Wednesday 16 July 2014

Gaza Berdarah Lagi: Bangkitlah Wahai Tentera Kaum Muslimin Demi Membalas Kebiadapan Yahudi-Zionis





Khamis, 10 Julai 2014 10:30
Buat kesekian kalinya, bumi Palestin bermandikan lagi dengan darah kaum Muslimin. Dalam kejadian mutakhir, pihak rejim Zionis Israel telah melancarkan serangan pengeboman besar-besaran ke wilayah Gaza semenjak minggu lepas. Tindakan ketenteraan yang dilakukan ini merupakan tindakan membalas dendam rejim Zionis terhadap insiden penculikan dan pembunuhan tiga orang pendatang haramYahudi di Tebing Barat pada 12 Jun yang lalu. Rejim Zionis mendakwa insiden penculikan tersebut didalangi oleh HAMAS meskipun ia telah dinafikan oleh pimpinan HAMAS sendiri.

Sebelum operasi serangan udara dilakukan, tentera Israel telah bertindak melancarkan operasi pencarian di seluruh Tebing Barat. Dalam operasi tersebut, sebanyak lima orang penduduk Palestin telah terkorban manakala 350 orang penduduk Palestin (termasuklah hampir kesemua pemimpin HAMAS di Tebing Barat) telah ditahan. Operasi tersebut ditamatkan setelah mayat ketiga-tiga pendatang Yahudi berkenaan ditemui di sebuah padang dekat Barat Laut Al-Khalil (Hebron). Rentetan daripada penemuan mayat tersebut, pihak pendatang haram Yahudi telah bertindak balas dengan menculik seorang remaja Palestin, Mohammed Abu Khdeir sebelum membakarnya hidup-hidup pada 2 Julai 2014.

Dalam pada itu, tentera haram Zionis telah bertindak melancarkan serangan udara besar-besaran di Gaza semenjak 8 Julai 2014 atas alasan untuk memerangi HAMAS (yang didakwa kononnya sebagai pengganas sedangkan pada hakikatnya HAMAS sekadar bertindak mempertahankan diri daripada kezaliman tentera Zionis). Dalam tempoh dua hari, dilaporkan sebanyak 39 orang penduduk Palestin dan pejuang HAMAS telah terkorban manakala ratusan buah infrastruktur, termasuk rumah kediaman awam menjadi sasaran bedilan tentera Israel.

Jelaslah betapa keji dan biadapnya tentera Zionis yang telah sewenang-wenangnya membedil umat Islam Palestin sebagai satu bentuk hukuman kolektif, dengan alasan kononnya hendak menamatkan ancaman HAMAS. Sementara itu, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah pula menyatakan rasa simpati terhadap Israel atas tindakan HAMAS yang melancarkan serangan roket kepada bandar-bandar Israel, sedangkan dalam masa yang sama menutup sebelah mata terhadap serangan udara Israel yang mendatangkan jumlah korban yang jauh lebih tinggi dan mempunyai kuasa pemusnah yang jauh lebih besar berbanding roket-roket HAMAS. Lihatlah betapa hipokritnya Barat dalam isu yang melibatkan Israel dan umat Islam. 

Dari satu sudut yang lain, pihak media Barat pula cuba sedaya upaya untuk menggambarkan bahawa para pendatang Yahudilah yang menjadi mangsa dalam konflik Israel-Palestin, sedangkan pada hakikatnya penduduk Palestin adalah merupakan mangsa yang ditindas dan dipinggirkan di bumi sendiri selama puluhan tahun lamanya. Tanah dan kediaman mereka dirampas sehingga sebahagian besar daripada penduduk Palestin terpaksa menjadi pelarian dalam keadaan yang serba daif. Sebahagian yang lain pula terpaksa hidup dalam kesempitan, dikepung oleh tembok-tembok binaan Zionis dan seringkali terdedah kepada serangan ketenteraan tanpa pembelaan. Sesungguhnya kewujudan Pihak Berkuasa Palestin dan juga kerajaan perpaduan Fatah-HAMAS yang cuba ditubuhkan itu tidak lebih daripada hanya sekadar formaliti dan mainan semata-mata. Malah sehingga ke hari ini, tidak pernah wujud sama sekali wilayah Palestin yang bebas lagi berdaulat!

Oleh yang demikian, umat Islam tidak sewajarnya terus terpesona dengan tawaran dan janji manis yang ditaburkan melalui usaha pelan damai dua-negara (two-state solution). Hal ini kerana kewujudan negara Palestin dalam kerangka nasionalisme tajaan kuasa kuffar barat dan PBB sekali-kali tidak akan dapat menjamin sebarang keselamatan dan kedaulatan penduduk Palestin. Sampai bilakah kita harus terus terpedaya dengan muslihat kaum kuffar? Sampai bilakah para penguasa kaum Muslimin hendak mengeluarkan kutukan dan bantahan secara retorik dalam forum-forum semata-mata tatkala umat Islam di Palestin berdepan dengan kematian setiap hari? 

Justeru, marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga untuk membebaskan ummah daripada cengkaman belenggu nasionalisme ciptaan penjajah dan menuju ke arah penyatuan hakiki di bawah naungan Khilafah yang benar, iaitu Khilafah yang berdiri atas manhaj kenabian. Semoga dengan kembalinya Khilafah kelak, ketumbukan tentera kaum Muslimin yang ikhlas akan dikerahkan oleh Khalifah bagi membebaskan Palestin daripada penjajahan Zionis sekaligus mengembalikan semula kemuliaan ke tangan umat Islam. Sesungguhnya inilah satu-satunya jalan penyelesaian yang tuntas dalam menangani krisis yang melanda umat Islam di Palestin. 

Di samping mengadakan kempen kesedaran, boikot, serta misi kemanusiaan, kita tidak sewajarnya mengabaikan kewajipan kita yang lebih utama iaitu untuk memuhasabah para penguasa kaum Muslimin agar mereka mengerahkan tentera-tentera mereka yang terlatih bagi melakukan pembelaan terhadap Palestin. Melancarkan jihad di Palestin merupakan kewajipan yang tertanggung ke atas bahu setiap umat Islam khusunya ke atas seluruh para penguasa kaum Muslimin dan tentera-tentera mereka. Dalam masa yang sama, kita harus sentiasa berusaha dan berdoa mudah-mudahan Allah menyegerakan penegakkan kembali Khilafah Rasyidah yang dijanjikan, sekaligus bakal menamatkan penderitaan dan kehinaan yang telah menimpa umat Islam selama ini. Amin ya rabbal 'alamin, 

No comments:

Post a Comment