Friday 21 June 2013

AKIDAH ISLAM

AKIDAH ISLAM WAJIB MENJADI ASAS NEGARA
 

[SN260] “Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba pohon bergoyang”. Jadi, siapakah yang menggoyangkan pohon tersebut? Inilah pepatah untuk menggambarkan isu panas dan sensitif yang tiba-tiba sahaja dinaikkan oleh Utusan Malaysia sejak beberapa hari lepas. ‘Kristian Agama Rasmi?’, begitulah tajuk yang terpampang besar di muka depan akhbar pro-UMNO itu pada 7/5/2011 yang mula mencetuskan isu ini. Utusan Malaysia yang terkenal sebagai akhbar pengampu utama kerajaan itu melaporkan bahawa terdapat satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang diadakan di sebuah hotel di Pulau Pinang di mana para paderi berkenaan berikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dari kalangan penganut agama itu, sebagaimana yang didedahkan oleh dua laman blog. Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi turut dikaitkan sebagai penganjur, namun beliau menafikan dakwaan tersebut.

Ramai paderi juga turut menafikan hal ini, namun, kes ini terus ‘diperbesarkan’ lagi oleh akhbar Utusan dengan usaha mendapatkan dan menyiarkan komen dari pihak polis, KDN, Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri sendiri. Pihak polis dan KDN dikatakan memandang serius akan isu ini dan akan menjalankan siasatan segera. 

Utusan pada 9/5/2011 seterusnya menyiarkan di muka depan komen Perdana Menteri yang meminta rakyat bertenang dalam menangani isu ini. Begitulah hebatnya Utusan Malaysia di dalam ‘mengapi-apikan’ isu ini seolah-olah negara kini berada dalam keadaan gegak-gempita umpama di landa garuda. Pak-pak Menteri UMNO dan kumpulan-kumpulan pro-UMNO juga turut kecoh mengingatkan puak-puak tertentu agar jangan bermain api. Aneh sungguh! Siapakah yang bermain api di sini? Secara jelasnya, pihak yang membangkitkan isu ini adalah Utusan Malaysia, dan Utusan Malaysia adalah terkenal sebagai suara rasmi kerajaan, jadi siapakah yang bermain api di sini? Adakah ini sebuah lagi wayang, setelah rakyat dihidangkan dengan wayang percuma video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Pihak pembangkang pula, di dalam menyikapi isu ini, rata-rata berpendapat bahawa isu ini merupakan sebahagian dari propaganda jahat UMNO yang sengaja dibangkitkan sebagai persiapan parti itu untuk menarik sokongan Melayu di dalam pilihanraya umum yang akan datang [harakahdaily.net]. Dari sudut lain, kerajaan dan kumpulan penyokongnya cuba menunjukkan amarah dan keprihatinan mereka terhadap perkara yang dibangkitkan dan seterusnya mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak bermain dengan isu yang menyentuh agama Islam. Seiring dengan usaha ‘mempertahankan Islam’ ini, kerajaan dan juga banyak pihak lantang mengingatkan pihak lain agar tidak mengganggu gugat Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 3(1) yang memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Nah! Inilah kitab rujukan terakhir dan tertinggi kerajaan Malaysia di dalam usaha menyelesaikan masalah ini dan segala masalah lainnya, sebuah ‘kitab suci’ yang tidak boleh dipersoal atau diganggu gugat oleh sesiapapun! Dan setiap kali isu yang menggugat Islam ditimbulkan, maka Perkara 3(1) dalam kitab Lord Reid ini akan terus dijadikan ‘seruan’ dan ‘dalil’ yang mana umat Islam di Malaysia mesti mempertahankannya. Betapa powerfulnya Perkara 3(1) ini seolah-olah keseluruhan agama Islam ini telah terkandung di dalamnya, sehingga ia mesti dipertahankan habis-habisan! 

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Apa Yang Tak Kena?

Banyak pihak (termasuk kerajaan) sering menyebut bahawa berdasarkan Perkara 3(1), Islam adalah agama rasmi negara, padahal perkataan ‘rasmi’ tidak wujud di dalam Perkara 3(1) tersebut.  Perkara 3(1) berbunyi, 

“Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”

Justeru, penggunaan istilah Islam sebagai ‘agama rasmi’ negara yang sering disebut-sebut hanya boleh dikatakan wujud berdasarkan ‘convention’ (persetujuan bersama) sahaja, tetapi bukannya wujud di dalam Perlembagaan itu sendiri. Namun, itu bukan menjadi persoalan di sini, kerana jika Perlembagaan dipinda dan dimasukkan perkataan ‘rasmi’ di situ sekalipun, yang menjadi persoalan adalah, apakah dan sejauh manakah maksud perkataan ‘Islam’ yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan ciptaan penjajah itu?

Perkara 3(1) sebenarnya telah diberi terjemahan dan tafsiran yang konklusif dan secara kehakiman yang mengikat (binding) menerusi keputusan Mahkamah Agung di dalam kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55. Keputusan yang dibuat adalah secara sebulat suara (unanimous) oleh lima orang hakim yang bersidang yang dikeutai oleh Ketua Hakim Negara sendiri (ketika itu) iaitu Tun Salleh Abbas LP, Wan Suleiman SCJ, George Seah SCJ, Hashim Yeop Sani SCJ dan Syed Agil Barakbah SCJ. Secara ringkasnya di dalam kes ini, tertuduh dibicarakan dan berhadapan dengan hukuman mati mandatori atas kesalahan mengedar dadah. Tertuduh berhujah bahawa, memandangkan Islam adalah agama bagi Persekutuan berdasarkan Perkara 3(1) dan memandangkan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara sebagaimana diperuntukkan di dalam Perkara 4(1), jadi pengenaan (imposition) hukuman mati terhadap kesalahan tersebut, yang bukan merupakan hukuman hudud atau qisas di bawah undang-undang Islam, adalah bertentangan dengan hukuman Islam dan ini adalah tidak mematuhi Perlembagaan (unconstitutional) dan terbatal. Keputusan Mahkamah Agung, yang dibaca oleh Tun Salleh Abbas, adalah seperti berikut:-

“Perkara pertama yang perlu dipertimbangkan di sini adalah maksud yang harus diberikan terhadap perkataan ‘Islam’ atau ‘agama Islam’ di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan. Jika perkataan ‘agama Islam’ di dalam konteks itu bermaksud perbuatan yang berkaitan dengan ritual dan majlis (rituals and ceremonies), maka hujah yang dibawa tidak akan mengandungi apa-apa asas. Namun, jika perkataan ‘agama Islam’ atau ‘Islam’ itu bermaksud kesemua konsep yang dianut (all an embracing concept) sebagaimana yang biasanya difahami, yang mengandungi bukan sahaja aspek ritual tetapi keseluruah sistem hidup yang komprehensif, termasuk fiqh dan akhlak, maka penggulungan hujah (submission) di sini akan mempunyai implikasi yang besar di mana setiap satu hujah mesti diuji berdasarkan kayu ukur ini”

Salleh Abbas meneruskan, 

“Persoalan di sini adalah, adakah maksud ini yang diniatkan oleh penggubal rangka (framers) Perlembagaan? Untuk tujuan ini, adalah perlu untuk melihat kembali sejarah Islam di negara ini selepas penjajahan/campurtangan British ke atas hal-ehwal Negeri-negeri Melayu di akhir abad yang lepas.” Selepas menceritakan bagaimana British memisahkan Islam dari pemerintahan negara dan menjadikan negara ini sekular, Salleh Abbas kemudian menyambung penghakimannya, “Oleh itu, dapat disaksikan bahawa semasa era penjajahan British, melalui sistem pemerintahannya secara tak langsung dan melalui penubuhan sebuah institusi sekular, undang-undang Islam telah dipisahkan dan disempitkan kepada undang-undang perkahwinan, perceraian dan harta pusaka sahaja....Dalam pandangan kami, di dalam suasana kontra inilah (it is in this sense of dichotomy), para penggubal rangka Perlembagaan memahami maksud ‘Islam’ di dalam konteks Perkara 3(1). Jika tidak demikian, sudah tentu ada peruntukan lain di dalam Perlembagaan yang membawa kesan bahawa mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan hukum Islam akan terbatal. Jauh dari membuat peruntukan sebegini, Perkara 162 malah dengan sengaja menjaga kelangsungan undang-undang sekular yang wujud sebelum Perlembagaan lagi, di mana undang-undang Islam akan terbatal jika bertentangan dengan undang-undang sekular.”

Keputusan sebulat suara Salleh Abbas dan lain hakim-hakim di dalam kes ini dianggap oleh ramai pengamal undang-undang dan banyak pihak lagi, sebagai keputusan terbaik yang pernah dikeluarkan. Setakat ini keputusan ini tidak pernah di lakukan semakan kehakiman (judicial review) dan ia kekal sebagai keputusan yang terpateri menjadi undang-undang di negara Malaysia sekular ini. Begitulah betapa jelasnya maksud ‘Islam’ di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang langsung tidak mencerminkan tafsiran Islam yang sebenar, tidak menjaga Islam, apatah lagi untuk meninggikan Islam, kecuali hanya sekadar meletakkan Islam sebagai agama untuk membaca doa di majlis-majlis!! Justeru, wajarkah perjuangan sesetengah pihak untuk mempertahankan Perkara 3(1) yang dicipta oleh si kafir Lord Reid ini? Sedarlah wahai kaum Muslimin dan janganlah tertipu dalam hal ini.

Negara Wajib Menjadikan ‘Akidah Islam’ Sebagai Asas

Di dalam perjuangannya untuk menegakkan Khilafah, Hizbut Tahrir telah pun menyediakan sebuah Perlembagaan yang mengandungi 191 Fasal yang keseluruhan fasal-fasal dan perbincangannya diistinbath (digali) dari Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Sahabat dan Qiyas. Perlembagaan ini termaktub di dalam kitab Muqaddimah Ad-Dustur keluaran Hizbut Tahrir dan Hizb menawarkan Perlembagaan ini kepada kesemua pemimpin umat Islam untuk mengambilnya dan menerapkannya di dalam pemerintahan negara. Terkait dengan perbincangan agama bagi negara, Hizb telah meletakkan di dalam Fasal Pertama lagi bahawa akidah Islam wajib menjadi dasar bagi negara dan kesemua kehidupan individu, masyarakat dan negara hendaklah diatur oleh Islam yang bersumber dari akidah yang benar ini. Fasal Pertama tersebut berbunyi: 

“Aqidah Islam adalah asas Negara di mana tidak boleh wujud sesuatupun dalam entitinya atau strukturnya atau proses muhasabahnya atau apa sahaja yang bersangkut dengan semua ini kecuali mesti dibangun berdasarkan aqidah Islam. Akidah Islam hendaklah menjadi asas Perlembagaan dan undang-undang. Segala sesuatu yang berkaitan dengan Perlembagaan dan undang-undang hendaklah terpancar (terbit) dari aqidah Islam” [Muqaddimah Ad-Dustur, Hizbut Tahrir].

Di dalam menjelaskan fasal ini, Hizb menerangkan bahawa Negara Islam adalah sebuah negara yang berdiri di atas aqidah Islam di mana sekumpulan mafahim (konsep), maqayis (standard) dan qana’ah (keyakinan) yang dipegang oleh umat Islam di dalamnya lahir dari aqidah Islam. Sebelum wujudnya negara pun, umat telah terlebih dahulu dibina dan menerima aqidah ini serta meyakininya dengan keyakinan yang berasaskan dalil yang qath’i. Aqidah ini merupakan fikrah kuliyyah (pemikiran yang menyeluruh) mengenai kehidupan dan merupakan bentuk pandangan terhadap kehidupan (viewpoint about life) yang khusus dan berbeza dengan akidah lain/kufur. Rasulullah SAW mendirikan Daulah Islam atas asas ini (akidah Islam) dan pemerintah beserta umat Islam telah menjadikan asas yang sama bagi Negara Khilafah di sepanjang kewujudannya. 

Rasulullah SAW tatkala menegakkan kekuasaan di Madinah dan menerapkan hukum Islam di dalamnya, telah menjadikan LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH sebagai asas kehidupan kaum Muslimin, asas hubungan antara manusia dan asas di dalam menolak kezaliman dan menyelesaikan persengketaan. Dengan kata lain, akidah Islam dijadikan asas dalam kehidupan, kekuasaan dan pemerintahan. Tidak cukup dengan itu, jihad diwajibkan ke atas kaum Muslimin bagi memikul dan membawa aqidah ini kepada manusia seluruhnya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Aku diperintah untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengucapkan LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH, mendirikan solat, dan menunaikan zakat dan apabila mereka melakukan semua ini, maka darah mereka dan harta mereka dilindungi dengan perlindungan Islam dan hisab mereka adalah pada Allah” [Muttafiq alaihi dan lafaz dari Bukhari]. 

Bermula dari zaman Rasulullah SAW, aqidah Islam terus kekal sebagai asas Daulah Islam dan dijaga sebagai satu kewajiban oleh kaum Muslimin. Kaum Muslimin juga diperintahkan untuk memerangi pemimpin yang menunjukkan kekufuran yang jelas (setelah Daulah berdiri), iaitu apabila aqidah Islam tidak lagi dijadikan sebagai asas bagi kekuasaan dan pemerintahan. Hadis melalui Auf bin Malik mengenai pemerintah yang zalim, 

“Dikatakan, wahai Rasulullah, apakah kami harus memerangi mereka dengan pedang? Rasulullah menjawab, ‘Tidak, selama mana mereka mendirikan solat (menegakkan hukum Islam) di antara kamu”
 [HR Muslim]. 

Dalam hadis Ubadah bin Samit, dalam persoalan bai’ah, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu cabut urusan (kekuasaan) dari ahlinya (pemerintah) kecuali apabila kamu melihat kekufuran yang nyata (bawaahan)” [Muttafaq ‘alaihi]. 

Dalam lafaz Tabari 

“…kekufuran yang jelas (suraahan)”. 

Dan dari Ibnu Hibban dalam sahihnya, 

“...kecuali terjadi maksiat kepada Allah dengan jelas”. 

Semua ini menunjukkan bahawa asas Negara adalah aqidah Islam dan tidak boleh berkompromi jika ada kekufuran yang diterapkan di dalam negara. 

Tidak boleh menjadikan aqidah Islam sebagai asas hanya sekadar nama/formaliti sahaja bahkan asas ini harus wujud dan termanifestasi dalam setiap perkara yang berhubung dengan kewujudannya dalam setiap urusan, besar atau kecil. Oleh itu, tidak diperbolehkan bagi Negara untuk mempunyai mafhum (konsep) mengenai kehidupan atau pemerintahan kecuali yang terbit dari aqidah Islam. Dengan itu, Negara tidak boleh menerapkan mafhum demokrasi kerana ia tidak terbit dari aqidah Islam dan malah ia bertentangan dengan mafhum yang terbit dari aqidah Islam. Juga, tidak boleh ada mafhum perkauman kerana ia bukan dari aqidah Islam, tambahan pula terdapat mafhum lain yang lahir dari aqidah Islam yang mencelanya, mengharamkannya dan menjelaskan bahaya-bahayanya. Mafhum wathaniyah/patriotisme juga tidak diperbolehkan kerana ia bukan dari aqidah Islam dan ia bertentangan dengan mafhum yang terbit dari aqidah Islam. Justeru, tidak boleh wujud di dalam struktur Negara, kementerian-kementerian dalam konteks sistem demokrasi. Begitu juga dalam pemerintahannya, tidak boleh wujud mafhum kekaisaran dan monarki mahupun mafhum republik kerana semua ini tidak lahir dari aqidah Islam dan bertentangan dengan mafhum yang terbit dari aqidah Islam.

Adapun mengenai poin kedua dalam fasal ini iaitu mengenai Perlembagaan dan undang-undang, perlu difahami bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang asas bagi Negara dan undang-undang merupakan perintah yang keluar dari pihak yang memiliki kekuasaan (as-sulthan) dan Allah memerintahkan pihak yang memiliki kekuasaan agar berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Menetapkan hukum yang bukan datang dari Allah adalah kekufuran sekiranya ia diyakini [TMQ al-Ma’idah (5):44] . Manakala seseorang itu akan dianggap melakukan maksiat (zalim dan fasik) sekiranya ia berhukum dengannya tetapi tidak meyakininya [TMQ al-Ma’idah (5):45 & 47]. Sekali lagi, kesemua dalil ini menunjukkan bahawa aqidah/keimanan kepada Allah dan RasulNya wajib menjadi asas bagi undang-undang dan Perlembagaan Negara, kerana jika sesuatu itu tidak disandarkan kepada aqidah Islam, seseorang itu akan terjerumus ke dalam kekufuran dan dosa [sila lihat penjelasan penuh kepada fasal ini di dalam kitab Muqaddimah Ad-Dustur]. 

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Dalam pada media kerajaan sibuk memperbesarkan-besarkan isu ini yang boleh menimbulkan ketegangan antara penganut Islam dan Kristian, dan kerajaan boleh muncul sebagai hero yang ‘menjaga’ Islam, kita hendaklah sedar bahawa sudah lebih 50 tahun kerajaan yang sedia ini memerintah Malaysia dengan hukum kufur dan mencampakkan Al-Quran dan Sunnah dari pemerintahan negara! Merekalah yang selama ini menjadi penghalang kepada tegaknya agama Allah di Malaysia, malah sebarang usaha dari gerakan Islam yang ingin menerapkan Islam akan dianggap sebagai ekstrem, radikal dan teroris dan tidak kurang yang berakhir dengan penangkapan dan pemenjaraan. Walhal jika Islam diterapkan dan akidah Islam menjadi asas kepada negara, sebagaimana sejarah penerapan Islam selama kewujudan Daulah Khilafah, umat Islam dan Kristian hidup aman damai dan tidak pernah wujud kekecohan atau pertelagahan sepertimana yang berlaku pada hari ini di bawah penerapan sistem kufur oleh kerajaan sekular. Islam adalah agama yang menjaga penganutnya dan menjaga penganut agama lain yang merupakan kafir zimmi yang tinggal di dalam Daulah. Malah, telah terbukti dalam banyak fakta sejarah betapa penganut Kristian sukakan kehidupan Islam kerana melihat dan merasai sendiri keadilan dan keindahan Islam, hasil dari penerapan undang-undangnya oleh Daulah Islam. Insya Allah, para penganut Kristian dan lain-lain agama akan sekali lagi dapat tinggal dengan aman damai di bawah kekuasaan Islam apabila Khilafah memerintah dunia untuk kali kedua, di dalam masa yang terdekat ini. Amin ya Rabbal Alamin.

No comments:

Post a Comment