Sunday 30 March 2014

MH370

DI SEBALIK MISTERI KEHILANGAN MH370

[SN379] Seluruh negara, malah seluruh dunia gempar dengan kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas. Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dikatakan hilang dari radar di Laut China Selatan di kawasan perairan Vietnam. Sejak itu, usaha mencari dan menyelamat terus dijalankan yang sehingga kini telah melibatkan banyak pihak termasuk seluruh pakar, kenderaan dan peralatan yang paling canggih di dunia dari lebih 10 buah negara. Walaupun segala usaha telah dan sedang dilakukan, namun ternyata setakat ini langsung tidak ada petunjuk atau tanda-tanda untuk menemui pesawat berkenaan. Kebuntuan terus melanda setiap pihak yang terlibat dalam pencarian pesawat malang berkenaan hingga ke saat nasyrah ini ditulis. 

Setakat ini para pakar telah pun membincangkan dengan mendalam dari setiap sudut akan segala kemungkinan yang menyebabkan kapal terbang ini hilang, namun ternyata kesemuanya gagal memberikan jawapan yang pasti. Ini kerana setiap kemungkinan yang diungkapkan terpatah dengan sendirinya berdasarkan maklumat dan fakta yang ada. Kebuntuan inilah yang justeru menjadikan kehilangan pesawat MH370 ini sebagai satu misteri. SautunNahdhah kali ini bukanlah ingin merungkai misteri kehilangan pesawat Boeing 777 yang canggih ini, tetapi ingin menarik perhatian pembaca terhadap beberapa senario atau respons yang terlalu banyak berlaku dan berlegar sehingga kita perlu mengambil satu sikap yang benar dalam isu ini. 

Pertamanya kita perlu memerhati laporan dan spekulasi dari media atau laman sosial, termasuk melalui aplikasi telefon pintar dan lain-lain sumber yang melimpah ruah dan tidak terbendung di alam maya. Walaupun kerajaan banyak kali berpesan agar tidak mengambil berita dari sumber lain dan mengingatkan rakyat agar tidak membuat sebarang spekulasi, namun ternyata pada zaman teknologi serba canggih ini, hal ini hampir mustahil untuk disekat. Berita dan spekulasi di media sosial terlalu banyak tersebar, bahkan dalam banyak hal mendahului berita daripada kerajaan dan pendedahannya malah lebih rinci, lebih banyak dan lebih menarik. 

Dalam pada kerajaan menekankan berkali-kali yang mereka tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, ternyata banyak perkara yang sebenarnya tersembunyi, malah media sosial menyebarkan dengan meluas di alam maya fakta-fakta yang tidak atau lambat dijelaskan oleh kerajaan. Hal ini menambahkan lagi kepercayaan orang ramai kepada media sosial dan “menggalakkan” pihak-pihak berkepentingan mendedahkan lebih banyak maklumat dan spekulasi, yang akhirnya terpaksa dijawab dan ditepis oleh kerajaan di dalam sidang akhbar. Persoalan semakin bermain di minda apabila ternyata setelah “digasak” habis-habisan oleh wartawan, beberapa jawapan yang diberikan kerajaan kelihatan mengelirukan dari jawapan atau penerangan sebelum ini, yang menambahkan lagi persoalan sedia ada. 

Kesimpulan mudah yang dapat kita petik daripada maklumat dan spekulasi di media sosial ini adalah bahawa banyak pihak yang sebenarnya sudah tidak atau kurang percaya kepada penjelasan kerajaan. Ketidakpercayaan rakyat ini sememangnya berasas kerana rekod kerajaan sebelum-sebelum ini yang selalu tidak telus dengan rakyat baik dalam hal-hal kecil mahupun besar. Rakyat masih lagi diliputi ‘misteri’ kes kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM pada tahun 2007 yang hanya terdedah lebih dua tahun kemudian. Begitu juga dengan misteri kematian model Mongolia, AltantuyaShaariibuu yang diletupkan dengan bom. Kemudian diikuti dengan hilangnya penyiasat persendirian dalam kes tersebut, P. Balasubramaniam. 

Kematian Teoh Beng Hock di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam pada tahun 2009 masih menjadi misteri hingga kini. Dua tahun kemudian, satu lagi misteri melanda apabila Penolong Pengarah Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed ditemui mati di bangunan yang sama. Masih agak baru kita digemparkan dengan kes Lahad Datu yang juga mengundang banyak persoalan. Pendek kata macam-macam kes yang berlaku, baik besar mahupun kecil yang penuh dengan misteri yang kesemua ini akhirnya telah menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Jadi, tidak pelik jika rakyat kini lebih percaya kepada sumber-sumber lain yang dilihat lebih telus dan tepat berbanding sumber kerajaan. 

Namun demikian, dalam keghairahan banyak pihak melaporkan berita dan spekulasi, sebagai Muslim, kita wajib ingat bahawa kita bertanggungjawab dengan apa yang kita sebarkan. Bagi orang yang menyebar berita dan apatah lagi menyebarkan spekulasi, jika tidak ada asas dan faktanya, sama ada dilakukan dengan niat baik mahupun jahat, maka perbuatan ini boleh terjerumus ke dalam dosa atas sebab pembohongan yang disebarkan. Rasulullah SAW bersabda, 

“Cukuplah seseorang itu dikatakan berdusta jika ia menceritakan setiap yang ia dengar” [HR Muslim]. 

Maka, jadilah Muslim yang bertakwa dan berhati-hati dengan apa yang kita sebarkan. Manakala bagi yang menerima berita atau spekulasi pula, berhati-hatilah dengan berita yang diterima kerana khuatir orang yang menyebarkannya adalah termasuk orang-orang yang fasik. Firman Allah SWT, 

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang-orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti….” [TMQ al-Hujurat (49):6].

Dalam misteri kehilangan pesawat MH370 ini juga, kita dapat melihat “mentaliti manusia” yang pelbagai ragam sehingga ada yang tidak lagi berpijak di bumi nyata. Antara maklumat awal yang berlegar ialah kes ini merupakan satu usaha untuk menutup dan mengalihkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sehari sebelumnya diputuskan bersalah oleh Mahkamah Rayuan dalam kes liwat dan dihukum penjara 5 tahun. Hal ini termasuk dalam salah satu teori konspirasi yang agak banyak berlegar. “Teori konspirasi” sebenarnya adalah antara mentaliti yang paling banyak dimiliki orang dan paling diminati oleh ramai orang untuk diperkatakan sehingga pereka teori ini dilihat seolah-olah seorang perisik yang hebat dan jika tidak pun seorang yang sebenarnya hanyalah “syok sendiri”. Kita tidak menafikan kemungkinan wujudnya konspirasi dalam kes ini, namun dengan kekurangan fakta dan maklumat yang kita tahu, kita tidak seharusnya berlebih-lebih dalam teori konspirasi ini yang akhirnya membuang masa dan memenatkan tanpa mendatangkan apa-apa faedah, sebaliknya boleh mengundang ta’jub dan riya’ dengan pendapat sendiri, yang diharamkan oleh Islam.

Tidak kurang dalam isu kehilangan MH370 ini terzahirnya manusia yang bermentaliti mistik dan metafizik yang tidak berpijak di bumi nyata. Setelah sains dan teknologi gagal mengesan kehilangan pesawat malang itu, maka wujudlah pihak-pihak yang mengaitkan kehilangan MH370 dengan alam khayalan seperti bunian, fenomena segi tiga Bermuda dan seumpamanya. Mentaliti khayalan seumpama ini adalah antara yang sukar dibendung kerana pengamalnya kebanyakannya taksub dengan apa yang mereka fikirkan hingga mereka terperosok ke dalam dunia khurafat dan tahyul. Hakikatnya akal mereka sendiri tidak dapat menjangkau perkara tersebut tetapi mereka tetap ingin menghasilkan keyakinan (di akal mereka) melalui gambaran peristiwa yang mereka reka/ada-adakan sendiri! Maka wujudlah para bomoh dan pengamal paranormal yang cuba mengesan kehilangan pesawat Boeing tersebut dengan upacara karut yang memalukan melalui penggunaan pancaindera ke-6 mereka yang tidak pernah wujud! 

Tidak jauh berbeza dengan mentaliti di atas adalah pihak yang cuba bermain dengan nombor/angka. Golongan ini, sama ada sedar atau tidak, adalah cenderung kepada pemikiran Rashad Khalifa yang terkenal mentafsirkan Al-Quran dengan kod-19nya. Mereka memusingkan dan cuba mengaitkan mana-mana angka agar “terkena” dengan surah dan ayat Al-Quran yang ingin mereka bahaskan. Antaranya adalah kejadian kehilangan pesawat yang berlaku pada tarikh 8.3 yang berlepas dari lapangan terbang pada jam 12.41, hal ini dikaitkan dengan Surah Yasin yang mengandungi 83 ayat dan bermula dari ayat ke-41 hingga 43 Allah menceritakan tentang tanda-tanda kebesaranNya yang boleh mengangkut manusia di dalam bahtera dan menenggelamkan mereka apabila Dia menghendakinya. Mengaitkan nombor/angka tertentu dengan kejadian tertentu dengan surah dan ayat tertentu dalam Al-Quran dengan menggunakan logik akal semata-mata, adalah suatu perbuatan yang boleh merosakkan akidah kerana ia termasuk dalam mentafsirkan Al-Quran mengikut hawa. Sabda Rasulullah SAW, 

“Barang siapa yang berkata-kata dengan Al-Quran dengan pendapat (logik akal)nya, maka silakan ia mengambil tempat duduknya di neraka” [HR Tarmizi]. 

Dalam kebuntuan manusia, sains dan teknologi menjejaki pesawat yang hilang ini, maka muncullah juga sesetengah pihak yang terus mengaitkan kehilangan pesawat tersebut dengan alam ghaib seperti perbuatan jin dan mempercayai atau meyakini orang-orang alim tertentu yang “boleh nampak” apa yang berlaku kepada pesawat itu, di mana ia berada dan kemudian bilakah ia akan muncul atau ditemui. Malah, dipercayai pula dengan hanya melakukan acara-acara tertentu, akan “mengembalikan” semula MH370, sama ada dalam keadaan orang-orang yang berada dalam pesawat masih hidup atau mati. Walhal Allah SWT berfirman, 

“Katakanlah: ‘Tidak ada siapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah” [TMQ an-Naml (27):65]. 

Berfikir Dengan Benar

Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan manusia, alam dan kehidupan ini dengan hukum sababiyyah (sebab-akibat) yakni setiap kejadian yang berlaku (akibat) ada sebab-musababnya. Maksudnya tidak akan berlaku sesuatu di alam ini secara tiba-tiba yang tidak ada penyebabnya. Sebagai contoh, sebuah kereta yang terbalik atau kereta api yang tergelincir dari landasannya, sudah pasti ia tidak terjadi dengan sendirinya, tetapi ada yang menyebabkannya, tidak kiralah sama ada faktor manusia atau faktor kenderaan itu sendiri atau faktor lainnya yang dapat diindera. Begitu juga dengan pesawat yang hilang, sudah pasti ia tidak akan hilang dengan sendirinya tetapi akan ada penyebabnya yang dapat diindera. Penyebab itulah yang menghasilkan akibat dan inilah yang dinamakan sebagai hukum sababiyyah. 

Hanya saja, ada manusia yang tahu dan ada manusia yang tidak tahu kenapa hal itu terjadi (apakah penyebabnya). Manusia yang terlibat dalam kejadian tersebut contohnya, sudah pasti akan mengetahui apakah sababiyyahnya (jika masih hidup), berbanding manusia yang tidak terlibat dengannya. Manusia yang tidak terlibat dengannya sudah pasti tidak mengetahuinya disebabkan oleh keterbatasan (kemampuan) manusia itu sendiri, walaupun manusia itu dibantu oleh manusia yang lain dan dibantu dengan pelbagai alat dan teknologi. Di sinilah letaknya kesalahan berfikir orang yang mengaitkan sesuatu itu dengan faktor ghaib, kerana ia cuba mengaitkannya dengan sesuatu yang langsung tidak dapat diinderanya. Walhal akalnya terbatas dan dirinya adalah lemah. Dia sesungguhnya langsung tidak mengetahui yang ghaib tetapi cuba mengaitkannya dengan yang ghaib. Akhirnya dia membuat kesimpulan berdasarkan akalnya yang terbatas tadi yang hakikatnya tidak menghasilkan apa-apa kecuali kesalahan.

Di sebalik kita meminta dan menerima bantuan dari banyak negara dalam usaha mencari MH370 ini, antara perkara yang harus dilihat di dalam kes ini ialah campur tangan asing, khususnya Amerika dan Barat ke dalam wilayah Malaysia. Ini kerana mereka adalah pasukan dari negara kuffar yang selama ini memusuhi Islam dan umatnya. Dengan penghantaran kapal dan peralatan perang tercanggih oleh Amerika atas nama ‘bantuan’ mencari dan menyelamat, kita seharusnya mempersoalkan ‘keikhlasan’ mereka di sini kerana selama ini sudah berapa banyak mereka membunuh umat Islam yang tidak berdosa di Afghanistan, Pakistan, Iraq dan yang secara tidak langsung di Palestin, Syria, Mesir dan banyak lagi, melalui sokongan mereka kepada pemimpin negara-negara tersebut yang menjadi ejen mereka. Aneh, kenapa pula kali ini mereka beriya-riya ingin menyelamatkan orang lain? Apatah lagi dalam keadaan kita didedahkan dengan fakta tentang wartawan kontroversi CNN, Richard Quest yang terbang bersama pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid, 17 hari sebelum kejadian. Semua ini tidak harus diambil mudah.

Sememangnya menjadi tanggungjawab pemerintah untuk berusaha mencari dan menyelamatkan mangsa dan kita tidak menafikan usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan. Dalam masa yang sama kita juga tidak boleh menafikan seratus peratus tidak wujudnya konspirasi, apatah lagi dalam keadaan banyak persoalan yang tidak terjawab. Apa yang penting ialah kita mesti berhati-hati dengan campur tangan asing (khususnya Barat) dan kita mengharapkan agar tidak wujud apa-apa konspirasi dalam kes ini yang cuba disembunyikan oleh pemerintah. Sekiranya ada, maka kita berdoa kepada Allah agar menggagalkan konspirasi ini dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dengan apa yang dikehendakiNya. 

Khatimah

Selain kita berusaha dan mendoakan yang terbaik, kita juga dapat menarik banyak pengajaran dari peristiwa kehilangan pesawat MH370 ini. Antaranya adalah kita melihat bagaimana kekuatan tentera dikerahkan dan perhatian seluruh rakyat ditarik kepada usaha menyelamatkan mangsa yang masih tidak dapat dipastikan sama ada hidup atau sudah mati. Hal ini memang suatu tindakan yang patut dan wajar. Cuma, alangkah baiknya jika kekuatan tentera juga dikerahkan bagi menyelamatkan umat Islam yang kini secara nyata sedang dibunuh dan dianiaya di Palestin, di Syria, Myanmar, Afrika Tengah dan lain-lain, kerana hal ini juga adalah kewajipan, malah merupakan kewajipan yang sangat mendesak. Kita juga melihat bagaimana dunia boleh bergabung dengan bersungguh-sungguh demi menyelamatkan mangsa, namun dalam masa yang sama dunia hanya berdiam diri dan membiarkan ratusan ribu umat Islam dibunuh dengan kejam di negeri-negeri yang berkenaan. Pengajaran lain yang sering disebut dalam tragedi ini ialah, walau bagaimana hebat dan canggih ilmu sains dan teknologi yang ada, namun kuasa Allah itu melebihi segala-galanya. Namun, janganlah hendaknya bersungguh-sungguh berdoa mengharapkan pertolongan Allah tatkala berlakunya musibah yang kita sudah tidak ada daya dan upaya lagi untuk menyelesaikannya. Namun tatkala senang dan gembira, Allah dilupakan. 

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment