Sunday 30 March 2014

Banjir

POLISI KHILAFAH MENANGANI BANJIR
 
[SN373] Banjir yang melanda Terengganu dan Pahang dikatakan yang terbesar setakat ini kerana melibatkan banyak kawasan. Anggaran kerugian secara rasmi masih tidak diketahui tetapi apa yang pasti ia melibatkan banyak kerugian khususnya kepada penduduk di Kemaman dan Kuantan yang terjejas teruk. Apa yang lebih menyedihkan ialah bantuan dari pihak berwajib yang lambat tiba. Di saat rakyat sedang bergelut dengan nyawa dan harta benda, para pemimpin kerajaan ketika itu sedang bersidang dengan penuh kemewahan. Mujurlah ramai insan dan kumpulan yang prihatin datang menghulurkan bantuan. 

Sesungguhnya kelalaian kerajaan dalam hal ini adalah suatu yang tidak boleh diterima, memandangkan banjir di musim ini bukanlah suatu yang baru. Umum mengetahui bahawa negeri-negeri di pantai timur sering dilanda banjir di musim tengkujuh dan hal ini terjadi hampir setiap tahun sejak puluhan tahun yang lalu. Malah beberapa tahun kebelakangan ini, negeri-negeri di selatan tanah air juga tidak terkecuali mengalami banjir yang besar. 

Jadi, sesungguhnya tidak ada alasan kenapa kerajaan lewat dalam hal ini. Persoalannya adalah sikap keprihatinan, kebertanggungjawaban dan persediaan yang tidak ada pada pemerintah hari ini!!! Jika bantuan dihulur sekalipun, berapa ramai dari kalangan pemimpin yang “meletak syarat” awal yakni perlu adanya sekumpulan wartawan yang hadir, perlu ada majlis rasmi untuk pelepasan bantuan, perlu adanya liputan besar-besaran di dalam televisyen, radio dan akhbar-akhbar dan antara yang penting, setelah semua ini dilakukan, rakyat akan diminta berterima kasih atas segala bantuan yang telah kerajaan hulurkan!

Bagaimana Negara Islam Mengatasi Banjir

Dalam sebuah Negara Islam (Khilafah Islamiyyah) yang memang tanggungjawabnya adalah memelihara urusan rakyat, maka sudah tentu aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan dijaga dengan sebaik-baiknya dan dilakukan bersesuaian dengan hukum syarak. Banjir adalah antara musibah yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh Khilafah dengan serius kerana ia melibatkan bukan sahaja kerugian dan kemusnahan harta benda yang banyak, malah turut melibatkan keselamatan nyawa rakyat khususnya mereka yang secara langsung ditimpa musibah  tersebut. Oleh yang demikian, untuk mengatasi masalah banjir ini, Khilafah Islamiyyah tentu sahaja perlu sentiasa bersedia dan memiliki polisi yang menyeluruh dan efisien. Persediaan dan polisi tersebut hendaklah mencakup sebelum, ketika dan selepas banjir. Aspek pencegahan adalah antara langkah awal yang penting yang akan diperhatikan oleh Khilafah. Antara langkah-langkah yang perlu diambil oleh Khilafah bagi mengatasi masalah banjir ini secara menyeluruh dan efisien adalah:-

Pertama;Di dalam kes-kes banjir yang disebabkan oleh keterbatasan daya tampung tanah terhadap limpahan air, baik akibat hujan, limpahan air sungai, limpahan air laut pasang, glasierdan sebagainya, maka Khilafah akan menempuh usaha-usaha berikut:-

(i)    Membina empangan-empangan yang mampu menampung limpahan air sama ada dari aliran sungai, hujan dan seumpamanya. Di zaman keemasan Islam, pelbagai jenis empangan  telah di bina untuk mencegah banjir mahupun untuk keperluan pengairan. Di Wilayah Khuzestan (selatan Iran) misalnya, masih berdiri dengan kukuh beberapa empangan dan terusan yang di bina untuk kepentingan pengairan dan pencegahan banjir. Empangan-empangan tersebut di antaranya adalah Empangan Shadravan, Terusan Darian, Empangan Jareh, Terusan Gargar dan Empangan Mizan. Manakala berhampiran Kota Madinahal-Munawarah, terdapat empangan yang bernama Qusaybah. Empangan ini memiliki kedalaman 30 meter dan panjang 205 meter yang di bina antaranya untuk mengatasi banjir di Kota Madinah.

Di masa keKhilafahan Abbasiyyah, di bina beberapa empangan di kota Baghdad, Iraq yang terletak di kawasan sungai Tigris. Pada abad ke-13 Masihi, di Iran,di bina empangan Kebar yang hingga kini masih boleh disaksikan. Di wilayah Afghanistan, hingga kini masih kekal tiga buah empangan yang di bina oleh Sultan Mahmud Ghaznah (998-1030 Masihi). Salah satu di antara tiga empangan itu dinamakan Empangan Mahmud, dengan ketinggian 32 meter dan panjang 220 meter. Empangan ini terletak 100 km dari Kabul.

Model empangan yang di bina oleh jurutera Muslim pun beragam bentuknya. Kecanggihan reka ciptanya menyebabkan ada di antara empangan moden meniru model empangan-empangan tersebut. Empangan dengan model bridge dam (empangan jambatan) dapat dilihat di daerah Dezful, Iran. Bridge dam digunakan untuk menggerakkan roda air yang berjalan selari dengan mekanisme peningkatan air. Empangan jambatan Dezful mampu membekalkan 50 meter padu air untuk kepentingan penduduk Dezful. Empangan seperti ini juga di bina di kota-kota Islam lainnya. Manakala empangan pengubah laluanair (diversion dam) juga berhasil di bina oleh para sarjana Muslim. Empangan ini berfungsi untuk mengatur atau mengalihkan aliran air. Empangan pengubah laluan air pertama kali di bina di sungai Uzaym, di Jabal Hamrin, Iraq.  Setelah itu, empangan model ini di bina di daerah-daerah lain di Negara Islam pada waktu itu. 

Pada tahun 970 Masihi, orang-orang Yemen berhasil mendirikan empangan Parada dekat Madrid, Sepanyol. Hingga kini, empangan-empangan yang di bina pada masa keemasan keKhilafahan Islam ini masih boleh dijumpai di Kota Cordoba. Di antara empangan masyhur di Cordoba adalah empangan Guadalviqir yang direka oleh al-Idrisi yang boleh dilihat hingga sekarang. Di Sepanyol, kaum Muslimin juga berhasil mendirikan empangan di sungai Turia, yang mana kehebatan pembinaannya mampu membuat empangan ini bertahan hingga kini. Empangan ini mampu memenuhi keperluan pengairan di Valencia, Sepanyol tanpa memerlukan penambahan sistem.

Pada tahun 370 H/960 M, Buwayyah Amir Adud al-Daulah membuat empangan hidraulik raksasa di sungai Kur, Iran.Para jurutera yang bekerja waktu itu telah menutup sungai antara Shiraz dan Istakhir dengan tembok besar (empangan) sehingga membentuk danau raksasa. Di kedua sisi danau itu di bina 10 noria (mesin kincir yang di sisinya terdapat timba yang boleh menaikkan air). Dan setiap noria terdapat sebuah alat pengisar. Dari empangan itu, air dialirkan melalui terusan-terusan dan mengairi sebanyak 300 desa. Di daerah sekitar 100 km dari kota Qayrawan, Tunisia, di bina dua takungan yang menampung air dari wadi Mari al-Lil. Takungan kecil berfungsi sebagai tangki penunjang serta tempat pengenapan lumpur.Manakala takungan besar mempunyai 48 sisi dengan konkrit penyangga bulat di setiap sudutnya berdiameter 130 meter dengan kedalaman 8 meter.

(ii)    Khilafah akan mengenal pasti semua kawasan rendah yang sering dinaiki air (termasuk kawasan yang mengalami banjir akibat laut pasang) dan seterusnya membuat polisi melarang masyarakat mendirikan pemukiman di kawasan-kawasan tersebut. Jika dana dari Baitul Mal mencukupi, Khilafah boleh membina terusan-terusan atau sistem perparitan baru agar air yang menaiki atau bertakung di kawasan-kawasan tersebut boleh dialihkan sepenuhnya. Dengan cara ini, maka masyarakat dapat terhindar dari tinggal di tempat-tempat yang rendah dan tempat-tempat tersebut dapat terhindar dari dinaiki atau ditakungi air.Adapun bagi kawasan-kawasan pemukiman yang pada awalnya selamat dari banjir atau dari air yang bertakung, namun oleh kerana sebab-sebab tertentu,dinaiki dan ditakungi air, maka Khilafah berusaha semaksimum mungkin untuk menangani masalah tersebut. Di sinilah perlunya Khilafah mengatur proses perpindahan penduduk dengan cepat dan efisien dengan menyediakan segala sarana dan prasarana yang mencukupi. 

(iii)    Khilafah akan membina terusan, sungai buatan, parit dan seumpamanya untuk mengurangi dan memecahkan jumlah dan aliran air yang berpotensi menumpuk di sesuatu kawasan, khususnya kawasan-kawasan yang rendah dan aliran ini boleh dialihkan ke kawasan yang lebih selamat dan sesuai. Tumpuan hendaklah dilakukan di kawasan yang sering dinaiki air atau dilanda banjir. Secara berkala, Khilafah akan membersihkan sungai-sungai, terusan dan parit-parit tersebut dari sebarang kotoran atau lumpur atau apa jua benda yang boleh menyebabkan kelodak atau menghalang lajunya aliran air. Tidak hanya itu, Khilafah juga akan melakukan penjagaan (maintenance) yang sangat rapi dan pemantauan yang ketat bagi memastikan kebersihan parit, sungai, danau dan terusan dan uqubat (hukuman) akan dikenakan bagi sesiapa sahaja yang mengotori atau mencemari parit, sungai, terusan atau danau tersebut.

(iv)    Khilafah akan membina perigi-perigi di kawasan-kawasan tertentu yang boleh membantu mengumpulkan air. Perigi-perigi ini, selain berfungsi untuk mengumpul air, juga digunakan sebagai tempat bekalan air yang senantiasa boleh digunakan oleh penduduk setempat, apatah lagi jika berlaku musim kemarau.

Kedua; Dalam aspek undang-undang dan dasar/polisi, Khilafah akan menggariskan beberapa hal penting seperti berikut:-

(i)     Khilafah membuat dasar berupa master plan di mana dalam dasar ini ditetapkan bahawa pembukaan mana-mana pemukiman atau kawasan baru, bukan sahaja tidak boleh dilakukan di tempat-tempat yang rendah, malah hendaklah menyediakan pemboleh ubah saliran, kawasan serapan air, penggunaan tanah berdasarkan karakteristik dan topografi dan lain-lain keperluan yang boleh mengelak banjir dan bencana alam yang lain. Dengan polisi ini, Khilafah mampu mencegah kemungkinan terjadinya banjir atau air bertakung di sesuatu kawasan.

(ii)    Khilafah akan mengeluarkan syarat-syarat tentang kelulusan mendirikan sesebuah bangunan berdasarkan ciri-ciri keselamatan, bukan sahaja terhadap bangunan tersebut, tetapi kawasan sekitarnya. Dalam konteks ini, Khilafah akan mengimplementasikan kaedahfiqhadh-dhararuyuzaalu (bahaya itu hendaklah dihilangkan). Jika seseorang hendak mendirikan sebuah bangunan, baik rumah, kedai, kilang dan sebagainya, maka ia mestilah mematuhi aspek ini. Bagaimanapun, dasar ini bukanlah menyusahkan rakyat yang hendak mendirikan sebuah bangunan kerana sistem pentadbiran di dalam Islam itu bersifat sederhana (tidak menyulitkan) di dalam birokrasinya. Tidak ada apa-apa bayaran yang akan dikenakan untuk mendapatkan kelulusan. Namun begitu, jika pembinaan bangunan itu, walaupun di kawasan milik peribadi seseorang, jika ia boleh mendatangkan bahaya (mudharat) sama ada kepadanya atau kepada orang lain atau kepada persekitaran, maka Khilafah berhak untuk tidak mengizinkan pembinaan bangunan tersebut. Khilafah juga akan mengenakan hukuman ke atas sesiapa sahaja yang melanggar polisi tersebut.

(iii)    Khilafah membentuk badan khusus yang menangani bencana-bencana alam yang dilengkapi dengan para petugas dan peralatan yang secukupnya, tempat perpindahan, ubat-ubatan dan segala keperluan yang diperlukan untuk menghadapi bencana. Selain dilengkapi dengan peralatan yang sesuai dan mencukupi, petugas-petugas lapangan juga dilengkapi dengan pengetahuan dan latihan secukupnya tentang pertolongan cemas SAR (search dan rescue). Pendek kata, pasukan ini mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi bencana alam. Mereka juga adalah orang yang sentiasa siap sedia setiap saat dan telah dilatih untuk bergerak cepat ketika ada bencana atau musibah.

(iii)    Khilafah menetapkan kawasan-kawasan tertentu sebagai kawasan rezab yang mesti dilindungi seperti kawasan hutan simpan dan hubyang tidak boleh dimanfaatkan kecuali dengan izin dari negara. Hal ini akan dapat memastikan tidak berlakunya penebangan hutan secara haram atau di luar kawalan yang berakibat kepada penggondolan atau hakisan tanah dan lain-lain yang berimpak negatif yang boleh menyumbang kepada berlakunya bencana alam. Khilafah menetapkan uqubat yang berat kepada sesiapa sahaja yang melanggar ketetapan ini tanpa pilih kasih.

(iv)    Khilafah terus menerus mendakwahkan atau melakukan kempen mengenai peri pentingnya menjaga kestabilan ekosistem dan kebersihan alam sekitar dan lingkungan, serta kewajiban memelihara ekosistem dari sebarang kerosakan. Hal ini didasarkan kepada ketetapan syariat mengenai tuntutan hidup bersih dan haramnya membuat kerosakan di muka bumi. Khilafah juga mendorong kaum Muslimin untuk menghidupkan tanah-tanah yang mati (ihyaa’ al-mawaat) atau yang kurang produktif, sehingga boleh menjadi buffer zone yang kukuh.

Ketiga; Setelah diambil kesemua langkah-langkah pencegahan serta peraturan dan polisi yang ditetapkan berjalan dengan baik, sekiranya berlaku juga banjir, maka dengan persediaan yang telah cukup lengkap, Khilafah akan segera bertindak menghadapi suasana dan bencana ini dengan sebaiknya. Para petugas akan terus dikerahkan. Dengan kesedaran Islam yang tinggi, mereka akan bergerak, malah seluruh warga yang dekat dengan kawasan bencana juga akan turut membantu. Khilafah menyediakan tempat-tempat perpindahan yang mencukupi, lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan. Tempat menginap sementara ini, yang telah pun disediakan sejak awal, dilengkapi dengan makanan dan minuman, pakaian, selimut, ubat-ubatan dan sebagainya. Tempat ini juga disediakan dengan seselesa yang mungkin dengan adanya pemisahan antara keluarga, kaum lelaki dan wanita, agar aurat dapat terjaga dan tidak terjadinya ikhtilat (percampuran antara lelaki-perempuan yang diharamkan oleh Islam). Selain itu, Khalifah juga boleh mengirim para ulama untuk memberikan tausiyyah bagi mangsa bencana, agar mereka bersabar dengan qadha’ Allah serta mengambil pelajaran dari musibah yang berlaku, sekaligus menguatkan keimanan mereka kepada Allah SWT.

Keempat; Selepas banjir, Khilafah akan membaik pulih dan membayar ganti rugi atas segala kerosakan, secepatnya, baik kerosakan itu terdiri dari harta benda awam mahupun harta benda individu yang telah menjadi mangsa banjir. Khilafah akan mengeluarkan wang/harta dari Diwanal-Thawari’(Bahagian Darurat Atau Bencana Alam) yang terdapat di dalam Baitul Mal. Dalam keadaan di mana tidak terdapat wang/harta dalam Diwan tersebut, maka keperluannya akan dibiayai dari wang/harta kaum Muslimin, sama ada dari sumbangan sukarela atau dharibah. Perlu difahami bahawa semua itu dilakukan oleh Khalifah atas dasar tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang merupakan pemelihara rakyat, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW, “Pemimpin itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas pemeliharaan (rakyat)nya” [MutafaqAlaih] dan bukannya dilakukan atas tujuan untuk mendapat publisiti, meraih political mileage, untuk mendapat undidan sebagainya sebagaimana pemimpin dalam negara demokrasi sekular pada hari ini.

Khatimah

Inilah gambaran polisi Khilafah Islamiyyah di dalam mengatasi dan menangani masalah banjir. Apa yang penting, polisi-polisi ini bukan sahaja didasarkan pada pertimbangan-pertimbangan praktikal dan rasional, tetapi dilatarbelakangi oleh nas-nas syariat. Dengan polisi ini, Insya Allah, masalah banjir dapat ditangani secara menyeluruh dan tuntas. Apa yang lebih penting ialah untuk kita sama-sama berusaha menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah agar segala hukum Allah dapat diterapkan di muka bumi ini dan kita akan mempunyai seorang Khalifah yang bertakwa kepada Allah dan akan menjaga kita semua dari segala musibah. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment