Lelaki itu menjawab, ‘Ada, yakni seorang lelaki telah kafir setelah beragama Islam’. Umar berkata, ‘Apa yang engkau lakukan?’ Dia ku dekati lalu aku membunuhnya.’ Umar berkata, ‘Mengapa engkau tidak penjarakan di rumahnya sahaja selama tiga hari, kemudian engkau beri makan roti setiap harinya dan engkau anjurkan agar bertaubat, barangkali ia (akan) bertaubat dan kembali kepada agama Allah?’ ‘Ya Allah sungguh aku tidak setuju tindakan ini dan aku tidak redha kerana ia menyampaikannya kepadaku.”


Selain Umar, sahabat lain yang melakukan hal ini adalah Abu Bakar. Daruqutniy dan Baihaqiy mengeluarkan hadis, “Bahawa Abu Bakar ramenganjurkan wanita yang murtad untuk bertaubat. Wanita itu bernama Ummu Qurfah, di mana dia kafir setelah masuk Islam. Wanita itu tidak mahu bertaubatdan beliau (Abu Bakar) membunuh wanita itu.”Anjuran taubat selama tiga hari, bukanlah qayyid (batasan). Tiga hari adalah batas minima yang umumnya memungkinkan terjadinya insaf. Jika dalam tempoh tersebut orang yang murtad itu masih juga tidak mahu bertaubat, maka tempoh ini boleh dilanjutkan (oleh Qadhi). Ini adalah kerana maksud dari anjuran bertaubat adalah menyedarkan si murtad tentang Islam dan supaya dia kembali kepada Islam dan dia harus diberikan masa yang mencukupi untuk bertaubat. Diriwayatkan bahawa Abu Musa memberi kesempatan bertaubat seorang yang murtad di mana kemudian Mu’az memerintahkan untuk membunuhnya. Kemudian Abu Musa membunuh orang murtad tersebut, setelah memberi kesempatan taubat selama dua bulan sebelum kedatangan Mu’az. 

Walaubagaimanapun, taubat hanya diterima jika dia tidak mengulangi kemurtadannya. Jika ternyata dia mengulanginya, maka taubatnya tidak diterima dan dia mesti dibunuh segera tanpa diberi tempoh lagi (tidak dikira lagi samada dia bertaubat atau tidak). Ini berdasarkan firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman (pula) kemudian kafir (lagi), kemudian bertambah kekafirannya, maka Allah sekali-kali tidak akan memberi keampunan kepada mereka dan tidak (pula) menunjuki mereka ke jalan yang lurus” [TMQ an-Nisa’ (4):137].

Firman Allah “maka Allah sekali-kali tidak akan memberi keampunan kepada mereka”membawa maksud Allah tidak menerima taubat mereka. Oleh kerana itu, negara (pemerintah/qadhi) tidak boleh menerima taubat mereka.

Diriwayatkan oleh Asyram dari Thibyana bin Umarah, 

“Bahawa seorang lelaki dari Bani Saad melintas ke masjid Bani Hunaifah sedangkan mereka sedang mengagungkan Musailamah al-Kadzab (nabi palsu). Kemudian lelaki itu mendatangi Ibnu Mas’ud dan menceritakan kejadian tersebut. Mereka kemudian didatangi dan disuruh bertaubat, lalu mereka bertaubat. Semuanya telah meninggalkan jalan keyakinan mereka kecuali seorang lelaki di mana Ibnu Nuwahah berkata kepadanya, ‘Sungguh aku melihat engkau satu kali dan aku menduga bahawa engkau telah bertaubat dan melihatmu mengulangi lagi perbuatanmu itu. Maka lelaki tersebut terus dibunuh.”


Seperkara yang perlu diperhatikan ialah dari segi pelaksanaan hukuman bunuh ke atas mereka yang murtad di mana ia hendaklah dilakukan oleh negara (pemerintah) atau orang yang ditugaskan oleh negara iaitu Qadhi. Di dalam menghadapi orang yang murtad, tugas individu atau jemaah hanyalah sebatas mengajak mereka untuk kembali ke pangkuan Islam. Sekiranya mereka berdegil, maka urusan mereka hendaklah dikembalikan kepada pemerintah (untuk dihukumi). Mana-mana individu atau jemaah tidak boleh membunuh orang yang murtad kerana taklif (pembebanan) hukum ini terletak di bahu pemerintah. Dalam keadaan di mana pemerintah tidak menjalankan hukum Allah ke atas orang yang murtad ini, maka tugas individu atau jemaah adalah memberi peringatan, ancaman dan terus memuhasabah pemerintah yang tidak menerapkan hukum Islam ini. Malah dalam masa yang sama, wajib ke atas mana-mana individu dan jemaah berusaha menegakkan Negara Islam dan melantik seorang Khalifah yang akan menerapkan hukum Allah bagi menggantikan pemerintah yang menerapkan hukum kufur sekarang. Haram bagi setiap individu Muslim berdiam diri menyaksikan penerapan hukum kufur ini tanpa berusaha menggantikannya!

Bilakah Seseorang Dianggap Murtad?

Menurut Syeikh Abdurrahman al-Maliki di dalam kitabnya, Nidzamul Uqubat Fi al-Islam, seorang Islam itu akan jatuh kafir (murtad) disebabkan oleh empat hal berikut:-

(i) dengan i’tiqad (keyakinan)
(ii) syak (ragu-ragu)
(iii) qaul (perkataan)
(iv) fi’l (perbuatan). 

Mengenaii’tiqad, ini boleh dilihat pada dua sisi–

(a) meyakini dengan pasti sesuatu yang berlawanan dengan apa yang diperintahkan atau yang dilarang oleh agama. Contohnya meyakini bahawa Allah memiliki sekutu atau meyakini bahawa Al-Quran bukanlah Kalamullah
(b) mengingkari sesuatu yang sudah maklum dalam masalah agama seperti mengingkari jihad, mengingkari keharaman khamar, mengingkari hukum potong tangan dan lain-lain.

Manakala yang dimaksudkan dengan syak (ragu-ragu) adalah keraguan dalam berakidah dan keraguan dalam semua perkara yang dalilnya qath’i (tegas). Contohnya, ragu-ragu bahawa Allah itu Satu, ragu-ragu bahawa Muhammad SAW adalah Rasulullahatau ragu-ragu tentang hukum 100 kali sebat bagi penzinaghairu muhsan(belum kahwin) dan seumpamanya, kesemua keraguan ini akan menyebabkan pelakunya menjadi kafir (murtad).

Maksudqaul (perkataan) adalah perkataan yang jelas yang tidak perlu penafsiran lagi. Contohnya, seseorang yang mengatakan bahawa Al-Masih (Isa) anak Allah, agama Islam adalah buatan Muhammad dan seumpamanya, maka ia jelas-jelas telah kafir. Sedangkan perkataan yang masih belum jelas atau masih perlu dita’wilkan, maka ini tidak memurtadkan pengucapnya.

Adapun mengenai fi’l (perbuatan), maka yang dimaksudkan dengannya adalah perbuatan yang jelas (pasti) tanpa perlu dita’wil lagi bahawa perbuatan tersebut termasuk kekufuran. Contohnya, menyembah berhala, melakukan ibadat di gereja dengan tata cara ala gereja, maka ia telah kafir dan murtad dari Islam. Ini adalah kerana beribadat dengan cara orang Kristian adalah satu kekufuran. Maka barangsiapa yang mengerjakannya ia telah melakukan perbuatan kufur tanpa perlu dita’wil lagi. Sedangkan perbuatan yang belum jelas, tidaklah mengkafirkan pelakunya. Siapapun yang masuk ke gereja tidak secara automatik akan menyebabkannya kafir. Ini kerana, ia mungkin masuk untuk melawat atau untuk mengerjakan solat. Juga, sesiapa sahaja yang membaca Injil tidak automatik akan menjadikannya kafir kerana mungkin sahaja ia membaca Injil untuk mempelajarinya secara mendalam untuk membantah kitab Injil tersebut atau boleh jadi ia membacanya sekadar sebagai bahan bacaan. Oleh kerana itu, setiap perbuatan yang masih mengandungi ta’wil tidak mengkafirkan atau memurtadkan pelakunya.

Riddah (murtad) adalah termasuk dari hudud dan jumlah saksinya adalah sama sebagaimana kes hudud yang lain kecuali zina. Jumlah saksi kes riddah adalah dua orang saksi lelaki yang adil atau seorang lelaki dan dua orang perempuan atau dengan pembuktian-pembuktian syar’ilainnya seperti pengakuan oleh pelakunya. Apabila telah terbukti seseorang itu murtad, maka ia wajib dihukum bunuh setelah ia menolak untuk bertaubat. Inilah hukum Islam ke atas si murtad dan ia termasuk hududullah yang tidak boleh diganti dengan hukuman lain!

Harta Orang Murtad

Sesorang yang murtad dan sebelum ia bertaubat, maka ia adalah pemilik hartanya dan apa yang ia usahakan. Namun, jika ia diminta kembali kepada Islam dan menolak, maka ia akan dijatuhi hukuman bunuh. Setelah ia mati (dihukum bunuh) maka hartanya akan digunakan untuk menyelesaikan segala hutang-hutangnya (jika ada) serta mengurusi jenazahnya danmemberikan nafkah kepada isterinya dan orang-orang yang berada di bawah tanggungjawabnya. Ini kerana, kesemua hak ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Jika hartanya tidak tersisa selepas pembahagian tersebut, maka perkaranya telah berakhir. Namun jika hartanya masih tersisa, maka yang tersisa tersebut adalah termasuk harta fai’ dan mesti dimasukkan ke dalam Baitul Mal dan diletakkan bersama dengan harta fai’ yang lainnya. 

Sekiranya orang yang murtad tersebut berjaya melarikan diri keluar dari Daulah Islam dan bergabung dengan negara kafir harbi (kafir yang memusuhi Islam), maka hartanya akan diletakkan di tempat yang aman (dibekukan) dengan ketetapan dari pemerintah (Khalifah). Daulah Islam akan melakukan usaha agar si murtad tadi bertaubat dan kembali ke pangkuan Islam. Jika usaha ini tidak berhasil (si murtad tetap ingin kekal dalam kemurtadannya), maka dia berhak untuk dibunuh dan akan diperlakukan sebagai orang yang layak untuk dibunuh (diperangi). Dengan demikian, hartanya menjadi harta fai’. Dalilnya adalah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Bakar terhadap orang-orang yang murtad (golongan riddah) di mana Abu Bakar memerangi golongan yang murtad ini dengan cara menghalalkan darah mereka dan merampas harta benda mereka disebabkan kemurtadan mereka. Harta mereka dijadikan sebagai harta ghanimah. Seluruh sahabat menyetujui tindakan ini. Itulah sebabnya bila penduduk suatu negeri murtad, maka negeri itu menjadi darul harbi dan anak-anak serta wanita-wanita mereka harus ditawan. Bagi Imam/Khalifah, wajib memerangi mereka (murtadin) berdasarkan apa yang pernah dilakukan oleh Abu Bakar ra kerana hal ni telah disepakti oleh para sahabat (ijmak sahabat). 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Demikianlah betapa tegasnya hukuman Allah ke atas orang-orang yang murtad di mana mereka akan dibunuh sekiranya enggan bertaubat. Bagaimanapun, hukuman Allah ini tidak diterapkan oleh pemerintah pada hari ini sehingga timbul cadangan untuk mewujudkan Akta Murtad atau Akta Jenayah Akidah. Usaha untuk menjaga akidah umat Islam ini memanglah wajib, namun ia wajib dijaga dengan pelaksanaan hukum Allah, bukannya dengan membuat undang-undang sendiri di Parlimen ataupun di Dewan Undangan Negeri! Hukum murtad telah pun termaktub jelas dalam Islam dan ia wajib dilaksanakan. Hukum Allah adalah hukum yang wajib dilaksanakan, bukannya untuk digubal, dibahaskan, diundi dan diluluskan di Parlimen!!! Umpama hukum solat dan puasa, keduanya adalah wajib untuk dilaksanakan tanpa memerlukan kelulusan Parlimen, begitulah juga dengan hukum sebat, potong tangan dan bunuh, kesemuanya wajib dilaksanakan dan bukan untuk diluluskan oleh Parlimen! Sesungguhnya ahli-ahli Parlimen langsung tidak mempunyai hak untuk membuat undang-undang Allah. Undang-undang Allah adalah untuk dilaksanakan, bukan untuk digubal atau diluluskan oleh manusia.Siapakah yang memberi hak kepada ahli-ahli Parlimen untuk menjadi pembuat undang-undang menggantikan Allah sebagai Pembuat undang-undang?

“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
 [TMQ ar-Rum (30):41].

SIAPAKAH SYUHADA’


SIAPAKAH SYUHADA’?

[SN274] Boleh dikatakan seluruh negara merakamkan takziah di atas kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, pada 2 September lepas. Jenazah Allahyarham Noramfaizul yang tiba di Malaysia disambut secara besar-besaran di mana Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri adalah antara yang turut hadir. Najib menyifatkan Noramfaizul sebagai seorang wira negara. Dalam masa yang sama, banyak pihak yang mengecam dan mempertikaikan aspek keselamatan yang diambil oleh Kelab Putera 1Malaysia sehingga boleh menyebabkan salah seorang peserta misinya terkorban. Mengulas isu kematian Noramfaizul, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkannya sebagai mati syahid kerana Allahyarham terkorban semasa misi membantu meringankan penderitaan dan kesengsaraan rakyat Somalia yang majoritinya beragama Islam.Allahyarham layak diberi pengiktirafan tertinggi itu kerana telah membuka mata rakyat negara ini akan penderitaan yang dialami rakyat Somalia, ujar Harussani [UM 04/09/11]. 

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut juga menyifatkan kematian Allahyarham Noramfaizul sebagai mati syahid akhirat kerana terkorban ketika bertugas dalam misi menghapuskan kejahilan, kemiskinan dan penyakit yang melanda Somalia. Beliau berkata, mati syahid terdiri daripada tiga bahagian iaitu mati syahid dunia, mati syahid akhirat dan mati syahid dunia akhirat. “Syahid dunia menjurus kepada peperangan kerana dunia, syahid akhirat pula merujuk kepada kematian yang disebabkan penyakit berbahaya seperti wabak taun atau ditembak, manakala pejuang yang mati disebabkan perang bagi mempertahankan agama Islam pula dianggap mati syahid dunia akhirat. “Dalam kejadian menimpa arwah, pahala kematiannya insya-Allah syahid akhirat, namun urusan pengebumiannya masih perlu melalui proses sama seperti jenazah lain iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan akhir sekali dikebumikan di tanah perkuburan,” katanya [BH 05/09/11].

Kita tidak boleh menolak keberanian jurukamera BernamaTV itu di dalam membuat liputan di negara yang bergolak seperti Somalia. Juga, kita seharusnya bersimpati dengan keluarga arwah di atas pemergiannya secara mengejut. Namun, sebagai umat Islam, segala sanjungan dan perasaan simpati kita terhadap orang yang meninggal, hendaklah dilakukan sesuai dengan hukum berdasarkan fakta dan nas, bukannya dilakukan untuk meraih sokongan atau populariti. Kita diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit. Justeru, Sautun Nahdhah kali ini akan memaparkan nas-nas berhubung mati syahid agar para pembaca dapat memahaminya dengan lebih jelas dan membuat penilaian sama ada seseorang itu termasuk sebagai syuhada’ atau tidak. 

Mati Syahid

Asy-Syuhada’(jama’/plural dari asy-syahid)terdiri dari tiga jenisiaitu:- 

Pertama:Syahid diakhirat sahaja, tanpa pemberlakuan hukum-hukum syahid didunia-

Golongan ini disebutkan dalam beberapa hadis. Dalam sebahagian riwayat disebutkan ada tujuh golongan, dalam sebahagian riwayat ada lapan, dalam sebahagian riwayat ada sembilan dan dalam sebahagian riwayat lain, ada sebelas golongan. Yang benar adalah sebagaimana yang disebut dalam Sahih Muslim bahawa mereka terdiri daripada lima golongan. Mereka adalah:-

(i) al-math’un, iaitu orang yang mati kerana wabak ta’un yakni penyakit menular 
(ii) al-mabthun, iaitu orang yang mati kerana sakit perut
(iii)al-ghariq, iaitu orang yang mati kerana tenggelam
(iv) sahibul hadm, iaitu orang yang mati ditimpa bangunanruntuh
(v) orang yang mati dijalan Allah untuk menegakkan kalimah Allah selain dalam peperangan.

Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Ketika seorang lelaki berjalan di sebatang jalan, dia mendapati ranting berduri ditengah-tengah jalan lalu dia menyingkirkannya. Maka Allah memujinya dan mengampuni dosanya. Baginda juga bersabda, ‘Syuhada ada lima orang, al-math’un, al-mabthun, al-ghariq, shahibul hadm dan syahid di jalan Allah ‘Azza wa Jalla.”

Muslim juga meriwayat dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

“Siapakah yang kalian anggap syahid di antara kalian?’ Para sahabat menjawab, “Wahai Rasulullah, orang yang terbunuh dijalan Allah adalah syahid.” Baginda bersabda, “Kalau begitu, syuhada’dari kalangan umatku sangatlah sedikit.’ Mereka berkata, ‘Lantas siapakah mereka wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda,‘Orang yang terbunuh dijalan Allah adalah syahid, orang yang mati dijalan Allah adalah syahid, orang yang mati kerana ta’un adalah syahid dan orang yang mati kerana sakit perut adalah syahid.’ Ibnu Muqassam berkata tentang hadis ini bahawa Rasul berkata, ‘dan al-ghariq adalah syahid.”

Yang dimaksud dengan kesyahidan mereka adalah bahawa mereka mendapatkana pahala syuhada’ di akhirat sedangkan di dunia mereka tetap dimandikan dan disolatkan. Jika kata “syahid” diucapkan dalam kaitannya dengan pahala,maka penyebutan “syahid” ini untuk mereka adalah benar. Sedangkan jika kata “syahid” diucapkan dalam pembicaraan yang disebutkan tanpa qarinah (penunjukan) apa pun, maka kata tersebut tidak mengarah kepada mereka tetapi mengarah kepada orang yang terbunuh di jalan Allah sahaja.

Kedua:Syahid di dunia sahaja dan tidak termasuk akhirat-

Ia adalah orang yang mendapatkan (pemberlakuan) hukum syahid di dunia, dari sisi bahawa mereka tidak dimandikan dan tidak disolatkan melainkan dikebumikan dengan pakaian mereka seadanya. Tetapi diakhirat mereka tidak mendapatkan pahala syuhada’ yang berperang demi meninggikan kalimah Allah. Mereka adalah orang yang berperang bukan kerana Allah, iaitu berperang kerana sum’ah (ingin didengar/terkenal) atau demi ghanimah (harta rampasan perang) sahaja atau berperang tetapi cenderung mundur (lari dari musuh). Ini kerana, hadis-hadistentang “syahid” hanya mengkhususkan pahala syahid bagi mereka yang berperang dijalan Allah dalam keadaan terus maju menghadapi musuh dan tidak mundur(lari darinya).

Muslim meriwayatkan melalui Abu Musa Al-Asy’ari, bahawaseorang lelaki mendatangi Nabi SAW lalu berkata,

“Wahai Rasulullah, ada lelaki yang berperang demi ghanimah dan ada lelaki berperang agar dia disebut-sebut namanya (terkenal) dan ada lelaki yang berperang agar kedudukannya dilihat(dihormati). Lantas siapakah yang (sebenarnya) berjihad di jalan Allah?’ Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang berperang demi menjadikan kalimah Allah yang tertinggi, maka dialahorang yang berjihad dijalan Allah.”

Muslim juga meriwayatkan dari Abu Musa, dia berkata, Rasulullah SAW ditanya tentang lelaki yang berperang agar dikenal sebagai pemberani, berperang kerana fanatisme dan berperang kerana riya’ (ingin dilihat) lantas siapakah yang berjihad di jalan Allah? Rasulullah SAW berkata, 

“Barangsiapa yang berperang demi menjadikan kalimah Allah yang tertinggi, maka dia berjihad di jalan Allah”.

Rasul telah mensyaratkan pengampunan dosa bagi syuhada’ yaknimereka mestilah orang yang berperang dengan terus maju dan tidak mundur. Muslim meriwayatkan melalui Abdullah bin Abu Qatadah dari Qatadah bahawa Abdullah mendengar Qatadah menceritakan hadis dari Rasulullah SAW, 

“Bahawasanya Rasul berdiri diantara para sahabat, lalu menyampaikan kepada mereka bahawa jihad di jalan Allah dan berimana kepada Allah SWT adalah perbuatan yang paling utama. Seorang  lelaki bertanya, “Bagaimana pendapatmu jika aku terbunuh dijalan Allah, apakah dosa-dosaku akan diampuni? Rasulullah SAW bersabda, ‘Ya, jika kamu terbunuh dijalan Allah, jika kamu orang yang sabar, terus maju menghadapi musuh dan tidak mundur (lari dari peperangan)’. Lalu Rasulullah SAW bertanya, ‘Bagaimana menurutmu?’ Lelaki tersebut bertanya lagi, ‘Jika aku terbunuh dijalan Allah apakah dosa-dosaku akan diampuni?’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Ya, jika kamu orang yang sabar, terus maju menghadapi musuh dan tidak mundur (lari dari peperangan), kecuali hutang, kerana Jibril as telah mengatakan hal itu kepadaku”.

Mafhum hadis ini adalah bahawa jika dia berperang sambil mundur (hendak melarikan diri) maka dosa-dosanya tidak diampuni dan dia tidak akan mendapatpahala syahid. 

Selain itu Rasul SAW telah menjelaskan bahawa orang yang berperang kerana sum’ah (agar terkenal) akan diazab, meskipun baginda menamakannya dengan “syahid”. Muslim meriwayatkan dari Sulaiman binYasir, dia berkata bahawa orang-orang telah bubar dari (majlis) Abu Hurairah. Lalu salah seorangpenduduk Syam berkata, “Wahai tuan, ceritakanlah kepada kamisebuah hadis yang engkau dengar dari Rasulullah SAW’. Abu Hurairah berkata, ‘Baik, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya manusia yang pertama diadili pada hari kiamat adalah lelaki yang mati syahid. Dia dibawa ke hadapan Allah danAllah memberitahukan kenikmatan kepadanya lalu dia mengetahuinya. Allah berfirman: Apakah yang kamu lakukan di dunia?” Dia berkata, “Aku telah berperang dijalanMu hingga aku syahid’. Allah berfirman, ‘Engkau berdusta. Sebenarnya engkau berperang kerana ingin dikatakan sebagai pemberani  dan hal itu telah dikatakannya. Lalu Allah memerintahkan untuk membawanya, maka orang itu diseret di atas wajahnya hingga akhirnya dia dilemparkan ke dalam neraka...”.

Ini menunjukkan bahawa orang yang berperang kerana sum’ah (agar terkenal) meskipun dia mendapatkan hukum syahid di dunia tetapi pada hari kiamat dia tidak mendapatkan pahala syahid, malah akan diseksa.

Ketiga:Syahid di dunia dan akhirat-

Mereka adalah orang yang berperang demi meninggikan kalimah Allah lalu dia terbunuh dalam peperangan antara kaum Muslimin dan puak kuffar, baik peperangan terjadi di Darul Harb (negara kafir) mahupun di Negara Islam. Allah SWT berfirman, 

“Dan janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh dijalan Allah itu mati. Tetapi mereka tetap hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapatkan rezeki” [TMQ Ali Imran (3):169]. 

Syahid inilah yang dimaksudkan oleh syara’. Dan ini khusus bagi orang yang terbunuh dalam peperangan menentang orang-orang kafir. Demikian juga orang yang terluka dalam peperangan lalu dia mati (di luar peperangan) hasil akibat luka tersebut, juga dianggap syahid sebagaimana orang yang terbunuh dalam peperangan. Sedangkan selain itu, maka tidak dianggap sebagai mati syahid. 

Dengan demikian, orang yang terbunuh dalam peperangan menentangbughat (pemberontak) tidak dianggap sebagai mati syahid. Begitu juga bukan mati syahid orang yang terluka dalam peperangan lalu sembuh dari lukanya dan mati setelah itu. Jadi, mati syahid yang memiliki hukum-hukum khusus dan yang difirmankan oleh Allah bahawa dia tetap hidup,hanya khususberlaku bagi orang yang terbunuh dalam peperangan dengan orang-orang kafir untuk meninggikan kalimat Allah dan orang yang terluka dalam peperangan tersebut lalu dia mati kerana lukanya tersebut.

Hukum Memandi Dan Mengkafani Orang Yang Mati Syahid

Antara hukum khusus berkenaan orang yang mati syahid adalah dari aspek memandi dan mengkafankannya. Orang yang syahid tidak perlu dimandi atau dikafankan, malah boleh terus dikebumikan bersama darah dan pakaian yang dipakainya ketika mati. Ini kerana orang-orang yang mati syahid akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan bau darahnya sangat harum seperti kasturi. Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Jabir, dia berkata, 

“Sesungguhnya Rasulullah SAW mengumpulkan dua orang lelaki diantara orang-orang yang gugur dalam perang Uhud dalam satu kain. Lalu baginda bersabda, ‘Siapakah diantara mereka yang paling banyak menghafal al-Quran?’ Apabila baginda ditunjukkan kepada salah seorang dari keduanya, lalubaginda mendahulukannya ke dalam lahad. Baginda bersabda, “Aku adalah saksi bagi mereka” dan baginda memerintahkan pengkebumian mereka dengan darah mereka. Mereka tidak disolatkan dan tidak dimandikan”.

An-Nasa’i meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda tentang orang-orang yang terbunuh dalam perang Uhud, 

“Selimutilah mereka dengan darah mereka dan janganlah kalian memandikan mereka kerana tidak ada seorang pun yang terluka di jalan Allah kecuali dia akan datang padahari kiamat dalam keadaan darahnya mengalir berwarna darah sedangkan baunya adalah bau kasturi”. Diriwayatkan dari Anas, “Bahawa Nabi SAW tidak mensolatkan orang-orang yang terbunuh dalam perang Uhud dan tidak memandikan mereka” [HR Asy-Syafi dalam Musnadnya].

Namun demikian, ini tidak bermakna bahawa orang yang syahid langsung tidak boleh disolatkan. Ini kerana terdapat beberapa riwayat bahawa Rasul SAW mensolatkan orang-orang yang terbunuh dalam perang Uhud setelah mereka dimakamkan. Baginda juga mensolatkan Hamzah (bapa saudara baginda) dan juga seorang lelaki yang terbunuh dalam peperangan. Dalam Sahih al-Bukhari diriwayatkan dari Uqbah bin Amir, 

“Bahawa Nabi SAW mensolatkan orang-orang yang terbunuh dalam perang Uhud setelah berlalu lapan tahun, sebagaimana solat baginda atas jenazah, seolah-olah baginda mengucapkan selamat tinggal kepada orang orang yang hidup dan orang-orang yang mati”. 

At-Thahawiy meriwayatkan dalam Syarhul Ma’aniy, dari Ibnu Zubair dengan sanad yang hasan,

“Bahawa didatangkan kepada Rasullullah SAW sembilan mayat dan Hamzah adalah yang kesepuluh, lalu baginda mensolatkan mereka”. 

Abu Daud juga meriwayatkan dari Abu Salam dari seorang sahabat Nabi SAW, dia berkata, 

“Kami menyerang sebuah pemukiman Juhainah. Lalu salah seorang dari kaum Musliminberlawan dengan salah seorang dari mereka. Lalu dia memukul orang tersebut (dengan senjata), tetapi tersalah dan mengenai dirinya sendiri. Maka Rasullullah SAW bersabda, ‘Saudara kalian wahai kaum Muslimin’. Orang-orang lalu mendatangidan mendapatinyatelah mati. Rasullullah SAW membungkusnya dengan pakaian dan darahnya, mensolatkannya dan memakamkannya. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasullullah, apakah dia syahid? Baginda menjawab, ‘Ya, dan aku adalah saksi baginya”.

Kesemua hadisdi atas adalahtsabit(kuat), baik yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW mensolatkan orang yang mati syahid mahupun yang meriwayatkan bahawa baginda tidak mensolatkannya. Adakah wujudnya pertentangan di sini sehingga perlu menolak salah satu darinya atau perlu ditarjih hadis-hadis ini? Sesungguhnya tidak wujud pertentangan di antara hadis-hadis ini kerana semuanya tsabit dan kesemuanya dapat dijadikan hujah, baik secara riwayah mahupun dirayah. Juga, tidak ada jalan untuk mentarjih (menguatkan) salah satunya atas yang lain, kerana mustahil para sahabat lupa terjadinya solat atas syuhada’ sebagaimana mustahil mereka lupa ditinggalkannya solat tersebut atas syuhada’. Justeru, kesimpulan hukum yang ditarik di sini adalah, jaiz (boleh) hukumnya untuk mensolatkan dan jaiz untuk tidak mensolatkan syuhada’ kerana kedua-dua amalan ini ditunjukkan oleh Nabi SAW [sila lihat perbincangan penuh bab ini di dalam Asy-Syakhsiyyah Al-Islamiyyah Jilid II, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani]. 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Berdasarkan fakta yang terjadi ke atas Allahyarham Noramfaizul dan berdasarkan nas-nas yang dipaparkan, kita sesungguhnya telah boleh menilai samada kematian jurakamera BernamaTV itu adalah syahid atau tidak. Sesungguhnya mati syahid (dunia dan akhirat) adalah satu kematian yang amat mulia. Dan tidak ada seorang Muslim pun yang boleh meragui bahawa matinya seorang Muslim di dalam jihad fi sabilillah merupakan sebuah kesyahidan. Malangnya, jika ada di kalangan kita yang ingin berjihad dengan penuh keikhlasan di Palestin, Pakistan, Afghanistan dan tempat-tempat lain di mana umat Islam diperangi dan dibunuh oleh golongan kuffar, maka sudah barang pasti akan dicop oleh pemerintah sebagai ‘pengganas’ dan sudah barang pasti akan di‘ISA’kan atau dikejar hingga ke lubang cacing. Namun, jika kita menyertai misi kemanusiaan di bawah anjuran UMNO atau 1Malaysia, maka kita akan dicop sebagai wira, itupun jika kita terkorban!Sesungguhnya pemerintah kita telah benar-benar tersasar dari ajaran RasulullahSAWyang sangat cintakan jihad fi sabilillah. Sabda baginda, 

“Allah menjamin orang orang yang berjihad dijalanNya, dia tidak keluar dari rumahnya kecuali untuk berjihad dijalanNya dan membenarkan kalimatNya bahawa Dia akan memasukkannya ke dalam syurga, atau mengembalikannya ke tempat tinggalnya yang dia keluar darinya dengan membawa pahala dan ghanimah yang didapatkannya......Demi Dzat yang jiwa Muhammad ada ditanganNya, sungguh aku ingin terbunuh dijalan Allah, lalu aku hidup lalu terbunuh, lalu aku hidup lalu terbunuh, lalu aku hidup lalu aku terbunuh” [HR Bukhari & Muslim]

TERIMA KASIH BRITISH


TERIMA KASIH BRITISH KERANA TIDAK PERNAH MENJAJAH TANAH MELAYU, MALAH MENAUNGI DAN MELINDUNGI KITA SEMUA!!!
 [SN275] Hanya dengan sedikit fakta tentang Mat Indera yang disentuh oleh Mat Sabu mengenai isu perjuangan kemerdekaan di dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, Timbalan Presiden PAS itu sehingga kini masih teruk ‘dibelasah’ oleh UMNO dan para penyokongnya. Sudah tiga minggu isu ini dimainkan oleh media arus perdana untuk menghentam Mat Sabu habis-habisan, yang hakikatnya telah menambahkan lagi populariti pemimpin nombor dua PAS itu. Bermula dengan isu Mat Sabu sokong Mat Indera dalam serangan ke atas balai polis Bukit Kepong, kemudian berkembang menjadi isu Mat Sabu sokong komunis, kemudian berkembang lagi menjadi isu PAS sokong komunis. Disusuli selepas itu dengan isu fakta sejarah negara yang diberi amaran oleh UMNO agar tidak diubah oleh PAS.

Kali ini, UMNO nampaknya mengerahkan seluruh kekuatannya dari Perlis hingga ke Johor untuk men’diskredit’kan Mat Sabu yang disifatkan sebagai ayam sabung PAS itu. Pendek kata, selagi ada peluru, walau sekecil mana sekalipun, selagi itulah UMNO terus menembak musuhnya itu. Mat Sabu, disamping mengemukakan pelbagai bukti dan hujah untuk mempertahankan pendapatnya, dalam masa yang sama menganggap bahawa isu ini sengaja diperbesarkan oleh UMNO untuk menutup segala kepincangan parti Melayu terbesar itu sekaligus mengalihkan isu ‘pilihanraya bersih’ yang diperjuangkan oleh PAS dan beberapa NGO lainnya. Dari isu ini juga, UMNO nampaknya cuba menyerlahkan ‘kebaikan’nya dengan terus memuji dan mempertahankan bekas polis dan tentera beserta keluarga mereka yang terlibat dengan peristiwa Bukit Kepong yang selama ini tidak pernah diambil peduli pun. 

Setelah segala berita dan putarbelit dimainkan untuk menaikkan kemarahan rakyat terhadap Timbalan Presiden PAS itu dengan menuduh beliau menyokong perjuangan komunis, UMNO nampaknya masih belum berpuas hati kerana masih ada isu yang belum mereka jawab iaitu berhubung dakwaan Mat Sabu bahawa pemimpin awal UMNO dan juga pasukan keselamatan yang bertugas di Bukit Kepong adalah mereka yang berkhidmat di bawah penjajah British. 

Dalam menjawab isu ini, Majlis Profesor Negara (MPN) dilibatkan untuk menolak dakwaan bahawa anggota polis dan pemimpin negara seperti Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman di zaman pentadbiran British di Tanah Melayu sebagai ‘polis British’ atau ‘pegawai British’. Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling tiba-tiba muncul di arena dan membuat satu pengisytiharan mengejutkan bahawa, meskipun British mengetuai seluruh pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu, namun Tanah Melayu bukan tanah jajahan British! Menurutnya, Tanah Melayu adalah negara naungan yang diiktiraf kedaulatan dalamannya termasuk institusi dan Majlis Raja-Raja Melayu yang menjadikan semua pegawainya adalah pegawai Tanah Melayu dan bukannya pegawai British. “Oleh itu, apabila golongan kiri seperti komunis menentang anggota polis maka mereka menentang pasukan keselamatan Tanah Melayu, meskipun ianya diketuai oleh Pesuruhjaya British,” katanya. Ini berdasarkan perjanjian Pangkor yang ditandatangani di antara Sultan Perak dengan pentadbir British pada tahun 1874 di mana dipersetujui bahawa Tanah Melayu sebagai ‘protectorate’ (tanah naungan dan lindungan), tegas Zainal [UM 10/09/11]. Nah! Kita menyaksikan kini satu peristiwa baru yang amat bersejarah telah tercipta di Malaysia, yang bakal menukar sejarah hitam Malaysia selama ini menjadi putih, bahawa sebenarnya Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British, malah British adalah negara ‘penaung dan pelindung’ Tanah Melayu!!!

Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah?

Serangan terbaru ini merupakan kesinambungan dari serangan bertubi-tubi tanpa henti UMNO ke atas orang nombor dua PAS itu, di mana polemik ini bukan sahaja telah memuakkan rakyat,  malah kini telah masuk ke tahap tak masuk akal dan menjadi bahan ketawa! Semua ini angkara keangkuhan UMNO yang tidak mahu mengaku bahawa para pemimpin awal mereka yang selama ini dijulang sebagai pejuang kemerdekaan, hakikatnya adalah merupakan orang yang berkhidmat untuk British! Sautun Nahdhah dalam siri ke-84 (tahun 2006) yang bertajuk “Erti Sebuah Kemerdekaan” telah pun mengungkap tragedi Bukit Kepong yang merupakan serangan oleh sepasukan komunis terhadap polis yang berkhidmat di bawah British. 

Seribu satu persoalan telah dan boleh diajukan kepada MPN dengan kenyataan amat naif yang telah dikeluarkan itu, yang hakikatnya telah menjatuhkan kredibiliti MPN di mata orang-orang yang berfikir. Soalan pertama yang seharusnya dijawab oleh Zainal ialah, kenapa baru sekarang beliau mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Kenapa selama puluhan tahun menjadi profesor, beliau tidak pernah mendedahkan hal ini kepada umum? Atau mungkin lebih baik beliau mengaku sahajalah bahawa kenyataan ini sebenarnya adalah sebuah “kenyataan politik”, bukannya kenyataan akademik, yang dikeluarkan kerana adamya sebuah keperluan.

Ramai pihak sebenarnya menuntut jawapan dari Zainal dalam hal ini, kerana jika benar kita tidak pernah dijajah, maka tidak timbul soal kita ‘merdeka’! Bagaimana mungkin boleh ada kemerdekaan jika tidak ada penjajahan? Kemerdekaan dari siapakah yang disambut besar-besaran oleh kerajaan setiap tahun pada 31 Ogos, jika British tidak pernah menjajah Tanah Melayu? Bukankah Malaysia merupakan salah sebuah negara anggota Commonwealth yang mana Commonwealth hakikatnya adalah pertubuhan negara-negara bekas jajahan British? Kenapa ada istilah ‘pejuang kemerdekaan’? Jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah, maka ini bermakna kita tidak sepatutnya ada pejuang kemerdekaan, malah para pemimpin UMNO yang dijulang selama ini sebagai ‘pejuang kemerdekaan’ merupakan satu fakta yang salah. Gelaran ‘Bapa Kemerdekaan’ yang telah diberi kepada Tunku Abdul Rahman juga sebenarnya adalah gelaran sia-sia yang tidak seharusnya wujud. Malah, kematian Tok Janggut dan ramai lagi yang berjihad menentang British, kesemuanya adalah sebuah kebodohan dan kematian sia-sia kerana mereka mati menentang orang yang datang untuk menaungi dan melindungi kita!!!

Lebih naif, bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya itu merujuk kepada Perjanjian Pangkor untuk menegakkan pendapatnya dengan mengatakan bahawa di dalam perjanjian tersebut British tidak pernah menyatakan bahawa mereka ingin menjajah tetapi ingin menjadikan Tanah Melayu sebagai ‘the protected Malay State’ atau disebut sebagai ‘protectorate’ (negeri naungan dan lindungan). Persoalannya, mestikah ada perjanjian bertulis dari penjajah (dan dipersetujui oleh pihak yang dijajah) yang mengatakan bahawa “kami dengan ini menjajah kamu”, barulah sesebuah negara itu ‘sah’ dikatakan dijajah? Adakah wujud penjajah ‘sebaik’ ini yang akan buat perjanjian terlebih dahulu sebelum menjajah, dan tidak akan menjajah sesebuah negara jika negara tersebut tidak bersetuju? MPN nampaknya macam sebuah badan yang langsung tidak cerdik untuk memahami kelicikan kuffar British selaku musuh Islam di dalam menjajah Tanah Melayu sebagai salah sebuah tanah umat Islam. 

Penjajah British Yang Licik

Sesungguhnya British adalah negara penjajah. Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Sewaktu zaman keemasannya, British telah menjajah puluhan negara umat Islam, baik di Asia Barat, Asia Tengah mahupun Asia Tenggara. British adalah negara penganut dan pengembang ideologi Kapitalisme. Orang yang buta sekalipun mengetahui bahawa musuh utama ideologi Kapitalisme adalah ideologi Islam dan juga ideologi Sosialisme/Komunisme. Tiga ideologi di dunia ini adalah ideologi yang saling bertentangan antara satu sama lain dan saling cuba menguasai di antara satu sama lain. British, sebagai salah sebuah negara di Eropah yang rata-rata penduduknya terdiri dari penganut agama Kristian, sememangnya telah memusuhi Islam sejak sekian lama. Dendam kesumat mereka terhadap umat Islam sejak Perang Salib tidak pernah padam. Namun, kesan dari Perang Salib dan lain-lain peperangan mengajar mereka bahawa umat Islam amat sukar untuk dikalahkan di dalam peperangan fizikal. Oleh kerana itulah mereka telah menukar serangan mereka ke dunia Islam dengan melakukan serangan pemikiran dan antara serangan pemikiran yang telah memberi kejayaan besar kepada mereka ke atas dalam dunia Islam adalah serangan assabiyyah (bangsa) dan wathaniyyah (tanahair).  

Dari segi sejarah, penjajah kuffar Britsih telah berjaya menjajah negara Islam satu per satu setelah sebelumnya mereka sebarkan dengan racun assabiyyah dan wathaniyyah yang menyebabkan umat Islam berpecah. Di waktu umat Islam berada di bawah kesatuan Negara Khilafah dan di bawah kepimpinan seorang pemimpin (Khalifah), puak kuffar British ini menusukkan jarum assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam diri setiap Muslim agar cintakan bangsa dan tanahair masing-masing. Di zaman Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki, dengan racun assabiyyah dan wathaniyyah inilah, British telah berjaya menumbuhkan kebencian bangsa Arab terhadap bangsa Turki dan sebaliknya. Akhirnya British berjaya menggerakkan kekuatan Arab untuk menentang Khilafah di Turki yang menyebabkan berlakunya peperangan sesama Muslim atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah di mana umat Islam ketika itu ‘ingin merdeka’ dan memerintah tanahair sendiri. Perasaan ingin merdeka ketika itu hakikatnya adalah kemerdekaan yang diingini oleh umat Islam dari Daulah Khilafah. Inilah yang diingini dan dirancang oleh British dengan licik.

Ringkasnya, dengan bantuan British, satu demi satu tanah umat Islam telah ‘merdeka’ (terlepas) dari kesatuan Khilafah yang mana akhirnya British dapat masuk menjajah dengan mudah. Setelah satu demi satu tanah Islam terkeluar dari Daulah Khilafah, tanah-tanah Islam ini akhirnya diperintah secara langsung oleh British dengan menerapkan undang-undang kufurnya dan Negara Khilafah yang tersisa menjadi semakin kecil dan lemah. Perasaan assabiyyah dan wathaniyyah yang telah ditanam oleh British inilah antara penyebab kepada runtuhnya Daulah Khilfah dan dengan kehancuran Daulah Khilafah, kerja British untuk memusnahkan kekuatan umat Islam menjadi lebih mudah. Kuffar penjajah ini kemudiannya melantik dan melatih pemimpin dari kalangan umat Islam untuk menjadi ejennya, yang memerintah dengan cara yang mereka kehendaki (sekular) dengan mencampakkan kesemua hukum-hukum Allah dari pemerintahan negara. Mereka melatih, menjaga, mendidik dan membesarkan ejen-ejen ini sehingga mereka benar-benar berpuas hati bahawa pemimpin ini akan pasti mengikuti telunjuk dan ‘menyembah’ mereka dari satu generasi ke satu generasi dan ke generasi seterusnya. Setelah yakin bahawa para pemimpin ini akan memerintah dengan sistem kufur yang mereka ajarkan dan setelah yakin para pemimpin ini tidak akan menyatukan semula umat Islam di bawah kesatuan Khilafah, maka satu per satu tanah jajahan ini ‘dimerdekakan’ oleh British. Tanah Melayu juga tidak terkecuali dari kelicikan yang sama dilakukan oleh kuffar British ini.

Antara Hak Dan Batil 

Di antara kelicikan penjajah British adalah ‘mengangkat’ para pejuang assabiyyah dan wathaniyyah sebagai hero sehingga setiap orang Islam berebut-rebut ingin menjadi atau termasuk ke dalam kategori ‘pejuang bangsa dan tanahair’. British tidak akan membunuh para ‘pejuang bangsa’ ini kerana inilah yang dikehendaki oleh British, yakni lahirnya seramai mungkin pejuang bangsa dan tanahair. Tetapi British akan membunuh ‘pejuang Islam’ seperti Tok Janggut dan lain-lain kerana pejuang Islam adalah musuh British. Begitu juga dengan pejuang komunis, akan dibunuh oleh British kerana komunisme adalah musuh kapitalisme. Ringkasnya, sesiapa yang menentang British atas nama bangsa dan tanahair, akan ‘diredhai’ oleh British dan dilayan dengan baik, tetapi sesiapa yang menentang British atas nama Islam (atau Komunisme), akan diperangi oleh British. Kerana itulah kita menyaksikan bahawa nama-nama pejuang bangsa dan tanahair seperti Tunku Abdul Rahman, Onn Jaafar dan lain-lain ‘diangkat’ oleh British, manakala nama-nama pejuang Islam (dan pejuang Komunis) dianggap sebagai pengkhianat oleh British. 

Justeru, tidak hairan sekiranya kita melihat UMNO menjulang para pejuang bangsa dan tanahair kerana itulah hakikat perjuangan UMNO, yang telah terbius dengan didikan dari British selaku bekas tuannya. Dan tidak hairan juga sekiranya kita melihat pemimpin UMNO (melalui pasukan polis) memantau, menangkap dan memenjarakan para pejuang Islam yang berdakwah ingin menegakkan Islam di Malaysia, kerana inilah juga didikan British yang telah dicerap oleh UMNO sejak sekian lama yakni agar UMNO kekal sebagai pejuang sekularisme dan memusuhi Islam serta para pejuang Islam.

Kerana masih terpengaruh dengan racun assabiyyah dan wathaniyyah, kita menyaksikan percakaran yang berlaku di antara UMNO dan PAS sekarang hanyalah seputar isu siapakah pejuang bangsa dan tanahair. Perbalahan mengenai siapakah hero kemerdekaan negara yang sebenar, yang panas sejak tiga minggu lepas, adalah satu perbalahan yang langsung tidak ada kena mengena dengan Islam, bahkan tidak menguntungkan Islam sedikitpun. Baik Mat Indera mahupun Tunku Abdul Rahman, Onn Jaafar dan lain-lain (yang dikategorikan sebagai nasionalis kiri dan kanan), selama mana mereka berjuang atas nama bangsa dan tanahair, maka ini bukanlah satu perjuangan Islam dan merupakan satu perjuangan yang tidak perlu diperbalahi atau diangkat atau dibangga-banggakan. Ini kerana berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis, perjuangan bangsa dan tanahair ini merupakan sebuah keharaman yang jelas lagi nyata! Sabda Nabi SAW, 

“Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada assabiyyah, orang yang berperang kerana assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”
 [HR Abu Dawud].

Malaysia sebenarnya tidak pernah merdeka dalam ertikata yang sebenar. Kemerdekaan Malaysia daripada British hanyalah kemerdekaan dari kehadiran tubuh badan orang-orang kafir British, namun hakikatnya pemikiran, sistem dan undang-undang kufur British masih tertancap kuat dan dalam, di dalam pemikiran para pemimpin di Malaysia. British menjajah Tanah Melayu dengan menyebarkan ideologi kufur mereka dan sehinggalah ke hari ini, kita menyaksikan betapa undang-undang dan sistem pemerintahan di negara kita hakikatnya saling tidak tumpah dengan undang-undang dan sistem pemerintahan British, sama-sama diasaskan kepada ideologi Kapitalisme yang bertentangan dengan Islam. Perlembagaan yang digubal oleh si kafir Lord Reid yang masih dipegang kukuh, ditaati baik oleh pemerintah mahupun pembangkang merupakan bukti betapa pemikiran, undang-undang dan sistem kufur masih menebal di dalam pemikiran sebahagian besar pemimpin dan umat Islam di Malaysia. Justeru, semua perbalahan yang sia-sia ini harus ditinggalkan segera dan kesemua pihak harus kembali kepada perjuangan Islam!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kalau kita mengambil kira pandangan MPN, nampaknya, kerajaan Malaysia kena memohon maaf kepada British di atas keceluparan selama ini yang menuduh British sebagai penjajah. Mungkin Dr. Zainal seharusnya menjadi orang yang pertama memohon maaf kepada British di atas keterlanjuran kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia selama puluhan tahun lamanya menuduh British sebagai penjajah. Tidak cukup dengan itu, kerajaan dan rakyat Malaysia juga seharusnya mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada British kerana mereka sebenarnya datang ke Tanah Melayu bukan untuk menjajah, sebaliknya adalah untuk menaungi dan melindungi kita! Ya, British telah datang ke Tanah Melayu untuk ‘menaungi dan melindungi’ Tok Janggut dengan cara menyeksa dan membunuh pejuang Islam ini. British datang ke Tanah Melayu dan ‘menaungi’ kita dengan ideologi kufur mereka, dengan undang-undang dan sistem kufur mereka dan mereka memastikan yang pemimpin Tanah Melayu, setelah peninggalan mereka, tetap menaungi kita dengan undang-undang dan sistem kufur yang sama. British datang ke Tanah Melayu dan telah ‘melindungi’ para pemimpin dan penduduk Tanah Melayu daripada Islam sehingga para pemimpin ini langsung tidak nampak Islam sebagai cara hidup untuk mengatur negara. Inilah naungan dan perlindungan yang telah diberikan oleh kuffar British kepada kita di Malaysia! Justeru,  patutkah kita menghadiahkan kepada British sebuah ‘kesyukuran’ di atas ‘jasa baik’ British selama ini yang telah ‘menaungi dan melindungi’ kita semua dengan kekufuran mereka?

MANSUH ISA


MANSUH ISA, UNDANG-UNDANG KUFUR LAINNYA BAGAIMANA?
 

[SN276] Banyak pihak, termasuk para menteri nampak agak terkejut dan tidak bersedia dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 16 September lepas. Dalam perutusan khasnya sempena Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung oleh RTM, Najib mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan juga Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Menurutnya, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Malaysia itu berkata, undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan di bawah kuasa Menteri. Di dalam ucapannya itu, Najib menegaskan bahawa kerajaan turut memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. “Kuasa untuk melanjutkan penahanan juga akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan,’’ katanya lagi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kajian semula terhadap beberapa undang-undang negara secara lebih komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. “Bagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan sebaliknya akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga ia dibatalkan,’’ katanya. Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun katanya, kebenaran berhimpun diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa [UM 17/09/11].

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semasa mengulas pengumuman ketuanya itu, berkata, penggubalan akta serta undang-undang baru bagi menggantikan ISA  akan mengambil kira pandangan pihak serta agensi yang berkaitan seperti polis dan tentera terlebih dahulu. “Akta baru yang digubal bagi menggantikannya akan mengambil kira peredaran zaman tetapi perubahan terhadapnya perlulah diimbangi dengan kepentingan terhadap keselamatan negara dan rakyat serta kepentingan suasana demokrasi semasa. Bagaimanapun, menurut Hishammuddin, proses menggubal undang-undang baru menggantikan ISA tidak akan mengambil masa yang lama kerana ia akan merujuk kepada undang-undang di negara lain sebagai contoh. “Undang-undang yang berhubung kait dengan keganasan, seperti Akta Patriot di Amerika Syarikat, Akta Anti Keganasan di United Kingdom dan Australia boleh dijadikan contoh untuk menggubal akta baru tersebut dalam usaha memerangi keganasan,” katanya [UM 17/09/11]. 

Walaupun rakyat tidak menduga pengumuman seumpama itu akan dibuat, namun semua orang tahu bahawa Najib perlu melakukan sesuatu yang besar bagi menyelamatkan kedudukannya menjelang pilihan raya umum ke-13 tak lama lagi. Seperti biasa, media arus perdana terus memberi pujian melangit kepada Najib, malah komen-komen dari akhbar luar negara yang memuji Najib terus-menerus disiarkan. Para Menteri yang selama ini menyokong dan mempertahankan ISA, kini terpaksa terbalik 180 darjah dengan memuji boss mereka sebagai seorang Perdana Menteri yang berani dan hebat. Hatta bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed yang selama pemerintahannya kental mempertahankan ISA dan terkenal dengan langkah menyumbat musuh-musuh politiknya ke dalam ISA, kini turut memuji langkah yang diambil oleh Najib memansuhkan akta yang zalim itu. 

Mansuh Undang-Undang Kufur, Ganti Undang-Undang Kufur Lainnya

Bagi rakyat yang celik politik, pengumuman yang dilakukan Perdana Menteri Malaysia itu bukanlah suatu yang patut disanjung, kerana ia boleh disifatkan sebagai umpan pilihan raya sahaja. Tindakan pemansuhan ISA dilihat sebagai usaha Najib untuk ‘meredakan’ kemarahan rakyat yang selama ini semakin menolak kerajaan pimpinannya. Dengan langkah pemansuhan ini, semua isu kebobrokan pemerintah seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah, fitnah, peningkatan kadar jenayah, konspirasi politik dan lain-lain dapat ditenggelamkan. Mungkin Najib mengharapkan kesemua ‘dosa’nya selama ini akan terampun dengan dimansuhkannya ISA dan rakyat kembali memberi sokongan kepada kerajaan. Jika tidak ada suatu perubahan besar yang dilakukan oleh Najib, kemungkinan UMNO-BN boleh kecundang di dalam perebutan kuasa dengan pembangkang di dalam pilihan raya nanti. Dengan banyaknya isu menjengkelkan yang berlaku di sepanjang pemerintahannya, yang menyebabkan rakyat semakin mual dan tidak dapat menahan amarah dengan kerajaan dan parti pemerintah, langkah pemansuhan ISA ini dilihat menjadi talian hayat Najib dalam rangka untuk terus kekal berkuasa selepas pilihanraya umum ke-13 nanti. 

Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain dan yang lebih penting adalah, keputusan untuk memansuhkan ISA ini bukanlah suatu yang patut disanjung kerana ia dilakukan bukan atas dasar Islam! Najib menyatakan bahawa tindakan pemansuhan ini dilakukan kerana mendengar suara hati rakyat yang inginkan perubahan. Inilah ‘alasan demokratik’ seorang pemimpin di mana segala sesuatu dilakukan (kononnya) ‘kerana rakyat’ sesuai dengan ajaran demokrasi. Hakikatnya, ia bukanlah kerana rakyat, tetapi kerana maslahat politik yang ingin diraih darinya. Apa pun alasan yang diberikan, yang lebih penting adalah, pemansuhan itu bukan dilakukan atas dasar keharaman ISA di sisi Islam, tetapi atas dasar kehendak demokrasi!  Sesungguhnya tidak ada kebaikan walau sebesar zarah pun di dalam melakukan sesuatu perkara apabila Islam dikebelakangkan. 

Langkah menghapuskan ISA ini bertambah tidak bermakna apabila kerajaan mengumumkan akan menggubal dua akta baru bagi menggantikan akta haram itu. Lebih buruk, kedua-dua akta baru yang haram yang akan menggantikan ISA itu akan diambil contoh dari Akta Patriot Amerika Syarikat dan Akta Anti Keganasan UK. Di dalam pengumumannya, Najib telah menyatakan dengan jelas bahawa hal-hal yang melibatkan keganasan masih diletakkan di bawah bidang kuasa eksekutif, bukannya kehakiman. Justeru, dengan penggubalan dua akta baru ini, kesannya lebih kurang sama dengan ISA di mana eksekutif (kerajaan) adalah pihak yang berkuasa menentukan siapakah yang dianggap sebagai pengganas. Jika di bawah ISA, seseorang itu akan ditahan tanpa bicara atas alasan ‘mengancam keselamatan negara’, maka di bawah akta yang baru nanti, kemungkinan besar seseorang itu akan ditahan atas alasan baru iaitu ‘pengganas’. Apa yang pasti ialah, definisi ‘pengganas’ sudah semestinya menjadi ‘hak mutlak’ kerajaan. Pokoknya, kerajaan (eksekutif) masih merupakan pihak yang amat berkuasa dalam menentukan kesalahan dan menghukum seseorang tanpa keputusan mahkamah! Walhal di dalam Islam, seseorang tidak boleh dihukum kecuali oleh qadhi/mahkamah.

Ringkasnya, sudahlah tindakan memansuhkan ISA ini tidak dilakukan atas dasar Islam, malah kerajaan ingin melakukan keharaman lain pula dengan cadangan menggubal dua akta yang mempunyai ‘ruh’ ISA. Inilah hakikat dan definisi sebenar demokrasi iaitu satu sistem pemerintahan di mana hak membuat undang-undang ada pada tangan manusia!!! Inilah sebuah sistem pemerintahan kufur yang mana Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam Al-Quran akan kemungkaran penganut-penganutnya, 

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut (selain Allah) padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa’ (4):60]. 

Inilah hakikat sistem demokrasi di mana manusia, walaupun mengaku beriman, tetapi berhukum dengan hukum taghut (selain Allah). Mereka membuat hukum sendiri dengan tangan-tangan mereka dengan mengambil hak Allah sebagai Pembuat Hukum!

Oleh yang demikian, sesungguhnya pemansuhan ISA ini tidak ada ertinya di sisi Islam kerana ia dilakukan atas dasar demokrasi (bukan atas dasar Islam) dan yang lebih buruk apabila ia akan diganti dengan undang-undang buatan manusia yang lain pula. Dengan kata lain, apa yang diumumkan oleh Najib hanyalah pertukaran satu undang-undang kufur kepada undang-undang kufur lainnya di bawah sistem demokrasi yang haram lagi hina! ISA wajib dihapuskan bukanlah kerana kezalimannya semata-mata yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menahan seseorang tanpa bicara. ISA wajib dihapuskan kerana ia adalah undang-undang yang bertentangan dengan Islam! Jadi, yang seharusnya menjadi ukuran di sini adalah ‘Islam’, bukan yang lain. Justeru, apa sahaja undang-undang yang bertentangan dengan Islam, walaupun manusia melihatnya sebagai ‘tidak zalim’, ia tetap wajib dihapuskan. Akta yang tidak pernah dipandang zalim seperti Akta Syarikat, Akta Imigresen, Akta Mahkamah Kehakiman, Akta Undang-Undang Sivil, Akta Mahkamah Syariah, Kanun Tanah Negara, Enakmen Jenayah Syariah dan lain-lain, malah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang tidak pernah dipandang zalim, kesemua undang-undang ini wajib dimansuhkan kerana ia adalah bertentangan dengan Islam!

Ukuran ‘undang-undang yang zalim’ bagi setiap Muslim tidak boleh disandarkan kepada akal, tetapi wajib disandarkan kepada nas. Dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan bahawa, 

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang yang zalim”
 [TMQ al-Ma’idah (5):45]. 

Allah SWT telah menetapkan bahawa penguasa yang tidak menerapkan hukum Allah sebagai zalim. Itupun sekiranya dia masih lagi meyakini akan hukum Islam. Jika dia tidak menerapkan hukum Islam kerana tidak meyakini kelayakan hukum Islam, maka Allah SWT menyifatkannya sebagai orang kafir, firmanNya, 

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44]. 

Wajib Terap Hukum Islam Secara Kaffah

Antara taklif (bebanan) hukum yang utama yang terletak di bahu pemerintah adalah menerapkan hukum Allah secara kaffah (menyeluruh). Kewajipan menerapkan hukum Allah ini merupakan persoalan yang ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (tidak ada alasan untuk tidak diketahui hukumnya oleh setiap Muslim). Firman Allah SWT, 

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menuruti hawa nafsu mereka. Juga, berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkanmu dari sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu” [TMQ al-Ma’idah (5):49]. 

Ayat ini memerintahkan kepada Rasul dan kaum Muslimin dengan perintah yang bersifat jazm (pasti) iaitu tentang wajibnya berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, baik itu berupa perintah ataupun larangan. Di dalam ayat ini juga, Rasulullah SAW dan kaum Muslimin dilarang untuk mengikuti hawa nafsu manusia lalu cenderung kepada keinginan/hawa mereka.

Sesungguhnya agama Allah ini telah sempurna dan wajib diterapkan dengan sepenuhnya. Firman Allah SWT, 

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama bagimu”
 [TMQ al-Ma’idah (5):3]. 

FirmanNya yang lain, 

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”
 [TMQ al-Baqarah (2):208]. 

Setelah turunnya ayat-ayat ini, kaum Muslimin dituntut untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan sempurna baik dalam masalah akidah, ibadah, akhlak, muamalat, pemerintahan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, politik luar negeri, peperangan dan lain-lain. Tidak ada hujah untuk sesiapapun yang tidak mahu berhukum dengan hukum Allah, kecuali kesemua hujah tersebut adalah batil. 

Allah SWT telah mengangkat Muhammad SAW sebagai Rasul yang wajib diikuti dalam segenap aspek yang diperintahkan. FirmanNya, 

“Apa yang diberikan oleh Rasul kepadamu, maka terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya”
 [TMQ al-Hasyr (59):7]. 

Rasulullah SAW adalah orang yang berhukum dengan hukum Allah semata-mata. Baginda bukan sahaja teladan yang wajib diikuti dalam aspek ibadat semata-mata, malah baginda adalah seorang suami, ayah, ahli ekonomi, ahli jihad dan juga merupakan seorang Ketua Negara yang menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahannya, yang mana kesemua ini wajib diikuti oleh setiap Muslim. Ayat di atas memerintahkan agar setiap individu Muslim (termasuk pemerintah) agar mengambil dan mengamalkan seluruh perkara yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan meninggalkan seluruh perkara yang dilarang baginda. Berdasarkan nas-nas yang jelas dan tidak ada keraguan sedikitpun, wajib bagi kaum Muslimin, baik individu, jemaah/gerakan mahupun negara (pemerintah) menerapkan hukum-hukum Allah secara sempurna, tanpa alasan (untuk tidak menerapkannya), tanpa menunda-menunda atau bertahap-tahap di dalam penerapannya. Apatah lagi ke atas seorang pemerintah, tidak boleh ada uzur apa pun untuk tidak menerapkan hukum Allah kerana ‘kuasa’ ada di tangan mereka (pemerintah). 

Rasulullah SAW mewajibkan untuk memerangi penguasa (Khalifah) sekiranya seseorang Khalifah itu menampakkan kekufuran yang nyata (di mana kita memiliki hujah atas kekufuran ini) di hadapan Allah. Ini berdasarkan penjelasan dalam hadis Ubadah bin Samit, 

“Dan agar kami tidak merebut kekuasaan dari yang berhak, kecuali (sabda Rasulullah SAW) kalian melihat kekufuran yang nyata di mana kalian memiliki burhan (bukti nyata) di sisi Allah”
 [HR Muslim]. 

Dan Allah juga mewajibkan umat Islam untuk menukar penguasa yang tidak menerapkan Islam (seperti para penguasa Muslim pada hari ini), melalui thariqah (jalan) perubahan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, kepada penguasa (Khalifah) yang akan menerapkan Islam secara kaffah. Hadis di atas mengingatkan para penguasa agar tidak meremehkan mana-mana hukum Allah walaupun sedikit kerana sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara satu kewajipan dengan kewajipan lainnya termasuk antara satu hukum dengan hukum lainnya. Hukum Allah sama-sama wajib diterapkan kesemuanya dan hukum kufur wajib ditinggalkan kesemuanya tanpa dibolehkan kompromi sedikitpun. Allah SWT menjanjikan azab yang amat pedih bagi mereka yang mengambil sebahagian hukumNya dan meninggalkan sebahagian, apatah lagi kalau tidak mengambil kesemua atau meninggalkan kesemuanya. FirmanNya, 

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian dari Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang melakukan demikian itu di antara kamu, kecuali kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang amat berat” [TMQ al-Baqarah (2):85].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Lihatlah betapa berkuasanya seorang Perdana Menteri, hanya dengan ‘pengumuman’nya sahaja, kesemua Menteri Kabinet yang berada di bawahnya, walaupun ada yang tidak bersetuju dengannya, akan tetap ‘tunduk’ kepada perintahnya. Apatah lagi dengan rakyat jelata, yang sememangnya ‘terpaksa’ patuh kepada ketentuan dari pemerintah. Justeru, jika Najib berkuasa untuk mengumumkan bahawa ISA dihapuskan, sesungguhnya Najib juga berkuasa untuk mengumumkan kesemua undang-undang kufur yang ada di Malaysia ini untuk dihapuskan. Dengan kata lain, Najib juga berkuasa jika dia ingin mengumumkan penerapan hukum Islam di Malaysia. Itulah kuasa yang ada di tangan Najib yang sebenarnya merupakan amanah Allah ke atasnya. Masalahnya ialah, Najib tetap mahu menerapkan hukum kufur dan tidak mahu berhukum dengan hukum Allah walhal dia sedar bahawa kuasa ada di tangannya (untuk menerapkan hukum Allah)! Satu perkara yang Najib mungkin tidak sedar ialah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa mencabut pemerintahan Najib dan menggantikannya dengan seorang Khalifah yang akan menerapkan hukum-hukumNya...dan dengan melihat kepada realiti serta nas-nas yang berupa janji dari Allah dan RasulNya, sesungguhnya masa di mana Khalifah itu akan kembali semula untuk memerintah dunia ini sudah semakin hampir.