Saturday 11 May 2013

Kewajipan Tegak Daulah

DAULAH KHILAFAH DAN AKTIVITI MENEGAKKANNYA

Muqaddimah

Pengutusan Muhammad S.A.W sebagai Rasulullah lebih 1400 tahun yang lalu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menzahirkan Islam sebagai agama yang bersifat praktikal serta tiada tandingannya.  Baginda membuktikan bagaimana kehebatan Islam melalui gandingan kekuatan pemikiran (fikrah) dan metode (thariqah)  sehingga berjaya mendirikan Daulah Islamiyah.  Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, Abu Bakar r.a kemudian dilantik dan dibai’ah untuk memimpin Daulah Khilafah sekaligus menjadi Khalifah yang pertama dalam sejarah pemerintahan Khilafah.  Kenapa Daulah Khilafah dan bukan yang lain?  Ini kerana, menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu  kewajipan dan kewajipan ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islamiyyah merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syarak. 
 
Kewujudan Daulah Khilafah telah menjadi perisai umat selama lebih 13 abad, ia menjaga kesatuan umat dan menerapkan hukum Allah yang menjadi rahmat bagi sekalian alam. Sayangnya, tanggal 28 Rejab 1342H, segalanya lenyap.  Kehidupan umat Islam menjadi tidak keruan. Umat hidup dalam kesempitan, kehinaan dan penuh penderitaan. Sungguh benar firman Allah S.W.T,
 
Dan barangsiapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit”  [TMQ Thaha (20): 124].
 
“..barangsiapa yang menjadikan  syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata”  [TMQ an-Nisa’ (4): 119].
 
Sehubungan dengan itu, keadaan hina dan derita ini sudah tentu perlu diakhiri dengan segera. Realiti dunia akhir-akhir ini banyak menunjukkan petanda bahawa sistem kapitalisme banyak menimbulkan bencana kemanusiaan yang amat dahsyat. Kuasa besar dunia, Amerika Syarikat sedang menghadapi keadaan ‘nazak’nya dalam segala aspek, kebangkitan rakyat di dunia Arab, masalah kemiskinan dan penindasan terhadap Muslim minoriti yang tidak berkesudahan dan sebagainya. Keadaan ini membuatkan umat Islam semakin sedar.  Arus deras perubahan sedang melanda dan sudah tidak terbendung lagi. Kaum Muslimin tidak lagi diam dalam isu-isu yang menyentuh saudara-saudaranya.  Perasaan seperti satu tubuh yang satu sudah menjalar ke dalam umat.  Isu Gaza, Rohingya, Selatan Thailand, Mesir, Syria sudah dirasakan sebagai isu bersama.  Maka, penulisan artikel ini adalah bagi memberi penjelasan kepada semua pembaca agar memilih thariqah (jalan) yang benar untuk bangkit dan berubah, iaitu dengan mendirikan Daulah Khilafah.
 
Mendirikan Daulah Khilafah adalah sebuah aktiviti yang wajib dilaksanakan berdasarkan dalil syarak.  Apabila ditelusuri dengan cermat, maka akan ditemukan di dalam kitab-kitab sirah nabawiyyah bentuk-bentuk aktiviti Rasulullah S.A.W dalam rangka mendirikan pemerintahan Islam untuk pertama kalinya.  Allah S.W.T berfirman, 
 
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat”  [TMQ al-Ahzaab (33): 21].
 
Mendakwahkan Islam
Umat Islam di seluruh dunia memiliki satu persamaan yang unik iaitu aqidah Islamiyah yang memancarkan pelbagai sistem kehidupan yang sempurna. Persamaan aqidah ini menuntut agar umat Islam bersatu, termasuklah kesatuan di bawah satu negara dan di bawah seorang pemerintah iaitu Khalifah. Berbekalkan semangat kesatuan itu, maka apabila munculnya aktiviti apa pun di suatu negeri akan memberi pengaruh kepada negeri yang lain. Untuk itu, agar terwujudnya kesatuan yang benar seperti mana yang diperintahkan oleh Islam, masyarakat perlu sentiasa  dibekalkan `haba panas’ mabda’   (ideologi) Islam sehingga menghasilkan kesedaran Islami yang mampu mendorong masyarakat untuk bergerak dan bertindak. Tidak ada thariqah lain yang wajib diikuti dalam melakukan hal ini kecuali dengan mengikuti thariqah dakwah Rasulullah S.A.W. Thariqah hendaklah diikuti dengan benar dan tidak boleh diubah, namun uslub (teknik) boleh dipelbagaikan selama mana tidak bertentangan dengan syarak. 
 
Di antara teknik (uslub) yang boleh digunakan dalam berdakwah adalah melalui penerbitan (buku-buku, artikel-artikel, pamplet-pamplet), memanfaatkan seluruh prasarana dakwah dan tak kurang penting adalah membentuk pelbagai jaringan hubungan. Justeru timbul persoalan, apakah yang perlu didakwahkan kepada umat dalam merealisasikan usaha penegakan Khilafah ini? Berikut adalah senarai panduannya:
    
i) Menjelaskan kepalsuan pemikiran-pemikiran yang tidak Islami termasuk bahaya-bahaya yang akan ditimbulkannya.
ii) Menonjolkan aspek politik melalui penyampaian tsaqafah Islam.
iii) Membongkar aktiviti dan perancangan licik penjajah kepada para penguasa, para pegawai serta masyarakat umum sehingga jelas keburukan mereka.
iv) Membina para pemuda-pemudi di luar sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan pembinaan umum dan khusus bagi membentuk keperibadian Muslim sejati.
v) Menjelaskan bahawa ilmu sosial, pendidikan dan teori-teori psikologi boleh membentuk tsaqafah yang mengelirukan dalam menyelesaikan masalah kehidupan.
vi) Menjelaskan struktur negara dan masyarakat, kaedah kehidupan, pembentukan pola fikir (aqliyah) dan pola sikap (nafsiyah) yang layak dijadikan penentu hukum oleh seseorang Muslim.
vii) Menggambarkan kepada mereka kehidupan indah yang bakal mereka jalani di bawah penerapan Islam yang kaffah (menyeluruh).
viii) Menjelaskan kerosakan sistem kapitalisme dan sosialisme yang menimbulkan pelbagai musibah dahsyat kepada manusia. 
 
Sehubungan itu, aktiviti dakwah perlu dijalankan dengan strategi dan perencanaan yang rapi. Mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah, dakwah perlu dibatasi pada satu atau beberapa negeri yang menjadi titik fokus dakwah. Di situlah dakwah dilakukan dengan intensif sehingga masyarakat yang dibina mampu menghidupkan Islam dalam dirinya dan hidupnya hanya demi Islam. Selain itu tercipta juga suasana keimanan dengan kesedaran umum (wa’yul am) dan pendapat umum (ra’yul ‘am / public opinion) yang sentiasa berpihak pada Islam. Keadaan ini seterusnya mencetuskan terjadinya dialog-dialog yang membawa kepada tindakan dan gerakan untuk mencapai hasil di kemuncak tertinggi perjuangan iaitu berdirinya Daulah Khilafah.
 
Aktiviti dakwah secara fikriyyah yang dilakukan oleh baginda S.A.W bagi berjaya ‘membakar’ masyarakat Semenanjung Arab daripada keadaan beku dengan kejahilan kepada panas membara dengan Islam. Tidak pernah jemu baginda berdakwah kepada penduduk Mekah dan seluruh bangsa Arab setiap kali musim haji. Pergolakan antara pemikiran Islam dengan jahiliyah Quraisy amat jelas sehingga membangkitkan tanda tanya seluruh masyarakat Arab. Walaupun bermula di Mekah, akhirnya sayap dakwah sampai ke Madinah sehingga terbentuk Daulah Islam yang pertama di sana. Ketika itu, api dakwah dan kemenangan Islam berhasil mendidihkan bangsa Arab sehingga manusia berbondong-bondong memeluk Islam.
 
Menerapkan Islam
Ternyata setelah Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, kaum Ansar yang memberikan nusrah (pertolongan) bersedia untuk mempertahankan baginda dengan kemampuan semaksimum mungkin dengan tampuk pemerintahan diserahkan kepada baginda. Dengan berdirinya Daulah Islam, dakwah telah beralih daripada tahap fikriyyah (pemikiran) menuju ke tahap benar-benar wujud dalam masyarakat secara praktikal. Bermula dari zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah ke zaman keKhilafahan, Khalifah yang mendapat bai’at daripada umat segera menjalankan pemerintahan sesuai dengan aturan Allah sepenuhnya. Daulah Khilafah melaksanakan syari’at Islam ke atas seluruh warganegaranya, baik Muslim mahupun non-Muslim dan Islam terus tersebar dan menjadi rahmat bagi sekalian alam, sesuai dengan firman Allah S.W.T,
 
Dan tiadalah kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”  [TMQ al-Anbiya’ (21): 107]. 
 
Dengan jalan dakwah dan jihad, Islam membuka (futuhat) satu demi satu negara yang ada di dunia ketika itu dan menggabungkannya ke dalam satu pemerintahan sehingga Islam menguasai hampir dua per tiga dunia. Begitulah juga apa yang akan dilakukan oleh Khilafah yang bakal tegak nanti di mana Daulah Khilafah akan menyatukan wilayah-wilayah kaum Muslimin yang lain dan akan membuka wilayah-wilayah yang baru. Saat ini, jika dilihat pada anggota Organization of Islamic Cooperation (OIC), terdapat lebih 50 wilayah umat Islam yang wajib disatukan kerana Islam tidak membenarkan perpecahan ini. Kesemuanya wajib menjadi satu. Segala undang-undang peninggalan penjajah kuffar yang diterapkan oleh penguasa-penguasa kaum Muslimin yang merupakan boneka Barat selama ini wajib segera dibatalkan. Tidak cukup dengan itu, garis sempadan palsu rekaan penjajah yang menjadi pemisah antara negara-negara kaum Muslimin akan dihapuskan dan pintu Daulah Islam sentiasa terbuka bagi masyarakat dunia menyaksikan secara langsung penerapan dan keindahan pelaksanaan Islam. 
 
Kejayaan ini tidaklah bermakna dakwah terus terhenti. Malah dakwah semakin gencar kerana tanggungjawabnya dipikul oleh Khilafah sendiri di bawah polisi luar negerinya. Adapun kaum Muslimin pula wajib berusaha keras untuk menjadikan mana-mana negeri mereka yang masih belum bergabung, bersatu di bawah Daulah Islam. Maka, dengan usaha dakwah daripada Khalifah dan juga umat, akan terwujudlah Daulah Khilafah yang besar yang akan menjadi kuasa dunia, sekali gus membuktikan kepimpinan ideologi Islam yang universal. Tiba masanya, Daulah Khilafah menjadi negara yang memiliki kewibawaan dan kedudukan yang memungkinkannya untuk mengembangkan Islam dan menjadi penyelamat dunia daripada kejahatan. 
 
Bayangkan jika semua umat Islam bersatu, kita akan memiliki kekuatan yang luar biasa berbanding pihak musuh laknatullah. Dunia Islam memiliki lebih daripada 60% bekalan minyak dunia, 55% gas dunia, hampir 37% emas serta hampir 25% kekuatan tentera dunia dengan populasi kaum Muslimin yang kali berlipat ganda. Kaum Muslimin tinggal di tempat-tempat paling baik di atas muka bumi dari segi kekayaan alam, kedudukan geografi serta mempunyai mabda’ yang terbaik dan benar. Maka, tidak diragukan lagi tidak ada sedikit pun keraguan yang kaum Muslimin, tatkala bersatu di bawah Khilafah, akan membentuk negara yang jauh lebih kuat berbanding negara besar saat ini dalam segala aspeknya. Justeru, kelemahan umat Islam hari ini bukanlah kerana kekurangan sumber daya dan kekuatan, tetapi hanya kerana satu sebab iaitu tidak ada Daulah Khilafah yang menyatukan negeri-negeri kaum Muslimin, yang menerapkan hukum Allah di dalam negara dan melakukan dakwah dan jihad ke luar negara. 
 
Khatimah
Misi menegakkan semula Khilafah adalah tugas satu misi yang mulia. Justeru, thariqah (jalan) yang mesti ditempuhi mestilah satu thariqah yang benar. Untuk ini, tidak ada satu thariqah pun yang benar kecuali yang telah ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W. Ini bermakna thariqah selain itu adalah batil dan tertolak sama sekali. Misalnya, mendapatkan kekuasaan melalui demokrasi dengan memperbanyak suara majoriti di Parlimen. Selain merupakan thariqah yang batil, jalan ini boleh membawa kepada kesyirikan apabila manusia mengambil hak Allah sebagai pembuat hukum. Melalui demokrasi, manusialah (bukan Allah) yang menentukan apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh; apa yang halal dan apa yang haram; serta apa yang baik dan apa yang buruk. Hukum Allah dicampakkan dan hukum manusia menjadi pengganti. Inilah hakikat demokrasi berparlimen! 
 
Selain thariqah demokrasi, mengambil thariqah mencegah kemungkaran dengan ‘tangan’ seperti mengangkat senjata, tindakan kekerasan dan sebagainya, juga bukan merupakan thariqah yang benar dalam usaha untuk menegakkan Khilafah. Malah, lebih berbahaya sekiranya memilih jalan menegakkan Negara Islam melalui perjuangan perkara-perkara cabang seperti ibadah atau akhlak atau pendidikan semata-mata. Ini kerana, ruang lingkup ajaran Islam yang syumul dan kaffah, dijadikan sempit dan terpisah daripada aktiviti politik dan kenegaraan. 
 
Walau bagaimanapun, mendirikan Daulah Khilafah bukanlah usaha yang mudah dan ringan semudah yang tercatat di atas kertas. Tujuan yang sangat besar ini wajib ditempuh di lapangan dengan keberanian menanggung segala risiko di sepanjang perjuangan dan jalan yang dilalui ini. Setiap pengembang dakwah hendaklah mencurahkan segenap kemampuan di samping sentiasa bertawakkal dan berdoa kepada Allah tanpa mengharapkan ganjaran apa pun selain untuk redha Allah S.W.T dan syurgaNya. Hizbut Tahrir sebagai  sebuah parti politik Islam global, sedang melakukan usaha mulia untuk mendirikan Khilafah ini di seluruh dunia. Justeru, marilah bersama-sama kami, dalam usaha merealisasikan khabar gembira daripada Rasulullah S.A.W dan yakinlah kepada janji Allah,
 
“....kemudian akan kembali khilafah di atas manhaj kenabian”  [HR Ahmad].
 
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu[TMQ Muhammad (47):7].
 
Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment