Sunday 21 September 2014

Jihad dan Khilafah

PENYELESAIAN PALESTIN: JIHAD DAN KHILAFAH!!!

[SN394] Sudah lebih sebulan sejak entiti haram Yahudi melancarkan serangan tak berperi kemanusiaannya ke atas Gaza, Palestin. Angka kematian telah mencecah hampir 2000 orang manakala hampir 10,000 yang lain cedera. Kaum terlaknat itu seperti biasa, langsung tidak mempedulikan dan tidak menghormati bulan puasa mahupun raya, mereka juga langsung tidak mengendahkan kecaman dan kutukan antarabangsa ke atasnya, malah dengan penuh kesombongan, mereka berikrar untuk terus membedil Gaza dan melakukan kemusnahan secara besar-besaran. Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, pemimpin dan umat Islam di seluruh dunia yang sedang memerhatikan masalah Palestin, membincang dan mengambil pelbagai langkah penyelesaian. Sudah sewajarnya bagi kita umat Islam memerhatikan hal ini dengan mendalam kerana masalah Palestin adalah masalah umat Islam, bukannya masalah orang Arab atau masalah rantau Arab semata-mata. Namun apa yang tambah menyedihkan adalah penyelesaian yang sering diperkata atau diambil oleh umat Islam adalah penyelesaian berulang yang hakikatnya tidak pernah menyelesaikan, baik di peringkat nasional mahupun internasional. Antaranya adalah:-

Perjanjian dan rundingan dengan Israel: Sudah berapa banyak rundingan dan perjanjian damai dengan Israel cuba dilakukan oleh pemimpin Palestin sendiri mahupun dari luar Palestin. Penyelesaian dua-negara (two-state solution) adalah antara yang paling masyhur dan paling banyak diusahakan. Seawal 1978 di mana Perjanjian Camp David telah dimeterai antara Anwar Sadat (Presiden Mesir) dan Menachem Begin (Perdana Menteri Israel) dengan Jimmy Carter (Presiden AS) sebagai orang tengah, bagi memberi hak kepada Yahudi untuk menduduki Palestin. Manakala pada 1993 pula, Perjanjian Oslo ditandatangani antara Yasser Arafat (Pengerusi PLO) dan Yitzhak Rabin (Perdana Menteri Israel) dengan Bill Clinton (Presiden AS) sebagai orang tengah, bagi mengukuhkan lagi pendudukan Yahudi di tanah Palestin. Selepas itu hingga kini, sudah tidak terkira pengkhianatan demi pengkhianatan yang dilakukan oleh, sama ada pemimpin Palestin sendiri mahupun pemimpin Arab yang lain melalui kesepakatan dengan Yahudi dan Amerika dalam rangka menyerahkan tanah Palestin yang diberkati itu kepada kaum terlaknat itu.

Malangnya, berapa ramai dari pemimpin Islam, ulama dan umat Islam yang terus menyokong perjanjian khianat ini. Walhal hakikatnya, dari segi fakta, segala perjanjian ini tidak pernah menyelesaikan masalah Palestin, malah keadaan sering bertambah buruk dengan Israel yang selalu mencabuli perjanjian. Anehnya, walau sudah banyak kali terhantuk, namun para pemimpin Muslim ini tetap sahaja ingin menjalin hubungan dengan Israel dengan meneruskan perjanjian dan mengharapkan hasil yang baik dari perjanjian-perjanjian haram ini. Allah SWT berfirman, 

“Sesungguhnya Allah melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu, orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ Mumtahanah (60):9]

Mengharap bantuan Amerika dan PBB: Sering kali apabila melibatkan isu global umat Islam, maka Amerika dan PBB menjadi tempat menagih simpati, rayuan dan bantuan oleh pemimpin Muslim dan segelintir umat Islam. Pelik bin ajaib. Bagaimana mereka boleh tidak nampak bahawa Amerika dan PBB adalah musuh Islam dan umat Islam. Amerika adalah negara kafir harbi yang sedang memerangi umat Islam, baik secara langsung seperti di Afghanistan, Iraq dan Pakistan mahupun secara tak langsung seperti di Palestin. PBB pula adalah organisasi kufur yang di dominasi oleh Amerika dan kuasa kufur lainnya. PBB-lah yang melahirkan entiti haram Yahudi dan memastikan ia terus wujud hingga sekarang. Malah, sejak lebih enam dekad berlangsungnya krisis antara Palestin dan entiti Yahudi itu, sebanyak 87 resolusi dan perjanjian anjuran PBB untuk ‘menyelesaikan’ konflik dikeluarkan. Daripada jumlah tersebut, lebih 60 resolusi dan perjanjian dikenakan veto oleh Amerika Syarikat  kerana lebih berpihak kepada Palestin! 

Dari segi realiti sekalipun, sesungguhnya Amerika dan PBB tidak pernah dapat menyelesaikan masalah Palestin, malah sering memburukkan lagi masalah. Manakala dari segi hukum, Islam mengharamkan umatnya meminta bantuan dari organisasi/negara kufur. Firman Allah SWT, 

“Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan jalan (mengharamkan) orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman” [TMQ an-Nisa’ (4):141]. 

FirmanNya yang lain, 

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113].

Mengharap bantuan OIC: Ada sebahagian umat Islam yang sedar dan sudah tidak mengharapkan lagi bantuan Amerika dan PBB, lalu mereka beralih mengharapkan bantuan OIC. OIC yang merupakan himpunan lebih 50 buah negeri kaum Muslimin diharap dapat menyelesaikan masalah Palestin dengan ‘kekuatan’ yang mereka miliki. Namun hakikatnya jauh panggang dari api. OIC ternyata ‘kuat’ dalam melakukan persidangan demi persidangan. Setiap kali Gaza di serang, OIC akan bersidang dengan gahnya, lalu mengeluarkan kecaman dan kutukan. Itulah kekuatan mereka, hanya handal bersidang dan mengeluarkan kenyataan. Tidak lebih dari itu! Jika dulu orang menyifatkan OIC sebagai Oh I see…dengan apa yang terjadi ke atas umat Islam, sekarang ia sudah bertukar kepada Oh I don’t see..! Inilah realiti OIC sejak awal penubuhannya hingga ke hari ini yang terbukti hanya sebagai NATO (no action talk only)! Sesungguhnya OIC tidak lebih dari sebuah organisasi yang penuh pembohongan dan pengkhianatan ke atas umat Islam!

Boikot: Di antara penyelesaian yang famous dan bersifat sesaat yang sering dilaungkan ialah boikot. Setiap kali Palestin diserang, setiap kali itulah para ulama dan segelintir umat Islam menyeru agar memboikot barangan buatan Yahudi dan Amerika, malah ada sampai ke tahap mengharamkan produk kedua-duanya. Namun, seruan untuk memboikot ini hanya ‘panas’ ketika berlakunya serangan, itu pun hanya ke atas beberapa barangan terpilih sahaja, khususnya makanan. Sedangkan berapa banyak lagi barangan buatan Yahudi dan Amerika yang berlambak di pasaran seperti barangan elektronik, kenderaan, peralatan industri dan banyak lagi yang tidak sedikit pun diboikot. Akhirnya, ia hanyalah menjadi ‘penyelesaian’ emosi yang tidak ke mana. Yahudi tetap terus menyerang Palestin dan AS tetap terus membantu sekutunya itu tanpa terjejas dengan tindakan boikot sedikit pun. Malah segala dana dan peralatan perang mereka semakin bertambah dan semakin canggih dari masa ke semasa.

Anehnya, para ulama dan segelintir umat Islam yang memboikot barangan Yahudi dan Amerika, tidak pula memboikot produk negara lain yang juga turut membunuh umat Islam seperti Thailand. Beras, mempelam, durian, tomyam dan banyak lagi produk Thailand tidak pula diboikot, malah kesemua barangan tersebut sentiasa diguna dan dinikmati setiap masa. Begitu juga dengan China yang terkenal melakukan kekejaman ke atas umat Islam sehingga baru-baru ini tidak membenarkan umat Islam berpuasa, juga tidak diboikot produknya, sebaliknya semakin melimpah di pasaran dan banyak digunakan oleh orang Islam sendiri. Inilah masalahnya apabila penyelesaian bersifat emosi diambil, tanpa menyandarkannya kepada pemikiran yang benar, akhirnya ia hanya menjadi sebatasretorika tanpa membuahkan apa-apa hasil. Perlu difahami bahawa boikot boleh sahaja dilakukan, tetapi janganlah sampai ke tahap mengharamkan yang halal. Namun apa yang lebih penting ialah persoalan, adakah boikot boleh menyelesaikan masalah Palestin? Realitinya, tidak!

Solat hajat dan doa: Sebagai Muslim,sememangnya kita dituntut untuk berdoa kepada Allah SWT bagi meminta pertolonganNya. Namun, dalam masa yang sama kita juga dituntut untuk melakukan perbuatan (usaha/amal) untuk mencapai apa yang kita ingini, seiring dengan doa itu tadi. Tidak cukup dengan hanya berdoa, seseorang itu perlu beramal untuk mendapatkan sesuatu. Seseorang yang ingin berkahwin perlu melakukan usaha untuk mencari pasangan di samping berdoa kepada Allah untuk mendapatkannya. Seseorang yang inginkan anak perlu berusaha ke arah tersebut seiring dengan doa untuk mendapatkannya dan begitulah seterusnya. Pasangan, anak, makanan dan lain-lain tidak akan datang dengan sendirinya tanpa dilakukan usaha untuk mendapatkannya. Dengan kata lain, seseorang perlu berusaha untuk menyelesaikan masalah, bukan hanya sekadar berdoa dan bersembahyang.

Begitu jugalah dengan masalah Palestin. Realitinya, tanah Palestin dirampas oleh Yahudi dan umat Islam di Palestin dibunuh oleh Yahudi dan dihalau keluar dari tanah airnya sendiri. Apakah cukup dengan doa sahaja untuk kita menghapuskan Yahudi, mendapatkan semula tanah Palestin dan menyelamatkan saudara-saudara kita di sana? Bukalah mata hati wahai umat Muhammad…Islam mengajar kita tentang hukum sababiyyah (sebab-akibat). Untuk menghasilkan akibat, maka perlu ada sebabnya. Untuk mendapat zuriat, maka kita perlu berkahwin, untuk mendapat rezeki, maka kita perlu berusaha, untuk mengalahkan musuh, maka kita perlu berperang. Hatta Rasulullah sendiri pun berperang untuk mengalahkan musuh, walhal Rasulullah adalah kekasih Allah yang doanya akan pasti dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun, Rasulullah tetap melakukan hukum sababiyah (berperang untuk mengalahkan musuh) di samping berdoa kepada Allah SWT agar menurunkan pertolonganNya.  Inilah yang dituntut oleh Islam ke atas kita. Justeru, solat hajat dan doa boleh sahaja dilakukan, namun ia perlu diiringi dengan tindakan yang boleh menghasilkan apa yang kita doakan.

Bantuan dan misi kemanusiaan: Bantuan dan misi kemanusiaan seperti menghantar doktor,  sukarelawan, ubat-ubatan, wang, pakaian, kain selimut, makanan, bahan binaan dan lain-lain merupakan satu usaha murni bagi membantu penduduk Gaza dan Insya Allah usaha yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Namun, kembali kepada persoalan mendasar yakni apakah segala bantuan dan misi kemanusiaan ini dapat menyelesaikan masalah? Jawapannya sudah tentu tidak. Fakta berbicara dengan sendirinya bahawa sudah berapa banyak bantuan dan misi kemanusiaan yang dihantar ke Palestin, namun masalah terus berulang, malah semakin parah. Sudah tidak terkira jumlah wang, ubat-ubatan dan bahan binaan yang dihantar ke Palestin, namun Gaza terus dimusnahkan, rumah-rumah dan masjid runtuh berantakan, kematian terus meningkat dan serangan Yahudi terus meningkat. Akhirnya kitaran ini berpusing-pusing tanpa henti. Perlu difahami bahawa segala bantuan ini adalah perlu, tetapi poinnya di sini, masalah tidak juga selesai. 

Penyelesaian Tuntas

Apakah sudah tidak ada jawapan tuntas untuk menyelesaikan masalah Palestin? Apakah Allah SWT menurunkan agamaNya yang benar lagi suci ini tanpa menurunkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh penganutnya? Jika ada, apakah yang tidak kena dan di manakah silapnya sehingga masalah Palestin tidak pernah selesai sehingga kini? Sesungguhnya masalah Palestin tidak akan dapat diselesaikan selagi penyelesaian wahyu tidak diambil. Sesungguhnya masalah Palestin mestilah dilihat dari dua aspek, yakni aspek mangsa dan aspek pemangsa. Segala penyelesaian yang disebutkan di atas hanyalah melihat kepada aspek mangsa sahaja, tanpa melihat kepada aspek pemangsa. Ya benar, mangsa (warga Palestin) perlu dibantu dari segala aspek kemanusiaannya. Namun yang lebih penting dan lebih utama dalam menyelesaikan masalah ini ialah dengan melihat kepada aspek pemangsa (Yahudi). Pemangsa ini perlu, malah wajib dihapuskan. Jika tiada pemangsa, maka sudah pasti tidak akan ada mangsa. Jika sudah dihapuskan serigala, maka Insya Allah kesemua kambing akan selamat. Inilah sifirnya yang cukup mudah dan jelas. 

Maka, satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah Palestin adalah dengan menghapuskan pemangsa (entiti Yahudi) dan satu-satunya jalan untuk menghapuskan entiti Yahudi ini adalah dengan jihad fi sabilillah! Inilah penyelesaian wahyu ke atas masalah Palestin. Palestin merupakan tanah umat Islam yang dirampas oleh Yahudi. Umat Islam di Palestin adalah saudara-saudara kita yang sedang diperangi oleh Yahudi laknatullah. Maka, perang wajib dijawab dengan perang! Yahudi mesti diperangi, saudara-saudara kita mesti diselamatkan dan tanah Palestin mesti diambil kembali. Kesemua ini mesti dilakukan dengan jihad fi sabilillah! Firman Allah SWT, 

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari Akhir dan mereka yang tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan RasulNya dan mereka yang tidak beragama dengan agama yang benar (iaitu orang-orang) yang telah diberikan Kitab, hingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [TMQ at-Taubah (9):29].

Sesungguhnya banyak lagi ayat-ayat jihad yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas kaum Muslimin dalam rangka memerangi musuh-musuhNya, musuh RasulNya dan musuh kita semua. Persoalannya, ke atas siapakah taklif (bebanan hukum) untuk melakukan jihad ini? Umum sudah maklum bahawa wajib ke atas setiap Muslim untuk berjihad mempertahankan diri dan agamanya apabila ia diserang (jihad difa’i). Adapun jihad untuk memulakan/melancar serangan (jihad ibtida’i), maka taklifnya adalah terkena ke atas pemerintah (Ketua Negara). Taklif jihad ibtida’i ini tidak terkena ke atas individu mahupun pertubuhan/parti Islam. Taklif ini adalah khusus ke atas pemerintah. Hal ini berdasarkan tindakan Rasulullah (sebagai Ketua Negara) yang telah melancarkan banyak jihad dalam rangka menyahut perintah Allah SWT. Begitu juga dengan para Khulafa’ Rasyidin yang melakukan perkara yang sama. Jika pemerintah tidak melakukannya, maka ia telah melakukan dosa besar dan menjadi kewajipan pula ke atas Ketua Tentera (para panglima) untuk mengingkari pemerintah ini dan seterusnya melancarkan jihad atas kapasitinya sebagai tentera. Ini kerana tentera mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk berjihad di samping fakta dan hukum syarak bahawa tentera adalah pihak yang memang dilatih dan ditaklif untuk berjihad di jalan Allah.

Ingatlah wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya tanah Palestin yang diberkati itu telah dibuka oleh Umar al-Khattab dengan jalan jihad. Kemudian ia dibebaskan pula oleh Sallehuddin al-Ayubi juga dengan jihad. Maka untuk kita membebaskan tanah Palestin yang kita cintai ini sekali lagi, sudah pasti jihad jualah jalannya. 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Inilah satu-satunya penyelesaian wahyu yang benar dan praktikal untuk masalah Palestin. Namun malangnya, kita melihat pemerintah dan tentera tidak bergerak dan tidak melakukan apa-apa! Alangkah besarnya dosa yang mereka pikul atas kelalaian mereka ini! Justeru, wajib bagi setiap individu dan pertubuhan Islam untuk melakukan muhasabah ke atas pemerintah dan tentera dalam hal ini. Mereka wajib diingatkan akan taklif dan tanggungjawab mereka untuk berjihad di jalan Allah. Dalam masa yang sama, wajib bagi setiap individu dan pertubuhan Islam untuk berjuang menegakkan Negara Islam (Khilafah) yang mana dengan adanya Negara Khilafah, Insya Allah, Khalifah selaku Ketua Negara akan mengisytiharkan jihad, bukan sahaja ke Palestin, malah ke seluruh dunia bagi membebaskan umat Islam yang sedang ditindas, seterusnya mengalahkan musuh-musuh Islam dan sekali gus membuka (futuhat) negeri-negeri baru bagi memasukkan cahaya dan petunjuk Allah di dalamnya sehingga cahaya dan petunjuk itu terpancar menyinari setiap penjuru alam, Insya Allah.

No comments:

Post a Comment