Friday 4 April 2014

Kehilangan

KEHILANGAN YANG TIDAK TERNILAI
 
[SN381] Sudah hampir sebulan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih belum terjawab walaupun usaha optimum sudah dijalankan. Ketegangan juga semakin memuncak apabila banyak pihak tidak dapat menerima penjelasan kerajaan yang tidak konsisten dan cara pengurusan kes yang dipertikaikan. Keluarga para penumpang khususnya dari China betul-betul menunjukkan rasa tidak puas hati dengan pelbagai cara dan yang lebih parah, kerajaan Malaysia dan MAS turut berhadapan dengan tuntutan saman oleh waris mangsa yang terlibat. Keadaan semakin keruh apabila dengan ketiadaan bukti kukuh, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi. Hal ini telah mengundang kritikan banyak pihak sama ada dari dalam mahupun luar negeri, apatah lagi dari keluarga mangsa sendiri. Apa pun, kerajaan Malaysia masih komited untuk terus mencari pesawat malang itu dengan bantuan beberapa negara lain, khususnya Australia, sebagai negara yang berdekatan dengan kawasan laut di mana pesawat dikatakan mengakhiri penerbangannya. 

Setelah pelbagai usaha mencari dan menyelamat pesawat Boeing 777-200 itu menemui jalan buntu, maka banyak pihak telah menarik banyak pengajaran dari tragedi ini seperti meminta umat Islam agar kembali sedar bahawa tiada kekuatan atau teknologi yang dapat menandingi kuasa Allah SWT. Ada juga yang menegur MAS agar jangan lagi menghidangkan arak di dalam pesawat dan pramugari hendaklah berpakaian menutup aurat sebagai pengajaran khusus untuk MAS. Namun, pengajaran yang paling tinggi ialah “doa” yang diseru dan dilakukan oleh banyak pihak sebagai usaha tanpa-putus mengharapkan bantuan daripada Allah SWT agar pesawat malang itu dan kesemua mangsa di dalamnya, ditemui. 

Ya benar, kita semua perlu menarik pengajaran dari kes kehilangan MH370 ini. Lihatlah bagaimana pesawat secanggih itu boleh hilang tanpa dapat dikesan. Apa yang lebih penting, terdapat 239 jiwa di dalamnya yang juga turut hilang. Lihatlah betapa banyak dan betapa besarnya usaha dan kekuatan dikerahkan untuk mencari pesawat dan jiwa yang hilang itu. Lihatlah berapa juta wang yang telah dihabiskan bagi mendapatkan semula apa yang hilang itu. Lihatlah bagaimana liputan dan laporan media yang dilitupi dengan suasana sedih dan murung atas kehilangan itu. Lihatlah bagaimana seluruh negara disibukkan dengan proses pencarian dan doa agar kehilangan tersebut berakhir. Tanpa menafikan kes kehilangan pesawat MH370 tersebut bukanlah suatu yang kecil, SautunNahdhah kali ini akan menarik pengajaran atas “kehilangan” sesuatu yang tidak ternilai harganya bagi umat Islam, yang sehingga kini masih ada yang tidak tahu atau leka mengenainya atau tidak bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya semula! 

Kehilangan Yang Tiada Gantinya

Siapa pun yang kehilangan sesuatu yang berharga untuk dirinya tidak akan berdiam diri dan akan berusaha mencarinya sampai dapat, selagi hal itu memungkinkan. Seorang raja yang sudah mempunyai banyak harta dan kekayaan sekalipun akan melakukan hal yang sama. Inilah lumrah manusia. Allah SWT telah mengisahkan hal ini di dalam KitabNya, 

“Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan, ‘Wahai kafilah! Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang mencuri. Mereka menjawab sambil menghadap kepada penyeru-penyeru itu, ‘Barang apakah yang hilang daripada kamu? Penyeru-penyeru itu berkata, ‘Kami kehilangan piala raja dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperoleh bahan makanan (seberat) beban unta dan aku menjamin terhadapnya” [TMQ Yusuf (12):70-72].

Jadi, bukanlah sesuatu yang janggal atau di luar kebiasaan jika orang yang kehilangan sesuatu  yang berharga itu mengumumkannya dan mengerahkan apa sahaja yang ia miliki bagi mencari barang yang hilang tersebut. Apatah lagi jika yang hilang bukanlah “barang” tetapi “orang”. Kerana itulah kita menyaksikan bagaimana ibu bapa yang kehilangan anak, pasti tidak akan berdiam diri, malah mustahil untuknya berdiam diri atas kehilangan itu. Dia bukan sekadar akan mengumumkan kehilangan tersebut, malah akan melakukan apa sahaja dan tidak akan berputus asa sehinggalah anaknya ditemui, tidak kiralah hidup atau mati. Kesimpulannya, manusia yang waras tidak akan berdiam diri dan akan melakukan apa sahaja bagi mendapatkan kembali sesuatu yang berharga yang telah hilang darinya. 

Allah SWT telah merakamkan sejarah yang benar tentang kisah kehilangan piala raja (di  zaman Nabi Yusuf) dan ia serta-merta diumumkan dan dicari pencurinya. Sejarah yang benar juga, bahawa sejak 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), umat Islam telah kehilangan perisainya, yakni Daulah Khilafah yang telah menjaga keselamatan dan kehormatannya selama lebih 13 abad. Maka tidakkah kita perlu berteriak akan kehilangan ini agar semua orang mengetahuinya? Wajar sekali kita berteriak “Wahai Barat, wahai para penguasa umat Islam yang khianat! Kamu adalah pencuri!” Jika mereka bertanya, “Apakah yang hilang dari kamu?”, maka kita akan menjawab dengan kuat dan yakin bahawa, “Kami telah kehilangan Khilafah…kami telah kehilangan negara kami yang kamu rampas dari kami”. 

Kini, sudah lebih 90 tahun kita telah kehilangan negara kita (Khilafah), suatu kehilangan yang sangat besar dan tidak ternilai harganya. Kita sebagai umat Islam telah kehilangan satu negara yang diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW dan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin. Kita telah kehilangan sesuatu yang tidak ada galang gantinya dan kesannya sungguh mendalam dan di luar daripada apa yang dapat kita bayangkan. Kami ingin mengingatkan bahawa bersama dengan kehilangan Khilafah ini, umat Islam turut kehilangan sekurang-kurangnya 15 perkara lain yang juga tidak ada galang gantinya:-

(1) Hilangnya negeri-negeri Islam dan tempat tinggal kaum Muslimin. Negeri Islam satu per satu di jajah oleh Barat dan setelah itu diletak penguasa Muslim boneka lagi khianat. Lebih buruk, Palestin sedikit demi sedikit hilang dari peta dunia. Apa yang berlaku di Andalusia (Sepanyol) juga tidak kurang tragisnya di mana kaum Muslimin dilenyapkan terus dari bumi Andalusia dengan cara yang sungguh menyayat hati. Di sebahagian wilayah yang lain di Asia Tengah dan Timur Jauh, Kosovo, Bosnia, Kashmir, Myanmar dan banyak lagi, kaum Muslimin kehilangan rumah dan terpaksa lari meninggalkan kampung halamannya sendiri dan menjadi pelarian dalam keadaan yang amat menyedihkan.

(2) Hilangnya tanah yang diberkati (Palestin) dan akibatnya umat Islam dilarang solat di masjid yang ketiga sucinya (Masjid Al-Aqsa) oleh Yahudi Zionis laknatullah, perampasnya. Dua lagi tanah suci (Mekah dan Madinah) juga tidak boleh dimasuki oleh umat Islam kecuali dengan izin (pasport dan visa) dari penjaganya yang tidak layak lagi khianat.

(3) Hilangnya kesatuan dan integriti umat Islam. Umat Islam yang dulunya hidup bersatu padu di bawah Khilafah, kini hidup terpecah-belah berdasarkan assabiyyah dan wathaniyah dan masing-masing berbangga dengan bangsa dan tempat masing-masing walhal itu semua adalah keharaman yang jelas lagi nyata. 

(4) Hilangnya hukum syarak dari pemerintahan negara dan dari sebahagian besar kehidupan umat Islam. Pemerintah tidak lagi menerapkan hukum Allah dan diganti dengan penerapan hukum kufur/sekular di bawah sistem demokrasi, monarki dan lain-lain. Hukum jihad dihilangkan terus dari kamus umat Islam, malah jihad akan dianggap sebagai satu keganasan dan kesalahan.

(5) Hilangnya kedaulatan dan jati diri umat Islam (khususnya penguasa) dan negeri Islam dalam membuat keputusan politik. Kebanyakannya tunduk dan menjadi pengekor kepada negara-negara penjajah kafir Barat dan institusi-institusi kufur di peringkat antarabangsa seperti PBB. 

(6) Hilangnya kemuliaan dan kehormatan umat Islam. Umat Islam bukan sekadar diperlecehkan dan hidup dalam keadaan terhina, malah agama Islam itu sendiri, al-Quran dan Rasulullah SAW turut dihina oleh orang-orang kafir manakala para penguasa Muslim terus membisu. Kaum wanita diperlecehkan dengan lebih buruk dan menjadi hamba kepada sistem Kapitalis sehingga hilang  peranan keibuan dan penjaga rumah tangga yang diletakkan oleh Islam ke atas mereka.

(7) Hilangnya rasa aman dan jaminan keamanan/keselamatan dan diganti dengan sebuah kehidupan yang penuh ketakutan. Di negara kufur, umat Islam sering dipandang negatif dan hidup dalam keadaan terancam. Manakala di banyak negeri Islam, kaum Muslimin dibunuh dengan sewenang-wenangnya oleh penguasa mereka sendiri. Kadar jenayah di kebanyakan negeri Islam terus meningkat. Jaminan keselamatan sudah tidak wujud, begitu juga jaminan bahawa keadaan akan kembali aman juga tidak wujud dalam sistem sekarang.

(8) Hilangnya amanah dan keikhlasan dalam pentadbiran sesebuah negara. Ini kerana, urusan pemerintahan dan pentadbiran diserah kepada bukan ahlinya. Maka kita menyaksikan kes rasuah dan penyelewengan dari kalangan penjawat awam yang menjadi ibarat sarapan pagi dan sudah tidak terubati lagi.

(9) Hilangnya keadilan yang disebabkan oleh hilangnya penerapan Islam. Sudah tidak ada lagi pemimpin yang adil dan diganti dengan pemimpin yang penuh dengan kefasikan dan kejahatan. Manakala undang-undang dan mahkamah yang ada lagi jauh dari keadilan. Keadilan hanya tinggal pada slogan, bukan pada amalan.

(10) Hilangnya kekayaan dan sumber alam milik umat. Sebahagian dari hasil bumi negara diberikan kepada Barat dan sebahagian yang lain dirampas oleh para pemimpin dan kroni mereka. Pemimpin dan kroni tenggelam dalam kekayaan yang melimpah ruah manakala rakyat tenggelam dalam kemiskinan dan penindasan.

(11) Hilangnya tsaqafah Islam daripada tubuh umat. Hal ini seiring dengan hilangnya sistem pendidikan Islam dan tradisi keilmuan Islam yang tinggi dan unik, sebaliknya diganti dengan tsaqafah dan pemikiran asing yang rosak lagi merosakkan.

(12) Hilangnya syakhsiyyahIslamiyyah (keperibadian Islam) dalam diri individu Muslim. Hal ini termanifestasi dari cara berfikir (aqliyyah) dan cara bertindak (nafsiyyah) yang tidak lagi berdasarkan kesucian ajaran Islam. Lahirnya ramai orang yang jahat, yang rosak akhlaknya dan rosak cara berfikirnya. Ada pula yang cara berfikirnya benar, tetapi rosak pula nafsiyahnya seperti orang yang mengetahui bahawa riba itu haram tetapi tetap mengambilnya, mengetahui bahawa dakwah itu wajib tetapi tetap tidak melakukannya dan mengetahui bahawa kesatuan umat Islam itu wajib tetapi tetap tidak berusaha mempersatukannya. 

(13) Hilangnya para ulama yang mukhlisin yang memberikan pengajaran dan pedoman yang benar kepada umat, di mana kebanyakan mereka diancam, ditutup mulut mereka, ditangkap dan dibunuh dan diganti dengan ulama su’ (buruk) yang berkhidmat kepada pemerintah atau menjadi pengampu kepada pemerintah dengan bayaran yang lumayan.

(14) Hilangnya Imam atau Khalifah, bermakna hilangnya bai’at di pundak kaum Muslimin, kerana bai’at hanya diberikan kepada Khalifah. Hal ini mengundang dosa besar kecuali kepada orang yang memperjuangkan untuk mewujudkan bai’at tersebut (memperjuangkan wujudnya Khilafah). Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada baiat maka matinya jahiliyah” [HR Muslim]. Ijmak Sahabat telah menetapkan bahawa umat Islam tidak boleh kosong dari adanya seorang Khalifah selama 3 hari. Sedangkan kini sudah lebih 90 tahun umat Islam tidak mempunyai seorang Khalifah! 

(15) Hilangnya redha Allah SWT. Keredhaan Allah SWT hanya dapat dicapai dengan melaksanakan seluruh hukum dan peraturanNya sebagaimana dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Dengan kata lain, keredhaan Allah SWT hanya dapat dicapai dengan menerapkan Islam secara kaffah di dalam kehidupan dan hal ini sekali-kali tidak akan dapat dilaksanakan kecuali dengan adanya sebuah negara (Khilafah) yang akan menerapkannya. 

Inilah kehilangan-kehilangan besar yang berlaku ke atas umat Islam setelah kita kehilangan negara Khilafah.

Saudara-saudara sekalian! Hadiah yang ditawarkan oleh pemerintah Mesir pada masa Nabi Yusuf untuk mendapatkan kembali barangan yang hilang adalah makanan seberat beban unta. Demi Allah! Sesungguhnya hadiah bagi sesiapa sahaja yang berusaha mengembalikan semua kehilangan kita adalah jauh lebih berharga dari pemberian tersebut. Cukuplah kami sekadar mengutip apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW ketika utusan Aus dan Khazraj bertanya kepada baginda pada saat bai’atAqabah kedua, “Apa imbalannya bagi kami jika kami mengabulkan janji untuk mendukung dan melindungimu?” Baginda menjawab, “Syurga”. Lalu mereka pun berbai’at kepada Rasulullah SAW di mana selepas itu berlakulah hijrah dan tegaknya Daulah Islam yang pertama di Madinah di mana hukum Allah SWT dapat diterapkan secara kaffah setelah adanya sebuah Negara Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Hilangnya Khilafah Islamiyyah bukanlah untuk selama-lamanya. Negara Islam ini pasti akan muncul kembali dengan izin Allah dan saat kembalinya itu sudah sangat dekat. Ia akan menjadi lebih dekat lagi sekiranya seluruh kaum Muslimin berusaha siang dan malam untuk mengembalikannya. Munculnya kembali Khilafah Islamiyyah ini akan menjadi lebih dekat sekiranya semua pihak (bukan sahaja HizbutTahrir) melaungkan akan kehilangannya di setiap corong dan lorong, mencarinya dengan bersungguh-sungguh dengan seluruh kekuatan harta dan jiwa raganya, di samping tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar segera memunculkannya. Jika kehilangan sebuah pesawat dengan 239 nyawa dicari dengan kesungguhan yang amat luar biasa, kenapa tidak kehilangan sebuah negara dan jutaan nyawa dicari dengan kesungguhan yang sama, malah sepatutnya lebih lagi kerana ia merupakan sebuah kewajipan!? Untuk kehilangan sebuah pesawat dengan 239 nyawa, pihak yang berkenaan hanya ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh manusia, namun untuk kehilangan Khilafah dan jutaan nyawa, setiap Muslim akan pasti ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, ittaqullah ya ikhwan al-kiram…ittaqullah! Nusikumbitaqwallah..

No comments:

Post a Comment