Friday 21 June 2013

KEMUNGKARAN WAJIB DIHAPUSKAN SEPENUHNYA

KEMUNGKARAN WAJIB DIHAPUSKAN SEPENUHNYA
 
 [SN269] Minggu lepas, Kerajaan PAS Negeri Kedah melalui suara rasmi Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah mengeluarkan kenyataan larangan operasi terhadap 13 jenis pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan nanti. Ia dikeluarkan mengikut mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997. Menurut beliau larangan dan penutupan itu hanyalah merupakan pelaksanaan dan penguatkuasaan terhadap Enakmen yang telah mula diwartakan semenjak zaman pemerintahan UMNO di Kedah dan bukannya suatu perkara yang baru. Ia dilaksanakan lantaran kerajaan negeri yang memerintah sebelum ini didakwa hanya mewartakan undang-undang tetapi tidak menguatkuasakannya.

Tidak sampai dari 24 jam selepas itu, Presiden DAP, Karpal Singh dikatakan telah memberikan kata dua kepada Kerajaan Negeri Kedah supaya larangan tersebut ditarik balik. UMNO, melalui akhbar miliknya yang seolah-olah mendapat ‘peluru meriam’ dengan isu ini, tanpa berlengah terus menembak musuh politiknya bertubi-tubi yang dikatakan tunduk kepada DAP. Selain dari rakan komponen, tekanan kepada PAS juga datang dari MCA dan Gerakan Kedah yang memberi amaran kepada kerajaan negeri agar menarik balik sekatan tersebut atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Selepas tercetusnya ketegangan berhubung keputusan tersebut, Azizan kemudian bersetuju untuk mengkaji semula keputusannya lalu ‘memodifikasi’ keputusan yang telah dibuat. Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang tampil memberi kenyataan bagi pihak MB Kedah telah menjelaskan bahawa sekatan itu hanya berlaku ke atas orang Islam sahaja manakala orang bukan Islam tetap dibenarkan berbuat demikian. Hasrat sebenar perlaksanaan undang-undang itu kata Abdul Hadi, bertujuan mencegah orang bukan Islam melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan. Apa yang dilakukan oleh kerajaan PAS Kedah sekarang adalah membetulkan tindakan UMNO sebelum ini yang membenarkan orang Islam masuk ke pusat maksiat [harakahdaily].

Apa Yang Tak Kena?

Usaha kerajaan Negeri Kedah untuk menutup pusat hiburan di sepanjang bulan Ramadhan adalah suatu yang seharusnya dipuji. Namun beberapa perkara perlu diperbetulkan agar apa yang dilakukan adalah selaras dengan tuntutan syarak dan mendapat keredhaan di sisi Allah SWT:-

Pertama: Penutupan pusat hiburan yang merupakan pusat maksiat itu tidak seharusnya berlaku di bulan Ramadhan sahaja. Segala kemaksiatan adalah perkara yang wajib dibanteras pada bila-bila masa sahaja, bukan hanya di bulan Ramadhan. Pusat maksiat yang menganjurkan pesta arak, judi, joget, dedah aurat, ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan tanpa batas) dan sebagainya adalah hal-hal yang diharamkan oleh syarak secara mutlak, tanpa dimuqayyadkan (dibataskan) kepada bulan Ramadhan atau bulan-bulan tertentu sahaja. Memuqayyadkan pembenterasan maksiat hanya di bulan Ramadhan merupakan suatu pelanggaran yang nyata terhadap perintah Allah SWT. Benar, bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia, namun kita perlu ingat bahawa setiap hukum Allah adalah hukum yang mulia yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim pada setiap masa, bukan hanya di bulan Ramadhan sahaja. Kemaksiatan adalah perkara mungkar yang wajib dibanteras pada setiap masa, bukannya perkara yang boleh di‘play-pause’kan mengikut kesukaan kita pada masa-masa tertentu. 

Kedua: Pusat maksiat wajib ditutup bukan hanya untuk mengelak umat Islam dari mengunjunginya, tetapi ia wajib ditutup (malah dihapuskan sama sekali) kepada semua orang, termasuklah non-Muslim. Dalam hal ini, kita hendaklah faham bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang negara. Undang-undang Islam itu wajib dilaksanakan ke atas seluruh warganegara baik Muslim mahupun non-Muslim. Di dalam sebuah Negara Islam, non-Muslim hanya dibenarkan untuk melaksanakan ajaran agama mereka dalam hal akidah, ibadat, pakaian, makanan dan nikah-kahwin. Itupun setakat mana yang dibenarkan oleh syarak seperti mereka tidak boleh membina rumat ibadat secara besar-besaran dan menzahirkannya di tengah-tengah masyarakat. Mereka juga tidak dibenarkan berpakaian tidak senonoh di tempat awam (walaupun agama mereka membenarkan) atau membuka kedai arak atau mabuk di tengah-tengah masyarakat. 

Dari segi penerapan, seluruh hukum Islam wajib diterapkan ke atas seluruh rakyat yang sekaligus bermaksud orang-orang kafir wajib tunduk kepada undang-undang Islam yang merupakan undang-undang Negara. Firman Allah SWT, 

“Dan hukumilah di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka” [TMQ an-Nisa’ (4):48]. 

FirmanNya yang lain, 

“Sesungguhnya telah Kami turunkan Al-Kitab (Al-Quran) kepadamu agar engkau menghukumi di antara manusia sesuai dengan apa yang diwahyukan Allah kepadamu” [TMQ an-Nisa’ (4):105]

Justeru, adalah amat keliru pandangan yang menyatakan bahawa orang kafir tidak terkena hukum Islam. Jihad (ke atas kafir harbi) dan jizyah (ke atas kafir zimmi) umpamanya, ia adalah hukum Islam yang sememangnya wajib dilaksanakan oleh pemerintah ke atas orang-orang kafir. Orang kafir tidak boleh beralasan bahawa ‘kami kafir’ maka hukum Islam tidak terkena ke atas kami, bahkan hukum jizyah misalnya, adalah wajib dikenakan ke atas mereka di mana jika mereka tidak menunaikannya, maka hak zimmah (kewarganegaraan) mereka akan terlucut. 

Firman Allah,

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka tidak pula mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan tunduk” [TMQ at-Taubah (9):29]

yakni tunduk kepada hukum Islam. Selain dalil Al-Quran, terdapat banyak dalil hadis di mana Rasul SAW menerapkan hukum Islam ke atas non-Muslim yang menjadi warganegara Daulah Islam. Ibnu ‘Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW didatangi oleh dua orang Yahudi lelaki perempuan yang berzina setelah jelas bahawa keduanya adalah muhsan (telah berkahwin) lalu mereka direjam. Dari Anas bin Malik ra bahawa seorang Yahudi telah membunuh seorang hamba perempuan dengan memukulnya dengan batu, maka Rasulullah membunuhnya sebagai hukuman atas perbuatannya. Rasulullah SAW pernah menulis kepada Nasrani Najran, 

“Sesungguhnya barangsiapa yang berjual-beli dengan riba maka tidak ada lagi zimmah baginya”

[lihat perbincangan hal ini di dalam “SN156 – Hukum Islam Diwajibkan Ke Atas Seluruh Umat Manusia”]. 

Ketiga: Penutupan segala pintu kemaksiatan itu hendaklah didasarkan kepada nas, bukannya kepada undang-undang ciptaan manusia! ‘Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997’ Negeri Kedah adalah undang-undang taghut buatan manusia, bukannya hukum Allah. Walaupun sekiranya ada peruntukan di dalam Enakmen tersebut yang menyamai hukum Islam, namun Enakmen tersebut tetap bukan merupakan hukum Islam. Ia adalah undang-undang yang diluluskan oleh manusia di Dewan Undangan Negeri dan bukannya undang-undang yang diasaskan di dalam Al-Quran dan Sunnah. Keharaman arak, judi, ikhtilat dan sebagainya sudah dijelaskan di dalam Al-Quran dan Hadis. Justeru, berdasarkan kaedah 

“ma la yatimmu al-wajibu illa bihi fa hua wajib” (suatu perkara yang menyempurnakan kewajiban, maka hukumnya juga adalah wajib), 

maka segala perkara (seperti pub, disko dan lain-lain) yang boleh menimbulkan atau menghasilkan maksiat, adalah wajib ditutup malah dihapuskan sama sekali. Penutupan atau penghapusan pusat maksiat tersebut adalah dilakukan kerana nas, bukan kerana selainnya. Ini bermaksud, kita bukannya diperintah oleh Allah SWT untuk menutup pusat maksiat berdasarkan ‘Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan’ tetapi kerana nas yang memerintahkannya. Istidlal (penyandaran dalil) kita hendaklah kepada nas, bukannya kepada undang-undang ciptaan manusia. Dengan kata lain, walau tidak wujud sekalipun Enakmen tersebut, pusat maksiat wajib ditutup! Kita langsung tidak memerlukan (izin) Enakmen tersebut untuk menghapuskan maksiat. 

Keempat: Semua pusat atau tempat maksiat wajib ditutup, bukan hanya pusat hiburan. Dalam Islam, pemerintah wajib menutup segala pintu kemaksiatan. Maksiat adalah penderhakaan kepada Allah SWT. Dengan kata lain, apa sahaja pelanggaran hukum atau keharaman yang dilakukan oleh manusia, ia adalah suatu bentuk kemaksiatan kepada Allah SWT. Bukan hanya pusat hiburan yang bersangkutan dengan arak, judi, joget dan sebagainya yang wajib dihapuskan, malah kesemua tempat yang boleh melahirkan atau menimbulkan pelanggaran terhadap perintah Allah dan Rasul, wajib dihapuskan kesemuanya. Dalam konteks ini, umat Islam perlu memahami bahawa kesemua bank yang menawarkan riba adalah merupakan pusat maksiat, bursa-bursa saham yang dipenuhi dengan perniagaan bersifat spekulasi adalah pusat maksiat, mahkamah-mahkamah sivil yang berhukum dengan selain hukum Allah adalah pusat maksiat dan antara pusat maksiat terbesar di Malaysia adalah dewan undangan negeri dan dewan rakyat (Parlimen) itu sendiri di mana dari situlah lahirnya segala hukum kufur yang bertentangan dengan hukum Allah. Di situlah tempat di mana manusia telah mengambil ‘hak Allah’ di dalam membuat hukum. Segala pusat maksiat ini wajib dihapuskan kesemuanya dan diganti dengan sistem Islam. Firman Allah SWT, 

“...hanya Allah jualah yang (berhak) menetapkan hukum...” [TMQ al-An’am (6):57]

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita wajib mencegah kemaksiatan dalam apa jua bentuk tidak kira di mana atau bila ia berlaku. Janganlah hendaknya kita menjadi ‘Muslim Ramadhan’ dengan hanya mengamalkan Islam pada bulan Ramadhan sahaja. Sabda Rasulullah SAW, 

“Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu (hendaklah ia mengubahya) dengan lisannya, jika tidak mampu (hendaklah ia mengubahnya) dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman” [HR Muslim]. 

Janganlah kita merasa lemah apatah lagi tunduk kepada orang-orang kafir di dalam usaha kita untuk menegakkan agama Allah ini. 
 
***************************************************************************

[Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyiarkan surat dari saudara kita di Uzbekistan tentang seksaan yang dikenakan oleh penguasa rejim Uzbekistan ke atas para pengembang dakwah di sana. Apa yang diceritakan itu hanyalah secebis dari seksaan yang dialami oleh beberapa orang dari ribuan para pendakwah yang dipenjarakan sejak bertahun lamanya di negara Asia Tengah itu. Sesungguhnya kita amat memerlukan Khilafah yang akan menyelamatkan saudara-saudara kita yang dizalimi oleh para pemimpin diktator ini. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka dan menghapuskan rejim diktator dan menggantikan dengan pemerintahan Khilafah Islamiyyah Ala Minhaj Nubuwwah]

Wahai Manusia Yang Merdeka Di Seluruh Dunia! 
Lihatlah Kezaliman Yang Dilakukan Oleh Rejim Uzbekistan!

Bismillahirrahmanirrahim

Kami ingin menyampaikan pesanan ini kepada kaum Muslimin di seluruh dunia, bahawa penindasan yang sedang berlaku ke atas umat ini (di Uzbekistan) adalah disebabkan oleh seruan (dakwah) mereka kepada Islam. Pesanan ini juga ingin kami sampaikan kepada semua organisasi hak asasi manusia dan kepada semua umat manusia yang merdeka di dunia ini. Apa yang ingin disampaikan di sini adalah sebahagian daripada contoh siri kezaliman yang berlaku di sepanjang bulan lalu (Jun), di mana mereka (para tahanan) dikenakan pelbagai bentuk seksaan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Uzbekistan sepertimana yang pernah kami nyatakan sebelum ini.
 
1- Seorang syab (pemuda), Ooulmasaw Bahadir, dari bandar Margalan telah ditahan di penjara Garawol Bazaar di daerah Bukhara. Pegawai yang bertugas dalam penjara tersebut telah menyeksanya lebih dahsyat daripada seekor binatang di hutan. Syab tersebut telah mengalami pendarahan parah yang hampir membawa kepada kematian, tetapi mereka langsung tidak membawanya ke hospital. Sebaliknya, mereka hanya memindahkannya ke penjara yang lain.

2- Seorang syab, Rosebayev Hakeem Jan, dari kawasan Andijan, telah dipenjarakan di penjara Jasliq sejak 1999. Beliau sepatutnya keluar daripada penjara tersebut pada bulan Mac tahun ini setelah tamat menjalani tempoh tahanan yang dikenakan ke atasnya. Tetapi pihak pengurusan penjara telah menyambung tempoh penahanannya selama lima tahun lagi tanpa sebarang alasan, hanya kerana ingin memastikan beliau sentiasa dipenjarakan. Mereka memindahkannya ke satu penjara lain di pekan Zarafshan.

3- Seorang syab, Mrzaiev Abdul Aziz, dari kawasan Tashkent daerah Chinaz, telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun dan beliau telah memasuki penjara 64/51 di pekan Kasane, kawasan Qashkadiria. Pada 7hb Jun, pihak pengurusan penjara tersebut telah membawa mayat beliau kepada keluarganya dan mengarahkan mereka supaya menanam mayatnya secepat mungkin, tanpa dibenar untuk menunjukkan mayat tersebut kepada sesiapa pun orang luar. Ketika ahli keluarganya memandikan jenazahnya sebelum meletakkannya di dalam keranda, mereka menyaksikan begitu banyak kesan seksaan pada tubuhnya. Tengkoraknya retak, matanya telah terkeluar, lehernya berjahit sehingga ke bahagian belakang kepala dan dadanya juga berjahit daripada pusat sehingga ke dagunya. Pengarah penjara yang bertanggungjawab ke atas penyeksaan tersebut ialah Kolonel Rakhmonov Erkin Mustafa Aowith.

4- Rejim Uzbekistan telah meningkatkan tekanan bukan sahaja ke atas para banduan yang berada di dalam penjara, malah ke atas ahli keluarga mereka yang berada di luar penjara dan juga ke atas ahli keluarga orang yang mereka buru untuk ditahan tetapi tidak ditemui atau telah lari dari kediaman masing-masing. Sebahagian daripada mereka lari ke luar negara dan sebahagian lagi menjadi pelarian dalam negara sendiri. Pihak perisikan memburu ahli keluarga mereka dan meminta mereka untuk menyerah diri ke balai polis untuk disoalsiasat, untuk mengugut mereka dan pada masa yang sama berusaha menarik mereka supaya memenuhi kemahuan mereka (polis) dengan menjadi pengintip bagi pihak negara.

Sebahagian daripada pegawai perisikan ini memberitahu bahawa mereka diarahkan untuk melakukan perbuatan-perbuatan keji ini atas perintah dari pemimpin negara sendiri, Presiden Islam Karimov.

Kesemua paparan ini adalah sebahagian daripada contoh-contoh kezaliman yang dilakukan oleh Karimov terhadap syabab (pemuda-pemuda) Hizbut Tahrir secara khususnya dan juga terhadap orang-orang yang menyeru kepada Islam, walaupun mereka bukan daripada Hizbut Tahrir. Karimov amat bimbang jika Hizbut Tahrir berjaya mempengaruhi pemikiran dan perasaan umat dalam negara ini untuk membuangnya daripada kekuasaan disebabkan oleh kezaliman dan kekufuran yang telah dilakukannya. Tetapi sesungguhnya kezalimannya akan pasti mempercepatkan lagi kejatuhannya, sepertimana yang telah kita saksikan di negara-negara Arab di mana rakyat telah bangkit akibat tidak dapat lagi menahan penindasan yang dilakukan oleh para pemerintah yang zalim. Rakyat Asia Tengah sedang menunggu masa untuk melakukan perkara yang sama terhadap para pemerintah yang zalim ini, terutamanya pemerintah Uzbekistan.

“Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azabNya itu adalah sangat pedih lagi keras” 
[TMQ Hud (11): 102].

Hizbut Tahrir Uzbekistan
25 Jun 2011 / 23 Rajab 1432H

No comments:

Post a Comment