Sunday 30 March 2014

Guling Kerajaan

KENAPA INGIN GULING KERAJAAN?

[SN375] Sambutan tahun baru kali ini, walaupun disambut dengan penuh kemeriahan seperti tahun-tahun sebelum ini, namun ia telah ‘dimeriahkan’ lagi dengan perhimpunan ‘guling kerajaan’ yang didakwa oleh polis didalangi pihak-pihak tertentu. Lebih kurang seminggu sebelum menjelangnya tahun baru, kecoh satu Malaysia rentetan dari iklan yang mengajak rakyat turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur bagi menggulingkan kerajaan. Walaupun kesahihan iklan tersebut diragui dan tidak ada satu pihak pun yang mengaku bertanggungjawab, namun pasukan polis tetap menyibukkan diri dengan usaha mencari bukan sahaja dalang, tetapi senjata-senjata seperti bom, parang, pisau, sudu, garpu dan sebagainya yang boleh dikaitkan dengan usaha-usaha menggulingkan kerajaan tersebut. Seperti biasa, pembangkang yang walaupun hidup matinya memperjuangkan demokrasi, tetap sahaja menjadi bahan tudingan awal polis.

Diringkaskan cerita, pada malam sambutan tahun baru tersebut, ribuan rakyat turun ke Dataran Merdeka, namun bukanlah untuk menggulingkan kerajaan, tetapi kerana mereka ingin menyatakan bantahan ke atas kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang semakin menjadi-jadi di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, sejak memenangi pilihan raya umum ke-13 lalu. Ketakutan kerajaan nampaknya berakhir apabila ternyata kerajaan tetap tidak “terguling” selepas perhimpunan pada malam 31 Disember lepas. Malah di banyak tempat, pesta maksiat menyambut tahun baru tetap berjalan dengan meriah seperti yang dirancang. 

Jika benarlah wujudnya usaha-usaha untuk menggulingkan kerajaan, persoalannya di sini adalah, kenapakah hal ini boleh terjadi? Jawapan yang mudah ialah, kerana rakyat sudah tidak lagi suka dan tidak lagi mahu kepada kerajaan sedia ada, kerana itulah mereka ingin menggulingkan kerajaan. Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, jika benar ada usaha-usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui perhimpunan jalanan seperti yang didakwa, maka ini bermakna rakyat sudah tidak lagi percaya kepada sistem demokrasi pilihan raya! Jadi, persoalan seterusnya adalah, jika benar wujud usaha untuk menggulingkan kerajaan, adakah ini merupakan suatu kebaikan untuk rakyat atau sebaliknya? Marilah kita melihat isu ini dengan lebih mendalam.

Hubungan Umat-Pemerintah Yang Terputus

Tidak dapat disangkal lagi bahawa saat ini rakyat, khususnya umat Islam sudah ‘terpisah’ dengan negara, bukan selayaknya seperti warganegara dan negaranya. Begitu juga dengan hubungan antara umat dengan pemimpin, ia bagaikan dua yang terpisah dan berbeza antara satu sama lain. Lebih jauh lagi, hubungan tersebut penuh dengan kebencian, konflik dan pertentangan serta tidak lagi wujud usaha pendekatan antara satu sama lain, baik untuk kepentingan masa kini mahupun untuk masa akan datang. Hal ini menyebabkan eksistensi umat menjadi lemah, kerana tanpa perlindungan negara, struktur umat menjadi lemah. Di lain pihak, negara tanpa dukungan rakyatnya juga akan menjadi lemah sehingga musuh hanya memerlukan sedikit sahaja usaha untuk campur tangan dan mengawal negara, serta menjadikan negara bergantung kepada bantuannya.

Dari segi sejarahnya, pemisahan umat dan negara secara alamiah terjadi tatkala negara-negara kafir menjajah dan memerintah secara langsung negeri-negeri kaum Muslimin pada masa-masa kolonialisme British (Barat). Namun kini, ketika kolonialisme British secara rasmi telah berakhir dan pemerintahan negeri-negeri kaum Muslimin dijalankan oleh kaum Muslimin sendiri, sesungguhnya tidak ada lagi alasan untuk memisahkan umat dan negara. Hubungan antara umat dan negara seharusnya berubah menjadi hubungan antara warganegara dan penjaganya dengan wujudnya penyatuan sepenuhnya antara rakyat dan pelindungnya. Namun kenyataan menunjukkan sebaliknya; pemisahan tersebut masih tetap ada dan terus berlangsung sampai hari ini. Para pemimpin tetap dianggap sebagai suatu kelompok yang tersendiri manakala umat tetap merupakan kelompok tersendiri pula. Kedua pihak masih saling bertentangan antara satu sama lain. Umat masih menganggap negara (pemerintah) bagaikan musuh mereka, sebagaimana dahulu mereka memandang kuffarpenjahah sebagai musuh; bahkan, tidak jarang umat merasa di zalimi oleh pemerintah sekarang, lebih besar dari kezaliman yang mereka rasai di bawah kaum penjajah.

Sementara itu, pemerintah memandang umat sebagai segolongan pemberontak yang hendak meruntuhkan kekuasaannya dan sebagai musuh negara. Oleh sebab itu, pemerintah merancang dan menyusun pelbagai tipu daya untuk menyekatumat manakala umat merencanakan makar untuk mengguling pemerintah. Hal ini menyebabkan umat dalam negara tidak mempunyai harapan untuk dapat melangkah maju, walau hanya selangkah, menuju kejayaan dan kegemilangan. Hal ini juga telah menyebabkan pemerintah sibuk memfokuskan urusan menyelamatkan kerusi kekuasaannya, meskipun untuk itu mereka harus meminta dukungan dan bantuan dari negara asing, bahkan dari musuh-musuh umat sekalipun. Pertentangan ini juga mengakibatkan pemerintah tidak berupaya meningkatkan kehidupan umat, kecuali dengan selubung kemunafikan. Pemerintah justeru menggunakan segala macam cara untuk memastikan umat tetap berada dalam kubang kejumudan dan dalam keadaan lemah, agar umat tetap berada di bawah kawalan negara.

Keadaan ini terjadi akibat kejahatan, kezaliman dan pengkhianatan pemerintah terhadap umat dan sikap umat yang mengabaikan kewajipannya dalam memuhasabah pemerintah dan kurangnya kesedaran umat bahawa dirinya adalah sumber kekuasaan. Apabila umat menyedari bahawa dirinya merupakan sumber kekuasaan serta melaksanakan kewajipannya dalam memuhasabah pemerintah, maka seorang pemimpin (yang dianggap sebagai musuh dan pengkhianat umat) tidak akan pernah dapat memimpin umat, kerana umat tidak akan membenarkan hal ini terjadi.  Rentetan itu, tidak akan berlaku pemisahan antara umat dan negara yang menyebabkan umat berada dalam keadaan yang lemah, terpecah-belah dan terkebelakang. Dengan kesedaran ini, umat juga tidak akan membenarkan pengaruh puak kuffar terus membelenggu negara. 

Oleh sebab itu, agar umat menjadi satu kesatuan dengan negaranya dan memiliki kedudukan yang sama dengan pemerintahnya, umat mestilah senantiasa memuhasabah pemerintah, menyampaikan kebenaran, berusaha keras serta bertekad untuk mengubah situasi pemerintah. Bila umat tidak berupaya berbuat demikian, maka tidak diragukan lagi bahawa kehidupan umat akan semakin terhimpit sebagaimana yang kita alami sekarang dan boleh sampai pada kehancurannya. Islam memerintahkan umatnya memuhasabah pemerintah dan menyampaikan kebenaran kepadanya, di mana pun mereka berada, tanpa rasa takut berhadapan dengan celaan dari siapa pun, hanya kerana Allah SWT. Pada bai’ahaqabah kedua, kaum Muslimin berbaiat kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan kebenaran. Dalam nas bai’ah tersebut, kaum Muslimin menyatakan, 

“Dan hendaklah kami menyampaikan kebenaran di mana pun kami berada, tidak takut kerana Allah, celaan orang-orang yang mencela” [HR Bukhari dan Muslim]. 

Memuhasabah pemerintah, yakni dengan menyerukan kebaikan (ma’ruf) dan melarang keburukan (munkar), merupakan sebahagian dari perintah Allah SWT sebagaimana tersurat dalam Al-Quran. Di dalam hadis, Atiyyah meriwayatkan dari Abu Said ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

“Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kebenaran (al-haq) kepada pemimpin yang zalim” [HR Abu Daud]. 

Hadis ini merupakan dalil yang mewajibkan kaum Muslimin menyampaikan kebenaran kepada para pemimpin dan kena sentiasa mengawasi perjalanan pemerintahan agar sesuai dengan hukum syarak. Lebih jauh lagi, Rasulullah SAW mendorong umat Islam untuk berjuang melawan pemerintah yang zalim, tanpa memikirkan akibat atau bahaya yang timbul, meskipun sampai mengakibatkan kematian. Rasulullah SAW bersabda, 

“Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan (setara dengannya) orang-orang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, memerintahkannya (kepada yang ma’ruf) dan melarangnya (dari yang munkar) dan ia (penguasa tersebut) membunuhnya” [HR Hakim].

Berjuang melawan penindasan para penguasa masa kini dan memuhasabah segala tindakan mereka, pengkhianatan mereka dan konspirasi mereka menentang umat Islam, merupakan kewajiban dari Allah SWT ke atas setiap individu Muslim. Melaksanakan kewajiban ini pula bererti menyingkirkan penghalang hubungan antara umat dan negara. Hal inilah yang akan menjadikan umat dan negara sebagai satu kesatuan serta menjamin terjadinya perubahan situasi pemerintahan dan perubahan kepimpinan tatkala diperlukan. Perjuangan ini merupakan langkah pertama menuju kebangkitan umat. Kebangkitan (nahdhah) yang didasarkan kepada akidah Islamiyyah demi menegakkan pemerintahan Islam hanya boleh direalisasikan dengan perjuangan (kifah) dengan jalan yang benar dan usaha tanpa lelah dalam memuhasabah para pemerintah.

Guling Yang Tiada Gunanya

Sebelum melakukan sesuatu, umat Islam seharusnya mengetahui realiti serta hukum syarak di dalam perkara tersebut terlebih dahulu. Hal ini akan membuatkan seseorang Muslim berfikir dan bertindak dengan benar (haq). Dari segi realiti, memang sudah lama kita dizalimi dan terus dizalimi dari masa ke semasa. Kenaikan mendadak beberapa barangan dan perkhidmatan sejak akhir-akhir ini adalah sebuah kezaliman nyata yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat. Oleh itu, memang wajar jika rakyat bangkit membantah. Namun, jika kebangkitan itu tidak disertai dengan Islam, maka kebangkitan itu akan menjadi sia-sia. 

Tindakan mahu mengguling kerajaan (jika benar ada) merupakan manifestasi kebencian rakyat terhadap kerajaan yang sudah tidak dapat dibendung lagi. Di sinilah perlunya seseorang Muslim itu berfikir berdasarkan akidah Islam yang dimilikinya. Sayang dan benci hendaklah dilakukan kerana Allah dan bukannya mengikut perasaan semata-mata. ‘Perasaan’ hendaklah disalurkan mengikut peraturan yang Allah tetapkan agar kita tidak tergelincir dari landasan yang benar. Sekiranya usaha menggulingkan kerajaan ini (jika ada) ternyata membuahkan hasil, lalu kerajaan berjaya digulingkan, maka dari segi perasaan, tentunya kita akan merasa puas. Namun, persoalannya, apakah pemerintahan baru yang akan naik setelah itu merupakan sebuah pemerintahan Islam atau tetap pemerintahan sekular? Jika yang akan naik nanti adalah sebuah pemerintahan sekular, maka tidak ada bezanya sama sekali! Dengan kata lain, jika wajah pemimpin berjaya ditukar, namun sistemnya tetap sama, maka tidak ada gunanya. Sebuah bas yang sudah usang, buruk dan rosak, jika ditukar pandu oleh seorang pemandu yang hebat sekalipun, ia tetaplah sebuah bas yang usang, buruk dan rosak yang mana keselamatan penumpang di dalamnya sudah tentu tidak akan terjamin!

Justeru, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menukar sistem. Sistem demokrasi yang rosak lagi kufur ini wajib ditukar. Sudah lama kita diperintah dengan sistem demokrasi yang berasal dari ideologi kapitalisme yang rosak lagi kufur yang berasal dari Barat ini. Dalam sistem demokrasi, kedaulatan berada di tangan manusia di mana manusia diberi hak untuk membuat hukum (undang-undang) semahunya. Di sinilah akar dan punca kepada masalah yakni apabila manusia membuat hukum sendiri dan mencampakkan hukum Allah di dalam pemerintahan, sesuai dengan ajaran demokrasi. Pemerintah yang berkuasa lalu menetapkan apa yang halal dan apa yang haram untuk rakyatnya, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh rakyat, mengenakan pelbagai jenis cukai dan bayaran, menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati dan banyak lagi kezaliman lain yang dilakukannya mengikut hawanya dengan membelakangkan syariat Allah. Semua ini boleh dilakukan oleh pemerintah kerana dibenarkan oleh demokrasi! Oleh yang demikian, siapa sekalipun yang menjadi pemimpin di dalam sistem ini, ia tetap akan menghasilkan kerosakan dan kezaliman. 

Cara Benar Menukar Pemerintahan

Dari satu sudut, kita sememangnya sudah tidak tahan lagi dengan kezaliman pemerintah dan pemerintahan yang ada pada hari ini. Namun, sebagai Muslim, kita hendaklah berusaha menukar pemerintah dan pemerintahan yang ada ini, dengan thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bukannya mengikut akal dan perasaan kita. Menukar pemerintah dengan cara demokrasi, kekerasan mahupun cara jalanan (people’s power), bukanlah cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Demonstrasi aman (masirah), sebesar mana sekalipun, boleh sahaja diadakan bagi menyatakan bantahan kita terhadap pemerintah, tetapi bukanlah jalan yang syari’e untuk menukar pemerintahan. Masirah hanyalah satu uslub dalam melakukan muhasabah terhadap pemerintah, yang dibenarkan oleh Islam. 

Namun, perlu diingat bahawa “muhasabah” itu sendiri bermaksud menegur atau mengkritik pemerintah dalam konteks amar ma’ruf nahi munkar, sesuai dengan apa yang dituntut oleh Islam, bukannya sesuai dengan apa yang dituntut oleh demokrasi. Muhasabah dilakukan atas alasan kerajaan tidak mengikut Islam dan kita menegur kerajaan agar kembali kepada Islam. Tidak dikatakan muhasabah sekiranya menegur atau mengkritik kerajaan dalam konteks demokrasi, yakni mengkritik kerajaan kerana telah menyimpang dari demokrasi dan menuntut kerajaan kembali melaksanakan demokrasi sebaiknya! Menyeru kepada demokrasi bukan amar ma’ruf nahi munkar, tetapi amar munkar nahi ma’ruf namanya!

Untuk menukar sesebuah pemerintahan, ia hendaklah dilakukan dengan jalan thalab an-nusrah (mencari pertolongan) dari ahlu al-quwwah (golongan yang mempunyai kekuatan kekuasaan), sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dengan mendapatkan nusrah dari kaum Aus dan Khazraj (Ansar) yang merupakan ahlu al-quwwah pada waktu itu. Pemerintahan yang diperolehi oleh Rasulullah dari kaum Ansar itu adalah secara sukarela dan bukannya secara paksaan/rampasan, melalui proses bai’ah. Inilah jalan yang benar di dalam merubah atau menukar sesuatu pemerintahan yakni dengan jalan thalab an-nusrah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah adalah teladan kita di dalam segala aspek, bukan sahaja aspek ibadat, muamalat mahupun uqubat, malah termasuklah aspek/cara untuk menukar pemerintahan, wajib bagi kita meneladani Rasulullah SAW. Rasulullah-lah satu-satunya teladan yang wajib diikuti dan dijadikan ikon di dalam melakukan perubahan, bukannya dengan menjadikan Lord Reid, Che Guevara, Nelson Mandela, Guy Fawkes, topeng ‘Vendetta’ dan lain-lain sebagai ikutan atau ikon!

Khatimah

Dengan desas-desus usaha menggulingkan kerajaan yang tersebar luas, walaupun ternyata tidak berlaku, kerajaan seharusnya membuka mata akan hal tersebut. Berhimpunnya rakyat dalam jumlah belasan atau puluhan ribu bukanlah suatu hal yang boleh dipandang sebelah mata oleh kerajaan. Ada mesej yang ingin disampaikan oleh rakyat…. Sebagai pemimpin yang mendakwa mendengar denyut nadi setiap rakyat, nah, sekarang dengarlah dan lihatlah wahai para pemimpin! Rakyat sudah begitu benci dan muak dengan kezaliman dan pengkhianatan yang kamu lakukan. Rakyat mahukan perubahan dan kebaikan untuk negara ini dan demi sesungguhnya tidak akan ada kebaikan untuk negara ini kecuali dengan Islam. Maka, terapkanlah Islam, nescaya kamu akan selamat!!! Jika tidak, Allah SWT adalah Zat Yang Maha Berkuasa ‘menggulingkan’ kamu dalam sekelip mata sahaja, sebagaimana Allah telah merentap pemerintahan penguasa-penguasa Arab yang zalim. Pada hari Allah membolak-balikkan kerajaan kamu, tidak ada siapa lagi yang dapat menyelamatkan kamu dariNya. Maka sedarlah sebelum terlewat, bertaubatlah sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment