Saturday 11 May 2013

Pendidikan daulah islam

APABILA PENDIDIKAN DIDEMOKRASIKAN
 
Muqaddimah
 
1Aspirasi 1Agenda”, begitulah tema sambutan hari guru tahun ini. Guru sememangnya sinonim dengan pendidikan. Mutakhir ini isu pendidikan seakan diberi lebih perhatian apabila beberapa aspek tertentu diberi penekanan. Antara lain adalah dasar pendemokrasian pendidikan. “Pendidikan merupakan alat paling berkesan untuk mengubah kedudukan sosio-ekonomi sesuatu bangsa, kumpulan atau komuniti”, kata Datuk Seri Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya sempena Himpunan Perdana Warga Orang Asli di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM). Menurutnya lagi, prinsip pendemokrasian pendidikan yang diamalkan oleh kerajaan telah membuka ruang dan peluang yang luas kepada rakyat termasuk golongan minoriti orang asli untuk mendapat akses pendidikan berkualiti [http://www.bharian.com.my/ (15/2/2013), diakses pada 1/4/2013].
 
Hakikat Pendemokrasian Pendidikan 
Apa sebenarnya pendemokrasian pendidikan? Pendemokrasian pendidikan adalah kesamarataan hak bagi setiap individu dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh sesuatu sistem pendidikan di sesebuah negara.  Ini secara langsung bermaksud tidak harus wujud sebarang diskriminasi dalam bidang pendidikan di semua peringkat individu atau masyarakat. Dasar pendemokrasian pendidikan ini telah bermula pada tahun 1962 dengan memberi penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. 
 
Persoalannya, adakah konsep pendemokrasian pendidikan ini dimanifestasi dan diterjemahkan dengan sebenar-benarnya? Melihat kepada senario sistem pendidikan pada masa kini, apa yang dikatakan oleh PM itu hanyalah jauh panggang dari api. Ini kerana sejak ia diperkenalkan 51 tahun yang lalu, masih terlalu banyak kekurangan serta kelemahan dalam perlaksanaannya. Sebagai contoh walaupun Perdana Menteri mengumumkan bayaran yuran persekolahan untuk sesi 2012 bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan jumlah RM150 juta dimansuhkan, hakikatnya bayaran tambahan lain yang dikenakan kepada pelajar begitu membebankan. Ini termasuklah bayaran berkaitan aktiviti kokurikulum, ko-akademik, yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta pelbagai bayaran tambahan lain yang terpaksa dikenakan oleh pihak sekolah. 
 
Ironinya di sini, pihak sekolah justeru diharapkan dapat mempamerkan prestasi yang cemerlang dengan meningkatkan prestasi akademik para pelajar yang dinilai daripada keputusan peperiksaan semata-mata. Untuk merealisasikan matlamat tersebut, pelbagai aktiviti bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran perlu diwujudkan dan ini semua melibatkan peruntukan yang tinggi. Natijahnya peruntukan ini mahu tidak mahu terpaksa dikongsikan dengan ibu bapa dan penjaga para pelajar bagi menjayakannya. 
 
Bagi ibu-bapa yang berpendapatan rendah, mereka terpaksa bergolok gadai untuk membayar pelbagai bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah. Ini belum lagi mengambil kira sejumlah wang yang perlu disediakan oleh seseorang itu jika berjaya melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi seperti kolej, institusi latihan mahupun universiti.
 
Aneh tetapi benar, dalam keterujaan pemimpin tertinggi negara memperkatakan mengenai dasar pendemokrasian pendidikan dengan memberi penekanan kepada peluang akses pendidikan yang berkualiti, laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 (RMK-9) adalah seperti berikut: 
 
1. Sebanyak 767 (10.1%) sekolah rendah dan 28 (1.4%) sekolah menengah terutama di luar bandar tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam. Bagi sesetengah sekolah yang menggunakan jana kuasa elektrik berkuasa rendah, mereka kerap menghadapi kesukaran ketika hendak menggunakan peralatan ICT seperti televisyen dan komputer. 

2. Penyediaan bekalan air bersih belum dibekalkan sepenuhnya. Dilaporkan sebanyak 1,517 (20.0%) sekolah rendah dan 68 (3.4%) sekolah menengah terutama sekolah di luar bandar masih tidak mempunyai bekalan air awam.

3. Selain daripada prasarana dan infrastruktur yang tidak lengkap, kadar penyertaan pelajar dalam sistem persekolahan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) masih rendah di peringkat menengah. Malah masih ada murid sekolah rendah yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). 

4. Penyertaan dan pencapaian pelajar kurang upaya, anak orang asli dan kaum Penan di Sarawak masih belum boleh dibanggakan. 

5. Kelemahan ini ditambah lagi dengan bilangan guru terlatih dalam bidang kritikal (Matematik dan Sains) belum mencukupi khususnya di kawasan pedalaman serta masih terdapat guru berstatus kontrak dan tidak terlatih.

Laporan di atas hanyalah secebis daripada sekian banyak implikasi penerapan sistem pendidikan dalam bingkai demokrasi kapitalis. Tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa sistem pendidikan seperti ini, akhirnya hanya melahirkan output seperti sebuah mesin layaknya. Bijak dalam akademik namun buta dalam pemahaman agamanya. Hebat berketrampilan namun jengkel keperibadian Islamnya. Ini adalah output umum daripada sistem pendidikan saat ini. Buktinya, paparan media yang tidak putus-putus melaporkan sekian banyak generasi muda yang terjebak dengan pelbagai masalah sosial. Ternyata sistem pendidikan dengan asas sekularisme ini telah melahirkan individu yang pola fikir dan pola sikapnya cenderung menjadi seorang yang materialistik, individualistik, hedonistik dan sekularistik. 
 
Kegemilangan Pendidikan di Zaman Kekhilafahan
Pendidikan merupakan satu perkara yang penting dalam Islam. Ia merupakan hak rakyat yang perlu dipenuhi dan dijamin, selain aspek kesihatan dan keselamatan. Negara Islam memastikan setiap warganegaranya terjamin keperluan pendidikannya dengan mewajibkan mereka menuntut ilmu. Dalam masa yang sama, Islam mewajibkan negara untuk memberikan layanan kelas pertama kepada rakyatnya dalam bidang pendidikan tanpa membezakan martabat, usia  mahupun jantina seseorang (Abdurrahman Al-Maliki, 2001.hal 186). Tambahan lagi, hak rakyat untuk mendapatkan pendidikan ini mesti disediakan secara percuma sehingga Negara wajib berusaha bersungguh-sungguh mengumpul pendapatan untuk memenuhi keperluan tersebut. Perkara ini berdasarkan pada sabda Rasulullah S.A.W, 
 
Imam (Khalifah) adalah pemelihara rakyat dan ia akan diminta bertanggungjawab atas pemeliharaan (rakyat)nya”  [HR al-Bukhari dan Muslim].
 
Rasulullah S.A.W merupakan pemimpin bagi Negara Islam pertama di dunia. Sebagai pemimpin, baginda S.A.W telah menunjukkan contoh terbaik berkaitan tanggungjawab negara dalam pendidikan. Ini jelas termaktub dalam sirah ketika baginda S.A.W menetapkan para tawanan Perang Badar perlu mengajar membaca dan menulis kepada sepuluh orang penduduk Madinah. Dengan kata lain, baginda S.A.W memberikan upah kepada para pengajar (tawanan perang itu) dengan harta benda yang diambil biaya daripada milik Baitul Mal sebelum mereka dibebaskan. 
 
Dilihat daripada sudut sejarah kekhalifahan Islam pula, dicatatkan bahawa betapa besarnya perhatian para Khalifah terhadap pendidikan rakyatnya. Contohnya pada masa   Khalifah Umar bin al-Khathab, beliau memberikan gaji kepada setiap guru pada waktu itu sejumlah 15 dinar (1 dinar = 4.25 gram emas). Mengikut harga emas semasa, nisbah yang paling rendah adalah 1 gram emas = RM99.02. Jadi, 15 dinar = RM6,312.53. Perhatian para Khalifah tidak hanya tertumpu kepada gaji para guru semata, malah prasarana pendidikan seperti perpustakaan, auditorium, makmal sains dan infrastruktur ilmu pengetahuan lainnya yang berkualiti turut tidak diabaikan. 
 
Selain itu, pembinaan sekolah dan kampus dipergiatkan untuk memberi peluang dan akses bagi mereka yang ingin melanjutkan penyelidikan dan pengkajian dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti fikih, ushul fikih, tafsir termasuk juga bidang pemikiran, kedoktoran, teknikal, kimia, penemuan dan inovasi. Sehingga di tengah-tengah umat telah lahir sekelompok mujtahid, saintis dan pakar teknologi yang unggul dalam segenap bidang.  
 
Di sisi lain, para Khalifah juga memberikan penghargaan yang sangat   besar terhadap para penulis buku iaitu dengan memberikan imbalan emas seberat buku yang ditulisnya. Subhanallah, begitu besarnya perhatian para Khalifah (pemimpin negara) terhadap pendidikan. Sistem pendidikan Islam bukan sahaja memastikan setiap individu wajib menuntut ilmu dan berhak mendapat akses pendidikan yang berkualiti tetapi juga memastikan kurikulumnya sesuai dengan syariah Islam dan didasarkan pada aqidah Islam. 
 
Dalam sistem pendidikan Islam, kurikulum dan mata pelajaran disusun dengan mensasarkan dua tujuan utama iaitu:
 
•    Pertama, membentuk syakhsiyyah (keperibadian) Islam iaitu pola fikir (aqliyah) dan pola sikap (nafsiyah) bagi umat dengan cara menanamkan tsaqafah Islam berupa aqidah, pemikiran, dan    perilaku Islami ke dalam akal dan jiwa anak didik. Oleh itu kurikulum Negara Khilafah disusun bagi merealisasikan tujuan tersebut. 

•    Kedua, mempersiapkan anak-anak kaum Muslimin agar di antara mereka menjadi ulama-ulama yang pakar di setiap aspek kehidupan baik berkaitan ilmu-ilmu keIslaman (ijtihad, fiqih, undang-undang dll) mahupun ilmu-ilmu berbentuk  kemahiran dan pengetahuan (teknik, kimia, fizik, kedoktoran dll). 

•    Negara Khilafah juga menetapkan strategi pendidikan Islam adalah untuk menghasilkan output yang berkeupayaan sesuai dengan visi dan misi Negara Khilafah iaitu menjadi negara yang siap untuk memimpin peradaban dunia dengan Islam. 

Justeru, ketuk minda dan tanya kepada diri sendiri dengan pemikiran yang terbuka di manakah duduknya Dasar Pendemokrasian Pendidikan yang dicanangkan pada saat ini? Minda yang jernih sudah pasti akan menjawab, amat jauh sekali bezanya dasar tersebut dengan dasar pendidikan Islam. Hakikatnya kita tidak memerlukan dasar pendemokrasian pendidikan hasil daripada sistem demokrasi yang rosak kerana sesungguhnya hanya Islamlah sistem kehidupan yang lengkap dan sempurna serta mampu menjamin setiap hak dan keperluan manusia. Istilah ‘pendemokrasian pendidikan’ itu sendiri sudah menunjukkan satu konsep yang bertentangan dengan Islam kerana demokrasi merupakan sebuah sistem kufur yang  datangnya dari Barat dan langsung tidak ada kena mengena dengan Islam.
 
Khatimah
 
Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan. Adakah masih tetap ingin mempertahankan sistem yang sedia ada? Ataukah sebaliknya? Jawablah dengan penuh keyakinan dan keimanan bahawa setiap daripada umat mahu menggantikan dasar palsu ini yang hanya kelihatan elok namun hakikatnya amat buruk dan rosak kepada suatu yang jauh lebih baik, iaitu dasar pendidikan Islam. Satu-satunya dasar yang mampu menjamin guru-gurunya tidak stress, para pelajarnya menjadi pelajar yang cemerlang tanpa seorang pun tercicir dalam pelajarannya, pendidikan duniawi dan ukhrawi yang seimbang dan dilimpahkan kemuliaan dan keredhaan hidup di dunia dan akhirat. Minda yang jernih akan menjawab, hanya dasar pendidikan Islam sahajalah yang benar-benar mampu membawa perubahan! Itulah satu-satunya dasar pendidikan yang dari segi sejarahnya telah terbukti keunggulannya dan diakui oleh seluruh dunia baik Barat mahupun Timur!!
 
Semoga Allah menjadikan setiap daripada para pembaca sekalian termasuk dalam golongan mereka yang berusaha kuat dan berjuang bersungguh-sungguh demi mewujudkan sebuah Daulah Khilafah Islamiyah. Daulah Khilafah Islamiyah inilah yang mampu merealisasikan tujuan hidup manusia iaitu menggapai keredhaan Allah dengan menerap dan melaksanakan serta membawa risalah Islam ke setiap penjuru dunia agar seluruh alam merasakan kemuliaan dan keberkatan sistem Islam. 
 
Wallahu a’lam.
 
 
Rujukan:
 
•    http://www.kmns.matrik.edu.my/pipp/2007ppp_bab2.pdf
•    Abu Yasin, Usus at-Ta’lim fi Daulah al Khilafah (Strategi Pendidikan Khilafah) Pustaka Thariqul Izzah (PTI) 2004
•    Abdul Rahman Al-Maliki, Politik Ekonomi Islam, 2001, hal 186
•    Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 (RMK-9)

No comments:

Post a Comment